Suamiku Dominic Toretto

Hai semua, sebagai perkenalan boleh panggil saya Anis (bukan nama sebenar).

Luahan saya hari ini berkenaan dengan sikap suami di atas jalan raya yang saya rasa keterlaluan dan boleh membahayakan nyawa kami sekeluarga.

Pertama sekali suami saya seorang yang agak pemarah dan mulutnya memang saya boleh katakan seperti mulut perempuan.

Bila dia marah, dia akan membebel yang berpanjangan dan biasanya saya diamkan sahaja sebab bila saya menjawab A, dia pusing balik B. Saya jawab C dia pusing sampai Z.

Kadang-kadang rimas juga dan rasa nak tampar je mulut suami biar dia diam.

Dia juga mudah marah bila sesuatu benda yang dia arahkan atau maklumkan pada seseorang, dan seseorang tu lambat faham atau kita boleh panggil lambat pickup.

Biasanya adik-adik dia yang menjadi mangsa kerana mereka memang sukar memahami sesuatu arahan dengan mudah.

Mereka tidak boleh diberi ayat simple, kena beritahu sebiji-sebiji baru mereka faham. Kadang-kadang saya pun rasa nak naik angin, tapi saya tahan.

Bila dengan suami, habis semua dia hamburkan seperti lembap, b***h dan sebagainya.

Kadang-kadang saya geram juga bila suami marah-marah sebab saya rasa tak patut lebih-lebih lagi bila nak minta tolong mereka dengan sesuatu perkara.

Kalau saya jadi adik dia, jangan harap saya nak tolong.

Berbalik pada sikap suami di atas jalan raya, suami ada tabiat suka brek mengejut.

Kalau tekan brek tu memang takde sikit-sikit padahal kalau dah nampak depan tu kereta berhenti boleh je tekan sikit-sikit dan perlahankan kenderaan dari awal.

Dia terus tekan macam tak ada hari esok dan akibatnya habis semua barang-barang dalam kereta tercampak sana sini dan biasanya bekal makanan. Kita dah susun elok-elok, bila bukak rasa hancur betul hati.

Tengok video tiktok umar cucun cucun tu rasa nak ikut, tapi lupakan jelah. Entah terabur ke mana makanan tu nanti.

Nasib baik anak-anak memang duduk dalam carseat, kalau tak dah tercampak ke depan.

Pernah je saya pegang anak sebab nak pergi kedai dekat-dekat rumah, sekali suami brek terhantuk kepala anak dekat seat depan. Nasib baik duduk belakang masa tu, kalau duduk depan mesti dah terhantuk dekat dashboard.

Tu kali terakhir saya pegang anak, selepas dari kejadian tu dekat macam mana pun saya letak dalam carseat.

Bila saya bising, alasan dia dah kereta depan brek, tak kan saya nak biar je. Entah lah ya, tak tau lah akal dia dekat mana sebenarnya bila bawa kereta. Saya bukan buta, saya nampak dari awal kereta depan memang dah berhenti.

Dah dekat baru dia brek, mana tak mengejut.

Ibu mertua dan ibu saya sendiri tak suka bila suami bawa kereta, rasa tersengguk-sengguk. Mereka lagi selesa bila saya yang bawa. Tapi suami kata dia tak konfiden saya bawa sebab kereta kami besar kecuali bila terdesak.

Suami juga amat marah bila dia dah signal nak masuk ke lorong tertentu dan kereta di belakang taknak mengalah. Memang dia kejar kereta tersebut sampai ke lubang cacing.

Bila dia kejar, faham-fahamlah cara pemanduan pun jadi sangat bahaya.

Ke kiri kanan macam bawak motor, selit sana sini padahal bawa kereta besar. Biasanya saya mengucap siap-siap sebab takut tiba-tiba nyawa ditarik dalam kereta.

Kalau kereta yang tak nak mengalah tu kereta lama, mula lah dia mencarut dan mengeluarkan perkataan yang kurang enak didengar biasanya kalau anak tak ada sekali. Kereta buruk semua dia sebut. Risau saya Allah tarik nikmat yang kami ada ni.

Kalau dekat bonggol pun sama, dia langgar je dan akibatnya kita yang duduk dalam kereta ni rasa nak terbang. Hari-hari lalu tempat yang sama, mustahil dia tak ingat.

Sama juga bila membelok, seronok sungguh dia memandu kereta yang stabil sampai belok pun tak kisah orang belakang terhuyung-hayang macam apa. Dalam kereta jangan mimpi lah nak makan ke minum, memang tercekik ya.

Banyak kali saya dah nasihat, tetap tak berubah. Undang-undang lain dia boleh ikut, kalau tak jumpa parking dia tak akan sekali-kali double park atau parking dekat tempat yang tak sepatutnya.

Dia akan pusing sampai dapat.

Sama dengan lampu merah dan sebagainya, dia tak pernah langgar. Signal memang sentiasa bagi tak pernah miss. Bila kenderaan lain minta laluan, dia mengalah.

Cuma pada saya dia tak pernah kisah dengan kami yang tak selesa dengan cara pemanduan dia.

Bila saya memandu, dia kata saya bawa laju dan seram. Tapi pada saya dah keluarga lain selesa naik dengan saya, maksudnya cara pemanduan saya lagi berhemah lah kan?

Minta cadangan dari semua pembaca apa yang patut saya lakukan untuk ubah tabiat suami saya?

Terima kasih.

– Anis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *