Musibah Sebagai Dugaan Naikkan Darjat Atau Ingatan Kifarah?

Terima kasih jika artikel ini disiarkan. Tajuk confession ini adalah dilema diri aku sendiri yang mungkin juga orang lain alami.

Kisah ini adalah tentang diri aku yang susah nak memaafkan apalagi melupakan apa yang aku terima dari keluarga mertua.

Dipendekkan cerita, selama ini banyak yang aku lakukan untuk keluarga mertua terutama berkaitan kebajikan dan keprihatinanku kepada adik beradik ipar.

Namun tiada satu pun yang dihargai. Tapi itu bukan punca aku memendam perasaan kecewa dan sehingga menjadi dendam.

Faktor utama adalah kerana kata-kata dan perilaku yang tak boleh aku terima. Contohnya, bila aku menegur perangai ipar, aku pula yang dimarah dengan kata hinaan.

Saat yang paling tak dapat lupakan ialah dihina ketika sarat mengandung dek kerana menegur sikap ipar yang menyusahkan aku.

Aku terfikir, teruk sangat ke silap aku sampai di kata tak sedar diri dan anak yang dalam perut aku pun dikaitkan. Allahu.

Ibu dan ayah mertua orang masjid (maaf, bukan menambah prejudis dengan orang masjid). MIL pula orangnya nampak macam ‘Soft’ dan jenis baik. Tapi banyak perkara yang aku terguris, datangnya dari mulut beliau.

Paling ralat ialah dia tergamak mengata aku abaikan arwah mak semasa mak aku terlantar ( aku jaga mak sebab adik beradik aku tak nak jaga dan tak mampu).

Kesannya, aku menjadi perengus, garang tak tentu hala pada anak-anakku. Akhirnya anak sulungku disahkan mild depression. Lihatlah, betapa kata-kata jahat memusnahkan jiwa insan tidak berdosa.

Ayah mertua jenis cakap lepas dan jika tak suka akan tunjukkan terang-terangan dengan reaksi muka, layanan dan kata-kata. Complete set.

Adik beradik ipar pula jenis mengagungkan ibubapa mereka sebagai orang baik, orang masjid, penyayang dengan anak cucu menantu. Ye, tak dinafikan..

Alhamdulillah, mereka tidak meminggirkan anak-anakku. Tapi aku tetap terkilan kerana FIL aku pernah cakap, anak-anak kau aku terima sampai bila-bila, tapi kau tu ada hadnya dan ada ketika kau bukan sesiapa dah. Sedihkan.

Suamiku pula.. Alhamdulillah sangat baik , rasional dan tidak pernah menyebelahiku secara terang – terangan. Dia tidak memihak aku walaupun macam aku pihak yang betul.

Tidak juga berpihak kepada keluarganya. Suamiku kekal neutral. Pada awalnya, aku kecewa dengan sikapnya namun aku bersyukur kerana dia memilih begitu demi untuk menjaga silaturrahim semua. Terima kasih suamiku.

Adik beradik ipar jenis suka boikot, dingin jika ada konflik keluarga mereka dengan aku. Orang tak suka kita, boleh faham. Pada mereka, ibu bapa mereka adalah maksum.

Baik serba serbi. Tapi silap aku ialah aku jenis melawan, vocal dan jenis jujur pada sesuatu perkara yang tidak betul. Aku bukan jenis diam diri bila tahu benda tak betul. Bayaran pada sikap aku ini, aku dilayan macam sampah.

So, bertahun-tahun amarah diperlakukan sebegitu akhirnya menerbitkan dendam. Ye dendam untuk melihat mereka terima balasan. Ya Allah, hinanya aku.

Dan berlakulah satu demi satu dugaan pada keluarga mereka. Yang jelas, banyak perkara yang mereka lontarkan padaku terjadi pada mereka pula.

Tapi, sikap mereka tidaklah berubah mana. Setiap dugaan itu mereka anggap ujian untuk tinggikan darjat mereka, keimanan katanya. Orang baik sentiasa diuji. Yadda, yadda. Mungkin tak terlintas langsung tentang kebarangkalian teguran Allah.

Hiduplah aku sebagai pendendam dan pemerhati sehinggalah terjadinya musibah yang sangat besar pada mereka sehingga menyebabkan kehilangan nyawa kakak ipar.

Sebelum musibah itu, aku juga menjadi watak villain utama sengketa keluarga kerana menentang hubungan kakak ipar dengan suami orang ( bukan kakak ipar yang meninggal).

Macam aku bagitahulah, aku ni jenis tak boleh lihat benda tak betul depan mata. Aku simpati pada isteri dan anak lelaki tu yang teraniaya.

Bila aku tentang, aku pula yang diugut dengan kata-kata jaga anak sendiri, jangan hina nanti dapat kifarah. Aik, aku yg menentang aku pula yang disuruh ingat kifarah dan nanti anak perempuan sendiri nak suami orang.

Plot twist sungguh. Namun, selepas diuji macam itupun tetap tidak merubah kesombongan dan keangkuhan mereka terhadapku. Muka tetap dipaling, buat-buat tak nampak, hulur salam manis bicara jauh sekali.

Musibah yang berlaku sekali lagi didendang sebagai dugaan untuk insan istimewa, sebagai insan terpilih untuk segala yang meninggikan darjat kemuliaan diri.

Ok. Isunya sekarang ialah tentang diri aku. Aku kesian dan sedih dengan apa yang mereka alami,

Tapi jujur aku luahkan di sini yang aku masih tak dapat memaafkan dan aku masih berharap pada ketika FIL atau MIL aku sakit, terlantar, aku harap sangat yang iparku rasa apa yang aku rasa.

Tuduhan aku abaikan arwah mak adalah paling kejam di saat aku berada pada tahap paling rendah.

Dan aku menunggu masa mertua aku sakit dan nak tengok macam mana keadaan mereka. Jahat dan hinanya aku. Sisi gelap aku yang keji. Allahu.

So, di sini aku mohon agar kalian tolong doakan aku untuk melepaskan semua dendamku. Aku takut pada kifarah Allah.

Aku sangat sayangkan suami dan anak-anakku. Aku takut balasan Allah pada sikapku yang hina ini (puas melihat bencana orang lain).

Aku tak nak hatiku berterusan hitam dan penuh kesumat. Sampai bila? Aku nak bahagia bersama suami dan anak-anak tercinta hingga ke akhir hayatku. Mohon doakan aku ye.

Akhir kalam, beringatlah jika ada dugaan berlaku ada dua kemungkinan.

Pertama, ujian untuk kita lebih diredhaiNya. Kedua, barangkali ujian itu sebagai teguran kifarah buatmu. Maka carilah, selaklah dairi memori hidupmu jika pernah menyakiti sesiapa dengan berat dan tidak adil.

Mohonlah maaf, keampunan jika perlu. Semoga kisahku ini menjadi asbab agar kita sama-sama menjaga hati, tingkahlaku dan kata-kata agar tidak melukai orang lain.

Jangan rasa diri kita maksum. Walaupun ibubapa kita atau kita sendiri orang masjid, dipandang mulia, belum tentu kita bebas dosa menyakiti insan lain. Sentiasa muhasabah diri.

Semoga kita semua jadi orang baik ye. Aamiin ya rabbal alamin.

– Miley (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *