Bahagian Pendidikan Khas Tolong Perbaiki Kualiti Kerja

Terima kasih admin untuk penyiaran confession saya. Tujuan saya menulis confession ini adalah dengan harapan akan wujud golongan yang membawa perubahan positif kepada sistem pendidikan khas di Malaysia.

Saya pernah mempunyai anak yang bersekolah di pendidikan khas penglihatan sama ada sekolah pendidikan khas penuh mahupun sekolah pendidikan khas integrasi disebabkan kami pernah berpindah rumah beberapa kali.

Anak saya dikategorikan sebagai murid cerdik kerana mampu mengikuti silibus pembelajaran seperti sekolah arus perdana.

Namun apa yang agak mengecewakan adalah apabila pihak pegawai di Bahagian Pendidikan Khas menempatkan para guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) secara kurang profesional,

Iaitu penempatan tidak mengikut opsyen dan sekadar ala kadar terutamanya di sekolah pendidikan khas.

Impak negatif daripada penempatan guru yang tidak mengikut opsyen ini akan mengakibatkan permasalahan yang sangat besar kepada arus pendidikan khas. Kerana apa?

Kerana di IPG para guru dilatih selama 5 tahun membina jiwa mengajar murid pendidikan khas seperti buta, pekak, hiperaktif, autisme, dan lain-lain.

Tetapi, pengurusan pegawai di Bahagian Pendidikan Khas yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada penempatan guru ini tidak pula meletakkan guru opsyen pendidikan khas di sekolah pendidikan khas.

Malahan guru opsyen arus perdana pula yang ditempatkan di sekolah pendidikan khas.

Kesan dan Impak Negatif?

1. Guru tiada jiwa pendidikan khas

Saya pernah dengar seorang guru yang memarahi anak murid pendidikan khas dengan kata-kata lebih kurang begini,

“Awak ni kalau semua benda pun tak tahu nak buat, lebih baik duduk rumah. Tak payah datang sekolah. Menyusahkan orang jer,”.

Masa itu saya dalam perjalanan berjumpa guru besar untuk sedikit urusan melibatkan persekolahan anak saya. Agak tersentak juga saya dibuatnya.

Apabila saya selidiki, rupa-rupanya guru tersebut yang sudah belasan tahun berkhidmat di sekolah pendidikan khas tersebut pada asalnya memang bukan opsyen pendidikan khas namun ditempatkan untuk mengajar di sekolah pendidikan khas.

Maka tidak hairanlah kata-kata sedemikian muncul dari mulut guru tersebut.

Ada juga cerita yang saya pernah dengar daripada rakan ibu bapa lain mengenai anak-anak masing di sekolah pendidikan khas integrasi serta pendidikan khas penuh.

Apabila ditanya “Macam mana cikgu ajar anak saya ni?” akan dijawab dengan “Maaf. Saya bukan guru opsyen pendidikan khas. Tapi ditempatkan di sekolah ini,” atau “Maaf kami tak ada kepakaran terapi untuk menguruskan murid yang macam ni,”.

2. Guru tiada kemahiran dan malas

Perkara ini juga berkait rapat dengan jiwa pendidikan khas. Bayangkan 5 tahun di IPG guru didedahkan untuk mengajar opsyen Matematik sekolah arus perdana.

Tetapi bila ditempatkan di sekolah pendidikan khas, mengajar pula murid autisme, lembam, hiperaktif.

Jadi rasa tak tahu nak ajar macam mana kan?

Senang cerita, buat hal sendiri. Jadi ala-ala pengasuh dalam kelas hingga waktu balik sekolah. Apa kisah dengan budak-budak pendidikan khas. Bukan boleh belajar apa pun. Yang penting gaji masuk setiap bulan.

Bukan salah cikgu, tapi salah pegawai Bahagian Pendidikan Khas yang tempatkan guru di situ juga.

Itu belum lagi isu guru yang tidak bermotivasi untuk belajar kemahiran berkaitan pendidikan khas seperti mempelajari asas isyarat kod tangan bagi sekolah pekak, kemahiran asas braille bagi sekolah buta, dan kemahiran intervensi terapi bagi sekolah masalah pembelajaran.

3. Murid terabai

Hasil daripada sikap guru yang disebutkan di atas, impak utamanya akan menimpa anak kita juga.

Guru masuk kelas. Duduk buat entah apa-apa. Anak kita pun tak tahu buat apa. Cukup masa, rehat. Cukup masa, balik sekolah. Esok pagi, datang lagi sekolah. Begitulah rutin harian sekolah pendidikan khas Malaysia.

Dan akhirnya anak yang pada asalnya memiliki potensi belajar lebih cemerlang akan kecundang di tengah jalan disebabkan sikap guru yang tidak berjiwa pendidikan khas.

Asal puncanya? Pegawai Bahagian Pendidikan Khas juga selain sistem pendidikan khas Malaysia yang terlalu banyak merapu.

Konon nak ikut negara maju. Tapi tak dilaksana dengan profesional isu penempatan guru yang 5 tahun belajar opsyen pendidikan khas.

Apa nak jadi wahai sistem pendidikan khas Malaysia. Silalah keluar dari kepompong bodoh sombong anda.

Sebagai seorang ibu, saya sangat mengharapkan generasi baru yang akan menjawat jawatan di Bahagian Pendidikan Khas suatu masa kelak akan melakukan perubahan yang positif demi anak-anak pendidikan khas di Malaysia.

Tolong jangan bodoh sombong atau syok sendiri bila dah jadi pegawai di jabatan. Tanggungjawab tu tolonglah laksanakan sebaiknya.

– Ibu Kecewa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *