Aku Isteri Yang Terpaksa Menderhaka

Aku, isteri yang terpaksa menderhaka.

2002. Masa tu aku dan suami dah tahun2 akhir kat U. Dah nak habis belajar. So… beranikan diri berkahwin.

Kitorang tak ada masalah. Dari awal dah sedia yang hidup akan perit diawal perkahwinan.

Suami aku alhamdulillah baik. Bertanggung jawab. Aku tak dibenarkan bekerja. Dia nak anak2 dia boleh membesar dalam asuhan tangan aku sendiri. Aku akur.

Lepas habis belajar, aku dan suami tumpang rumah mentua. Sementara tunggu suami cari kerja dan kumpul duit deposit nak sewa rumah.

Mentua aku orang ada2. Bukan orang susah. Adik beradik suamiku tak ramai. Ada seorang abang yang dah berkahwin dan seorang adik perempuan.

Masalah mula bermula.

Mak mentua aku tak suka aku. Sebab aku suri rumah.

Keadaan semakin tak berpihak padaku, sebab biras aku wanita bekerja.

Jadi, aku semakin dibanding2kan.

Aku masih boleh kawal diri. Sebab suami sayang aku.

Perlakuan mak mentua padaku dan biras memang beza.

Pendek kata, mak mentua tak percaya aku. Aku tak layak dapatkan apapun hatta duit nafkah 10 sen.

Tapi… kerja rumah aku kena buat semua. Dari kemas seluruh rumah, masak untuk makan semua penghuni rumah, cuci baju seluruh orang rumah, apa2 pun lah. Aku kena buat. Ipar anak beranak makan di rumah mak mentuaku.

Mak mentua pun selalu bermasam muka jika bercakap dengan aku. Bersuara kasar. Kepada suamiku pun sama. Berkasar. Aku menempati kasta paling bawah dimata mak mentuaku.

Beza layanannya kepada abang iparku dan birasku.

Mak mentuaku sangat lembut dan percaya pada biras aku. Tiap2 bulan selalu hulur duit pada biras aku, walaupun biras aku ada kerja dan gaji sendiri.

Best kan jadi biras aku.

Abang ipar aku jenis pandai mengampu, beza dengan suamiku yang pendiam dan lurus bendul.

Suamiku tak pernah bercakap kasar atau tinggi suara pada mak mentua, walau mak mentua selalu berkasar kepada suamiku.

Beda dengan abang ipar, yang tak pernah segan silu bercakap kasar dan menengking mak mentuaku if tak suka.

Mungkin sebab itulah mak mentuaku sangat lembut memperlakukannya.

Sesempurna suamiku, pasti ada jua lah kekurangan dia terhadapku.

Yang paling aku tak suka adalah suamiku terkadang suka terlepas cakap. Emosi sesaat.

Terutama jika dia diperlakukan kasar oleh ibunya.

Walau bukan nada menengking, nada halus sahaja tetapi aku terasa dengan kata2 suamiku.

Aku mencuba faham bahwa dia mungkin melepaskan geram.

Hidup aku seketika macam stuck. Jalan ditempat.

Mana tak nya…duit aku tak pernah pegang. Kerja rumah melambak dari buka mata pagi hari sampai malam. Nak kerja tak dapat.

Aku dah macam kuli tak bergaji.

Dipandang hina mentua pun satu hal juga.

Serabut otakku dibuatnya.

Tak dapat nak beli apapun, walaupun sebiji gula batu. Baju zaman masih dara itulah baju aku. Skincare make up apa benda itu semua memang tak ada lah…. sabun untuk badan itulah sabun untuk muka.

Aku basuh rambut pakai sabun badan atau sabun cuci kain okay.

Sampai macam itu tahap miskin aku, walau hidup dengan mentua yang berada. Aku tak kesah lah bab2 itu.

Suami masih sayang aku, meminta aku bersabar dan memberi dia masa.

Aku pun akur.

Pejam celik, dah 2 tahun aku hidup dengan mentua. Seksanya sangat.

Suami berjaya mendapatkan pekerjaan yang sesuai 3 bulan selepas kami duduk dengan mentua.

Untuk keluar dari rumah mentua, aku rasa harapanku masih suram.

Aku tak nampak tanda2 itu.

Mak mentuaku menghalang. Dengan alasan, sayang jika suamiku bayar sewa kat orang, baik bayar pada dia.

Selama kami diam rumah mak mentua, nafkah untukku tak ada. Duit dibagi pada ibunya. Untuk bayar bahagian kami diam di rumah itu.

Bakinya untuk tambang bas suamiku pergi balik kerja dan simpan untuk rumah kami.

Kami duduk situ tak free sebetulnya, walaupun aku buat seluruh kerja rumah.

Bila tiba musim perayaan, lagilah aku letih.

Letih jiwa dan ragaku.

Aku bersengkang mata masak dari tengah malam2 buta. Seluruh menu untuk open house. Keseorangan. Sampai pagi.

Pagi2 biras aku datang dengan anak beranaknya melantak makanan dan tinggalkan macam itu je atas meja. Siapa yang kemas? Mestilah aku.

Birasku bolehlah datang cantik2 harum mewangi. Tebar senyum dan pesona kepada semua tetamu. Sebab just datang duduk makan. Tak perlu bersilat kat dapur.

Mak mentuaku nampak itu semua, tapi dia macam membuta. Yang dapat angpau pun biras aku dari mentuaku. Aku? Tak layak. Sebab aku suri rumah. Tak ada keperluan pegang duit. Itu kata mentuaku lah..bukan andaian aku.

Yang dapat pujian pun biras aku. Konon pandai jaga badan, tak bau dapo macam aku.

Suamiku banyak diam. dia tak dapat buat apapun masa aku dibuli mentuaku. Hanya meminta aku bersabar.

Bukan sepenuhnya salah suamiku, sebab suamiku memang jenis macam itu. Pendiam.

Jiwa aku mulai rasa kosong.

Aku tak sebaik dulu, terutama dalam hal ibadah.

Sembahyang ala kadar asal cukup 5 waktu.

Amalan2 sunnah satu persatu mulai aku tinggalkan.

Aku mulai kurang bercakap.

Rutin harianku tetap sama. Bangun pagi sampai tidur balik kena pastikan semua penghuni rumah selesa dan kenyang. Rumah bersih dan kemas. Kena hadap perangai mak mentuaku yang tak pernah menghargaiku juga.

Sejujurnya aku menangis dalam diam.

Aku terkenangkan ayah ibuku, yang sangat menyayangiku.

Aku tak pernah mengadu keperitanku disini.

Bagiku, biarlah ayah ibuku tahu yang aku hidup bahagia. Tak perlu tahu betapa mentalku hampir koyak.

Aku disahkan mengandung masa tahun ke tiga kami menumpang di rumah mentua.

Awal mengandung aku mengalami alahan teruk. Sampai nak bangun katil pun tak dapat.

Tapi mentua tak nak faham. Mentua cakap aku ini mengada. Dia mengandung 3 kali tak pernah semalas aku. Dia cakap lah…

Masa ini suamiku dah beli rumah baru sebenarnya, tapi kami belum dapat berpindah. Sebab mak mentuaku seolah2 selalu menghalangi secara halus. Pelbagai macam alasan.

Tri semester ke tiga, kesabaranku dah sampai pada limitnya. Aku bagi dua pilihan pada suamiku, pindah sekarang juga atau aku angkat kaki dari hidupnya.

Dan aku bagi ugutan, jika aku yang terpaksa angkat kaki maka dia tak akan pernah jumpa anak yang dalam perutku ini.

Suamiku akur. Kami pindah masa itu juga.

Masa melahirkan pun tiba. Maka berpantanglah aku.

Mak mentua tak nak tolong walau suami merayu meminta mak mentua menolongku. Setidaknya mengajar aku dan suamiku macam mana nak handle orang pantang dan bayi kecik.

Mak mentua tak endah. Beza sungguh layanannya kepada birasku masa berpantang. Mak mentuaku menjaga dengan penuh perhatian.

Makan minumnya mak mentua yang sediakan.

Semakin membuatku sedih apabila mak mentua mengata bayiku macam2. Konon bayiku degil. Tak pandai dengar kata dan menyusahkan sebab kerap tak tidur malam.

Bayi kot…dah harus pandai dengar cakap orang tua. Mengarut.

Rumahku dan mentua dekat. Suami beli rumah berdekatan rumah parent dan abang ipar. Sebab nak sama2 jaga mentua masa dorang tua.

Anak2 abang ipar diam dekat rumah mentua. Zaman aku duduk dengan mentua, aku lah nanny tak bergaji pada 3 orang budak ini.

Akhirnya berpantanglah aku sendiri. Aku jaga diri sendiri dibantu suami.

Ketika ini aku sudah sangat berkecil hati dan terasa hati atas sikap mak mentuaku. Sampaikan aku jadi kemurungan.

Satu masa, suamiku terlepas cakap kepadaku. Mengguris hatiku. Aku tak boleh terima.

Sudahlah aku tertekan dengan sikap ibunya, harus bersengkang mata siang malam tak cukup tidur kerana bayi kami jarang tidur malam, pun ditambah mulut suamiku yang mengguris hatiku.

Entah setan mana yang menunggangi aku, aku meletup masa itu.

Aku tarik baju suamiku, aku tarik rambutnya. Dan aku cakap pada dia untuk tak membuli aku secara verbal lagi.

Aku hajar betul2 suamiku memakai tali pinggang dia dan penyapu. Sampai patah jadi dua sapu itu aku pukul2 kan pada suamiku.

Aku terlalu emosi.

Aku luahkan semua yang terbuku dihatiku, bahwa aku letih dipijak oleh orang tuanya, aku letih dengan sikap diam dia yang bodoh dan menghancurkan aku, aku letih jadi kuli tak bergaji emaknya.

Suamiku melawan untuk melindungi dirinya dari amukan aku. Membuatku semakin liar menghajarnya. Rumah kami seketika macam terkena puting beliung.

Banyak harta benda musnah akibat aku baling. Setiap kali dia melawanku, maka aku lawan dia balik, aku hajar dia, aku lempar barang, aku teriak macam kena rasuk. Aku tak nak mengalah.

Suamiku tergaman dengan sikap buasku.

Aku betul2 diluar kendali.

Aku bagi dia dua pilihan, sama ada pilih mak dia atau aku.

Jika pilih mak dia, aku akan hantar dia balik rumah mak dia. Jika dia pilih aku dan anak, aku nak dia tak complain apa yang akan aku buat lepas ini dan selamanya. Aku paksa dia buat pilihan.

Dia pilih aku dan anak.

Sejak dari itu, sikapku pada keluarga mentuaku terutama mak mentuaku berubah.

Aku tak nak buat apa2 kerja untuk mak mentuaku.

Jika mak mentuaku berkata kasar, aku menjawab dengan kasar pula. Jika mak mentuaku memerliku, aku terus direct sound mak mentuaku.

Duit dari suamiku pun aku stop. Aku yang tentukan limit berapa dan bila suamiku boleh bagi pada maknya. If nak bagi pun, aku pastikan melalui tangan aku, bukan tangan suamiku.

Aku cakap depan2 kepada mak mentuaku untuk berurusan denganku jika melibatkan duit suamiku, jangan ganggu suamiku bab duit.

Suamiku macam manusia normal la, awal mulanya bangkang. Buat muka dekat aku. Gaduh jugak la kami laki bini.

Tapi aku dah kebal. Aku kuatkan hati. Ko buat aku, aku buat ko. Nak terus rumah tangga ini, ikut cakap aku. Ko nak tadbir rumah tangga ini, aku 100% sedia menghambakan diri.

Tapi pada masa yang sama, aku nak kesihatan mental aku terjaga. Besarkan anak2 tanpa melukai pasangan. Apa yang boleh melukai pasangan, kena dihalang bersama. Kena bagi kerja sama. Tak nak ikut rules ini, cerai.

Itu sahaja aku mampu pikir dan buat.

Pernah juga aku tangkap basah mak mentuaku sedang berusaha cuci otak suamiku. Mengata aku didepan suamiku.

Konon aku istri yang kurang hajar berani nak mengatur kewangan suami padahal aku hanya suri rumah yang duduk rumah goyang kaki.

Aku sergah masa tu juga mak mentuaku didepan suamiku. Aku cakap untuk kutip anaknya balik if anaknya nak, dan jangan sesekali berani nak mengata aku lagi depan anaknya selagi aku masih bini sah dari anaknya.

Merah padam muka mak mentuaku. Dia tak sangka aku boleh seberani itu.

Ya aku akui aku memang kurang hajar dan berani cakap direct depan2 tanpa tapis.

Aku dah tak nak pendam perasaan sorang2.

Tak nak makan hati ulam jantung fikir perangai orang padaku. Walaupun orang itu lebih tua dari aku. Mentuaku sendiri.

Aku berusaha menjadi sebaik2 istri. Layananku pada suami.

Perut suami dan anak2 aku selalu jaga. Berjimat cermat.

Bab rumah dan urusan anak, kami buat bersama2.

Masa suami kerja, urusan rumah dan anak sepenuhnya aku handle. Aku tak nak kacau suami dekat ofis.
Suami tolong apa yang patut masa cuti dan sepulang kerja.

Mak mentua marah masa tau, fikir yang aku kulikan anak dia. Tak layan anak dia macam raja.

Direct aku jawab supaya tutup mulut dan jangan campur hal rumah tangga aku, ini rumah tanggaku, pakai cara aku. Bukan rumah tangga dia. Ya.. aku cakap macam itu kepada mak mentuaku.

Aku kerap dipulau oleh mak mentua. Terutama masa perayaan. Anak2ku pun dapat tempias yang sama.

Aku tak peduli. Masa raya aku tetap datang bertandang. Datang duduk makan. Tak nak buat apa2 kerja atau tolong didapur.

Sekuat apapun aku mengabdi sampai habis tenagaku, if orang tak suka tetap tak suka. Aku tak nak paksa hati orang lagi. Aku dah tak selekeh.

Aku dah boleh jadi kemas dan wangi. Boleh bergambar sakan dengan suami dan anak2ku masa raya. Boleh makan dengan tenang tanpa perlu fikir pinggan cawan bekas tetamu kat dapur kena dicuci cepat.

Ya, aku tetap boleh telan makanannya walau aku dipulau. Dan anak2 ku pun tak seberapa dilayan.

Aku butakan mataku dan cekalkan hatiku setiap tengok rumah mentua bersepah. Pandai2lah dia atur sendiri. Itu rumah dia. Party dia. Tak perlu aku menyebok memperbetulkan keadaan.

Aku boleh menolak dan menjawab “Tidak” masa ibu mentua menyuruhku buat kerja2 rumah dan dapur dia. Selalu menyuruhku. Dan jawabanku tetap sama : “tidak”.

Begitu juga masa ibu mentua menyuruh suamiku, dengan tegas aku halang.

Sebab itulah jika musim perayaan terutama raya atau ada jamuan makan2 apapun di rumah mentuaku, aku pastikan aku ikut suamiku. Aku tak nak suamiku menjadi hamba menggantikan aku.

Ya, memang aku berkira dan kurang hajar. Sebab selama aku menjadi menantunya, sekalipun aku tak pernah melihat abang ipar, biras ataupun anak2 mereka membantu kerja2 dapur dan rumah mentuaku.

Mereka bossy. Berlagak sebagai boss dan mengkulikan mentuaku.

Apakah abang ipar dan biras rutin hulur wang bulanan kepada mentuaku? Tidak. Mentuaku yang hulur wang bulanan kepada birasku dan abang iparku.

Fikir aku, jika abang iparku diintan payungkan, maka mentuaku tak berhak mengkulikan suamiku.

Anugerah “menantu derhaka” telah pun berjaya aku sandang.

Aku tau yang dia ibu suami aku. Aku tak boleh putuskan hubungan suamiku dan keluarganya.

Aku pun tak ingin menderhakan macam ini. Tapi aku tak ada pilihan. Aku tak nak pilih pada pilihan yang menyusahkan aku demi kebahagian dan senyuman orang lain.

Aku masih sembunyikan hal2 macam ini dari anak2ku. Pandai2lah aku cover. Anak2ku tetap merasa disayang oleh keluarga suami walaupun jarang dilayan dan disisih.

Jadi anak2ku tak membenci atuk dan nenek dorang.

Anak2ku masih kecil2. Suatu saat mereka akan tau sendiri dan boleh menilai sendiri keadaan yang terjadi.

Aku tau terkadang suamiku pun pening tengok perangaiku yang macam ini. Nak tegur aku lebih2 pun tak dapat.

Sebab aku jalankan tanggung jawab aku sepenuhnya tanpa merungut sebagai ibu dari anak2nya dan istri. Dan aku tak pernah halang dia berjumpa keluarganya.

Setiap perayaan pun aku selalu mendampingi untuk bertandang.

Aku tak tau pengajaran apa yang aku boleh tuliskan dekat sini. Pandai2 korang la ye untuk ambil iktibar dari kisah aku.

Apa yang baik, ambillah. Yang buruk, tinggalkan.

If kisahku ini mengandungi keburukan yang banyak, maka doakanlah aku supaya aku kembali ke pangkal jalan dengan hati rela.

Aku terpaksa menderhaka macam ini…

– Penderhaka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *