Hidup Bukan Soal Sempurna

Saya Rara dan juga seorang isteri yang bekerjaya. Suami saya pula menjalankan perniagaan sendiri.

Sejak dua menjak ini banyak terpapar di media sosial yang menceritakan pahit manis menjalani kehidupan rumah tangga dan saya tak terkecuali dari merasai liku-liku hidup sebagai seorang isteri dalam melayari rumah tangga yang hanya setahun jagung.

Saya dan suami bukanlah berasal dari golongan berada apatahlagi sejarah hidup masing-masing yang datang dari keluarga yang agak berantakan.

Dua hati yang bertemu untuk mengisi kekosongan masing-masing. Dulu sebelum kahwin saya fikirkan melalui perkahwinan saya akan temui bahagia yang saya cari. Rumahtangga yang aman harmoni yang akan melengkapi hari saya.

Namun, bila bahtera sudahpun berlayar, sauh pun sudah mula dilabuhkan barulah saya tahu perkahwinan bukan tiket bahagia bertandang tapi semua itu datang dari hati yang cekal dan sabar.

Dari hari kedua berkahwin lagi kami berdua diuji dengan pelbagai dugaan. Saya jatuh sakit sehingga terpaksa tambah air akibat faktor keletihan menguruskan kenduri tambahan gastrik yang menyerang.

Seminggu sebelum kenduri saya ke hulu ke hilir menguruskan pelbagai perkara kerana adik beradik saya tinggal jauh selain ada komitmen keluarga yang saya sendiri fahami.

Adakala adik yang masih bersekolah dan ibu yang sering menemani saya. Bapa saya cuma menunggu majlis berlangsung. Mulut tidak pernah bertanya untuk menghulurkan bantuan.

Apatahlagi wang ringgit. Bila saya jatuh sakit saya dimarahi pula kerana tidak menjaga pemakanan. Sedangkan masa untuk saya makan pun sudah lintang pukang. Tidak mengapa..saya redha.

Ujian PJJ bersama suami pula datang apabila saya disahkan bunting pelamin. Suami sibuk dengan urusan perniagaannya. Kadangkala dua minggu sekali dia datang ke rumah ibu bapa saya.

Dek kerana kasihan saya izinkan dia pulang sebulan sekali kerana kekangan masa dan wang.

Memandangkan kami baru berkahwin dan bakal menimang cahaya mata, maka suami tambah giat menambah pendapatan. Kadangkala saya kesian kepadanya kerana dia perlu membayar banyak komitmen.

Mujurlah perkahwinan kami bebas hutang dan buat sekadar termampu kerana tiada kenduri sambut menantu di sebelah suami.

Setelah beberapa bulan mengandung saya mendapat panggilan untuk berkhidmat di negeri suami saya tinggal. Gembira bukan kepalang kerana hajat untuk tinggal bersama tercapai.

Dua minggu masa diberi untuk melapor diri. Namun disebalik tawa, ujian juga cemburu menghampiri.

Hari yang sama iaitu pada petang selepas pulang dari kerja perut saya kesakitan yang amat sangat. Sehinggalah pada malamnya sakit yang dirasai datang bersama ketulan darah yang membasahi seluar dalam saya.

Saya terus ke hospital lalu disahkan anak yang ada dalam kandungan saya sudah ingin keluar. Saya ditahan di wad dan keesokannya saya keguguran dengan kelahiran anak yang sudah punya sifat.

Sakit itu hanya Allah yang tahu. Sedih kerana ini kandungan saya yang pertama malah tak terfikir untuk kehilangan anak ini sebegitu cepat.

Dua minggu cuti diberi saya berpantang di rumah sebelum melapor diri.

Suami datang menjemput untuk pulang ke rumah kelamin kami dalam keadaan fizikal dan mental yang masih belum bersedia. Namun dek kerana tugas hakiki, saya gagahkan diri bekerja seperti biasa.

Dalam keadaan saya masih terkenang akan anak yang sudah tiada disamping berjauhan dengan keluarga dan menjalani hidup bersama suami dan dan keluarga mertua untuk pertama kali juga tidak mudah.

Saya mengalami depresi atau meroyan di tengah malam. Puncanya kadang-kadang suami selalu mengabaikan perasaan saya dan adakala balik lewat malam. Saya kesunyian dan kebosanan di rumah.

Keluarga mertua saya tidak banyak mulut. Setiap malam saya menantikan suami pulang dari kerja. Suami pula pada waktu itu terbiasa pulang lewat. Maka adakalanya gaduh-gaduh kecil kami berakhir dengan tekanan perasaan yang dialami oleh saya.

Ya, kerana emosi wanita selepas melahirkan sangat rapuh. Apatahlagi tiada sokongan moral yang kuat dari orang sekeliling. Mujurlah tidak melarat. Berkat kesabaran seorang suami, saya kian pulih. Dia juga mula pulang awal dari kebiasaan.

Hari demi hari segala kekurangan ditambah baik Masing-masing cuba menyesuaikan diri dengan alam rumah tangga yang baru bertapak.

Sungguh! Tak mudah..

Duji dengan kekangan kewangan yang hanya cukup-cukup makan saya redha tatkala suami minta untuk saya mencatu makanan harian.

Ikan cukup seekor seorang sekali makan. Ayam pula dipotong dadu supaya tidak cepat habis. Bila bil air atau elektrik datang, jika ada peningkatan maka diminta pula untuk kurangkan penggunaan.

Adakala saya merungut, takkan itupun berkira. Takkan semua nak berjimat. Sedangkan saya juga ada membantu sedikit sebanyak.

Jadi suami mengalah cuma mengingatkan saya supaya elakkan pembaziran. Saya akur dan mula memahami. Hidup semasa bujang takkan sama dengan selepas kahwin kerana ia datang bersama tanggungjawab.

Dalam usaha saya menginginkan zuriat sendiri selang beberapa lama kemudian saya mengandung kembali. Suami tidak kisah. Dia okay saja kerana dia penerima setiap pemberian Illahi. Namun ujian tetap merindukan kami.

Gugur untuk kedua kalinya dan lebih sakit dari keguguran sebelumnya. Sungguh, emosi dan mental saya bercelaru. Ujian apakah lagi.

Namun hanya sabar dan redha menjadi penguat diri. Lalu suami meniupkan semangat.

Mungkin bukan masanya lagi kami diberi zuriat sendiri. Mungkin kewangan belum kukuh sepenuhnya. Memang anak itu datang bersama rezeki tapi usaha tetap perlu digali bukan datang bergolek sendiri.

Sehingga kini kami suami isteri berusaha untuk menambah pendapatan lagi. Cabang-cabang bisnes kami terokai. Hidup ini bukan soal sempurna.

Jika bukan rezeki anak mungkin rezeki yang lain datang menjengah yang penting kuat usaha dan banyakkan berdoa. Berjimat bukan caranya tapi perlu berfikir untuk jana pendapatan keluarga dengan lebih berganda.

Suami bukan jatuh dari syurga. Isteri juga bukan bidadari syurga. Keduanya tak sempurna. Yang baru kahwin akan merasainya juga. Yang sudah lama kahwin lebih tahu liku-likunya.

Ujian orang bujang lain caranya, ujian berkeluarga juga tak kurang hebatnya. Biarpun ujian datang bertimpa-timpa doakan rumahtangga kami bahgia selamanya dan dikurniakan zuriat penyeri bahtera.

– Rara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *