Parut Yang Tertinggal

Kisah hidup aku, terkadang aku rasa seperti hidup di dalam novel, penuh dengan konflik dan pergolakan. Semasa aku di dalam kandungan pun hidupku sudah menjadi bualan masyarakat.

Aku dilahirkan di sebuah kampung yang masyarakatnya suka mengambil tahu akan hal orang lain. Ah! Itu biasa!

Ketika aku dilahirkan tanpa ayah, keluargaku dicemuh. Ibuku dikatakan perempuan sundal! Tetapi ibuku tetap menjagaku. Aku membesar tanpa kasih sayang seorang ayah.

Pada waktu itu, tika kanak-kanak lain dihantar dijemput oleh ayah masing-masing aku hanya pulang berjalan kaki. Sekolahku tidak jauh dari rumah nenek, tempat aku dan ibuku tinggal. Aku gembira, aku adalah seorang anak yang pintar, aku cepat belajar walaupun aku miskin.

Oh! Kebahagiaan waktu kecilku tidak lama. Pada satu ketika, aku diperkosa oleh salah seorang saudara yang datang melawat rumah nenek.

Aku baru bersekolah tadika pada waktu itu. Bukan hanya sekali tapi berkali-kali. Pada ketika itu, aku dapat merasakan bahawa perkara yang terjadi padaku adalah sesuatu yang “tidak betul”.

Tapi aku tidak menyatakannya. Mulutku terkunci setiap kali aku cuba menyatakannya pada ibu atau nenek. Aku lihat mereka sudah cukup susah mencari sesuap nasi, dan aku dapat rasakan, apa yang akan aku sampaikan akan membuat mereka sedih.

Lalu, cerita itu ku tutup sehingga bertahun lamanya. Aku simpan, aku berpura-pura seolah ianya tidak pernah terjadi.

Aku membesar jadi pelajar yang pintar dan mempunyai potensi yang baik. Sewaktu aku berada di matrikulasi, aku sering bermimpi yang membuat aku rasa penat.

Aku menangis di dalam mimpi, bila aku terjaga, aku dapat rasa pipi dan bantalku basah kerana air mata. Aku mulai diserang rasa “insecure”.

Aku jadi tidak yakin pada diri sendiri! Waktu remaja menginjak ke umur 20 an, semua orang pasti akan merasa manisnya bercinta. Tapi aku sebolehnya menjauhkan diri dari perkara tersebut. Aku tidak mahu orang tahu akan kisah silamku.

Walaupun begitu, ada seorang lelaki yang buat jantungku berdegup kencang. Kami sangat rapat, malangnya dia hanya bermain tarik tali denganku.

Jarak usia yang jauh, membuatkan aku sangat tertarik dengannya. Ya! Kerana aku tidak pernah merasakan kasih sayang seorang lelaki. Aku dibiar sepi lagi dan perasaan ketakutan aku semakin menggila!

Masuk alam universiti, sifat ayuku mulai hilang. Aku tutup kemanisan wajahku, aku tidak memakai sebarang bentuk alat solek, walhal gincu sekalipun.

Aku bertudung tetapi amat jarang aku memakai pakaian perempuan. Seluar khaki, t-shirt di dalam dan kemeja panjang besar di luar.

Aku berkawan dengan mahasiswa dari golongan pelangi, ya, aku tidak ada kawan perempuan sehingga kini kecuali semasa di sekolah. Kalau mereka adik-adik, aku pula “abang yang bertudung”.

Aku rasa selamat, kerana aku percaya tidak akan terbit perasaan cinta antara aku dan kawan-kawan pelangiku. Tapi perasaan tidak percaya diri aku tetap ada! Aku umpama pasu yang pecah dan tidak bernilai untuk sesiapa. Aku rasakan diriku kotor!

Suatu hari cinta datang mengetuk pintu hatiku, dia melayan aku dengan baik sekali. Kami bertemu jodoh dan dikurniakan dua orang anak.

Tetapi aku tetap merasakan diriku ini hina dan kotor! Aku benci dengan diriku sendiri dan merasakan aku tidak layak untuk sesiapa.

Hubunganku dengan suamiku juga tidak begitu baik, terlalu banyak konflik sehingga kami bercerai. Seperti biasa, tiada yang aku boleh harapkan daripada seorang bekas suami.

Tidak perlu aku ceritakan jerih payah ku untuk membesarkan anak-anak tanpa bantuan seorang bekas suami. Kisah itu sudah terlalu banyak dipaparkan.

Alhamdulillah aku berjaya mendapatkan kerja dengan jawatan yang baik, gaji yang cukup walaupun kadang-kadang tergelincir juga.

Sehingga satu hari aku terjumpa semula orang yang telah MENJAHANAMKAN hidup aku dari kecil! Oh, dia mempunyai kerja yang bagus, ada seorang isteri yang bertudung, anak-anak lelaki dan perempuan. Hidupnya sempurna!

Sedangkan aku, sentiasa memendam rasa, aku tidak ada tempat untuk mengadu tentang trauma masa kecilku. Ia menjadi satu “penyakit” buatku. Caraku berfikir tidak sama dengan orang lain. Aku suka berada di tempat gelap, aku benci ruang yang terang.

Aku suka memasang earphone dan mendengar lagu kerana aku tidak mahu ada orang berkomunikasi denganku. Ada masa aku menangis setiap malam, sukar untuk aku gambarkan dengan kata-kata rasa itu.

Aku masih bermimpi waktu malam sambil menangis, dadaku boleh jadi sesak dan aku terasa ingin muntah bila aku terkenangkan perkara tersebut.

Aku tidak suka orang menyentuh tubuh badanku. Kadang-kadang aku terpaksa menepis tangan anak-anakku bila mereka menyentuhku.

Dan aku berpura-pura “keras” walaupun sebenarnya jiwaku sangat lembut.

Aku rasa seperti SEPARUH GILA! Kegilaan apakah ini? Aku jadi overprotective terhadap anak-anakku. Aku tidak mahu mereka terima nasib yang sama seperti ku. Tapi hati ku menderita, aku kesunyian di dalam kesibukan aku bekerja dan menjadi seorang ibu.

Aku beribadat, tetapi mungkin hatiku juga sudah semakin kotor dengan dendam yang tidak berkesudahan.

Adakah begitu mudah untuk aku memaafkan seseorang yang telah menghancurkan hidupku? Adakah dengan memaafkan aku akan menemui ketenangan? Tapi apa keadilan untuk orang semacam aku?

Untuk mereka yang tidak dapat memahami perasaan orang-orang seperti aku, ya, memang agak sukar untuk berempati sekiranya tidak mengalaminya sendiri.

Untuk para perogol, pencabul dan penyumbahleweng di luar sana, ketahuilah kejahatan kalian tidak mati di saat kalian memohon ampun dengan Tuhan ataupun saat kalian disebat walau ratusan kali,

Kerana parut sebenar yang tertinggal adalah di hati dan jiwa mangsa-mangsa kalian.

Tidak ada yang kalian boleh lakukan untuk menyembuhkan parut tersebut, kerana ianya kekal buat selama-lamanya!

– Jasmin (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *