Assalamualaikum semua pembaca IIUM Confession. Nama aku Nad (bukan nama sebenar). Aku terdetik nak menulis di ruangan ni kerana aku inginkan jawapan dan pendapat dari pembaca.
Aku merupakan pembaca tegar di sini dan setiap artikel yang ditulis pasti aku akan mengambil masa untuk membaca satu-persatu komen dari pembaca.
Banyak juga komen yang membina dan tak kurang juga ada yang berselisih pendapat. Tapi tak apa, benda tu normal. Kita raikan sahaja perbezaan pendapat tersebut.
Aku telah berkahwin dengan suamiku Zaki selama enam tahun dan mempunyai dua orang cahaya mata. Kami berkenalan semasa sama-sama menuntut di sebuah institut pengajian tinggi.
Semasa di kolej, aku bukanlah seorang yang jenis suka bersosial dan bergaul. Rakan-rakanku juga terhad, yang betul-betul rapat hanya rakan sebilik.
Dunia aku hanyalah pergi ke kelas, perpustakaan, makan dan balik semula ke bilik. Kadang-kadang je aku keluar pada hujung minggu untuk menonton wayang dan sebagainya.
Aku juga manusia biasa, pernah gagal dalam beberapa subjek dan pernah dihalang masuk ke peperiksaan kerana selalu ponteng kelas.
Salah satu faktor kerana jurusan yang aku ambil bukan pilihan aku, tetapi lepas pointer aku dua kebawah, aku bangkit dan akhirnya dekan sehingga sem akhir.
Aku bertemu dengan suami ketika aku terlibat dalam satu program berkaitan dengan jurusan yang aku ambil.
Itu pun akibat desakan rakan ku kerana mereka perlukan lebih ramai peserta. Di sana ramai yang tak kenal atau tak pernah perasan tentang kewujudan aku dalam kos tersebut.
Di situlah aku bertemu dengan suami, senior 2 tahun dari ku. Suami meminta nombor telefon ku dari rakan, dan dari situ kami mula berhubung.
Mula dari kawan, suka dan bercinta. Kami banyak persamaan, dan mungkin disebabkan itu kami mudah rapat.
Hubungan kami pada mulanya tidak diketahui orang, tapi lama-kelamaan ramai yang mula menyedari kerana suami merupakan pelajar yang agak terkenal di kolej.
Sesuatu yang mengejutkan aku, dua bulan sebelum bercinta dengan aku suami baru putus cinta dengan rakan sekuliah aku.
Aku kenal nama, tapi tak tau siapa dia. Kiranya masa baru-baru suami mengurat aku, dia memang ada girlfriend.
Aku tau pun sebab tiba-tiba ramai yang add dan follow aku di media sosial. Bukan seorang dua, tetapi berbelas orang secara serentak. Aku pelik, dan aku ceritakan pada kawan bilikku. Dan dari situ terbongkarnya tentang rahsia suamiku.
Aku bukan jenis mudah melenting, jadi aku ajak suami berjumpa dan minta dia jelaskan semuanya. Jika betul dia memang ada yang lain, aku memang dengan rela hati mengundur diri.
Payah juga bila hidup dengan dunia sendiri ni, benda macam ni pun aku tak tau.
Suami menceritakan dari A sampai Z tentang apa yang berlaku, kenapa dan mengapa berserta bukti kukuh kenapa suami putuskan hubungan dengan perempuan tersebut.
Aku menerima tetapi aku tau akibat dari penerimaan aku dan kebetulan suami pun nak habis belajar masa tu.
Suami kata biar je orang nak kata apa, dan aib bekas teman wanitanya akan dia simpan sampai bila-bila sebab kita manusia ada aib masing-masing yang kita nak jaga. Allah tu ada, lambat laun orang akan tau.
Akibat yang aku tanggung ialah tiba-tiba nama aku menjadi topik perbualan hangat di kolej tersebut. Aku kenal bekas teman wanita suami, tapi hanya pada nama. Muka memang aku tak tau siapa.
Adik suami, satu batch dengan ku tapi berlain jurusan tiba-tiba memanggil aku ketika aku makan di kafe. Aku tanya kenapa, dia menggeleng sahaja. Bayangkanlah adik dia pun aku tak kenal masa tu. Rupa-rupanya dia berkawan dengan bekas teman wanita abangnya.
Tapi setelah diberi penjelasan, dia menerima dengan hati terbuka.
Ramai umat manusia yang benci dengan aku ketika tu, dan salah satunya si Nani (bukan nama sebenar).
Nani merupakan rakan sekuliah dengan aku dan bekas teman wanita suami. Semua orang kenal Nani sebagai perempuan mulut lantang dan sering mempertikaikan pendapat orang lain di dalam kelas.
Pernah tak masa korang belajar dulu, setiap kali pembentangan pasti ada seorang dua murid yang akan bertanya soalan kepada setiap satu kumpulan pembentangan?
Dan bila kita jawab, kita akan di asak lagi dengan pelbagai soalan sampai dia bosan. Ya, orang tersebut ialah nani.
Aku tak tau kenapa, tapi dia memang benci dengan aku. Aku tanya pada suami, suami kata si Nani tu junior suami di sekolah.
Dulu pernah dia hubungi suami, tetapi suami balas atas dasar kerja kerana kedua-duanya aktif di kolej. Dan hubungan mereka setakat itu sahaja.
Tahap benci dia dengan aku, sampai dia jaja habis dekat semua orang termasuk adik suami. Apa yang aku pakai, apa yang aku update di laman sosial dan setiap gerak-geri aku habis diceritakan pada semua orang.
Aku ada cakap awal-awal aku pernah fail dan dihalang dari masuk peperiksaan kan? Kebetulan kelas yang aku selalu ponteng tu sekelas dengan dia.
Dia jumpa aku di kafe, dia jerit kuat-kuat,
“kenapa tak datang kelas banyak kali? Prof dah nak cancel nama kau dari masuk exam tau”
Malu juga aku masa tu tapi aku senyum je.
Senjata aku memang senyum. Orang cakap apa pun aku senyum. Jumpa orang tak kenal pun aku senyum. Cuma kalau aku marah ke sedih tak adalah aku senyum. Suami kata sebab tu dia jatuh cinta.
Macam mana aku tau dia selalu mengata pasal aku? Pertama adik suami yang menjadi penyampai tetap. Dan yang kedua kawan baik dia sendiri yang bagi tau.
Kawan baik dia, Razak (bukan nama sebenar) memang peminat aku dari semester pertama tapi entah aku tak ngam dengan dia. Razak selalu hantar screenshot chat Nani yang penuh dengan kata hinaan pada aku.
Aku pelik macam mana Nani tau pasal aku, sebab dia tak ada follow aku dekat laman sosial. Kawan aku kata mungkin dia buat fake account.
Hmm mungkin.
Pada mulanya aku geram juga dengan si Nani ni, tapi lama-lama aku biar je. Cuma aku musykil, kenapa dia benci aku.
Walaupun sekelas, sekali pun aku tak pernah bercakap atau bertegur dengan dia. Tak pernah, memang tak pernah. Mengumpat dia, lagi lah tak pernah sebab tak pernah ada isu apa-apa pun dengan dia.
Kesimpulannya aku dan dia memang totally stranger. Kenal atas dasar nama je.
Hubungan aku dan suami diteruskan sampai aku habis belajar dan dapat kerja. Enam bulan je aku kerja, suami terus masuk meminang sebab dia memang dah ada duit yang cukup. Lepas graduate memang suami terus kerja untuk kumpul duit nak kahwin.
Aku ingat lepas kahwin semuanya okey, aku pun dah lupa tentang si Nani ni.
Rupanya tak ya. Dia kutuk keluarga aku pula.
Adik aku hitam, abah aku muka macam penagih, bentuk muka emak aku macam orang cacat dan macam-macam lagi. Semua tu dia nampak dekat gambar kahwin aku.
Macam mana aku tau? Tentunya adik suami aku.
Dia tunjuk aku chat si Nani dalam group kawan-kawan dia tapi tak ada orang pun layan.
Masa tu aku hilang sabar, aku taip panjang-panjang minta penjelasan dari si Nani tapi lepas tu aku istighfar dan aku padam balik,
“Ok Nad, benda ni tak menyelesaikan masalah pun. Kau tarik nafas, pejam mata je. Kau baru nak mula hidup baru, jangan benda ni rosakkan kebahagiaan kau pula.”
Sebab aku tau natijah kalau aku serang dia, confirm dia akan viralkan punya.
Dan benda tu berlalu begitu sahaja.
Dan ketika aku dapat anak, dia paksa adik ipar hantar gambar anak aku dekat dalam group kawan-kawan tapi suami aku melarang keras.
Adik ipar aku ni pun masalah sikit, lurus bendul.
Lepas gambar anak aku reveal, dia hina anak aku. Benda tu aku dengar masa adik ipar aku video call ramai-ramai dengan kawan-kawan dia.
“Muka anak abang kau tu sebiji abang kau. Eee buruk betul.”
Aku ni mak tau. Sumpah menggigil aku tahan geram. Dah kenapa nak kutuk anak aku pula? Bukan ke sebab laki aku kau benci aku sampai sekarang.
Bila aku dah mengamuk masa dalam pantang tu, suami memang dah tak keruan tapi dia kata dia memang tak ada apa dengan si Nani tu.
Dia tak ada bagi fake hope atau pun layan lebih-lebih baik dari zaman sekolah atau kolej. Cuma Nani selalu menggeletis dekat adik ipar bila nampak suami lalu masa baru-baru masuk belajar. Dia pun tak ada jawapan kenapa Nani benci aku.
Dekat tahap itu pun aku masih diam.
Dan baru-baru ni adik ipar bawa anak aku pergi jumpa kawan-kawan dia termasuk Nani. Anak aku kata Nani marah dia sebab cakap bahasa inggeris. Dan masa anak aku makan comot, Nani tampar tangan dia. Anak aku baru empat tahun ya.
Aku tanya adik ipar, adik ipar mengaku.
Adik ipar kata masa tu semua marah Nani dan sebenarnya dorang terpaksa berkawan dengan Nani sebab mulut Nani yang jahat tu.
Aku pelik, mulut jahat lah patut kita elakkan.
Adik ipar kata kalau dia tau kami video call atau jumpa tak ajak dia, memang habis kami kena petir.
Aku dilema sebenarnya. Semua orang kata aku tak patut layan dia, tapi aku nak tau kenapa dia benci aku. Kenapa ya?
Dia suka suami aku ke? Tapi suami aku tak suka dia.
“Kalau saya tak kahwin dan bercinta dengan awak pun, saya tak akan nak dengan dia. Semua orang tau mulut dia, dan muka dia pun hm bukan taste saya. Sebab tu at the first place saya cuma balas chat dia simple dan padat. Itu pun atas urusan kerja.”
Ni ayat sama berulang-ulang kali.
Aku geram dengan dia. Dia benci aku tak apa, tapi kenapa nak libatkan keluarga aku dan anak-anak aku.
Dia benci sebab dia anggap aku perampas ke? Tapi dengan bekas teman wanita suami aku pun, aku berhubungan baik. Boleh je borak macam biasa kalau terjumpa dekat mana-mana majlis.
Dan sebenarnya masa suami bercinta dengan bekas teman wanita dia pun, si Nani ni memang tak suka dia. Bila dah putus, baru Nani ni bangkit konon-kononnya nak pertahankan nasib.
Dan tak suka dia pada bekas teman wanita suami, beralih pada aku dan sekarang anak-anak aku.
Apa aku patut buat? Berhadapan dengan dia ke? Atau terus berdiam diri?
Tapi sampai bila aku boleh tahan dengan hinaan dia?
Aku tak suka berkawan dan bergaul sangat sebab tak suka benda-benda macam ni, tapi sama je tetap kena juga.
Suami kata semua orang tau aku di pihak yang benar.
Aku marah sebenarnya. Dia nak apa lagi? Semua orang dah move on dan dah ada keluarga.
Apa patut aku buat ya? Mohon pendapat semua.
Terima kasih kerana membaca.
– Naddy (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit