Hai semua. Nama aku Melur, baru habis belajar dan sekarang dalam proses mencari pekerjaan. Buat sementara waktu ni aku membantu ibu untuk menjaga anak asuhannya seramai 4 orang.
Ibu memang sejak dulu mengasuh dan pekerjaan tersebut sudah sebati dengan dirinya walaupun anak-anak telah bekerja. Penat kami melarang dan menyuruh ibu berehat, tetapi langsung tidak diendahkan.
Dalam keempat-empat anak asuhan ibu ini, bermacam ragam ibu bapa mereka yang aku temui. Dan sepanjang aku membantu ibu, aku pun tidak faham kenapa ibu masih meneruskan pekerjaan mengasuh ini.
Anak pertama kami panggil Ros (bukan nama sebenar). Ros berumur setahun. Dia adalah anak asuhan ibu yang paling baru dan ibu mengambilnya atas dasar kasihan.
Setiap pagi Ros dihantar dalam keadaan belum mandi dan yang paling menjengkelkan, setiap hari Ros dihantar dengan najis yang telah kering dipunggung. Kadangkala tembus sampai seluar dan terkena tangan ibu atau aku yang mengambilnya di pintu.
Pada aku, mereka mengambil kesempatan pada ibu. Setiap pagi datang tidak pernah mandi dan baju yang sama yang kami pakaikan petang semalam.
Upah yang ibu kenakan hanyalah RM350 sebulan tanpa mengira lebih masa, waktu atau umur. Dahulu hanya RM300, tetapi sejak kenaikan harga bahan mentah ibu menaikkan sebanyak RM50 dan itu pun mereka mengeluh mengatakan terlalu banyak.
Untuk pengetahuan anda, segala barang-barang makanan dan keperluan mereka dibeli oleh ibu kecuali susu dan pampers. Makanan ringan seperti aiskrim dan roti juga dibeli oleh ibu.
Itu tidak termasuk sabun mandi, sabun basuh baju dan lain-lain. Sabun baju? Ya, baju juga dibasuh oleh ibu sekiranya ada yang comot atau terkena najis.
Dalam ramai-ramai, aku cukup puji Kak El walaupun pada awalnya aku tidak begitu sukakan dia.
Dia bekerja di Mall dan waktu bekerja 10 pagi sehingga 8 malam. Sabtu ahad juga bekerja, hanya cuti pada hari biasa. Bayaran sama seperti anak-anak yang lain yang ibu mereka hantar pada waktu office hour.
Tetapi apa yang aku perhatikan, anaknya yang kami panggil Ahmad tidak pernah datang dalam keadaan tak mandi. Setiap pagi datang dalam keadaan wangi dan bersih.
Dia juga melarang ibu untuk membasuh baju Ahmad dan makanan Ahmad juga dimasak dari rumah.
Segala keperluan lain seperti sabun termasuklah sabun pencuci botol dan berus botol disediakan oleh Kak El. Snek tambahan juga diberi oleh Kak El seperti biskut, nestum dan oat.
Barang-barang Ahmad juga sentiasa rapi tersusun di dalam beg. Beg baju kotor juga diberi dua jenis, basah dan kering. Beg basah untuk pakaian yang comot atau terkena najis Ahmad. Pada aku Ahmad bertuah mempunyai ibu dan bapa yang begitu rapi dan teliti.
Selalu aku tengok status whatsapp Kak El, suaminya rajin membantunya di rumah. Adakah mungkin sebab tu segalanya tentang Ahmad nampak sempurna?
Pernah juga aku dengar para ibu yang lain berkata, dia boleh lah masuk kerja pukul 10. Kami pukul 8 nak mandi pun tak sempat.
Balik dah penat. Ketika itu ibu memberitahu salah seorang ibu anak asuhan bahawa anak nya suka makan makanan Ahmad berbanding makanan yang dimasak ibu.
Mana taknya, makanan Ahmad berbagai bentuk dan warna. Rasanya tawar, tetapi mungkin anak yang lain tertarik dengan warna makanan tersebut.
Bila difikirkan semula apa bezanya masuk pukul 8 dan balik pukul 5, serta masuk kerja pukul 10 dan balik pada pukul 8?
Masuk lambat, balik lambat, masuk awal, balik awal. Ada cuti tetap lagi pada Sabtu dan Ahad. Nak kata ramai anak, semua pun anak pertama. Cuma beza umur sahaja dan Kak El yang paling muda antara mereka.
Kak El juga bukan memasak makanan biasa-biasa untuk anaknya. Hidangan lengkap tengahari, minum petang dan malam. Segalanya dibuat sendiri termasuk kek, donut dan nugget.
Segalanya berwarna-warni. Dari perkongsiannya juga, lauk untuk dia dan suaminya juga dimasak oleh Kak El pada setiap pagi. Setiap minggu juga dia akan mengutip tilam dan mainan Ahmad untuk dibasuh. Botol susu diambil setiap hari.
Ketika ibu membuat jamuan raya beberapa bulan lepas, semua ibu bapa dijemput. Ada seorang ibu menegur Kak El, cuti seminggu balik malam bila nak jumpa anak? Try lah minta kerja kerajaan, senang sikit. Lagipun ada Degree laki bini. Kak El hanya berkata belum ada rezeki.
Tetapi aku juga tidak pasti jawatan Kak El dan suaminya di kedai tersebut kerana mereka kelihatan senang dan stabil.
Jika terdapat apa-apa kecemasan juga mereka cepat datang untuk mengambil Ahmad dan jika Ahmad demam mereka mengambil cuti bergilir dan kadangkala sehingga seminggu sehingga Ahmad sihat.
Aku bukan nak membandingkan, tetapi pada aku semua ibu bapa hendaklah saling bekerjasama untuk memastikan kebajikan anak-anak sentiasa terjaga dan bukan hanya meletakkan 100% kepada pengasuh.
Tilam tidak diambil, setiap minggu disuruh tinggalkan sahaja di rumah kami. Kadang-kadang ibu yang membasuh tilam tersebut kerana sudah kekuningan. Botol susu juga dikutip seminggu sekali dan bila datang semula pada hari Isnin, putingnya berkerak dan busuk.
Belum lagi tuala yang tidak ditukar seminggu dan berbau hapak. Seminggu berada di dalam beg yang sama.
Mungkin ibu sudah lali, jadi dia tak rasa apa-apa tetapi aku yang baru menceburi bidang ini walaupun celup-celup, memang angkat bendera merah.
Perangai anak-anak high demand atau nakal bukan isu, tetapi perangai ibu bapa yang tidak mengambil endah akan anak-anak membuatkan aku rasa rimas dan pening.
Pesanan aku kepada semua ibu bapa, curilah masa anda dengan anak-anak. Ambil peluang, mereka kecil cuma sekali.
Walaupun aku belum menjadi ibu, tapi aku yakin para ibu bapa boleh menguruskan masa dengan baik sekiranya saling bekerjasama.
– Melur (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit