Dunia Kita Berbeza

Assalamualaikum semua, nama aku Kay (bukan nama sebenar).

Aku telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berumur lima tahun. Luahan aku hari ini berkenaan adab yang pada aku benda yang tidak asing lebih-lebih lagi dalam masyarakat melayu.

Aku dibesarkan di dalam keluarga yang sangat mementingkan adab dan tutur kata. Ayah aku adalah hasil perkahwinan dua negara, iaitu Malaysia dan Indonesia.

Atok yang ketika itu menuntut di Indonesia kebetulan jatuh hati pada Nenda, mereka berkahwin dan atok membawa Nenda berhijrah ke Malaysia.

Nenda seorang yang sangat garang dan sangat mementingkan adab sopan. Pernah aku mengikuti Nenda pulang ke kampung di Indonesia, cara mereka sangat berbeza dengan keluarga aku.

Di sini jika ada orang tua sedang berborak di ruang tamu, kita boleh lalu di hadapan mereka dengan menundukkan sedikit badan dan mengatakan tumpang lalu.

Di sana, kita langsung tidak boleh lalu di hadapan mereka dan kalau memang terdesak nak keluar rumah mestilah melalui pintu belakang.

Itu salah satunya, kalau nak cerita lagi jadi panjang berjela luahan aku.

Dalam keluarga aku, benda yang paling utama ialah meraikan tetamu dari langkah pertama mereka masuk ke dalam rumah.

Pertama, semua ahli keluarga mestilah bermanis muka dan menyambut dengan mesra tetamu yang hadir. Kalau masa tu dekat dapur, mesti keluar sekejap untuk tunjuk muka dan kemudian minta izin semula ke dapur.

Kalau tetamu datang secara mengejut, bersiap secepatnya dan cepat-cepat ke depan untuk bersalam dengan tetamu yang ada.

Makanan untuk tetamu pula mestilah cukup, biar kita tak ada makanan janji tetamu balik dengan perut kenyang. Masa tetamu ada, kena duduk di ruang tamu dan berbual dengan mereka.

Kalau tak berbual pun, pura-pura angguk atau faham tentang perbualan mereka kecuali jika ada hal sulit yang mereka hendak bincangkan.

Biasanya atok atau keluarga yang lebih tua akan memberi isyarat untuk kami ke tempat lain.

Dan lagi satu, tak boleh duduk dekat-dekat dengan berlainan jantina tapi biasanya lelaki memang dengan lelaki sahaja, dan perempuan dengan perempuan.

Ini baru tetamu.

Dalam keluarga aku juga ucapan terima kasih dan meminta maaf adalah wajib. Terima kasih untuk setiap perkara dan sekecil-kecil benda.

Minta maaf juga adalah satu kemestian jika ada selisih faham dan bukan sekadar di mulut. Jika berdekatan, mestilah saling berpelukan dan memandang muka ahli keluarga tersebut.

Bersalaman juga adalah kemestian.

Rumah kami semua berdekatan, atok memang dah sediakan rumah untuk semua anak-anaknya. Walaupun berdekatan, wajib bersalaman bila berjumpa.

Dulu kalau aku tak salam, mesti ibu cubit aku dalam diam. Fuhh sakit ya, halus je dia cubit.

Dalam keluarga kami juga tiada panggilan kau dan aku, hanya awak, kita dan saya. Yang tua di panggil dengan gelaran pangkat, tiada panggilan nama.

Ibu kata masa mula-mula dia memang kekok. Pernah dia menangis sebab kena tegur dengan nenda, nasib baik ayah selalu beri tunjuk ajar.

Keluarga ibu masih lagi mempunyai adab sopan tetapi tidak terlalu ketat seperti keluarga ayah. Kami memang dah biasa sebab dari kecil dididik oleh nenda.

Sampai sekarang walaupun dah bercicit, nenda masih garang. Kadang-kadang rasa nak bergaduh juga atau melawan dia, tapi aku tau bila dia dah tiada nanti pasti aku merinduinya.

Sebelum aku berkahwin dengan suami ku Haris (bukan nama sebenar), aku memang takut dia tak boleh nak sesuaikan diri dengan keluarga aku.

Sememangnya aku memang banyak menghabiskan masa dengan belah ayah sebab ibu yatim piatu. Kadang-kadang je berkumpul di rumah pusaka dengan adik-beradik ibu yang lain.

Telahan aku memang betul. Haris dan aku dua dunia berbeza.

Nak dengar Haris cakap terima kasih memang susah. Nak suruh dia bersalam, sampai bergaduh-gaduh laki bini.

Haris tak suka bila aku bagi isyarat dekat dia suruh salam sesiapa, tapi aku yang malu bila dia buat bodoh je bila tetamu datang.

Depan tetamu dia memang buat bodoh, dia main je handphone macam tak ada apa.

Benda paling aku terkilan, masa birthday Haris yang pertama setelah berkahwin dengan aku, dia dihujani dengan ucapan dan doa dari keluarga aku.

Tak kisah dekat facebook, group whatsapp atau pun private. Tapi sepatah terima kasih langsung dia tak cakap.

Ibu aku tegur, dia kata dia tak paksa orang wish. Biadap betul dia balas whatsapp ibu aku.

Aku rasa bersalah sebab dah seminggu mereka wish, aku yang balas dengan alasan Haris sibuk. Balik tu aku kena marah dengan Haris sebab pandai-pandai reply.

Aku boleh kata semua yang menjadi kemestian dalam keluarga aku tak ada dalam kamus hidup Haris.

Aku tengok balik keluarga dia, ya memang jauh berbeza.

Dalam keluarga Haris aku seorang je menantu, yang lain belum berkahwin. Haris anak nombor dua, sama macam aku.

Waktu raya bila saudara-mara datang, ibu mertua aku hanya bersalam dan kemudian menyuruh mereka layan diri untuk makan. Bayangkan tetamu di meja makan, ibu mertua scroll facebook di ruang tamu.

Aku yang terhegeh-hegeh pergi dekat tetamu sebab rasa janggal.

Adik-beradik ipar aku pun memang tak bersalam dengan sesiapa, duduk dalam bilik walaupun raya. Tak pun sibuk berselfie dan bertiktok luar rumah.

Mula-mula aku memang janggal, tapi lama-lama aku rasa mungkin memang itu cara mereka dan aku ikutkan sahaja.

Sebab setiap tahun macam tu, tetamu pun okey je muka yang sama juga setiap tahun.

Kalau bergaduh adik-beradik, kata maaf memang tiada. Tau-tau baik macam tu je tak pun memang tak bertegur sampai ke sudah.

Alasan bergaduh bukannya teruk mana, berebut kepak ayam pun boleh jadi isu bergaduh besar. Adik-beradik Haris ramai ada 13 orang dan paling kecil darjah enam.

Kadang-kadang aku rasa kelakar bila mereka bergaduh benda yang kecil, tapi bila tengok balik memang memberi kesan yang sangat buruk terutama untuk anak aku.

Budak kecil biasalah suka mengulang semula apa yang orang tua katakan. Pernah sekali anak aku cakap b*b* dekat sepupu dia belah aku.

Apa lagi sepupu dia jerit kuat-kuat,

“Mak Ngah (aku), dia cakap b*b*”

Masa tu semua pandang aku terkejut. Bila aku tanya mana dengar benda tu, anak aku kata makcik-makcik dia belah Haris yang cakap masa bergaduh.

Jem kepala aku, rasa nak tampar je mulut anak tapi bukan salah dia.

Minggu depannya aku bagi tau dekat ibu mertua kalau boleh jangan keluar kata-kata kesat depan anak aku, tapi aku yang disindir. Katanya dah memang pertuturan keluarga mereka kasar, nak buat macam mana.

“Nak ubah sopan santun macam keluarga awak tu ke? Tak kuasa.”

Lepas tu aku tak tegur apa-apa dah, aku biar je. Cuma aku yang kena berusaha keras untuk didik anak aku dengan sebaik-baiknya.

Ayah aku selalu pesan, selagi anak depan mata ni kita kena bekalkan mereka dengan apa yang patut.

Cara bercakap, adab sopan dan pendidikan agama yang sewajarnya. Nanti bila dia dah besar dia akan jauh dari pandangan mata kita, mereka akan jalani hidup sendiri.

Masa tu kita hanya boleh berharap bekalan yang kita bekalkan selama ni sudah cukup dan berguna untuk dia. Tapi, andai kata dia tersasar walaupun kita dah bagi yang terbaik, redha lah kerana itu pilihannya bukan pilihan kita.

Dalam sekilo buah, tak semua manis elok. Ada yang masam, tawar dan busuk. Begitulah juga anak-anak dan adik-beradik.

Sekarang perangai suami aku pun semua dah tau, aku pun tak reti dah nak cover sebab dah lima tahun aku kahwin dengan dia.

Nenda pun tak bising-bising macam dulu, mungkin dah penat cuma aku tau mereka menyampah dengan Haris.

Aku sayang Haris, tapi itulah dia memang tak boleh get along dengan family aku dari semua aspek.

Dan sebab tu lah aku selalu tak balik kampung, bila ada majlis je aku balik. Sedih juga, sebab aku rindu semua orang tapi aku terpaksa sebab nak jaga suami aku.

Betul lah, sekufu tu bukan harta je tapi dari semua benda.

Sekufu, memang penting.

– Kay (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *