Baru-baru ni heboh pasal penanggal di Terengganu. Saya tak pasti samada benar ataupun tidak ada penanggal di situ. Tapi saya nak ceritakan tentang pengalaman saya sendiri.
Penanggal, pelesit atau balan-balan adalah sejenis yang sama. Benda ni memang wujud sejak dulu kala lagi. Dahulu, mereka yang memakai ilmu ini adalah untuk kekal kelihatan cantik selain daripada susuk.
Dahulu hanya mereka yang cantik sahaja mampu hidup mewah kerana pembesar-pembesar atau orang-orang kaya hanya inginkan orang yang cantik sahaja menjadi isteri atau gundik.
Untuk hidup senang dengan jalan yang mudah adalah menjadi cantik dan untuk kelihatan cantik sentiasa tanpa saingan daripada perempuan lain adalah melalui ilmu hitam.
Bagaimana menuntutnya adalah diluar pengetahuan saya. Maaflah, kiranya saya tahu pun memang tidaklah sesekali saya berkongsi dengan kalian semua. Semuanya syirik dan khurafat, semoga kita dijauhkan daripada sifat-sifat tersebut.
Sebenarnya pada zaman sekarang, sudah tidak memerlukan lagi ilmu-ilmu tersebut untuk menjadi cantik kerana banyak kaedah moden yang boleh dilakukan untuk menjadi cantik.
Cuma yang tinggal kini adalah hanya sisa-sisa pewaris daripada ilmu hitam tersebut yang terpaksa diambil alih oleh keturunan supaya si pengamal boleh meninggal dunia dengan mudah.
Jadi jauhilah segala Ilmu hitam supaya anak cucu cicit kita dapat hidup dengan tenang dan harmoni.
Bercerita tentang penanggal. Dahulu sewaktu saya berumur dalam lingkungan 20an, bekerja di sebuah kedai coklat yang terletak di sebuah pusat peranginan di Negeri Pahang.
Ada seorang perempuan ni selalu menjadi pelanggan tetap saya. Setiap hari dia akan membeli pelbagai jenis coklat tanpa mengira harganya. Sangatlah cantik dan lembut orangnya. Suatu hari dia menyapa saya.
“Kamu sangat cantik sayang, kenapa selalu memandang saya?”
Saya terkejut dengan soalannya. Selama ini dia tidak pernah memandang saya, bagaimana dia tahu saya sering memperhatikan dia. Saya hanya membalas dengan senyuman tanpa menjawab soalan dia.
“Nama ibu Rohana, nama kamu siapa ya?”
Soalnya lagi sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Saya menyambut tangannya. Sejuk membeku seolah-olah tidak berdarah.
Mungkin ketika itu cuaca hujan dan saya sedang berada di puncak pusat peranginan jadi saya abaikan.
“Nama saya adik. Macamana kakak tahu saya selalu pandang kakak?” Soal saya pula sambil ligat tangan membungkus belian.
“Ibu ada mata di belakang tengkuk tau..” Jawabnya dalam nada bergurau dengan membahasakan dirinya ibu.
Sejak daripada itu saya menjadi rapat dengan dia dan turut memanggilnya ibu.
Selepas beberapa minggu sahaja saya dan dia mula menjadi rapat. Dia sering temankan saya makan tengahari dan kadangkala dia menemani saya sehingga habis waktu kerja.
Satu hari dia tidak datang seperti biasa. Berhari-hari dia tidak datang. Saya menjadi pelik, adakah dia sedang sakit.
Saya mengambil cuti untuk mencari dia. Bimbang jika benar-benar dia sakit. Saya bertanya kepada kawan-kawan sekerja adakah mereka mengenali dia.
Malangnya tiada sesiapa pun yang mengenali dia malah tidak pernah melihat kelibat seperti yang saya gambarkan. Tinggi, berkulit putih kuning, bersanggul dan sentiasa melilit shawl di bahagian leher.
Saya membuka CCTV untuk memberi maklumat tentang dia kepada kawan-kawan, alangkah terkejutnya saya kerana di setiap sesi perbualan saya bersama dia hanya kelihatan saya bercakap sendirian.
Apabila saya sudah bertenang, saya istighfar, kembali kepada fitrah saya yang mampu melihat makhluk halus jadi saya abaikan.
“Kawasan ni keras sikit dik. Kau kena berehat, kau stress ni.” Nasihat kawan saya apabila melihat saya terduduk tanpa sepatah kata setelah selesai melihat CCTV tersebut.
Satu malam, ketika saya ingin melelapkan mata, tingkap bilik berdentum seperti dibaling dengan bola.
Memandangkan saya tidur di tingkat 7, jadi adalah mustahil bola boleh sampai setinggi itu. Jika benar, siapa yang main bola sehingga larut malam.
Saya menarik selimut menutupi kepala kerana saya tidak mahu di ganggu oleh makhluk halus lagi. Semak dan merimaskan. Dentuman itu berkali-kali seperti lantunan bola di simen.
Saya terus membuka langsir, jelas kelihatan seperti bola api terbang di udara meninggalkan kawasan kediaman saya dan saya tahu apa itu. Saya terus menutup kembali langsir tingkap lalu sambung tidur.
Keesokan pagi, kecoh satu bangunan bercerita mereka nampak bola api berkeliaran malah ada yang nampak benda tersebut berlegar-legar di tingkap bilik saya.
Saya hanya berdiam diri kerana tidak mahu mereka tahu bahawa hijab saya mudah terbuka bimbang mereka akan berfikir yang bukan-bukan tentang saya.
Saya bekerja seperti biasa. Dia muncul semula di hadapan saya dan kali ini saya abaikan kerana saya tahu dia bukan manusia biasa seperti saya.
“Sudah tahu ya…?” Soal dia sambil tersenyum. Saya abaikan dia sambil berzikir dalam hati.
“Malam tadi ibu mencari adik, tapi adik tidak membuka tingkap. Ibu balik…” Katanya lagi sambil merenung mata saya.
“Kenapa cari? Menjauhiku jika tidak mahu binasa!” Bisik saya perlahan sambil bersedia dengan sengat ikan pari di tangan.
“Ibu hanya mahu berkawan dengan adik. Adik cantik..” Jawabnya perlahan.
“Pergi atau akan aku tusuk benda ini ke jantungmu! Aku tidak mahu bersahabat dengan iblis laknatullah!” Kata saya sebelum dia menghabiskan kata-katanya sambil mencabut sarung sengat pari tersebut.
Dia berundur sedikit ke belakang. Matanya tetap memandang saya dengan sayu.
“Bukan kemahuan ibu jadi begini. Ibu terpaksa ambil untuk melepaskan emak ibu ke alam barzakh dengan mudah. Mewarisi ilmu hitam bukan kemahuan ibu.
Ibu mahu adik tinggalkan tempat ini kerana makhluk jahat ini inginkan adik, berkenan dengan adik dan ingin berdampingan dengan adik, pergilah adik, tinggalkan tempat ini…” Rayunya kepada saya.
“Aku kata pergi… Pergi…” Saya tekankan sedikit suara. Seorang sahabat yang sama bekerja dengan saya menoleh kearah saya kerana melihat saya bercakap sendirian lagi. Dia langsung hilang daripada pandangan saya.
Malam itu dia datang lagi di tingkap saya. Melantun-lantun sebanyak beberapa kali. Saya teruskan berzikir, bertahmid dan bertakbir sambil menggenggam sengat ikan pari yang telah dicabut daripada sarungnya.
Andai kata dia muncul di depan saya, saya tekad, saya akan tusuk terus jantungnya. Alhamdulillah dia pergi juga setelah saya abaikan dia.
Sengat ikan pari itu adalah hadiah daripada ayah angkat saya. Beliau telah mengubah sengat tersebut menjadi senjata untuk menangani makhluk seperti itu.
Sayangnya sengat tersebut hilang selepas saya mendirikan rumah tangga. Tercicir entah dimana.
Para pembaca sekalian, untuk menangani makhluk seperti ini, jika kalian berani, sediakan senjata yang mempunyai bisa berduri seperti daun mengkuang, sengat ikan pari, dahan bunga mawar (paling keras, racik dibahagian hujungnya), buluh yang diracik sehingga runcing atau seakan sepertinya.
Jika berani tusuk terus ke jantungnya. In Sha Allah dia akan jatuh ke tanah dan biarlah orang yang berilmu (ustaz atau pakar perubatan Islam) selesaikan segalanya.
Makhluk yang datang kepada saya di kedai coklat adalah belaan dia merupakan sejenis jin yang boleh merupa-rupa. Entah apa tujuannya saya sendiri tidak pasti.
Selepas daripada itu dia tidak muncul lagi. Saya sendiri tidak pasti kenapa. Selepas beberapa minggu kemudian, saya dapat panggilan daripada IPT untuk melanjutkan pelajaran. Lalu saya berhenti kerja dan meninggalkan kawasan tersebut.
Baru-baru ini saya sekeluarga bercuti di tempat tersebut, kedai itu telah tiada. Pelbagai bangunan baru sedang pesat dibina.
Jauh di sudut hati saya berdoa semoga dia diampunkan dosanya dan sentiasa tenang walau dimana dia berada dan apa jua keadaannya. Al Fatihah…
– Adik (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit