Hancurnya Sekeping Hati II

Hello pembaca sekalian! Saya Sunflower yang telah kembali lagi bagi menjawab persoalan tuan/puan. Rasa macam berdosa pula kalau tak jawab. Hahaha.

Kalau diikutkan, saya memang tidak merancang untuk membuat sambungan namun memandangkan terdapat banyak persoalan daripada pihak tuan/puan maka wujudlah Hancurnya Sekeping Hati II.

Sila rujuk, https://iiumc.com/hancurnya-sekeping-hati/

Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pembaca yang telah mendoakan saya dan memberi kata-kata semangat.

Saya sangat menghargainya dan rasa nak pos kuaci kepada tuan/puan atas doa kalian tetapi sebab kita tidak mengenali masing-masing maka saya titipkan kalian dalam doa saya.

Saya berdoa agar segala urusan tuan/puan dipermudahkan & dimurahkan rezeki.

Persoalan pertama adalah pasal hutang belajar yang berpuluh ribu itu.

Ya, dia sudah habis membayar hutang tersebut dan duit tersebut telah saya gunakan untuk urusan pembelian rumah pertama saya. Yeay! Mula-mula saya menagih dengan cara lembut.

Namun alasan demi alasan, membuatkan saya terpaksa menghubungi penyondol tersebut kerana saya tahu itu sahaja cara bagi dia membayar dengan cepat.

Semasa saya menagih hutang, saya mendapati bahawa dia memberitahu penyondol tersebut bahawa saya hanya mereka-reka cerita supaya mereka berpisah.

Maka, saya telah menghantar semua bukti seperti resit belajar dia kepada penyondol tersebut.

Ini menyebabkan penyondol tersebut merajuk dan mendesak suami saya membayar duit tersebut dengan kadar segera supaya kami tidak perlu berhubung lagi.

Untuk pengetahuan tuan/puan, pasal proses perceraian kami ini pun tak banyak yang tahu.

Jika orang bertanyakan kepada suami saya pasal saya, dia akan jawab saya tak dapat balik kampung kerana sibuk bekerja.

Tambahan pula, jarak kerja saya dengan kampung halaman suami saya 4 jam & dia pula kebanyakkan masa berada di laut.

Dulu, sebelum suami saya curang, saya selalu menjenguk keluarga mertua saya dan bermalam dengan mereka walaupun suami saya berada di laut.

Disebabkan ketiadaan saya yang agak lama menyebabkan makcik-makcik dia selalu bertanyakan saya dan meluahkan rasa rindu mereka terhadap saya.

Maka, saya terpaksa berterus terang bahawa kami bakal bercerai dan banyak adegan air mata di sini. Saya bersyukur sangat walaupun sekejap, saya rasa mereka adalah keluarga mertua yang terbaik! :)

Rakan-rakan sepejabat saya pun masih tidak mengetahui pasal keadaan saya.

Cuma kawan-kawan rapat dan kawan-kawan baik sahaja yang mengetahui sebab merekalah pemberi semangat saya yang jauh daripada pangkuan ibu bapa tersayang.

Saya tersenyum tengok satu komen tu. Dia menyuruh saya datang ke acara keluarga suami saya supaya mental perempuan tu koyak.

Bukan setakat datang sahaja sebenarnya, awal tahun ini adik ipar saya berkahwin, saya lah orang yang dia lantik menjadi pengurus acara dia.

Dari jenis pelamin, kad, jenis makanan, hantaran, jurugambar, jurusolek hampir semua nya berdasarkan cadangan saya dan saya DIY pelamin untuk dia.

Bukan sahaja mental koyak penyondol itu, gigit jari pun ada rasanya sebab kebanyakkan yang hadir di majlis itu tidak mengetahui pasal kecurangan dan proses penceraian kami berdua.

Sudah semestinya, kewujudan penyondol itu juga tidak diketahui kerana status perempuan simpanan dia.

Pasal penyondol tersebut, saya tidak pernah berjumpa dengan dia kerana saya rasanya ianya satu pembaziran masa.

Berdasarkan cerita kawan baik penyondol tersebut, penyondol tersebut sudah meniduri banyak lelaki walaupun belum berkahwin.

Patutlah pertemuan kali pertama mereka, dia yang menghantar diri ke hotel suami saya. Sakit hati dia apabila dia mengetahui bahawa kawan baik dia memihak kepada saya.

Tuan/puan sekalian, akhirnya kami telah sah bercerai! Proses penceraian kami sangatlah banyak drama kerana dia sebenarnya tidak mahu melepaskan saya.

Atas kuasa Tuhan Yang Maha Esa, saya akhirnya dilepaskan. Tetapi kan pembaca, dia masih mesej saya setiap hari dan cuba untuk mengambil hati saya lagi sehingga ke hari ini. Dah sekat nombor hp dia pun, ada lagi dia beli nombor baru.

Sejujurnya saya tak mendoakan agar dia mendapat kifarah kerana bagi saya,

Kehilangan saya dalam hidup dia sekarang sudah cukup menjadi hukuman bagi dia kerana saya adalah orang yang pernah ikhlas mencintai dia dengan seadanya ketika dia tidak mempunyai apa-apa dan tiada rupa macam Shuk.

Tengok la sekarang, dah bercerai pun masih menggila.

Yang paling mencuit hati saya adalah apabila banyak yang mendoakan agar saya bertemu jodoh yang baik. Pembaca sekalian ni kawan-kawan saya eh?

Sebab kawan-kawan saya pun sekarang sentiasa mendoakan saya dan sedang cuba menjodohkan saya dengan satu orang kawan baik lelaki kami. Tapi saya nak jadi solo sahajalah. Jadi makcik gorgeous kepada anak-anak buah saya. Hehehe.

Pembaca sekali, bukan mudah untuk saya menjadi sekuat ini tanpa doa dan sokongan keluarga / kawan-kawan baik saya.

Strong support system itulah yang paling utama jika tuan/puan mengalami situasi macam saya. Jika tiada, sila PM saya. Saya sedia menjadi kawan pembaca sekalian. :)

Saya akhiri penulisan saya di sini. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kerana sudi memberi semangat, doa dan kata-kata nasihat kepada saya.

xoxo,

– Sunflower (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *