Salam semua pembaca IIUM Confession. Saat aku tengah menaip ni, aku tengah bergaduh dengan suami aku.
Aku rasa, sejak aku kahwin dengan suami aku dalam 6 tahun ni. Aku start kena depression. Biar aku cerita kenapa.
Sebelum tu, aku nak ucapkan terima kasih pada admin awal-awal seandainya kisah aku ni disiarkan. Semoga aku dapat semangat dari komen-komen pembaca untuk meneruskan liku-liku hidup.
Sedikit latar belakang, aku dengan suami ni dah kahwin lebih kurang 6 tahun. Dia ni memang nampak islamik, budak sekolah agama, kerja profesional dan nampak baik luarannya.
Mak ayah aku pun berkenan kat dia sebab latar belakang family dia lebih kurang family aku. Family aku juga berlatar belakang islamik professional.
Aku juga dari sekolah agama. Jadi, kami seakan sekufu dari segi latar belakang keluarga dan tahap pendidikan.
Tapi benarlah orang kata. Selagi tak hidup sebumbung, tak tidur sebantal. Memang kita tak akan tahu perangai sebenar pasangan kita.
Aku takde masalah dengan family dia. Cuma aku ada masalah dengan suami aku. Yang orang nampak dia baik macam malaikat, kerjaya hebat dan bercakap pun lemah-lembut je. Tapi aku je tau perangai sebenar dia kat rumah dan bila dengan aku.
Sebelum kahwin dengan dia, aku ni kira budak pandai dan high achiever. Alhamdulillah aku juga bekerja dalam bidang professional.
Tapi lepas berkahwin dan dikurniakan anak, suami suruh aku behenti kerja untuk jaga anak full time. Disebabkan nak kejar taat pada suami, aku turutkan.
Tak pernah dalam hidup aku, aku berangan nak jadi housewife. Mak ayah aku dedua kerja dan ada maid. Jadi, aku ingatkan jalan hidup aku pun akan macam tu bila dah besar dan berkahwin. Rupanya aku salah.
Jadi, bermula lah episod aku menjadi surirumah tanpa rela. Setelah beberapa tempoh waktu berkahwin, barulah aku nampak true colour dia.
Suami aku selalu menggunakan kuasa veto dia. Aku tak boleh tinggikan suara langsung, tak boleh menjawab. Nanti dia tengking aku dengan suara halilintar dia.
Baginya, tiada siapa boleh tinggikan suara atau marah dia. Apatah lagi seorang perempuan. Egonya tinggi melangit.
Di sebabkan itu, setiap kali pergaduhan. Aku terpaksa mendiamkan diri untuk elak pergaduhan menjadi lebih teruk dan sebab aku fikir berdosa. Jadi, aku selalu mengalah.
Dia juga suka merendahkan wanita. Contohnya sekiranya ada kereta yang bawa perlahan di jalan raya, dia akan marah-marah dan melabelkan pemandu tersebut mesti perempuan walaupun belum mengetahui apa jantina pemandunya.
Baginya, perempuan perangai begitu begini. Yang buruk-buruk sahaja. Sedangkan aku berjumpa banyak juga pemandu lelaki yang memandu cuai atau perlahan. Pada aku, ini bukan isu jantina tetapi sikap individu.
Tapi bagi suami aku, perempuan je salah. Dia seolah-olah anti dengan perempuan. Apa-apa silap akan dikaitkan dengan perempuan.
Perempuan tak reti memandu, perempuan emosi, perempuan itu, perempuan ini.
Dia juga suka mengamuk jika sedang marah. Terutama ketika memandu. Dah beberapa kali insiden ini berlaku.
Jika dia naik angin ketika sedang memandu, dia akan bawak kereta laju-laju dan berbahaya dengan sengaja. Sehingga kecut perut aku yang berada di seat penumpang.
Hampir semua benda dia nak langgar termasuklah kereta, motor atau manusia sedang berjalan. Aku hanya mampu mengucap dan berdoa dalam hati. Sebab dia memang tak makan nasihat waktu tu.
Cakap la apa pun, dia tak akan dengar. Sampai aku rasa nak buka pintu dan terjun sahaja dari kereta kerana sikap tak sayang nyawa dia tu.
Aku pernah cuba beritahu sikap memandu membahayakan nyawa kami itu kepada adik beradiknya dengan dengan harapan, mungkin boleh menasihati dia.
Tapi malangnya. Adik beradik suami ‘back up’ perbuatan suami dengan alasan ‘dia mengantuk kot waktu tu’.
Suatu alasan yang tak logik pada aku sebab waktu dia tengah marah, mana mungkin dia mengantuk.
Mungkin keluarga suami aku sendiri tak tahu sikap suami aku sendiri bagaimana ketika mengamuk. Dia kan sentiasa nampak baik depan semua orang.
Hanya aku yang tahu dan menanggung sendirian rasa ini. Sudah beberapa kali insiden ini berlaku dan setiap kali itu, aku akan rasa takut dan kecut perut dengan sikap pemarah dia.
Disebabkan aku selalu memendam rasa, perasaan itu rupanya makan diri aku kembali. Hati aku terluka. Belum pun sembuh parut lukanya, ditoreh kembali berkali-kali.
Normal seorang wanita akan merajuk jika terasa hati. Tapi suami aku akan tengking aku balik jika aku merajuk. Endingnya, aku terpaksa pujuk hati aku sendiri.
Beberapa tahun selepas berkahwin, ibu dan ayah aku dijemput Illahi. Tahun yang berbeza. Aku bagai hilang diri aku sendiri bersama pemergian kedua ibu bapa aku.
Sedih yang tak terungkap. Aku kini anak yatim piatu. Hanya ada suami dan anak di sisiku. Tapi aku tidak dilayan selayaknya. Aku rasa keseorangan. Hanya anak sebagai penguat diriku.
Sejak menjadi surirumah, aku juga makin kehilangan rakan-rakan. Yela, dulu ada macam-macam topik untuk sembang.
Rakan-rakan akan hubungi aku untuk tanyakan maklumat atau info kerana aku sentiasa up-to-date dengan prosidur-prosidur semasa berkaitan pekerjaan ku.
Kini, mereka makin jarang menghubungiku. Status FB, IG atau wassap ku juga tiada yang like atau komen. Mungkin bagi mereka, tiada isu untuk bersembang dengan seorang surirumah sepertiku. Aku makin terpinggir dari manusia dewasa lain.
Hidup aku menjadi makin sunyi. Hanya bertemankan dinding rumah dan kerja-kerja rumah yang tak pernah habis. Aku sayang anak aku.
Memang aku rasa bertuah dapat menjaganya, melihat setiap perkembangannya. Tapi sebagai manusia dewasa, aku perlukan insan sekeliling yang dewasa juga untuk berbual dan meluah rasa.
Handphone aku makin sunyi. Dulu, ketika ibu bapa aku masih ada. Berbunyi la juga handphone aku dengan panggilan atau wassap dari mereka.
Kini, tidak lagi.. hanya suami aku sahaja yang aku harapkan menghubungiku saban hari. Yang pasti, dia pun jarang mengubungiku ketika waktu kerja. Sunyi.. aku sangat sunyi. Hanya bunyi alarm yang berfungsi di handphoneku.
Kini, anak aku dah tadika. Waktu dia ke tadika, aku keseorangan di rumah. Aku jadi takut kerana sendirian di rumah kerana terlalu sunyi.
Aku selalu termenung dan berbaring ketika sorang-sorang. Berfikir macam-macam terutamanya masalah. Sehinggalah waktu untuk ambil anakku dari tadika. Barula hidupku sedikit bermakna.
Bukan itu sahaja, suami aku juga jarang menunaikan nafkah batin. Sehinggakan aku rasa tersiksa. Bila ditanya, dia akan tukar topik. Tidak menjawab persoalan. Mengelak. Itu juga sebab kenapa anak aku hanya seorang sehingga kini.
Aku tak tahu kenapa aku bertahan. Mungkin sebab aku tiada siapa-siapa lagi di dunia ini kecuali keluarga kecil ini. Aku tak tahu ke mana hendak pergi.
Tiada ibu bapa lagi untuk aku berpaut dan berbakti. Adik-beradik ku masing-masing mempunyai kehidupan dan keluarga mereka sendiri.
Aku juga terlalu sayang pada anak aku. Semoga anak aku membesar menjadi anak yang soleh dan baik. Walaupun aku ibu yang tak sempurna dan banyak kekurangan. Aku cuba jadi yang terbaik.
Dan disebabkan faktor-faktor yang aku ceritakan. Aku mula rasa depressed. Aku membuat bacaan di internet. Aku cuba ujian DASS di website. Dan aku dapati score depression aku agak severe.
Betul lah kajian menyatakan, surirumah lebih ramai yang kena depression. Dan aku sedar aku start develop depression ini sejak berkahwin. Dan orang terdekat denganku iaitu suamiku punca semua tekanan ini.
Disamping aku kehilangan wali keramatku iaitu ibu dan ayahku. Aku juga hilang keceriaan dalam hidup aku.
Dulu, aku selalu tertanya. Apakah rasanya berkahwin? Pasti indah-indah seperti cerita dalam novel. Boleh bersentuhan dengan lelaki bergelar suami.
Pasti akan ada rasa umpama renjatan elektrik mengalir saat kulit saling bersentuhan. Naifnya aku. Sebab kehidupan realiti itu bukanlah seindah novel. Penuh onak duri mnguji setiap inci hati dan perasaan.
Suamiku memang baik terhadap keluarganya. Baik terhadap ibu bapa dan rakan-rakan. Tapi bukan dengan aku. Tiada belaian dan kemesraan untukku.
Nafkah zahir dari segi wang sekadarnya. Itu aku bersyukur kerana aku tidak bekerja. Tapi tiada nafkah batin yang melengkapkan. Aku juga tak pasti apa pandangan dan anggapan dia terhadap aku.
Aku cemburu melihat kemesraan pasangan suami isteri yang lain. Suami yang melayan isterinya dengan kasih-sayang dan cinta.
Penuh kelembutan dan sanggup berkongsi apa sahaja, menghargai isteri di tahap sepatutnya. Tiada rahsia dan jujur. Tapi, itu semua bukan kisah aku.
Suamiku boleh memeluk ibu dan ayahnya. Tapi dia tidak memelukku saat berada di sisi. Dia sanggup berkorban untuk keluarganya. Tapi bukan untuk keluarga kecil kami yang sepatutnya menjadi keutamaan dia.
Maaf aku terpaksa luahkan di medium ini rasa dan perasaanku. Doakan aku dapat keluar dari masalah ini dan akan sinar pelangi yang indah akhirnya.
Aku buntu apa yang harus aku buat.. Andainya ibuku masih ada, pasti aku ada tempat boleh meluahkan segala rasa, meminta nasihat dan doa darinya. Namun, Allah lebih menyayangi mereka berdua…
– Lin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit