Assalamualaikum W.B.T buat semua pembaca IIUM Confession. Di dalam confession ni saya gelarkan diri saya sebagai Bonda, seorang isteri, ibu dan nenek kepada enam orang cucu yang comel. Dahulu Bonda bekerja di sektor swasta, kini mengusahakan kedai jahitan kecil-kecilan.
Suami Bonda merupakan pesara tentera dan kini mengambil upah wiring kecil-kecilan dan ada mengusahakan ternakan lembu dan kambing.
Mengusahakan ladang ternakan tu memang impian dia sejak sebelum berkahwin dengan Bonda lagi, tapi dapat ditunaikan bila usia menjelang senja bila semua anak-anak dah habis belajar.
Bonda dah lama tak menulis, jadi terlebih dahulu Bonda ingin meminta maaf andai penulisan Bonda sukar difahami oleh pembaca.
Confession Bonda ni berkenaan dengan isu ibu bapa yang menjadikan anak sebagai skim persaraan untuk mereka. Maaf juga andai penulisan ini berlandaskan emosi, amarah dan kecewa.
Perkara ini terjadi kepada anak Bonda yang bongsu di mana suaminya didesak untuk memenuhi keinginan orang tuanya yang pada Bonda bersifat kehendak.
Menantu bongsu Bonda, Akmal (bukan nama sebenar) tu kerja biasa-biasa sahaja, cukup untuk keperluan anak dan isteri. Untuk hidup mewah mungkin memerlukan sedikit lagi usaha dan masa. Buat masa ni duit yang ada cukup-cukup sahaja.
Ibu Akmal selalu mengingatkan Akmal tentang keberkatan gaji dan mengatakan hidup Akmal tak berkat kerana tidak menghulurkan sejumlah wang kepadanya.
Walhal dia tau Akmal bukan bergaji besar dan kebanyakan perbelanjaan rumah ditanggung oleh isterinya, iaitu anak Bonda. Seorang isteri bila suaminya dimarahi atau disindir pasti dia akan terasa. Jadi, dialah yang akan menghulur duit kepada ibu mertuanya.
Dia bukan terdesak memerlukan duit, malah duit tersebut digunakan untuk membeli bekas jenama tipuware, tudung jenama Ariana dan pelbagai barangan viral di aplikasi TikTok.
Bonda tau pun sebab dia selalu sahaja update di status whatsapp apabila parcel nya sampai. Kata anak Bonda, bukan suaminya sahaja yang didesak, malah adik-beradik lain pun mengalami nasib yang sama.
Anak-anak yang sedang mengumpul duit untuk berkahwin juga didesak memberikan wang bulanan yang banyak, sedangkan bukan dia tak tau anaknya itu sedang struggle mengumpul duit. Kita sebagai ibu bapa, tipulah kalau kita tak tau langsung keadaan kewangan anak-anak kita.
Kenapa kena butakan mata dan hati demi memenuhi kehendak dan nafsu kita? Kita tau anak kita kerja apa, kita tau anak kita pendidikannya di mana dan kita juga tau komitmen apa yang ada di bahu anak-anak.
Semasa anak Bonda ingin berkahwin dengan suaminya Akmal, Akmal pun mengalami nasib yang serupa. Ibu bapanya langsung tak mengambil tau sama ada hantarannya sudah cukup, duit hantaran sudah diberi atau apa persiapan yang belum cukup.
Yang sering ditanya sama ada baju keluarga mereka sudah dibeli, hotel sudah di book atau belum dan juga tempat menarik yang mereka boleh lawati di sekitar rumah kami.
Sebulan sebelum berkahwin, Akmal datang ke rumah dan meminta maaf kerana duit hantaran belum cukup kerana ada tuntutan lain yang harus dipenuhi iaitu kenduri di sebelah lelaki.
Disebabkan ayahnya juga pesara tentera, jumlah tetamu mencecah 1000 orang.. Dia merayu supaya kami membenarkan dia berkahwin dengan puteri kami kerana pada dia, dia hanya ada puteri kami sahaja.
Dengan puteri kami lah dia bercerita segala masalah dan berkongsi segala suka, duka, susah dan senang. Ibu ayahnya bukan seorang yang terbuka dalam mendengar masalah anak-anak.
Suami Bonda okey je memandangkan ketika itu semuanya sudah ditempah dan dibayar, dan untuk wang hantaran tu terpulang pada anak Bonda dan pandai-pandailah dia berbincang dengan suaminya nanti.
Lagipun untuk kenduri belah kami hanya menjemput 400 orang yang terdiri dari keluarga dan kenalan rapat. Sekarang kan zaman media sosial, hebahkan sahaja di Facebook dan Instagram.
Apa pun Bonda bangga dengan Akmal kerana dia sangat berbudi pekerti dan pada Bonda sangat gentleman. Part ni Bonda puji keluarganya kerana budi pekerti anak mereka yang kami boleh bagi 5 bintang.
Bonda tak ada sekelumit pun rasa cemburu pada keluarga mertua anak, cuma Bonda kesian apabila anak Bonda turut terkena tempias.
Bonda besarkan anak Bonda dengan penuh kasih sayang, suami juga berhempas pulas memberikan anak-anak pendidikan tanpa membebankan mereka dengan hutang apabila habis belajar kelak.
Walaupun mempunyai pekerjaan tetap, suami juga membuat part time untuk menampung kos anak-anak dan keluarga.
Tetapi bila berkahwin, anak Bonda terpaksa menafkahi keluarga mertua kerana kasihankan suami yang sering disindir oleh ibu bapanya sedangkan nafkah untuk dirinya sendiri tidak tertunai.
Wahai para ibu dan bapa, bukalah mata anda seluas-luasnya terutama sekali si ibu. Ibu masih ada suami dan tanggungjawab suami untuk menafkahi ibu, bukan anak-anak. Tak malu ke dekat menantu terutama menantu perempuan bila dia yang kena menanggung keluarga?
Dia juga yang kena menanggung keluarga mertua? Masa para ibu jadi menantu dulu, ini ke yang ibu dapat? Atau kalau memang ibu mengalami nasib yang serupa, kenapa nak kena sambung kesilapan orang tua kita?
Sibuk dengan nafkah untuk ibu, sedangkan nafkah untuk anak bini dia terabai. Pernah tak para ibu ni ambil pendekatan tanya pada anak-anak lelaki, cukup tak nafkah yang dia beri untuk isterinya?
Suami Bonda selalu tanya pada menantu perempuan, macam mana layanan anak lelaki kami pada mereka? Cukup ke kelengkapan rumah untuk mereka?
Kita ambil anak perempuan orang ni, anak perempuan yang ditatang oleh keluarganya. Susah payah mak ayah dia besarkan dia, takkan bila dah dapat dekat tangan kita, kita nak sia-siakan. Pejam mata balik, kalau anak perempuan kita kena macam ni, kita redha ke tak? Kita suka ke tak?
Sejujurnya sebagai seorang ibu mertua, Bonda selalu je nampak kelemahan dan kekurangan menantu. Bonda pun manusia biasa, ada je tak kena pada menantu.
Tapi kita ambil pendekatan lain, tetapkan dalam hati yang menantu balik ke rumah kita sekali sekala. Bukan hari-hari kita nak hadap muka menantu.
Ada je menantu Bonda yang 24 jam menghadap Korea, makan minum anak Bonda semua anak Bonda sediakan sendiri. Cucu Bonda pun lebih rapat dengan ayahnya.
Tapi pada Bonda, selagi anak Bonda tak cakap apa-apa maksudnya dia selesa dengan kehidupan dia. Mungkin ada yang mereka dah bincang suami isteri tanpa pengetahuan kita. Jangan menghakimi benda yang kita tak nampak.
Berbalik pada isu duit, fikir kembali objektif utama kita berkahwin dan mempunyai anak?
Adakah sejak kita mengandung memang kita dah niatkan di dalam hati bahawa anak yang lahir nanti akan menyara kita kelak? Anak yang lahir nanti akan memenuhi segala kehendak kita bila mereka dah bekerja?
Adakah sebab utama kita menyara mereka kerana inginkan balasan atas setiap nilai wang ringgit dan tenaga yang kita dah habiskan untuk mereka?
Atau kita menyara mereka kerana mereka adalah amanah dan tanggungjawab kita untuk membesarkan dan mendidik mereka agar menjadi insan yang berguna.
Wahai ibu bapa, anak-anak adalah amanah. Mereka tak boleh memilih siapa ibu bapa mereka, tapi kita sebagai ibu bapa boleh memilih kita nak jadi ibu bapa yang macam mana.
Tugas utama kita adalah untuk menyara mereka, memberi pendidikan dunia akhirat yang cukup dan memastikan segala keperluan utama mereka dipenuhi.
Bukannya kita menyara mereka dan kita mengungkit-ungkit segala pemberian tersebut apabila mereka sudah dewasa.
Anak-anak yang baru habis belajar sekiranya mereka mengambil pinjaman pendidikan, sebaik mereka melangkah keluar dari Universiti hutang telah menanti mereka.
Sebaik sahaja mereka mula bekerja, ingatkanlah mereka tentang hutang yang mereka ada. Bukannya kita meminta anak skip bayar hutang demi memenuhi kehendak kita.
Bila anak dah berumahtangga, tanggungjawab mereka lagi besar lebih-lebih lagi lelaki. Cuba pejam mata, ingat balik susahnya kita dulu masa baru berkahwin.
Itulah yang anak-anak kita hadapi. Bukannya kita minta anak skip beri nafkah pada isteri semata-mata untuk memenuhi nafsu dan kehendak kita.
Cukup-cukuplah momokkan anak-anak dengan mengatakan ibu is number one. Tidak ya, bila dah berkahwin lain keutamaannya.
Begitu juga untuk anak perempuan, bila dah habis belajar mereka juga ada komitmen untuk diri mereka sendiri. Bila mereka nak kahwin, lagi banyak duit yang mereka perlukan dan mereka nak kumpul.
Sudahlah kita desak anak untuk adakan majlis yang gah, duit langsung kita tak hulur, lagi nak suruh mereka penuhi kehendak bulanan kita yang bukan-bukan. Tak puas minta dekat anak, minta dekat bakal menantu dengan duit hantaran yang tak masuk akal.
Kalau setiap bulan kita demand macam-macam, bila duit anak nak cukup? Bila tak cukup mula lah suruh anak apply personal loan. Siapa yang nak tanggung? Anak dan menantu lah yang sengsara.
Kita ni sebagai ibu bapa kena nasihatkan anak agar tidak berhutang, bukan suruh anak tambah hutang.
Lagi satu, sebelum decide untuk berpencen tolonglah settle kan segala hutang yang ada. Kalau kita rasa kita nak pencen pada umur 50 tahun, sila beli kereta terakhir pada umur 40 tahun. Masa tu nak all out, silakan. Silakan all out mengikut kemampuan.
Jangan disebabkan nafsu kita nak memiliki kereta baru, anak-anak yang terpaksa membayar wang ansuran bulanan. Tak kesian ke dekat anak-anak? Mereka pun teringin nak beli kereta idaman sendiri, self reward selepas penat belajar dan berjaya mendapatkan pekerjaan.
Kita sebagai ibu bapa kalau boleh nak wariskan harta dan kekayaan pada anak-anak, bukan hutang piutang yang kita sendiri cipta atas tuntutan nafsu.
Nafsu shopping online pun ya, semua barang yang terlintas depan mata semuanya awak nak beli. Setiap kali nampak orang open order makanan, setiap kali tu awak order.
Bila duit dah habis, mengamuk dekat anak-anak minta duit. Bila anak tak bagi, mula lah nak mengamuk dan mengungkit gaji anak tu tak berkat. Tak cukup dengan tu, canang dekat sosial media dengan update kata-kata yang kononnya berkaitan.
Baguslah, biar semua orang tau anak awak tu tak bagus. Anak awak tu tak elok. Anak awak tu tak bagi duit dekat mak ayah dia. Ingat ya, manusia ni lagi suka nampak yang buruk dari yang baik. Jarang orang nak husnudzon kononnya awak post sebab saja nak menyebarkan kebaikan.
Dalam kes macam ni, Bonda memang emosi. Kerja Bonda dulu memang menguruskan anak-anak muda yang mempunyai masalah kewangan dan kebanyakannya datang dari ibu bapa.
Tak sangka pula anak sendiri pun terkena tempias walaupun tidak seteruk mana. Kita cuba nak protect anak, tapi terkena di tangan orang lain.
Prinsip Bonda dan suami, selagi kami boleh bekerja kami akan bekerja. Bukan duduk di rumah menunggu anak-anak hulur duit setiap bulan. Walaupun perniagaan Bonda kecil-kecilan, tapi cukup untuk membeli barang keperluan dan untuk memenuhi kehendak Bonda.
Mungkin dah terbiasa bekerja, jadi rasa janggal bila duduk termenung di rumah. Kadang-kadang Bonda menolong suami juga di kandang kambing, seronok sebenarnya luangkan masa bersama dalam usia senja ni.
Anak-anak ada juga menghulur duit, tapi Bonda tak pernah harapkan apa-apa dari mereka. Tugas Bonda dah selesai, anak-anak pun dah ada kehidupan masing-masing. Tugas Bonda sekarang hanya mendoakan kesejahteraan mereka dan bermain dengan cucu.
Luahan Bonda ni mungkin tak boleh diguna pakai untuk semua orang, lebih-lebih lagi untuk golongan yang kurang berkemampuan. Luahan Bonda ni lebih tertumpu kepada ibu bapa yang boros, suka bermewah-mewah tetapi dalam masa yang sama menyusahkan anak-anak.
Juga tidak boleh digunapakai untuk ibu tunggal, kerana mereka sudah tiada suami untuk mereka bersandar. Hanya anak-anak sebagai kekuatan.
Dan untuk golongan seperti ini, anak-anak mestilah mengambil bahagian untuk membantu ibu bapa mereka.
Sekali lagi, maaf andai penulisan ini mengguris hati para pembaca. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang buruk itu dari Bonda sendiri. Mari kita sama-sama berubah, agar melahirkan keluarga yang rahmah, mawaddah dan sakinah.
Sekian.
– Bonda (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit