Abang Yang Tak Berguna

Assalamualaikum pembaca tegar IIUM Confession semua. Nama aku Hannah. Aku terdetik nak bercerita tentang kisah keluarga aku iaitu adik beradik aku sendiri.

Seperti tajuk yang aku tulis di atas, sudah pasti coretan kali ini berkisar tentang anak lelaki dalam keluargaku.

Aku merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Aku mempunyai seorang kakak dan juga seorang abang.

Kakakku merupakan seorang penjawat awam dan boleh dikatakan mempunyai gaji yang agak lumayan. Manakala abangku pula merupakan seorang yang penganggur.

Aku pula masih melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di sebuah universiti di tanah air.

Dari kecil abangku memang bermasalah dalam sepanjang zaman persekolahan, nasib sempat tamatkan zaman SPM dengan baik. Namun abangku sejenis yang tidak boleh lari di bawah ketiak mak ayah.

Selepas tamat zaman sekolah menengah. Abang mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di peringat diploma di sebuah universiti di Kuala Lumpur.

Pada awalnya semuanya baik-baik sahaja ketika waktu belajar tetapi masuk semester yang kedua abangku membuat masalah dengan tidak mahu menyambung pengajian jauh di negeri orang.

Nak dijadikan cerita, akibat terdesak mahu berhenti dan ibubapaku melarang daripada berhenti pengajian di tengah jalan, abangku mengambil keputusan untuk berhenti senyap2 tanpa pengetahuan kedua ibubapaku.

Namun, ayah ibu tidak pernah terlupa untuk memberi wang perbelanjaan sepanjang abang di universiti.

Pada ketika itu, ayah menghadiahkan sebuah kereta baharu kepada abang untuk memudahkan urusan belajar di sana yang memerlukan kereta untuk ulang alik dari rumah sewa ke kampus.

Jasa ayah dan ibu begitu besar buat abang yang sanggup melalukan apa sahaja untuk anak lelaki mereka.

Namun, selepas 3 bulan abang berhenti belajar, akhirnya terbongkar dengan ayah ibu dan keluarga dek kerana sampai surat berhenti belajar di rumah.

Selepas kejadian itu, terpancar di wajah ayah ibu betapa kecewanya mereka dengan abang yang sanggup berhenti belajar dengan alasan tidak mahu jauh dari keluarga.

Oleh sebab itu, ayah ibu mendaftar abang belajar dekat dengan rumah kerana mereka mahu melihat abang berjaya suatu hari nanti. Abang berjanji pada ketika itu tidak mengulangi silapnya lagi.

Namun janji hanya sekadar janji, abang mengulang balik masalah tidak mahu belajar itu di universiti yang baharu.

Memang dari dahulu lagi hobi abang di rumah hanya duduk dalam bilik tidur dan bangun untuk keluar melepak.

Nak bekerja tolong tampung perbelanjaan rumah memang tidak akan berlaku dalam hidup dia. Abang tahu hanya menghabiskan duit ayah ibu sahaja dengan melepak di tempat yang mahal-mahal.

Walaupun aku anak bongsu perempuan, ayah ibu selalu meluahkan rasa kecewa mereka tentang abang kepadaku.

Bukannya ayah ibu tak pernah menegur abang, tapi dia hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri apabila ayah ibu tegur akan kesilapannya.

Umur abang makin meningkat kepada 30an, tetapi perwatakannya masih sama, malas bekerja, tidur dan lepak sahaja yang dia tahu.

Pernah suatu hari akibat kesuntukan wang, abang sanggup mencuri duit ayah ibu apabila ketiadaan mereka di rumah. Aku selaku anak bongsu sebenarnya banyak kali terkantoi dengan perbuatan busuk abang itu.

Makin aku dan kakakku menegur makin dia melenting. Lama-lama perbuatan busuk itu pun terkantoi juga dengan ayah ibuku.

Ayah pula merupakan bendahari *****(dirahsiakan). Segala duit kutipan di dalam tabung ayah akan bertanggungjawab simpan di dalam rumah dahulu untuk kira dan masukkan di dalam bank.

Namun, sempat abang terkantoi mencuri duit tersebut.

Ayah yang semakin meningkat usia itulah yang perlu memerah keringat bekerja untuk ganti balik duit yang dicuri oleh abang. Aku tak tahu apa yang ada dalam pemikiran abang sampai sanggup mencuri duit.

Bukannya mahu berusaha untuk bekerja sendiri memandangkan dia satu-satunya anak lelaki. Sepatutnya menjadi tanggungjawab dia apabila menigkat umur untuk membalas jasa ibu ayah.

Ini terbalik ibu ayah pula yang menanggung abang sampai umur sekarang yang boleh dikatakan sudah boleh berkahwin dan ada kerja sendiri.

Sikap yang ada pada abang memang tak layak untuk mendirikan rumah tangga. Langsung tidak layak.

Untuk perempuan sekalian, moga kita semua dihindari daripada mendapat lelaki yang sebegini. Tiada guna untuk diperjuangkan.

Sedikit luahan hati yang lama pendam. Moga abangku berubah.

– Hannah Sofia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *