Aku Nak Move On

Assalamualaikum. Perkenalkan nama aku Lia, berumur 30an dan telah berkahwin.

Aku ingin ceritakan kepada kalian mengenai seseorang yang aku susah nak lupa. Seseorang yang mensia-siakan aku dan meragut ketenangan hidup aku tatkala teringatkan dia. Dan aku teringin sekali melupakannya.

Biarlah aku perkenalkan dia sebagai F, seseorang yang menjadi “teman tapi mesra” aku selama 5 tahun lamanya. Aku dan F berkenalan di salah satu platform media sosial pada awal tahun 2009.

Kami berkenalan dan akhirnya bertemu. Tidak aku nafikan F baik orangnya. Lembut tutur kata tiap kali berbicara. Kami berkawan beberapa bulan dan aku jatuh cinta padanya. Hampir setiap minggu kami berjumpa dan kami akan berbual pelbagai topik dan saling tukar cerita.

Sungguh. Aku merasa gembira tiap kali berbicara dengannya. Aku masih ingat, tiap kali ada port makanan baru, mesti dia akan bawa aku untuk pergi ke tempat tersebut. Memang kebanyakan hari2 aku berjalan dengan bahagia bila adanya dia.

Pernah masa awal perkenalan dulu, dia ajak aku couple. Aku memanglah suka kan sebab aku ada perasaan pada dia. Tapi tulah, tak lama pun. Beberapa minggu aku dapat title sebagai kekasih dia. Sebab katanya dia rasa tidak serasi dengan aku. Sigh. Baru beberapa minggu je pun.

Katanya lagi, dia sayang aku tapi lebih macam kawan tapi tak macam kekasih. Macam mana tu?

Aku terasa dipermainkan juga time tu. Aku senyap 2 minggu. Segala call dan mesej daripada dia, aku tak respon. Bila aku tak respon, dia kata nak datang rumah cari aku kalau aku taknak keluar jumpa dia.

Fine. Aku pun mengalah. So kita berkawan macam biasa. 5 tahun lamanya. Semua tentang dia, semuanya hampir aku tahu. Apa yang dia suka, apa yang dia tak suka, cara pakaian, perfume dia semua aku dah ingat.

Dalam masa 5 tahun berkawan, aku memang tiada kawan lelaki yang rapat selain dia. Sehinggakan waktu tu aku merasakan, dia akan jadi suami aku. Meskipun seperti yang aku nyatakan sebelum ni, dia sayang aku tapi tak lebih dari kekasih.

Tapi entahlah. Layanan dia pada aku memang menjurus ke arah seorang lelaki yang sayangkan seorang wanita. Banyak kali aku tanya tapi F tetap menafikan. Bila aku tanya kenapa, dia jawab tak tahu. Sumpah, aku rasa sangat terluka.

Bila dah 5 tahun kawan dan aku rasa hubungan ni macam tak ke mana, aku dah start fikir nak menjauh dari dia. Masa tu aku mula kenal suami aku.

Untuk pengetahuan semua, suami aku cuba untuk berkawan dengan aku selama 2 tahun tapi aku tak pernah balas satu pun messenger dia.

Sehinggalah masa aku tengah layan perasaan sedih kerana F, aku terasa nak buka Facebook messenger dan terpandang mesej suami aku yang aku pandang sepi selama ni.

Aku pun mula membalas chat tersebut dan suami aku menyatakan dia jatuh cinta pandang pertama pada aku (dalam FB) dan masa tu aku terus respon, kalau serius datang jumpa keluarga aku. Masa suami aku datang jumpa keluarga aku, itulah kali pertama kami bersua muka.

Dipendekkan cerita, kami bertunang setelah 8 bulan dari pertemuan pertama. (aku jumpa beberapa kali sahaja kerana suami aku Ketika tu kerja di kl, dan aku di Terengganu).

Masa ni aku merasa sungguh berdosa pada suami kerana aku menerima dia waktu itu kerana ingin menjauh dari F.

Seminggu lepas aku bertunang, aku bertemu dengan F. Masa tu aku pakai cincin tunang dan F tanya, dia merasa pelik kerana aku tak pernah2 pakai sebarang emas sebelum ni.

Spontan dia tanya, beli ke cincin tu? Aku pun senyap je. Dia tanya lagi, ke orang yang bagi? Aku jawab, ya. Terus berubah mukanya. Tunang ke? Dia serkap jarang aku.

Aku pun jawab, ye tunang.. pada masa tu, aku nampak air mata dia mengalir. Aku tak pasti kenapa reaksi dia begitu.

Aku masih ingat lagi, pertanyaan kali terakhir aku tanya dia mengenai siapa sebenarnya aku di mata dia.

Demi Allah. Masa tu kalau dia jawab dia sayangkan aku dan ingin ke peringkat yang lebih serius, memang aku akan putuskan pertunangan aku dengan suami (maafkan isterimu ini duhai suamiku).

Namun, jawapannya tetap sama. TAK TAHU. Aku memang terus putus asa. Aku tertanya tanya. Hodohkah aku? Apa kurangnya aku? Kalau tak suka kenapa layan lebih2? Kalau tak suka kenapa bagi harapan?

Aku bernikah April 2015, dan F… bernikah sebulan awal daripada aku. Aku terkesima. Agaknya F memang dah ada someone dan aku juga peneman sepi dia barangkali? Yang buat aku lagi sedih, F jemput aku datang ke kenduri dia. Tergamak dia.

Aku tak hadir ke majlis perkahwinannya walaupun tak jauh dari rumah aku. Mana mungkin aku pergi majlis kahwin seseorang yang aku sayang? Bak kata Azie, pelamin anganku musnah. Aku belajar untuk melupakan F walau hakikatnya terlalu payah buat aku.

Di awal perkahwinan F, dia buat gila. Dia contact aku bertalu2 dan beritahu tak dapat lupakan aku. Drama apakah ini? Bukankah kau tak pernah anggap aku sesiapa sebagaimana aku anggap kau sebagai orang yang istimewa dalam hati aku?

Dia whatsapp aku bertalu2, dia nyatakan aku tak sama seperti isteri dia. Gilakah dia? Dia ugut untuk datang rumah aku kalau aku tak mahu berjumpa dengannya.

Memang taklah aku jumpa dia. Tapi, dia memang datang cuma tak buat kecoh je, aku pujuk dia balik dan mujur dia dengar cakap aku.

Dipendekkan cerita, aku block dia. Memang dia pun agaknya dah pasrah bila aku tak layan dia. Tapi itulah. Aku sendiri pun memang susah nak lupakan dia. Cuma masalah aku susah sangat nak move on.

Kalau aku terdengar lagu favourite dia, Ku Relakan Kau Pergi dari kumpulan Okey, terserempak dengan orang yang pakai perfume macam dia, aku terus rasa sedih dan teringat kenangan lama.

Dari sejak dia kahwin sampailah sekarang, beberapa kali jumpa terserempak dan dia memang jenis usha aku dari jauh sebelum tiba2 muncul depan mata aku. Memang keadaan selalunya macam tulah.

Aku ni dahlah jenis payah nak move on, dia pulak suka tunjuk muka. Last aku jumpa dia masa hujung mac tahun ni. Adik aku kahwin, dan nak dijadikan cerita, isteri F ada hubungan kekeluargaan dengan adik ipar aku.

Aku stres. Aku mohon pada Allah supaya aku dapat lupakan dia, tapi sampai sekarang tak boleh. Bukan aku saja2 nak ingat dia, tapi kemunculan dia tu buat aku jadi macam ni. Entah kenapa aku rasa dia pun macam tak move on jugak.

Yang terbaru, baru 29/9 hari tu, ibu aku beritahu dia datang ke kedai yang ibu aku tumpang berniaga dan makan di situ bersama keluarga. Waktu dia datang hari rabu malam.

Untuk pengetahuan semua, memang aku sekeluarga akan keluar makan tiap malam rabu ke kedai makan yang ibu aku tumpeng niaga tu.

Mungkin Allah berkehendak, kebetulan hari tu aku tak keluar makan kerana suami aku telah membeli lauk pauk dan aku hanya masak nasi di rumah.

Jadinya, kami tak keluar malam tu. Kalau tak, memang akan terjumpa kerana ibuku memberitahu dia datang pada masa yang selalu aku datang.

Dia bertanyakan pada ibu aku di mana aku tinggal, dan pelbagai jenis pertanyaan mengenai aku.

Bila aku tahu dari ibuku dia mencari aku lagi, perasaanku bercampur baur. Aku sedaya upaya nak lupakan dia, tapi macam mana? Kalau dia sentiasa muncul dalam hidup aku?

Tolong aku. Aku nak minta nasihat macam mana nak lupakan dia tanpa merasa terganggu dan hilang fokus? Aku tertekan. Aku memang nak lupakan dia tanpa melibatkan sedikit emosi pun. Aku nak lupakan dia…….

– Lia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *