Assalamualaikum dan Salam sejahtera semua.. Perkenalkan diriku Cahaya, berumur awal 30an. Bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang sangat mencukupi walaupun tinggal di ibu kota.
Alhamdulillah rezeki dalam bentuk kewangan selalu ada, tak pernah tak cukup walaupun tidaklah terlalu mewah. Selepas bayar segala komitmen, masih boleh berjalan ke sana ke mari.
Tentang diriku, aku ni biasa-biasa saja, tidak terlalu kurus dan tidak gemuk, sedang-sedang saja. Tidak suka bermekap, berfesyen itu jauh sekali. Pakaianku agak loose. Seorang yang sangat menjaga kebersihan.
Teman-temanku selalu memuji wajahku tapi bak kata mereka jodoh tiada berkunjung tiba buat diriku. Aku seorang yang peramah tapi hanya dengan perempuan saja, dengan lelaki agak pemalu.
Aku tiada kawan lelaki. Dulu aku bersekolah semua perempuan dan bila masuk university, aku berkawan hanya dengan wanita sahaja. Di pejabat aku jarang berborak dengan lelaki, jika perlu atau ada urusan saja baru aku bercakap dengan lelaki.
Berbalik kepada cerita, sebenarnya aku dah cuba banyak cara untuk mendapat jodoh contohnya mengamalkan solat sunat, minta orang tuaku berdoa untukku, minta orang yang pergi Mekah untuk berdoa bagi pihakku di hadapan kaabah, minta kawan-kawan tolong carikan,
Pernah cari melalui portal jodoh online, amalkan tips yang dikongsikan dalam ceramah agama dan adalah beberapa amalan dan ibadat yang aku lakukan tapi tidak perlu disebutkan di sini. Tapi semuanya tidak membuahkan hasil lagi.
Lagi tentangku, aku seorang yang tidak suka berkongsi atau menonjolkan diri di media social. Boleh dikatakan memang tidak aktif. Mungkin orang sekeliling pun sudah lupa kewujudanku, hehehe.
Aku perasan lelaki sekarang suka perempuan yang menonjolkan diri, terkenal di mana-mana platform dan yang berfesyen.
Aku ada teman, dulu dia hanyalah sepertiku tetapi sekarang dia agak ramai followers dan sangat fashionable. Selalu up to date dan suka upload gambar dan aktiviti hariannya di laman social media. Dia pernah cerita, ada saja lelaki yang DM ingin berkenalan dan mendekatinya.
Tapi aku tidak mahu mengubah diriku seperti itu hanya kerana ingin memikat mana-mana lelaki untuk dijadikan suami.
Kadang-kadang terbit di hati kecilku persoalan bila aku tengok orang sekelilingku senang saja menemui their “soulmate”
Contohnya housemateku walaupun dia seorang yang pengotor, baju pakai berkali-kali baru basuh, biliknya tidak pernah disapu, tidak pandai masak dan mulut agak lantang tapi dia akhirnya berkahwin jua.
Pernah dulu ada yang ingin berkenalan dan mendekatiku, tapi suami orang. Dah dua orang, siap tanya lagi berapa hantaran. Tapi aku tidak teruskan kerana aku tahu lelaki itu tidak layak untuk beristeri lebih dari satu dan aku juga tidak sanggup melukai hati wanita lain.
Yang bujang pun pernah ingin berkenalan denganku tapi dia seorang yang panas baran. Dia boleh memaki hamun siapa saja di khalayak ramai.
Pernah makanan lambat sampai, dimakinya waiter tu. Jadinya aku menolak kerana aku merasakan diriku tidak boleh bertahan dengan perangai baran yang terlampau.
Ada yang cakap “takpe tak kahwin lagi, dapat bahagiakan mak ayah dulu”. Untuk pengetahuan, apa saja yang disebutkan oleh orang tuaku, aku cuba turuti dan ada yang dah ditunaikan contohnya baiki rumah orang tuaku yang sudah usang.
Keluargaku bukan orang senang, jadi aku tolong mana yang patut. Aku juga sediakan duit belanja tiap bulan buat orang tuaku dan adik-adikku.
Tapi agak menyedihkan kerana aku belum merealisasikan hasrat ibuku yang menginginkan aku berumah tangga, punya pasangan dan zuriat sendiri.
Naluri seorang ibu pastinya sedih bilamana melihat anak gadisnya masih single sedangkan adik beradikku dan sepupu sepapatku semuanya sudah berkahwin kecuali yang masih belajar.
Bolehkah sesiapa di sini kongsikan bagaimana kalian mendapat jodoh atau bertemu pasangan anda? Macam mana kita nak percaya dengan orang yang dikenali melalui apps/platform cari jodoh online? Apakah lagi ikhtiar yang patut saya lakukan?
Mohon doa kalian agar saya bertemu pasangan yang terbaik buatku. Saya hanya mendambakan seorang lelaki yang tahu hukum-hakam agama dan mengamalkannya, yang mampu mengemudi bahtera rumah tangga berlandaskan ajaran Islam dan tahu tanggungjwabnya.
Akhir kata, terima kasih banyak-banyak buat yang sudi share pengalaman dan mendoakan saya. Moga kalian sentiasa dipermudahkan segala urusan olehNya.
Buat yang belum bertemu jodoh lagi, didoakan agar Allah permudahkan dan pertemukan dengan lelaki yang terbaik buat kalian. Sekian.
– Cahaya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit