Sudah Hilangkah Perasaan Sayang?

Sudah lama aku pendam perasaan dihati ini. Aku cuba untuk meluahkan, tapi aku tidak tahu kepada siapa. Hendak luahkan pada adik beradik, adik-beradik aku semua lelaki.

Almaklum, hanya aku anak perempuan tunggal di dalam keluarga, terkadang aku pernah cuba berkomunikasi dengan adik lelaki aku tentang perasaan aku ini tapi, pemikiran lelaki mana nak sama dengan perempuan.

Mereka tidak faham. Mungkin hanya disinilah tempat untuk aku luahkan perasaan aku ini. Semoga admin approve nukilan hati aku ini.

Cerita ini bermula dari sikap ayah aku. Ayah aku, seorang yang bekerjaya dan boleh aku katakan kami dari keluarga senang.

Adik beradik ayah aku ada 9 orang dan semuanya bekerjaya dan berjaya dalam bidang mereka masing-masing. Ada yang menjadi guru, jurutera, business man, nurse dan arkitek.

Nak kata nenek aku berjaya membentuk anak-anaknya sehingga berjaya? Ya, mungkin lah kot. Gaji mereka kesemuanya 6-7k keatas.

Namun, ibu aku pula seorang suri rumah tangga. Ibu kata, beliau berkahwin dengan ayah aku ketika beliau berumur 22 tahun, atas pilihan sendiri.

Ku sangka, panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ibu kata, sepanjang ibu berkahwin dengan ayah aku, dia sentiasa rasa janggal dengan keluarga ayah aku. Iya lah, ibu aku kan cuma suri rumah tangga.

Katanya, disebabkan ibu aku seorang suri rumah tangga, nenek aku iaitu mak ayah aku selalu memerli ibu aku. Kononnya, tidak suka ibu aku menghabiskan duit anaknya.

Iyalah, dalam fikirannya suri rumah ini kerjanya cuma jaga anak duduk rumah tidak perlu berhias cantik atau berlebih-lebih nanti kasihan anaknya harus cari lebih duit untuk ibu aku pula.

Kadang, ibu selalu dimarahi, itu salah ini salah. Ibu pun manusia juga, bukannya robot seharusnya ‘perfect’ dalam segala hal.

Sedangkan robot juga buat silap apatah lagi manusia. Apabila pulang ke kampung, ibu selalu dipulaukan keluarga ayah aku lalu, ibu mengambil inisiatif dengan buat-buat sibuk seperti menolong memasak, atau membuat kerja rumah.

Ibu lah yang akan masak, cuci pinggan, lipat kain, kemas rumah walaupun ketika itu mak sedara semua iaitu kakak dan adik ayah aku ramai yang pulang ke kampung.

Langsung mereka tidak peduli kehadiran ibu, dibiarkan saja ibu bertungkus lumus seorang seperti orang gaji sedangkan mereka bergelak ketawa di ruang tamu dan bercerita tentang kejayaan masing-masing.

Ibu cerita, ibu rapat dengan isteri pak de aku, yang aku panggil mak de imah.

Jika mak de imah balik ke kampung, mak de imah lah yang selalu berborak dengan ibu dan membantu ibu di dapur.

Mak de imah memang sudah cukup masak dengan keluarga ayah aku. Tambah pula, beliau juga suri rumah, memang dia sudah lali dengan layanan yang dirasai oleh ibu.

Nenek aku tidak pernah bercakap baik dengan ibu. Ada saja yang tidak kena dimatanya. Diperli, dimaki, dicemuh itu bagai ruji harian ibu sehari-hari. Dimana ayah? Ayah ada. Beliau ada menyaksikan ibu diperlakukan begitu tapi, apa ayah buat? Ayah diam.

Kadang, ibu pernah menjawab,tetapi ayah marah ibu semula walaupun bukan ibu yang mulakan dahulu, dan ibu menjawab kerana ibu juga ada perasaan. Ibu juga,selalu dikecualikan dalam aktiviti keluarga ayah. Dimana ayah?

Ayah ada. Tapi, ayah lebih mengikut cakap nenek. Iyalah, nenek itu ibu ayah… tapi ibu bukankah isteri ayah?.

Apabila , bertahun-tahun makan hati…ibu mula rasa tawar hati dengan ayah dan keluarga ayah. Aku juga jadi tak suka untuk pulang ke rumah nenek kerana tidak suka melihat ibu diperli atau dimarahi.

Mana ayah? Ayah ada, tapi ayah diam. Kadang, aku juga rasa tidak suka dengan ayah. Kenapa ayah tidak lindungi ibu? Iya, tahulah itu mak ayah, tapi… ibu adalah isteri ayah.

Dirumah, ayah kadang-kadang berperangai dingin kepada ibu. Mujurlah ibu seorang yang penyabar.

Waktu aku masih kecil, aku pernah menyaksikan ibu dan ayah bergaduh besar. Ibu tinggalkan kami seminggu tanpa khabar. Aku rasa sedih. Aku tanya ayah, bila ibu mahu balik?

Ayah jawab, “biar lantak ibu awak tu, nak sangat lari rumah”. Ayah tak cuba pujuk ibu? Tak. Ayah tak cuba cari ibu? Tak. Apa yang ayah buat?

Teruskan hidup seperti biasa. Mungkin, dia pasti ibu tetap akan pulang kerana ibu tiada duit. Ya, selepas seminggu ibu pulang. Ibu menyesal dan minta maaf. Ayah? Lelaki kan, ego… mana mungkin ayat maaf itu hinggap dimulutnya walaupun kedua-duanya bersalah.

Ibu dan ayah ‘long distance relationship’ sejak aku dan adik-adik aku kecil. Seminggu sekali ayah akan balik menjenguk kami. Sejak kecil lagi, ibulah yang tunggang terbalik menguruskan kami berempat.

Kami sakit, ibulah yang membawa ke klinik, kami ke sekolah, ibulah yang hantar, kami lapar, ibulah yang masak. Ayah cuma sediakan duit belanja secukupnya.

Cuma, kadang-kadang tidak cukup kerana harga barang menaik dan adakala ibu terlebih bajet menguruskan kewangan iyalah, ingin melayan karenah kami berempat, ingin makan sedap-sedap. Ibu cuba cukupkan semuanya walaupun terpaksa pakai duit nafkah ibu.

Pernah ibu mengadu dekat ayah, duit belanja tidak cukup, ayah suruh ibu berjimat. Tapi, ayah tidaklah kejam, dia tetap tambahkan duit belanja kepada ibu tetapi, bak kata ibu..ibu terpaksa dengar ayah bebel dekat sejam barulah dapat.

Lagi satu perkara yang aku ingin sampaikan, ibu dan ayah aku sudah hampir 10 tahun tidak tidur bersama.

Aku minta maaf jika aku tersalah anggap tapi, aku rasa ayah aku sudah lama juga tidak sentuh ibu aku. Aku duduk di rumah keluarga aku walaupun aku sudah bekerja.

Aku juga selalu berkepit dengan ibu aku hampir 24 jam. Aku maaf jika aku tersalah anggap tapi, aku rasa ayah aku sudah lama tidak sentuh ibu aku. Aku tidak tahu macam mana ibu aku boleh bersabar dengan itu. Ayah memang tidak tidur di dalam bilik.

Ayah tidur di tingkat bawah , walhal ibu pula akan tidur diatas seorang diri didalam bilik. Sudah lama mereka hidup begini. Tipulah, kalau kakak ipar aku tidak persoalkan tentang hal ini jika pulang kerumah kami.

Jika sekali dua mungkin beliau tidak tertanya-tanya tapi, jika beliau sudah hampir 3 tahun berkahwin dengan abang aku dan sering melihat ayah tidak tidur bersama ibu, pasti hal ini menjadi syak wasangka kepada beliau.

Kini, ibu ayah selalu dingin. Ibu pernah mengadu, ibu sudah tawar hati dengan ayah. Tak kesah lah ayah nak buat apa, ibu tidak peduli. Ayah juga sama.

Hmmmm, jika melihat keluarga orang lain, aku dapat rasa kemanisan kasih sayang antara mereka suami isteri.

Tapi, keluarga aku..ibu buat hal sendiri, ayah buat hal sendiri. Ibu juga, sejak dua menjak ni selalu tinggi suara kepada ayah. Selalu marah-marah ayah. Walaupun bagi aku, ayah cuma bergurau. Aku jadi tidak suka ibu berperangai begitu, tidak hormat suami.

Aku mahu ibu masuk syurga. Aku juga mahu ayah masuk syurga. Tapi, bagaimana?

Ibu dan ayah, walaupun mereka solat 5 waktu tapi, ayah? Nafkah zahir cukup, ya ayah memang tidak pernah abaikan nafkah zahir tetapi batin? Nafkah batin sangat culas.

Ibu pula? Selalu tinggi suara, selalu marah ayah kadang-kadang depan kakak ipar. Perli ayah depan kakak ipar.

Walaupun, kedua-duanya solat 5 waktu dan ibu.. walaupun jalankan tanggungjawab sebagai isteri, minum pakai suami dan anak-anak.. tetapi jika tidak hormat suami, tidakkah berdosa juga?

Aku tahu kadang-kadang ayah kecil hati. Cuma ayah diam. Ayah tidak reti untuk meluahkan perasaannya. Tetapi, aku tahu, ibu menjadi seperti itu kerana keluarga ayah dan sifat ayah sendiri ketika mereka awal-awal kahwin.

Tetapi, kini, aku dapat rasakan ayah cuba untuk berubah cuma, kadang-kadang perangai ayah yang suka menyakitkan hati ibu, masih ada tetapi sedikit.

Mungkin ibu yang sudah terlalu tawar hati dengan ayah. Iyalah hampir 26 tahun bertahan. Mungkin sebab itu ibu menjadi seorang pemarah.

Tetapi, aku ingin mereka berkasih sayang. Aku tidak suka melihat kedua-duanya asyik dingin sahaja. Aku mohon, pembaca mendoakan kebaikan rumah tangga ibu dan ayah aku. Terima kasih

– Mai (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *