Hai. Aku Hawa. Hari ni aku penat. Ya aku tahu semua orang penat, aku cuma nak meluahkan. Maaf kalau bosan.
Aku berumur 30an dan anak sulung kepada sebuah keluarga besar. Beberapa adik aku masih bersekolah.
Alhamdulillah, aku mempunyai pekerjaan tetap walaupun tak seberapa. Aku seorang petugas kesihatan, yang biasa-biasa dan selalu dipandang sebelah mata.
Hari ni aku penat sangat. Oh ya. Aku single. Mungkin aku bukanlah orang yang sepatutnya sebut perkataan penat, sebab aku takde anak takde suami untuk dilayan.
Maafkan aku tapi memang aku tak boleh luah kat sapa-sapa sebab hati aku tak cukup kuat untuk dengar lagi orang kata “Kau bukan ada anak pun kannnn..” Aku sedih. Tapi sungguh aku penat.
Aku stay dengan parents aku, beberapa adik aku dah kahwin dan tidak lagi menetap kat rumah ni.
Ya aku single tapi urusan perbelanjaan rumah, semua dibawah tanggungjawab aku. Bil air bil elektrik, belanja sekolah, yuran, ubat dan keperluan semua aku perlu fikir.
Aku okay je selama ni, tapi entah bisikan syaitan apa tiba-tiba hari ni aku rasa penat sangat.
Aku rasa loser sangat bila ingat balik bertahun aku bekerja tapi satu sen pun aku tak dapat menyimpan. Padahal aku dah berjimat, aku tak pernah melancong. Cuti pun aku habiskan kat rumah je.
Aku rasa unfair sebab aku kerja keras tapi aku tak merasa pun duit tu. Mungkin aku yang tak bersyukur tapi maafkan aku, aku kecewa dengan diri aku.
Aku tak boleh cerita kat orang lain sebab jawapannya nanti sama, “Kau single tak payah beli pampers anak pun…”. Tolong ajarkan aku ikhlas, aku takut.
Aku penat. Banyak impian aku nak buat, taklah tinggi mana, sekadar berjalan-jalan di mall pun memadai, tapi aku tak mampu. Duit minyak pun aku catu.
Apa lagi nak berboros dengan tol dan parking? Aku tak mampu. Aku boleh buat begitu tapi mana mungkin aku tolak tepi keperluan sekolah adik-adikku? Tak boleh, duit ku bukan untuk ku. Aku rasa tertekan. Maafkan aku.
Aku lihat kawan-kawanku yang berkeluarga, seronok berjalan kesana kemari. Alhamdulillah rezeki mereka. Aku tahu, rezeki ku tak sama, tapi maafkan aku, aku cemburu.
Kalaulah mereka tahu betapa beruntungnya mereka. Aku juga pulun bekerja membanting tulang, tapi aku tak dapat berlibur macam mereka. Banyak kebajikan yang perlu aku jaga.
Alangkan orang tahu aku berjalan-jalan di tasik titiwangsa pun ada suara sumbang kata,
“Untungla single, boleh berjalan tak kira masa”. Sapalah aku untuk menafikan dakwaan itu, kalaulah mereka tahu hakikat sebenar. Maaf, aku cuma sedih.
Dirumah, aku tak boleh menyebut penat kerana mamaku seorang suri rumah, yang memang sudah kebiasaanya memasak dan mengemas.
Aku juga membantu mana yang patut tapi apakan daya, mamaku sajalah yang selayaknya terpaling penat. Aku tak boleh. Sebab aku bekerja, enjoy dan seronok jumpa orang.
Tak terperap seperti dirinya, kata mama. Hakikatnya, aku seorang introvet, seharian aku melayani pesakitku, menjawab pertanyaan mereka semampu tahap pengetahuanku, merawat apa yang mereka perlu seiring tanggungjawabku.
Maafkan aku, aku lemas antara pekerjaan dan personaliti aku.
Apatahlagi bila nasib tak baik, ditengking dimarah depan orang ramai, dipersalahkan tanpa usul periksa, maafkan aku tapi aku malu dan tertekan. Aku tak boleh luahkan apatahlagi lari dari situasi ni.
Sebab aku perlukan pekerjaan, mencari rezeki yang didalamnya ada rezeki orang lain. Aku terima hakikat yang aku cuma seorang kuli. Semoga Allah redha.
Di tempat kerja, semua fikir aku bahagia kerana tinggal dengan parents, ya betul aku bahagia, Alhamdulillah.
Betul, aku tak perlu bayar duit sewa kerana papaku yang membayarnya setiap bulan dan itulah komitmennya yang aku tahu.
Selebihnya, aku tak tahu dan tak layak rasanya nak mempersoalkan, kerana aku cuma seorang anak.
Apa yang aku capai sekarang adalah hasil budi mereka membesarkanku selama ini. Rasa bersalah terbit dihati saat rasa penat memenuhi jiwa.
Cita-citaku juga membahagiakan papa mamaku hingga akhir hayatku. Itu saja yang aku pegang selama ini andai rasa penat kecewa sedih ini membelenggu jiwa. Tapi hari ni aku gagal.
Aku rasa terbelit dengan bebanan ini. Maaf, aku tak mampu bersangka baik lagi, maaf sekali lagi, aku penat. Sangat penat. Aku tak mampu berfikiran positif lagi. Tapi aku tak boleh luahkan.
Aku tak boleh luahkan pada papa mama, kerana aku seorang anak. Adik-adikku? Lagilah aku tak boleh. Aku sayang mereka dunia akhirat.
Biarlah aku susah asalkan mereka bahagia. Itulah pegangan ku. Semoga kematianku nanti juga membawa rezeki buat mereka.
Sungguh aku hilang kekuatan saat ini, berkira-kira baki duit gaji yang baru dapat hari ni tapi sudah berbaki tiga angka.
Aku mesti berjimat. Aku mesti abaikan kata-kata sumbang saat aku tak dapat join keluar makan bersama, tak dapat hadir picnic bersama atau apa-apa aktiviti libur.
Bukan, aku tidak sombong, aku teringin tapi apakan daya, aku wajib berjimat. Wajib. Maafkan aku dan doakan aku. Terima kasih.
– Hawa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit