Assalamualaikum. Nama aku Lin. Aku adalah anak kedua daripada empat adik beradik. Aku berasal dari kampung di utara tanah air.
Di dalam keluarga aku, aku adalah antara anak yang boleh dikatakan berjaya sehingga belajar ke luar negara. Kini sudah hampir 10 tahun aku menetap di luar negara dan sangat jarang dapat berjumpa keluarga aku.
Alhamdulillah aku dijodohkan dengan suami yang baik dan boleh dikatakan agak modern. Pemikiran dan cara hidupku jugak sedikit sebanyak telah terikut-ikut dengan cara hidup suamiku. Kini aku sedang menanti cahaya mata yang ketiga kami.
Walaupun aku jarang berjumpa keluarga aku di Malaysia, aku tidak pernah lupa untuk kirimkan wang belanja untuk kedua ibu bapaku demi membalas jasa mereka.
Tetapi aku jarang mengambil tahu isu-isu atau permasalahan dalam keluarga aku. Aku menganggap kedua ibubapaku hidup dalam keadaan aman damai dan tenang di kampung.
Sehinggalah pada awal tahun ni, aku pulang ke Malaysia dalam waktu yang singkat untuk berjumpa dengan kedua ibu bapaku.
Masalah bermula apabila bapaku asyik tidak sihat sepanjang aku di rumah. Rupa-rupanya ibuku berkata abahku terkena buatan orang yang dengki dengan kemesraan kedua orang tuaku.
Aku faham sihir atau benda tahyul itu wujud, oleh itu aku hanya mengangguk faham apabila ibuku kerap berkata mereka keluar pergi berubat. Aku memang berharap abahku dibawa berubat dengan ustaz, supaya abahku sihat semula seperti sediakala.
Suatu hari aku berniat untuk mengemas salah satu bilik tidur yang ada dirumah. Ketika itu ibuku tiada dirumah. Hanya keluarga kecilku sahaja.
Semua barang-barang yang kotor aku buang, termasuk seplastik gula yang entah kenapa boleh berada di dalam almari yang penuh dengan tahi cicak, baju kotor dan macam2 lagi.
Secara mudahnya, almari tersebut memamg sudah usang, dan tidak pernah dikemas langsung. Belum sempat aku buang gula tersebut ibuku pulang, dan mengambil gula tersebut daripadaku.
Katanya untuk diletakkan dalam minuman abahku, kerana jika abahku tahu, dia tidak mahu berubat langsung walaupun tahu dengan masalah kesihatan beliau yang dikatakan berpunca daripada buatan orang.
Persoalannya kenapa perlu disimpan gula tersebut di dalam tempat yang kotor?
Sekalipun ibuku mahu berubatkan abahku, kenapa tidak disorokkan gula tersebut di tempat yang bersih? Dan adakah gula itu telah dijampi oleh bomoh atau ustaz?
Aku sudah mula rasa stress dengan sikap ibuku. Ku ingatkan dapat pulang ke kampung dalam keadaan tenang tapi tidak kusangka masalah begini akan timbul.
Masa berlalu Dan aku pun sudah pulang ke negara aku menetap sekarang. Dan dikhabarkan abahku sudah kembali sihat setelah berubat di merata tempat. Aku sudah malas ambil tahu berubat dengan ustaz atau bomoh. Kalau aku amek tahu, aku yang bertambah stress.
Baru-baru ini, suatu malam aku mendapat WhatsApp daripada kakakku, yang tinggal dengan ibu bapaku di kampung. Katanya, hubungannya dengan teman lelakinya telah berakhir kerana tidak mendapat restu keluarga pihak lelaki.
Ku anggap memang sudah tiada jodoh, anggaplah itu ujian daripada Allah. Tetapi paginya aku mendapat WhatsApp daripada ibuku, ibuku berkata jodoh kakakku berakhir disebabkan buatan orang.
Ibuku pernah berjumpa seorang bomoh ke ustaz entah la aku tidak tahu, Katanya “ada orang berkenan pada kakak dan akan masuk meminang, tetapi apabila diketahui jiran yang sememangnya dengki dengan keluargaku, mereka menghalangnya supaya jodoh itu berakhir”.
Ya Allah aku tersangat stress dengan ibuku. Kenapa perlu setiap masalah yang datang dikatakan buatan orang? Tidakkah ibuku percaya pada Qada dan Qadar Allah? Adakah ibuku sudah jatuh syirik?
Aku sendiri seperti mahu jauhkan diri daripada ibuku kerana setiap kali ibuku WhatsApp pasti akan disebut berkenaan buatan orang. Adakah ibuku terlalu percayakan bomoh?
Tolonglah aku. Aku tak nak jadi anak yang tidak mengenang budi ibu bapaku, tetapi sesungguhnya aku tidak suka bila setiap isu atau masalah dikaitkan dengan buatan orang.
Jujur aku cakap, kadang-kadang aku lebih selesa berbual dengan ibu mertuaku, walaupun beliau percaya “benda-benda” ini wujud tetapi beliau lebih modern dan tidak pernah percayakan bomoh.
Kadang-kadang aku malu kepada keluarga suamiku jikalau mereka tahu bagaimana pemikiran ibuku.
Sehingga hari ini aku lebih selesa menjauhkan diri daripada keluargaku. Hidup aku tenang dengan keluarga kecilku tanpa masalah-masalah ini.
Banyak lagi perkara tahyul yang ada dalam keluarga ku, contohnya, bayi baru lahir dipakaikan gelang hitam etc. Tapi cukuplah sampai sini sahaja luahan ku.
Sekiranya kalian jugak ada keluarga yang berfikiran begini, apa yang kalian lakukan sebagai anak? Aku sangat berharap ada suggestion yang boleh aku bagi pada ibuku dengan komen-komen bernas daripada kalian.
Sekian…
– Lin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit