Saya sudah berkahwin selama lebih 20 tahun. Mempunyai 3 orang anak lelaki remaja yang berumur di antara 15 hingga 22 tahun.
Saya ingin meluahkan berkenaan sikap mertua yang toksik, suka bercerita hal keburukan anak-anak, menantu, cucu malah jiran-jiran setempat juga.
Dia sering mencanang – canang dan mereka cerita berkenaan anak menantu kepada jiran-jiran setempat. Anak-anak mengetahui perkara tersebut daripada jiran-jiran yang baik hati berkongsi cerita.
Akibatnya, anak-anak merasa kecewa dengan sikapnya. Sudah dinasihati berbelas-belas tahun tetapi masih tidak berubah
Dia mempunyai 2 orang menantu perempuan iaitu saya dan biras yang berumur 30 an. Malangnya pada awal perkahwinan, kami sering dilayan agak buruk olehnya.
Ingin saya nyatakan disini, akibat dari perlakuannya yang suka bercerita hal keluarga kepada orang luar menyebabkan anak-anak mula menjauhinya sampai ke satu tahap di mana dia telah uzur, tetapi, anak-anak perempuannya sering beralasan untuk menjaganya.
Di sini, terlihatlah peranan menantu yang tidak disenangi tadi. Kami lah yang menjaganya.
Namun tidak dinafikan dalam ajaran Islam, kewajipan menjaga ibu bapa adalah jatuh kepada anak-anak kandung dan tidak menjadi kewajipan langsung sebagai menantu.
Akhirnya, setelah berdolak dalih, dia di jaga oleh saya sekeluarga. Namun, sikapnya yang kurang prihatin akan ekonomi keluarga kami yang sederhana menjadi isu perbualan antara anak-anaknya.
Setakat ini, saya banyak membantu suami dalam mencari rezeki.
Enam puluh peratus dari pendapatan di salurkan untuk perbelanjaan rumah dan utiliti.
Ibu mertua yang tinggal bersama, tidak pernah menghulurkan wang sekalipun dia mempunyai banyak wang peninggalan arwah bapa mertua.
Sikap sering berkira walaupun duduk sebumbung amat mengecewakan saya. Saya sebagai penyumbang utama perbelanjaan keluarga tidak pernah berkira dalam soal ini.
Tidak kelihatan sedikitpun perasaan simpatinya pada cucu-cucunya yang tinggal sebumbung. Walaupun sering dinasihati oleh anak-anak supaya tidak terlalu lokek, namun dia tetap begitu.
Perkara lain yang sering membuatkan saya tidak mahu berbual dengannya ialah apabila dia sering mengatakan bahwa dirinya sahaja yang betul. Walaupun kebenaran di hadapan mata, tetapi dia tetap enggan mengakuinya.
Tugas penjagaannya yang uzur diserahkan kepada menantu perempuan yang bekerja iaitu saya. Sejujurnya saya akui yang anak-anak jarang menelefon, apalagi menjenguknya.
Anak-anak perempuannya tidak bekerja dan kebanyakkannya mempunyai anak-anak yang sudah besar dan bekerja, namun tetap tiada hati untuk menjaganya.
Saya tidak nafikan hal ini mungkin bertitik tolak dari sikapnya yang materialistik, suka berkira, kedekut dan suka mementingkan diri sahaja.
Sejujurnya setelah mengetahui bahawa ajaran Islam menegaskan yang hak penjagaan ibu yang uzur adalah menjadi kewajipan anak – anak (apatah lagi anak-anak perempuannya tidak bekerja), saya terasa seperti dianiaya dan dibuli dalam diam.
Sudahla terpaksa menanggung perbelanjaan keluarga (termasuk ibu mertua), malah terpaksa pula menjaganya. Tetapi saya turutkan juga disebabkan menuruti suami dan kasihankannya.
Namun, Allah maha berkuasa apabila dia detikkan di hati adik-beradik untuk membuat sistem giliran dalam menjaga ibu mertua.
Suami amat bertegas dalam hal ini apabila melihat situasi keluarga kami dan pengabaian terhadap ibu mertua.
Penjagaan ibu adalah menjadi kewajipan terhadap anak-anak kandung. Menantu hanya berperanan menyantuni ibu mertua dengan sebaiknya pada batas kemampuannya.
Tidak menjadi kesalahan bagi menantu yang menolak untuk menjaga mertua kerana tugas seorang isteri ialah berbakti kepada suami dan anak-anak. Beginilah kebiasaan masyarakat Melayu yang menyalahi syariat Islam.
Kepada adik-adik di luar sana, persiapkan dengan ilmu rumahtangga yang betul menepati ajaran Islam yang sebenar sebelum melayari bahtera perkahwinan yang sangat mencabar.
Kenali hati budi keluarga bakal suami atau isteri dengan sebaiknya. Istikharah adalah jalan terbaik. Selebihnya tawakkal kepada Allah sebagai penentu masa hadapan kita.
Saya amat berharap agar penulisan saya ini dapat memberi manfaat dan pengajaran kepada pembaca di luar sana. Setiap manusia mempunyai kelemahan.
Maafkan saya sekiranya penulisan ini melukakan hati sesiapa. Ianya sekadar luahan…
Terima kasih.
– Cahaya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit