Aku Bukan Isteri Terbaik Buat Suamiku II

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat warga IIUM Confession yang setia dan sedia mengambil iktibar di atas setiap perkongsian di ruangan ini.

Kisah dan perkongsian aku pada kali ini adalah kesinambungan cerita ku yang pertama suatu ketika dahulu ( https://iiumc.com/aku-bukan-isteri-terbaik-buat-suamiku/ ).

Nama samaran ku tetap sama, Mujahidah yang masih membawa pengertian yang sama terhadap perjuangan hidup yang akan ku teruskan seperti hari-hari yang dahulu, kini dan selamanya.

Dengan izin yang maha Esa, akhirnya aku dilepaskan dari belenggu yang sekian lama mengikat diriku dari sekecil-kecil hal sehingga sebesar-besar perkara dalam hidupku selama 24 tahun bergelar seorang isteri.

Rentetan ujian kehidupan sedari kecil, sungguh mempengaruhi setiap langkah dan tindakan ku. Itulah AKU, seorang yang tidak suka terburu-buru dalam melakukan sesuatu.

Berfikir dan bersedia atas setiap kemungkinan yang berlaku memberi peluang kepada ku untuk mengatur strategi satu persatu.

Diiringi doa dan harapan agar Allah membantu dan memudahkan setiap urusanku dalam setiap keputusan muktamad di setiap pengakhiran. Yakin dan tekad.

Keputusan akhirku adalah memfailkan penceraian secara fasakh di jabatan agama dalam keadaan aku berserah diri sepenuh pada NYA bagi episod perjalanan hidupku seterusnya.

Jika dari tiada kepada ada tidak mustahi bagiNYA, inikan pula dari yang sedia ada kepada yang seterusnya.

Aku yakin, tiada yang mustahil bagiNYA jika DIA berkehendak ke atas sesuatu.

Alhamdulillah, tuntutan penceraian ku dicadangkan oleh mahkamah untuk diteruskan di bawah Seksyen 47 (penceraian secara hakam) memandangkan ia adalah laluan yang agak mudah berbanding yang lain.

Aku ada bukti yang kukuh iaitu laporan psikiatrik dengan diagnostic title – ‘Spouse Abuse, Psychological’.

Seterusnya setahun selepas itu, aku mengalami kejatuhan jiwa yang sangat mendalam yang akhirnya disahkan mengalami kemurungan (MDD) yang membuatkan aku harus bergantung kepada ubatan untuk menyokong kehidupan seharian ku.

Betapa perit dan payahnya untuk aku bangkit dengan semangat yang hilang entah ke mana sehingga adakalanya aku hanya mampu terkebil-kebil di pembaringan dengan masa yang berlalu begitu sahaja.

Air mata mengalir deras merasai dan merenung perubahan diri yang tidak mampu bertindak seperti dahulu, seolah-olah kaku, hilang tumpuan dan arah,

Namun aku gigih bangkit untuk melunaskan amanah yang merupakan satu-satunya sumber pendapatan buat ku. Aku cuba untuk gagah melangkah.

Let bygones be bygones.

Kini, aku masih di dalam fasa kebangkitan. Tiada bezanya sebelum dan selepas penceraian kerana aku telah lama terbiar dan dibiarkan.

Cuma beza dan jurang semakin ketara apabila ego sidia menguasai segalanya. Sementelah kami bukan sebangsa malah berlainan budaya dan negara.

Mana mungkin aku biarkan diriku terus ditindas dan dijajah oleh lelaki yang selama ini ku dambakan kasih dan teduhan. Tak mengapalah, pujuk hati ku. Allah itu sentiasa ada.

Rakan pembaca semua, doakan aku terus kuat ya. Adakalnya aku merasakan tidur adalah ubat yang paling berkesan untuk aku keluar seketika dari semua kecelaruan.

Aku benar-benar rasa kehilangan. Kehilangan yang paling dasyat dan menyakitkan. Duhai jiwa, KEMBALILAH.

– Mujahidah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *