Dilema Hidup

Saya Mrs. Ri, umur lewat 20-an. Saya tidak tahu mahu mula di mana.. 6 tahun yang lalu saya hidup normal seperti orang lain. Oleh kerana itu, saya tidak teragak-agak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

Hasil keputusan cemerlang di peringkat diploma membolehkan saya dapat pinjaman boleh ubah JPA, yang mana saya akan bayar kurang dari nilai pinjaman jika saya bekerja di dalam negara.

Jadi, saya terus menerima tawaran pinjaman itu, kerana pada ketika itu saya fikir saya tiada rancangan untuk bekerja luar negara dan mahu berbakti kepada orang tua. Masa depan saya kelihatan cerah pada ketika itu.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Siapa sangka, menjelang semester pertama peringkat ijazah saya dijangkiti demam dan mengalami batuk selama sebulan.

Setelah sembuh, saya sentiasa penat. Sangkaan saya mungkin saya penat belajar. Namun, keupayaan fizikal saya sedikit demi sedikit merosot.

Pada hujung tahun 2, saya menerima diagnosis jantung berlubang. Akan tetapi saya cekalkan hati dan terus sambung belajar seperti biasa.

Sehingga pada tahun ketiga, pada hujung semester 5, saya hilang suara yang asal akibat lumpuh peti suara bahagian kanan. Dan saya mengalami semput yang sangat teruk setelah naik tangga.

Pada ketika itu juga saya menerima diagnosis sejenis sakit paru² kronik yang jarang ditemui dan perlu rawatan segera ke IJN. Pada saat itu dunia saya menjadi gelap.

Saya tangguh belajar untuk mendapatkan rawatan di IJN kerana keadaan saya dikatakan sangat kritikal. Selepas itu, saya cekalkan hati sambung belajar pada semester 6 dan tamat pengajian dengan hasil sokongan orang sekeliling.

Selepas tamat pengajian, saya gagal mendapatkan kerja. Saya mengambil ijazah bidang kejuruteraan, tapi tiada syarikat berkaitan kejuruteraan mahu pekerja dengan sakit kronik.

Saya tidak dapat sembunyikan penyakit saya kerana suara saya yang unik setelah lumpuhnya satu peti suara. Ia membuatkan saya mengalami kesukaran berkomunikasi secara normal.

Jika saya cakap berterusan melebihi 5 minit, saya akan bercakap tersangkut-sangkut. Sudah tentu ia menjadi perkara yang jelik ketika temu duga.

Setelah itu, saya cuba berniaga dropship namun gagal kerana tiada sambutan. Saya tidak ada banyak duit untuk marketing, dan saya bukanlah siapa² yang boleh menarik perhatian orang untuk membeli.

Kemudian, dengan bajet RM100, saya cuba membuat giftbox coklat/gula-gula. Ianya berjalan lancar sehingga covid melanda pada tahun 2019. Akibat pkp yang kerap, hampir tiada pelanggan yang mahu membeli.

Pada tahun 2021, saya mendapat covid dan keadaan saya makin merosot sehingga saya perlu bergantung kepada mesin. Saya terpaksa berhenti business giftbox kerana keadaan jantung & paru-paru yang semakin lemah.

Pada tahun ini, saya mendapat surat dari pihak JPA untuk membayar penuh pinjaman kerana saya gagal bekerja dalam mana² sektor dalam negara. Saya tidak tahu apa yang saya perlu lakukan untuk mendapat pengurangan bayaran pinjaman.

Duit perubatan saya mencecah RM1000 pada setiap bulan. Dan kini, saya perlu membayar balik duit JPA secara penuh. Jika saya bukan islam, saya yakin dah lama membunuh diri kerana menjadi beban dan tidak mampu berbuat apa² untuk membantu ibubapa.

Saya harap belas ihsan kerana saya tidak berupaya bekerja dan bukan lari keluar negara untuk elak bayar hutang. Saya cuba membuat rayuan, tapi masih tiada jawapan.

Nampaknya saya perlu membayar penuh dalam tempoh 12 tahun. Rintihan saya ibarat tiada nilai seperti nyawa saya, itu sahaja yang saya fikirkan sekarang. Tapi, saya tak mahu putus asa dengan rahmat Allah.

Saya luah disini jika pembaca tahu solusi untuk saya meminta pengurangan bayar balik pinjaman JPA?

Maaf jika terlalu meleret kerana fikiran saya terlalu buntu mencari jalan keluar. Saya harap boleh langsaikan hutang sebelum hembus nafas yang terakhir.

Terima kasih kerana sudi membaca sehingga habis.

– Mrs.Ri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *