Hello everyone. Aku perkenalkan diri aku sebagai Anita. Bekerja sebagai kerani di syarikat yang sangat stabil walaupun ketika dilanda pandemik. Umur 29, sudah berkahwin dan mempunyai anak 1.
Apa yang aku bakal ceritakan hanyalah perkongsian yang sepatutnya boleh dielakkan.
Syarikat yang aku kerja sekarang merupakan syarikat yang ke 4 aku bekerja.
Sebelum ni, aku tidak pernah ada masalah skandal di tempat kerja walaupun dengan persekitaran ramai lelaki. Tapi kali ini, aku tak dapat elakkan.
Cerita bermula sejak aku masuk kerja lagi. Ini adalah company pertama yang aku kerja selepas bertukar status berkahwin.
Kiranya, aku kekal di syarikat sebelumnya kira kira setahun selepas berkahwin, tapi disebabkan persekitaran dan skop kerja yang berat membuatkan aku berhenti kerja supaya mudah kalau aku mengandung kelak.
Masa awal masuk kerja, ramai yang menyangka aku hanyalah intern disebabkan aku nampak muda.
Setelah beberapa hari bekerja, ada seorang lelaki yang bertanyakan tentang aku melalui orang ketiga iaitu teammate dia, seorang perempuan. Macam mana aku tahu, sebab orang ketiga tu la bocorkan rahsia.
Lagipun nampak pelik seorang perempuan bertanya dengan detail tentang perempuan yang lain. Duduk mana, umur berapa, nama siapa, suka lelaki bagaimana.
Dan akhirnya aku bagitahu status aku sebagai isteri. Selepas itu, tiada sudah pertanyaan daripada dia. Aku nama kan dia sebagai Najib.
Najib kerja satu bangunan dengan aku, cuma berlainan department. Umurnya 30an dan mungkin bakal berkahwin.
Najib seorang yang suka bergurau dan ramah tak kira dengan siapa walaupun orang atasan dia, tetap dia berani bergurau.
Disebabkan dia memang seorang yang ramah, jadi tidak janggal bila sesekali dia mengusik ketika kami bertembung.
Selepas 2 tahun aku bekerja di situ, aku mengandung anak yang pertama setelah 3 tahun penantian. Ketika itu makin kerap Najib bertegur.
Hari hari tanya how’s your day, belikan air, angkatkan barang.
Pada asalnya, aku menganggap bahawa dia hanya bersikap mesra, tapi lama kelamaan, sangat ketara layanan nya berbeza terhadap aku disebabkan ada juga sahabat yang lain sama sama bunting tapi tidak dapat layanan sebegitu.
Aku mula mencipta jarak sedikit disebabkan aku sedar aku berstatus isteri orang.
Tapi lama kelamaan sikapnya yang sangat mengambil berat, mengalahkan suami aku, membuatkan aku tak mampu lagi untuk menidakkan. Lagi lagi selepas naik cuti bersalin, setiap kali bertembung mesti ditanyakan keadaan aku.
Aku akui selepas bersalin aku menjadi sangat burnout, dengan suami yang tak membantu buat kerja rumah walaupun diminta tolong, anak yang meragam, dengan jadual tidur berterabur.
Hampir setiap hari aku menangis keseorangan. Orang sangka aku kurus kerana menyusukan anak, tetapi sebenarnya aku penat dan stress.
Bila aku luahkan kepada suami, seperti melepaskan kepada angin. Langsung tiada perubahan. Akhirnya aku pendam.
Suami juga tidak menjaga emosi aku, memang complete nafkah zahir dia bagi, tapi dia lupa nafkah batin iaitu emosi aku juga perlu dijaga. Akhirnya aku pergi kerja dengan keadaan lesu dan berserabut.
Bayangkan suami buat tak peduli dengan aku, tetapi dalam pada masa yang sama ada orang yang bertanya khabar aku hampir setiap hari. Senang cerita rumah tangga kami hambar.
Aku pernah la cuba bergurau juga dengan suami, tetapi suami aku bersikap dingin dengan aku.
Akhirnya, daripada tegur berdepan dengan Najib, kami mula berkomunikasi menggunakan medium bekerja kami iaitu Teams. Applikasi teams tu kami buat seperti whatsapp.
Dan komunikasi kami hanyalah ketika waktu bekerja tetapi seperti orang bercinta. Cuma tak ada sesi meluah i love you, you love me. Bergurau, bercerita, tapi tak pernah sekali pun kami buka cerita dalam kain atau aib suami.
Biasanya hanya gurau gurau atau berbual kosong tentang anak, makanan, kerja, keluarga dan sebagainya.
Aku pernah juga rasa serba salah dengan suami. Yelah, Najib tu bujang, aku pula isteri orang.
Sebenarnya menurut cerita kawan kawan sepejabat, Najib juga bakal berkahwin tak lama lagi.
Aku tak tahu perasaan sebenar aku pada Najib, dan apa perasaan sebenar Najib pada aku. Tapi kami selesa begini. Menjadi kekasih professional.
Aku pernah tanya Najib siapakah aku pada dia, dan jawapan dia, you’re my angle. Tapi aku anggap itu sekadar gurauan.
Kadang kadang aku terfikir, inikah curang? Apa akan jadi sekiranya aku berkahwin lambat sedikit iaitu ketika aku sudah berjumpa Najib, mesti aku berkahwin dengan dia.
Tapi bila difikirkan balik dulu sebelum kahwin percintaan aku juga indah. Tidaklah seperti rumah tanggaku yang hambar ini.
Aku rasa sekiranya suamiku tahu tentang perkara ini, mesti dia akan layan aku dengan lebih baik. Aku tidaklah menyalahkan 100 peratus kepada suami aku bahawa aku ada kekasih professional ini,
Tapi sikapnya yang sangat dingin terhadap aku memberi peluang kepada orang lain untuk menggembirakan aku. Walaupun aku sedar silap aku kerana melayan, tetapi punca nya perlu juga diketahui.
Suami ku juga sangat membiarkan aku hidup berdikari. Nak pergi mana, pergilah sendiri. Ke kedai, jalan jalan, balik kampung. Sedangkan ada masa aku juga perlukan teman.
Aku juga mahu mengada ngada ketika buat apa apa tetapi disebabkan dia lebih suka aku berdikari akhirnya aku terlebih berdikari sehingga ada kekasih professional ini kerana di office la aku buat episode mengada ni.
Tiba tiba rasa tak ada tangan nak buka pintu, parking kereta tak pandai, cari barang tak jumpa dan pelbagai lagi. Buat kat suami, suami tak layan, aku buat kat Najib, dia layan.
Para suami, sila jangan biarkan isteri anda berdikari kerana percayalah, dia akan boleh hidup tanpa kau suatu hari nanti. Kadang bukan nak mengada, tapi nak perhatian. Kau tak boleh bagi, ada orang yang boleh bagi.
Para isteri, jagalah batas anda lagi lagi ditempat kerja. Sekali terjebak, susah untuk berpatah balik. Macam aku la tu. Sama ada dia resign, atau aku resign baru perkara ni akan terhenti.
Sekian..
– Anita (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit