Dalam Pantulan Cermin Gergasi

Apabila aku pandang cermin, aku nampak seorang perempuan yang rambutnya tidak terurus, muka hitam, kusam, bibir pucat akibat tidak makan. Dan baju yang tidak terganti berhari-hari sehingga masam tengik. Keliling biliknya berantakkan. Pelbagai barang pecah dan berselerak.

Aku menangis. Pandangan aku masih tak terputus dari cermin. Nafas aku sesak.

Apa sudah jadi? Ke manakah wanita periang dan manis dulunya sudah pergi? Kini wanita yang ada di pantulan cermin seperti seorang wanita gila yang hilang arah. Seperti kerasukan, tiada bezanya dengan jin ; Hodohnya, busuknya dan hinanya.

Pantulan di cermin itu adalah aku. Seorang wanita yang emosi dan mentalnya sudah tidak stabil. Seperti seutas benang yang ditarik tegang, hanya tunggu untuk terputus. Apabila terputus benangnya, alamatnya terputus jugalah hayatnya sebagai manusia.

Aku adalah seorang wanita yang memiliki ego yang tinggi (1). Aku amat pentingkan diri dan meletakkan diri aku paling atas.

Aku seorang manusia yang dilahirkan mempunyai empati yang sangat tinggi (2). Aku sepertinya mampu memahami perasaan orang lain seperti aku ini yang mengalami perasaan itu.

Dengan ego yang tinggi dan perasaan kemanusiaan yang besar, wujud 2 personaliti dalam diri aku. Personaliti yang selalu bergaduh antara satu sama lain dalam badan aku ini. Personaliti yang tak dapat harmoni, yang selalu menjadikan aku keliru dengan diri aku.

Aku namakan personaliti (1) pertama aku ini sebagai Wulan. Dan personaliti (2) kedua aku pula sebagai Anse.

Hakikatnya, walaupun aku ini seorang yang egonya tinggi (Wulan) dan kuat simpati (Anse), aku sebenarnya seorang yang neutral.

Personaliti aku yang sebenarnya adalah seorang yang ‘happy go lucky’, jenis yang tak kisah dan tiada pendirian tetap. Rakan-rakan aku panggil aku ‘open minded’ kerana ilmu aku dan perwatakan aku yang sangat matured.

Sisi gelapnya, aku berpersonaliti seperti ini kerana aku bukan dari keluarga yang bahagia atau normal. Aku tidak di ajar untuk menjadi seorang yang memiliki pendirian atau perasaan. Tiada siapa beritahu aku ianya tidak mengapa jika aku mahu jadi pentingkan diri dan menangis.

Aku mengajar diri aku sendiri untuk diam, perhatikan gerak geri orang dan mimik cara mereka.

Aku mengajar diri aku untuk menyenaraikan hasil dari perbuatan aku, sama ada ianya memberi impak yang baik atau tidak. Hasil utama yang aku mahu adalah memastikan semua orang happy dengan aku. Mereka happy, analisis aku : SUCCESS.

Akibat dari itu aku kuat pendam. Mana mungkin manusia tiada hasrat? Mana mungkin manusia tidak mempunyai perasaan? Kerana terlalu kuat pendam dan bergantung pada diri sendiri, wujud 2 personaliti dalam diri aku ini.

Wulan; seorang yang memiliki ego tinggi, panas baran dan pentingkan diri. Manakala Anse; seorang yang memiliki empati tinggi, peramah dan naif.

Kedua-dua personaliti itu bercanggah dengan personaliti sebenar aku. Iaitu, seorang wanita yang neutral.

Wulan (1) dan Anse (2) mula muncul kan diri setelah lama membiarkan aku dipijak dan dipergunakan oleh orang lain. Wulan (1) sudah tidak tahan melihat aku sengsara.

Sekiranya sudah keterlaluan, Wulan (1) akan mengambil alih dan memastikan aku mendapat keadilan yang sepatutnya. Anse (2) pula hanya wujud akibat terpaksa sahaja.

Sebenarnya Anse (2) pengecut dan tidak mahu menjadi sebahagian dari personaliti aku. Dia juga tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu bergantung pada Wulan (1)

Dan aku? Aku serabut dengan mereka berdua. Kerana mereka berdua, aku tidak mampu menguruskan hal atau sesuatu tanpa perlu bergaduh, luka dan menyebabkan hal remeh menjadi semakin besar.

Aku tidak kisah dipergunakan dan aku tidak kisah juga sekiranya maruah aku dipijak.

Biarkan sahaja mereka. Buang masa aku kisah dan buang tenaga aku untuk peduli hal itu.

Bukankah aku ini seorang yang neutral? Tetapi Wulan (1) terlalu peduli. Mungkin kerana egonya yang tinggi, dia seperti tidak boleh membiarkan aku menjadi bahan lawak dikalangan kaum manusia.

Aku biarkan sahaja. Ada baiknya juga. Kerana Wulan (1), aku lebih berkeyakinan untuk lakukan sesuatu tanpa batas. Wulan (1) ibarat tulang belakang aku.

Aku kadang kala biarkan Wulan (1) ambil alih hidup aku lamanya kadang-kala sehingga berminggu-minggu. Sehinggalah satu peristiwa itu.

Peristiwa gelap yang meruntuhkan kestabilan aku. Peristiwa yang menggoncang dunia aku. Wulan (1) tarik diri dari mengambil alih kerana terlalu terkejut dengan apa yang terjadi. Dan memaksa aku untuk kekal neutral sehingga berbulan-bulan.

Kerana peristiwa gelap itu, Wulan (1) tidak mahu keluar muncul kan diri. Hanya aku sahaja dan kadang kala Anse (2) yang muncul kan diri.

Kerana sifat aku yang tidak kisah dan neutral aku tidak terlalu peduli pada Wulan (1) dan apa yang telah berlaku padanya.

Aku fikir Wulan (1) mesti ada buat perangai panas barannya lagi pada orang lain. Tiada apa yang elok dari perangai panas barannya. Bukan sahaja barang akan rosak atau orang boleh tercedera, aku juga hilang duit cuba membayar ganti dan memperbaiki barang yang rosak untuk bertanggungjawab dengan apa yang terjadi.

Kini, aku tidak lagi dipergunakan, namun aku sepertinya sudah mencipta banyak musuh kerana Wulan (1). Dan itu perkara terakhir yang aku mahu kerana aku tidak suka kehidupan aku yang tenang menjadi berantakkan.

Aku merasakan ada yang tidak kena akan Wulan (1) selepas berbulan-bulan tidak wujud. Aku ambil keputusan untuk cari Wulan (1) dan minta Anse (2) untuk gantikan aku.

Wulan (1) tidak mahu menceritakan pada aku. Katanya ia akan membuat dia begitu marah, terluka dan sakit mengingatkan peristiwa gelap itu.

Wulan (1) menasihati aku supaya panggil Anse (2) semula dan aku pula keluar dari sini. Tetapi perasaan ingin tahu aku tentang apa yang berlaku pada Wulan (1).

Mustahil Wulan (1) boleh marah sebegini rupa. Terlalu marah yang membuak-buak sehingga mata kirinya tertulis ‘dendam’ dan ‘benci’ pada mata kanannya. Aku cuba pujuk Wulan (1) untuk bertenang dan biar aku yang kawal situasi.

Tetapi bagaimana aku hendak kawal situasi sekiranya aku tidak tahu masalahnya? Wulan (1) tekad tidak mahu menceritakan apa sebenarnya terjadi, malah dia menjerit-jerit histeria, menyuruh aku memanggil Anse (2) masuk semula. Maka terkapai-kapai lah aku; keliru.

Belum sempat aku menenangkan Wulan (1) yang seperti kerasukan jin, Anse (2) pula histeria menangis-nangis tidak henti. Aku mahu memanggil Anse (2) masuk dan bertanyakan padanya apa sudah jadi?

Oleh kerana itu aku memerlukan Wulan (1) untuk menggantikan Anse dengan mengambil alih Anse (2). Tetapi sama-sama tidak mahu berganjak. Aku tersekat dan tidak boleh kembali.

Keadaan ini berterusan dan semakin parah. Anse (2) bukan seorang yang kuat seperti aku dan Wulan (1). Jika berterusan Anse (2) mengambil alih, badan aku mungkin akan jatuh sakit dari segi mental dan emosi.

Tetapi apa boleh aku lakukan? Wulan (1) dan Anse (2) sama-sama tidak mahu beri kerjasama. Persoalannya apa yang telah berlaku pada mereka berdua sehingga menjadi seperti ini?

Dan sepertinya Wulan (1) sudah tahu apa yang terjadi kepada Anse (2), jadi kerana itu Wulan (1) menyuruh aku memanggil Anse (2) masuk dan membiarkan aku semula yang mengambil alih.

Sudah terlambat. Aku hanya mampu membiar Anse (2) mengambil alih. Aku fikir nanti kembali jugalah Anse (2), dan Wulan (1) juga akan berhenti membuat perangai seperti ini.

Semakin lama, situasi tidak terkawal lagi. Anse (2) semakin gila, tidak berhenti menangis dan membuat keputusan yang tidak masuk akal.

Aku menasihati Anse (2) untuk bertenang dan masuk semula supaya aku boleh ambil alih. Anse (2) sudah menjadikan aku tidak stabil dan separuh gila. Sekurang-kurangnya dia mendengar nasihat aku untuk berjumpa kaunselor. Tetapi ubatnya pula tidak dimakan.

Semakin hari semakin teruk. Aku tidak dapat tidur, insomnia akibat kerap terjadi dari mimpi buruk. Setiap kali mimpi buruk aku menggigil.

Anse (2) merasa bersalah dan menangis lagi kerana membuat aku seperti separuh gila. Mata aku seperti mata panda.

Hitam kebiruan. Asyik menangis sahaja. Aku pula buntu mahu buat bagaimana? Wulan (1) pula menghilangkan diri seperti dia lesap ditelan bunyi tangisan Anse (2)

Apa yang berlaku sebenarnya?

Keadaan ini berlanjutan. Aku pun sudah lupa siapa aku. Dek kerana Anse (2) yang tidak mahu kembali. Aku biarkan sahaja. Tetapi perlu kah berterusan sampai begini? Menangis sahaja? Mahu tidur pun menangis, bagi makan, tidak mahu, hanya menangis sahaja. Mandi pun tidak.

Menangis dan terus menangis tidak henti. Sehingga sakit kepala. Sehingga mata semakin kabur. Hendak sampai bila macam ini? Aku sangat sengsara. Hati aku pedih. Jiwa aku kacau. Anse (2) terus-menerus merosakkan badan aku seperti ini.

Suatu hari, muncul dia. Punca Wulan (1) dan Anse (2) jadi seperti ini. Mendengar sahaja suara dia, Anse (2) menggigil lalu menyembunyikan diri manakala Wulan (1) pula cepat-cepat menggantikan Anse (2) mengambil alih badan aku. Terlalu cepat seperti kilat, aku tidak sedar ini semua.

Wulan (1) yang dulu tidak muncul kan diri setelah sekian lama, penuh dengan emosi marah yang membuak-buak. Panas dan sakit. Hati aku rasa terbakar. Arghh, sakit yang amat. Jantung aku seperti dicengkam.

Habis berselerak bilik. Dinding rosak, bercalar dibaling kerusi dan kaca. Langsir runtuh. Batang penyapu besi kemik dihempas berkali kali pada meja dan buku. Selipar dibaling pada pintu. Bilik aku berantakkan. Pinggan mangkuk yang makanannya tidak habis pecah dibaling.

Luka kaki aku memijak lantai berserpihan kaca. Luka tangan dan kaki aku akibat dihempas pada lantai dan dinding. Sakit tekak menjerit dan menyumpah seranah makhluk bernama ‘kakak kembar’

Hanya satu sahaja yang masih lagi tidak rosak. Sebuah cermin gergasi yang berharga ratusan ringgit. Cermin kesayangan aku. Cermin yang menyaksikan seorang wanita yang matang bertukar menjadi seorang wanita gila.

Aku tenung lama-lama pada cermin gergasi itu dan kemudian aku menangis. Begitu hodohnya aku, rambut yang tidak terurus, muka kusam, bibir pucat akibat tidak makan, kurus seperti rangka.

Begitu busuknya, baju yang tidak terganti-ganti, air yang tidak disentuh pada badan selama berhari-hari. Begitu hinanya, keadaan aku yang seperti hilang arah, seperti seorang makhluk bernama jin, menggila seperti dirasuk, merosakkan harta dan nama aku sebagai seorang wanita matang.

Aku terasa sesak nafas. Apa sudah jadi pada aku..?

Sekali lagi aku menangis sambil memandang cermin. Aku semakin dekat ke cermin dan melihat keadaan diri aku dan bilik aku. Kemudian aku tergelak sedikit sambil air mata tidak henti bercucuran membasahi pipi aku.

Ini kisah benar dari aku budak ‘tu’

(Ini bukan rekaan semata-mata. Ini adalah sebuah cerita yang ditulis dari sudut pandangan berbeza tetapi cerita yang sama)

Sambungan dari ‘salah satu daripada kami adalah syaitan itu’ (https://iiumc.com/salah-satu-daripada-kami-adalah-syaitan-itu-ii/).

– Budak ‘tu’ (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *