Assalamualaikum. Sedikit pengenalan tentang diri. Aku berusia 36 tahun, berasal dari pantai timur dan telah berkahwin selama 10 tahun dan masih belum dikurniakan rezeki zuriat.
Aku seorang wanita yang berkerjaya di bidang professional. Suami aku juga sebaya dan bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah kilang yang terletak di bahagian utara.
Apa yang aku nak kongsikan ini adalah masalah berkaitan aku dan suami.
Ya, suami aku curang dengan perempuan di tempat kerjanya (warga asing). Namun, suami aku berterus terang pada aku yang dia sukakan perempuan tu dan begitulah juga perempuan tu pun sukakan suami aku.
Aku terduduk sebaik sahaja suami aku berterus terang. Selepas 2 minggu dalam fasa cuba hadam, aku tekad untuk minta dilepaskan oleh suami. Sebab pada aku, kalau betul dia sayangkan aku tak mungkin akan ada yang kedua.
Namun, seperti yang telah aku jangka, suami aku tidak mahu melepaskan aku dengan alasan masih sayangkan aku.
Untuk pengetahuan juga, suami aku seorang suami yang sangat baik. Tidak pernah tinggi suara, memaki hamun, naik tangan pada aku.
Kalau aku merajuk, suami akan sentiasa memujuk walaupun sehingga kini.
Nafkah zahir dan batin juga sentiasa dipenuhi dan kadang-kadang terlebih-lebih pula pemberiannya. Pendek kata, aku tiada alasan untuk minta dilepaskan kecuali masalah curang ni sahaja.
Suami ada cakap yang dia akan tetap pilih aku sebab dia tak boleh membayangkan hidup dia tanpa aku.
Dan perempuan tu pun tahu yang suami aku akan pilih aku. Cuma, suami aku minta diberikan sedikit masa untuk dia selesaikan masalah dengan perempuan tu.
Tapi, untuk aku sekarang tak kisahlah siapa pun yang dia pilih, aku tetap minta dilepaskan sebab suami aku sendiri tak dapat nak buang perempuan tu dari hati dia.
Sakit sangat rasanya bila aku yang dah lebih 10 tahun bersusah payah hidup dengan dia (dari zaman belajar tiada duit) sehinggalah sekarang tapi tempat aku dalam hati dia sama je dengan perempuan tu sedangkan perempuan tu baru 2 bulan kenal.
Aku juga ada rujuk dengan kaunselor, dan kaunselor nasihatkan aku untuk bersabar kerana besar pahalanya bagi isteri yang bersabar dengan suami.
Kerana menurut kaunselor tersebut, sekiranya aku menuntut fasakh berkemungkinan besar aku takkan berjaya kerana suami aku menjaga nafkah zahir batin dengan baik dan suami juga masih menjaga aku dengan baik.
Sementelah, suami juga masih nak bersama dengan aku dan nak tinggalkan perempuan tu, cuma dia perlukan sedikit masa.
Jadi, aku nak tanya pada pembaca semua, perlukah aku bersabar atau mengalah dalam perjuangan ni?
Kalau ditanya, sudah pasti aku masih sayangkan suami. Tapi, jika suami lebih bahagia dengan perempuan tu, aku sanggup tarik diri demi kebahagiaan suami.
– Fiona (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit