Privasi Suami Isteri II

Untuk part I, (https://iiumc.com/privasi-suami-isteri/).

Hai semua, perkenalkan aku Aisya. Ya akulah TT untuk tajuk Privasi Suami Isteri yang mengundang kontroversi hari tu. Sudikah baca confession kedua ini andainya tersiar?

Aku rasa terpanggil untuk ucapkan terima kasih pada semua yang beri komen membina, yang cuba memahami situasi aku, dan pada yang komen buruk tu, aku anggap tidak faham situasi keseluruhan aku.

Mungkin aku tak ceritakan dengan detail backgroundku, jadi ramai tak nampak keadaan sebenar. Kali ni aku cuba cerita serba sedikit.

Aku adalah satu-satunya anak perempuan ibuku, dan aku juga menantu perempuan sulung untuk mak mertuaku yang ada 3 orang anak lelaki.

Awal tahun ini, alhamdulillah mak mertuaku dah dapat seorang lagi menantu perempuan yang kini tinggal lebih kurang 15km dari rumah mereka.

Ibu tinggal berdua saja dengan ayahku yang menghidap kanser hati tahap akhir, dan mak mertuaku tinggal bersama ayah mertuaku dan seorang adik iparku yang belum berkahwin.

Mak mertuaku tidak keseorangan, ada suami dan anak, dan ada kawan rapat yang rajin ajak pergi ke pasar bersama-sama.

Jadi, berkenaan cuti bersama keluarga yang aku katakan sebelum ini, sebenarnya aku belum pernah bawa keluarga sendiri bercuti bersama suami. Aku memang berhasrat macam tu, cuma agak sukar nak buat plan dalam keadaan kesihatan ayahku yang tak menentu.

Dan memandangkan setiap kali cuti dah dirancang oleh orang lain, maka hasrat tinggal hasrat saja. Hehe. Jadi itulah yang aku cuba dapatkan dari suamiku sekarang. Bercuti berdua, dan juga bercuti bersama keluargaku pula.

Buat yang berkata mungkin mak mertuaku dah sibuk bekerja dulu, jadi baru sekarang nak bercuti, tidaklah. Mak mertuaku dah lama jadi housewife, sebab tu dia memag hebat memasak.

Tapi ayah mertuaku dulu selalu outstation, jadi akan bawa satu keluarga ikut sama, selalunya ke Hibiscus di PD. Best tempat ini. Dan mahal.

Aku dan keluarga memang tak pernah jejak kaki ke sana. Dan bila ayah mertuaku dah pencen, mereka juga sering ke Cameron Highlands berdua pada hujung minggu. Romantik kan?

Kami pernah juga plan nak pergi Cameron, pergi Hibiscus berdua, dan suamiku ni memang rajin bersembang dengan maknya jadi terlepaslah cerita tentang plan kami itu. Dan dua-dua plan kami itu mak mertuaku nak ikut serta.

Aku juga bukan housewife, tapi aku bekerja dari rumah. Aku menguruskan company kecil-kecilan yang diusahakan dengan abangku, dan jualan makanan kecil-kecilan yang diusahakan dengan suamiku.

Suamiku guru swasta yang gajinya tak begitu tinggi, jangan anggap semua guru swasta masyuk ya hehehe.

Jadi pada yang kata aku menumpang kesenangan suami, hehe tidaklah. Bahkan aku turut menyumbang 70% perbelanjaan rumah. Tak apa, itu tak jadi masalah buatku asalkan kami terus berusaha bekerja bersama-sama.

Jadi apa yang aku cuba isukan ini ialah masa aku di rumah aku bekerja dan juga menguruskan rumahtangga dan anak kecil. Bila mak mertuaku datang, dia akan duduk bersembang berjam-jam. Jadi ini yang agak mengganggu masaku.

Di samping isu pakaianku yang tidak sopan di rumah, ada yang kata tak apa, mak mertua je pun. Tidak pada aku, sebab depan ibuku sendiri pun aku tak pernah pakai sleeveless. Memang diajar begitu. Jadi mana mungkin dengan mak mertua aku akan lagi kurang segan kan?

Ada juga yang sarankan aku supaya cuba adapt dengan keluarga mertua. Alhamdulillah mereka jenis easy going jadi memang senang nak adapt.

Antara perkara yang aku rasakan susah buat aku, tapi aku dah berjaya buat sekarang ialah borak di telefon dengan orang lama-lama. Hanya dua orang saja yang aku boleh borak di telefon lama-lama iaitu suamiku dan seorang kawan rapatku.

Jadi bila mak mertuaku jenis suka telefon setiap hari untuk borak kosong, aku akui memang sangat susah untuk aku biasakan.

Tapi sekarang dah ok, sebab aku cuba fahami yang mak mertuaku tak pernah ada anak perempuan jadi bila ada ni dia jadi seronok bersembang. Aku layankan dan sesuaikan diri dengan keadaan itu.

Walaupun hakikatnya ibuku sendiri tak call setiap hari begitu dan tak datang ke rumahku tanpa makluman.

Jadi untuk yang komen kata aku tak layan mak mertua macam ibu sendiri, salah tu. Sebab ibuku sendiri tak meminta hingga begitu layanannya walaupun aku satu-satunya anak perempuannya.

Sebenarnya yang mendorong aku tulis confession tempoh hari ialah, sepanjang minggu itu aku dan anakku dah luangkan masa dengan mak mertua.

Hari Isnin aku bawa anakku ke rumahnya. Selasa aku di rumah. Rabu aku bawa mak dan ayah mertua ikut serta aktiviti swimming anakku.

Khamis aku bawa anakku ke rumahnya lagi. Jadi hari Jumaat aku bercadang untuk siapkan kerja-kerjaku, dan waktu itulah mak mertuaku call. Katanya nak hantar lauk.

Aku katakan ok tak apa, nanti tengahari aku minta suamiku naik sekejap ke rumahnya untuk ambil makanan.

Suamiku akan balik lunch di rumah sebelum ke sekolah semula pada waktu petang. Ok bilaku katakan macam tu, mak mertuaku setuju untuk tunggu suamiku naik.

Aku pun sambung kerja. Kemudian berhenti sebentar untuk menyusukan anak. Aku terdengar grill dibuka. Mak mertuaku call, katanya dia di depan rumah untuk hantar makanan.

Aku katakan aku sedang menyusukan anak, boleh mak letak di rak kasut saja. Tapi mak mertuaku kata nak buka pintu rumah sekejap, nak tengok cucu. Jadi dia pun masuk sendiri dengan kunci emergency yang aku cerita tu.

Kalau kalian dalam situasi ini, apa perasaannya? Aku akui ketika itu aku rasa marah macam nak menangis, sebab dah dipersetujui tadi untuk suamiku naik ambil di atas.

Kenapa senyap-senyap datang juga lepas tu? Seperti tak hormat dengan keputusanku. Tapi bukan seperti yang kalian katakan, aku tak berlaku biadab pun. Aku layankan, jemput masuk, layan bersembang sambil aku buat kerja sikit-sikit.

Apa yang aku lakukan cuma luahkan pada suami supaya suamiku boleh bagitahu maknya dengan cara terbaik.

Kalau aku ingin berlaku biadab, mungkin aku yang akan terus direct tegur mak mertuaku. Tapi tidak. Sebab aku tahu dia seorang yang baik. Tiada siapa menafikan kebaikannya.

Sebab itu aku juga cuba mencari cara terbaik untuk bagi mak mertuaku faham apa yang aku rasakan.

Mungkin confession hari tu ada ayat yang kedengaran kasar, tapi itu bukan apa yang aku cakapkan pada mak mertuaku. Bahkan aku tak pernah bercakap tentang ini padanya.

Rasa macam dah panjang sangat aku tulis. Akhir sekali seperti yang kalian pesan, hidup ni akan berputar.

Buat pembaca yang komen aku anak derhaka, aku harap kalian ingat suatu hari nanti kalian akan ada anak menantu. Berdoalah supaya kata-kata ni tak berbalik pada kalian.

Buat yang memahami dan cuba beri jalan keluar, terima kasih banyak. Sebak aku baca komen kalian.

Alhamdulilah kami dah dapat ambil langkah pertama seperti yang dinasihatkan dan buat masa ini keadaan semuanya baik, tiada siapa bermasam muka atau tak bertegur sapa.

Alhamdulillah.

– Aisya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *