Assalamualaikum semua pembaca. Confession aku hari ni berkenaan dua wanita yang aku sayangi, dan nama mereka selalu di dalam doa aku agar mereka berubah dan menjadi lebih baik.
Dalam hidup kita, kalau boleh kita nak hidup tenang dan aman. Yang mana toxic lebih baik kita buang jauh-jauh.
Tapi andai toxic tu datang dari ahli keluarga kita sendiri, apa tindakan yang kita perlu lakukan? Nasihat? Akhirnya menemui jalan buntu.
Aku anak ketiga dari empat beradik. Mama seorang suri rumah dan ayah seorang penternak dan pekebun. Hidup kami boleh dikatakan senang tetapi tidak kaya.
Mama memang terkenal dekat kampung aku sebagai seseorang yang bermulut lancang dan taknak kalah bila bercakap dan sekarang Along mengikut jejak langkah Mama.
Taknak kalah Mama tu sampai Mama sanggup berhutang untuk dapatkan sesuatu demi kepuasan hatinya. Kami empat beradik dilahirkan dengan rupa paras yang biasa, orang kata manis dipandang.
Yang paling cantik ialah Angah kerana kulitnya putih mengikut Mama. Biasalah definisi cantik bagi orang kita ialah kulit mesti putih melepak.
Mama cantik, dan sehingga kini masih cantik tapi sayang hanya Angah je yang ikut muka Mama.
Kami adik-beradik didedahkan dengan supplement dan skincare seawal usia 15 tahun. Semua adik-beradik aku dipakaikan braces oleh Mama kerana struktur gigi kami yang tidak sekata.
Kak Long adalah insan pertama yang mendapat layanan first class dari Mama. Dulu Kak Long memang gelap, gigi jongang dan gemuk tetapi tak sampai setahun memang berubah. Kak Long bertukar menjadi cantik dan glowing.
Mama sanggup beli barang kecantikan yang mahal dan paling teruk beli ubat untuk drip dan dicucuk sendiri di spa.
Mama sanggup berhutang dengan atok asalkan anak-anaknya kelihatan cantik. Dia tak suka orang mengata anak dia buruk atau kalah dengan anak orang lain.
Angah yang paling beruntung kerana dia hanya dipakaikan braces kerana kulitnya sudah cantik dan berseri dari awal. Angah sendiri pun tak suka kerana rimas melihat Kak Long menelan pelbagai pil dan jamu.
Mama sebenarnya tak nak kalah dengan keluarga sebelah ayah. Kalau boleh dia nak anak dia semua yang paling cantik, kononnya taknak turun takhta sebab dia menantu paling cantik dalam keluarga ayah.
Barang-barang kami semuanya berjenama yang mahal tapi tulah ayah terpaksa bergolok bergadai demi kami. Bila Mama hutang atok, nak tak nak ayah juga yang kena bayar.
Adik-beradik aku semuanya pandai-pandai dan berjaya ke menara gading dan ditempatkan di Universiti awam kecuali Angah.
Dia dapat ke Universiti awam tapi dia menolak kerana kos yang ditawarkan tidak sesuai dengan minat Angah.
Angah berkeras untuk masuk ke Universiti Swasta di utara tanah air walaupun ditentang hebat oleh Kak Long dan Mama.
Ayah lah yang menyokong Angah dan mengizinkan Angah ke sana. Masa tu Mama macam hilang pedoman dan menyumpah-nyumpah Angah kerana menyusahkan Ayah.
Angah kata dia bersumpah dia akan bayar balik walau sesen duit yang Ayah dah keluarkan untuk dia.
Masa berlalu sampailah Along habis belajar tapi dia masih tak dapat pekerjaan yang tetap dan akhirnya menganggur.
Masa dia menganggur tu dia banyak habiskan masa ikut Mama ke sana sini dan sejak tu aku nampak Along memang copy paste Mama.
Cakap tak nak kalah tu satu, bila bercakap kalau boleh sekuat hati dia sampai orang keliling semua boleh dengar.
Lagi satu Along memang suka aibkan orang termasuk kawan baik dia sendiri tapi tulah aib yang dia canang tu akhirnya terkena pada diri dia sendiri.
Along terlanjur dengan boyfriend dia, Alif (bukan nama sebenar) dan mengandung anak luar nikah. Bila Mama tau memang Mama naik hantu, dah lah Alif tu kerja kilang je. Kononnya tak sesuai dengan anak dia yang ada Ijazah tu.
Mama paksa Along gugurkan kandungan dia yang masa tu baru berusia empat minggu. Tak ada sesiapa yang tahu kecuali aku.
Kebetulan masa tu aku terjumpa pregnancy test kit Along dalam almari. Aku tanya Along dan dia minta aku rahsiakan dari keluarga, tapi seminggu lepas tu dia sendiri mengaku pada Mama.
Mama paksa Along kahwin walaupun masa tu Along tak ada duit simpanan langsung, dengan hutang PTPTN tertunggak. Mama gadai barang kemas dia dan duitnya dia bagi pada Alif.
Mereka bertunang tiga bulan dan lepas tu terus kahwin. Sampai sekarang ayah tak tau duit hantaran tu sebenarnya hasil dari barang kemas Mama.
Masa Along kahwin tu, Angah dah bekerja dengan syarikat MNC dan bergaji agak tinggi walaupun ketika tu dia baru junior level. Aku memang salute dengan Angah sebab dia sentiasa tahu apa yang terbaik untuk diri dia.
Sebelum dia putuskan untuk sambung belajar, dia dah kaji dulu peluang pekerjaan untuk kos tu dan subjek yang perlu diambil. Kerja yang dia dapat pun memang idaman dia sejak dulu lagi. Memang murah sungguh rezeki dia.
Masa majlis Along, nama Angah memang menjadi buah mulut dan pujian saudara-mara. Mama pun tumpang sekaki bila orang puji anak dia walaupun pada awalnya dia yang menentang sampai disumpah-sumpah orang tu.
Aku tak tau gaji Angah berapa masa tu, tapi banyak yang dia sponsor untuk Along.
Kek pengantin, baju keluarga kami dan hiasan meja beradab semuanya dari Angah.
Aku akui mereka memang rapat sejak kecil tapi Along banyak ke arah Mama. Konflik paling besar pun masa Angah berkeras nak sambung belajar dulu.
Tak sampai setahun Angah pun menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan lelaki pilihan hati dia dan itu pun ditentang oleh Mama sebab pilihan hati Angah tu tua 7 tahun dari Angah.
Angah macam biasa memang suka melawan Mama dan akhirnya Angah berkahwin dengan restu Ayah.
Persiapan majis Angah memang sendu, Mama dengan Along memang tak ambil tahu langsung.
Along tak habis-habis persoalkan Angah banyak duit, pandai-pandai lah dia uruskan sendiri. Angah terasa sebab masa Along kahwin dulu dia lah yang kesana kemari, ambil cuti sampai seminggu.
Mama silap, dia sangka bila dia tak ambil peduli majlis Angah tak gah seperti majlis Along tapi yang berlaku sebaliknya.
Angah upah wedding planner khas dari ibu kota, segala persiapan termasuk goodies bag semua diselesaikan oleh mereka. Angah hanya bayar duit sahaja.
Bila orang puji majlis Angah, Along tarik muka. Mama? Dia yang terlebih bangga kononnya dia yang bertungkus lumus untuk majlis tersebut.
Lepas majlis Angah pun Mama masih berbangga bila orang tanya ambil bridal mana, catering mana dan sebagainya. Kononnya Mama put all effort untuk majlis tu.
Angah mengandung dulu, tiga bulan kemudian baru Along. Untuk berpantang Mama cakap kalau dia dah jaga Angah, dia tak nak jaga Along. Penat nak jaga orang bersambung-sambung ni.
Angah mengalah dan suami dia upah confinement lady sepanjang tempoh berpantang.
Tiba-tiba Mama terasa sedangkan dia yang cakap tak nak jaga salah seorang.
Bila Angah mengalah, dia sumpah-sumpah Angah kononnya nanti Angah gemuk, bentan dan sebagainya. Tapi terasa Mama tak lama, Angah kan lubuk emas dia.
Angah bersalin di hospital swasta dan bila Mama dapat tau, dia paksa si Alif cari duit lebih untuk Along bersalin di hospital swasta juga. Duit memang cukup, tapi malang sungguh Along terpaksa bersalin secara pembedahan.
Dari 3K jadi 9K kos keseluruhan. Baki 6K tu Mama terpaksa tebalkan muka pinjam pada Angah.
Nama anak mereka sama, tapi Along kata Angah tiru dia, pelik aku dah terang-terang Angah yang bersalin dulu. Itu pun nak jadi isu.
Masa majlis Aqiqah anak Angah pun Angah ada ajak Along join sekali, tapi kononnya nak buat sendiri padahal dia tak ada duit. Disebabkan Along tak nak, Angah buat dekat rumah dia di ibu kota sekali dengan kesyukuran rumah baru dia.
Dulu Angah duduk apartment biasa je, masa tu dia menyewa. Rumah baru dia ambik kau, banglo dua tingkat.
Rumah tu suami dia dah lama beli, tapi masa mereka kahwin rumah tu dalam proses renovate lagi. Kali pertama kami jejakkan kaki ke rumah Angah masa majlis tu, kami ikut location yang diberikan Angah.
Masa sampai depan pagar Along banyak kali suruh kami call Angah untuk pastikan rumah tu betul. Mana taknya Angah memang tak pernah cerita apa-apa pun pada kami tentang hidup dia. Update dekat social media pun tak.
Masa majlis tu juga baru mama tau suami Angah ni timbalan ketua eksekutif dekat syarikat Angah bekerja, masa tu dia baru naik pangkat.
Depan suami Angah dia buat macam tak ada apa, sekali bila balik kampung habis dia canang pada semua orang.
Along masa tu memang dah habis ayat sebab tak tau nak meninggi diri apa lagi. Dia pun sama naik dengan Mama, banggakan Angah dekat orang kampung padahal bila depan-depan ada je yang tak kena.
Apa yang Angah buat serba tak kena pada mata Along, tapi apa yang Angah ada dia pun nak jugak. Yang teruk kena tentulah laki dia, habis dia kerah suruh beli macam-macam sedangkan benda tu di luar kemampuan dia.
Sekarang Angah macam tak ambil kisah sangat pasal Mama dengan Along, tapi duit dia sentiasa kirim. Dia banyak berhubung dengan Ayah, aku dan adik. Dalam group whatsapp memang jarang dia muncul, hanya jadi silent reader.
Along dan Mama sehingga kini dibenci orang kampung sebab perangai mereka, tapi yang aku pelik ramai pulak kawan mereka ni.
Cuma tulah, kawannya bertukar-tukar. Ada je kes dan perkara berbangkit. Tak masam muka dengan A, masam muka dengan B. Letih aku dengan drama yang tak habis-habis.
Benda yang tak ada dikata ada. Try hard nak tunjuk keluarga kami ni kaya raya.
Aku dah puas nasihat tapi tak jalan. Ayah? Dia pun tak bercakap sangat dengan Mama sebab setiap kali ayah berbunyi mesti berakhir dengan pergaduhan.
Aku mampu doa je sebab walaupun bala dah menimpa Mama (Kak Long mengandung anak luar nikah), dia masih tak sedar. Masih lagi jaja kisah orang, mengumpat sana sini.
Kak Long pun sama, mentang-mentang aib dia Allah tutup bukan main dia mengata dan judge orang tanpa cermin diri sendiri.
Sekarang aku dalam proses apply tempat kerja jauh dari kampung, tak kuasa nak hadap makhluk dua orang ni. Rasa macam duduk dengan Mami Jarum. Pening pening.
– Uda (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit