Dua Hutang

Salam semua. Rasanya tak perlulah perkenalkan diri, kerana saya nak kisah ni jadi as anonymous as possible.

Kejadian hutang yang pertama berkait dengan adik-beradik saya sendiri. Sibling saya ni kerja bagus juga, gaji tak susahpun.

Pakai pun kereta ekonomi dan duit gaji dia cukuplah dia nak berlibur dan berhibur. Lebih dari cukup sebenarnyapun.

Pada masa itu, sibling saya tu nak berkahwin. Dia cerita kepada saya bahawa dia telah memohon pinjaman dengan suatu koperasi, tetapi pihak koperasi kurang mesra pelanggan, katanyalah.

Lalu dia pun keluarkan ayat manis bahawa saya sebagai sibling yang lebih tua pasti boleh membantunya.

Saya pun sebenarnya meletakkan diri dalam kasut sibling yang tua, saya ada sejumlah duit yang diingininya, apa salah membantu adik-beradik sendiri, esok-esok dia gantilah seperti yang dia janjikan.

Sebelum ini, memang pernah dia pinjam duit saya, cuma dalam jumlah yang kecil dan tak pernahpun dibayar balik sebenarnya.

Ada masa saya akan minta dia belikan barang, dan dari situlah pinjaman itu dipotong sedikit-sedikit, tapi sebenarnya hutang-hutang kecil itu tidak pernah langsai sepenuhnya, kerana selang seberapa lama, dia akan meminjam lagi.

Jadi sayapun pinjamkan wang itu. Diapun berkahwinlah, namun sehingga kini anak kami dah besar-besar, satu ringgitpun dia tidak bayar kembali.

Saya inipun satu pelik, kerana apabila pulang beraya di kampung, kami berbual seperti tiada apa-apa dan saya tak sebutpun suruh pulangkan duit.

Tetapi apabila berbual-bual dengan orang tua saya, saya sebut pula minta tolong cakapkan saya nak duit tu balik.

Ya, orang tua saya ada tanyakan adakah dia dah bayar balik duit tu, dan siap suruh bayar balik, tapi itulah, habukpun tiada. Sibling saya ni lepas kahwin duduk jauh dari keluarga kerana bekerja.

Ada sekali tu, dia mesej saya minta tolong bayarkan duit kereta dia, ya lepas dia dah kahwin tu lah. Apa alasan, saya pun tak ingat.

Saya ni walaupun dia masih berhutang, tetap lurus saja tolong bayarkan, macam kena jampi pula masa baca mesej minta tolong tu.

Saya kata dalam hati, ni adik-beradik, kita tolonglah, duit tu bukan tak ada. Rugi saya lagi RM400.

Selepas kejadian tu, tak adalah lagi dia mesej atau telefon minta duit, dan hutang tadi masih tak ada khabar nak dibayar balik ataupun tidak.

Kami pun memang tak berhubung macam adik-beradik orang lain yang siap ada wasap group keluarga bagai.

Kali terakhir kami jumpa sebelum pandemik. Masa tu, diapun dah pakai kereta besar dan dah beli rumah, tapi saya masih tak mampu nak sebut depan dia pulangkan balik duit aku.

Hutang yang kedua ni dengan orang yang saya kenali tapi bukan adik-beradik. Ini juga dek kerana kasihankan perjalanan hidupnya.

Akhirnya, saya ni macam bank kepada dia. Tak perlulah saya jelaskan perkenalan kami. Di antara kami, saya ada rasa terhutang budi kepadanya, dan mungkin itulah caranya saya diikat untuk selalu memberi hutang kepadanya.

Semasa awalnya, hanya hutang-hutang kecil yang dibuat, dan saya ada cara untuk hutang-hutang itu dibayar balik. Jadi pada masa ni, tak timbul masalah hutang sangatpun.

Beberapa tahun selepas kami berkenalan, orang ini dilanda musibah. Saya lihat dirinya nampak tidak terurus dan pekerjaannya sangat tidak memuaskan.

Sesekali, dia akan meminjam dalam satu jumlah yang boleh dibayar balik. Saya hanya bersabar dan menabahkan diri, saya katakan orang tengah susah, saya tiada keadaan mendesak, saya boleh bantu, lagipun duit tu boleh dapat balik.

Sehinggalah suatu masa, dia sudah berani meminjam dalam jumlah-jumlah yang melebihi daripada biasa, dan sukar untuk dibayar balik.

Sekejap-sekejap dia akan pinjam lagi. Alasan? Anak nak sekolah, nak repair rumah, tak cukup duit minyak nak balik kampung, itulah antara yang saya ingat.

Adalah sekali tu, pakcik saudara saya datang berziarah. Kebetulan orang ni ada di rumah saya sama masa tu. Adalah berlaku perbualan seketika di antara mereka.

Sebelum pakcik saya balik selepas dua malam menumpang, pakcik suruh berhati-hati dengan orang itu kerana dia ‘ada memakai’ supaya saya ada suatu perasaan dekat dengannya.

Entahlah, macam itulah kalau saya tak salah ingat. Sedangkan saya berpendapat selama ni saya cuma berbuat baik sesama orang yang dikenali, rupanya lain yang saya dapat.

Tak lama selepas kejadian tu, orang itu masih meminjam wang daripada saya. Modus operandinya dia akan ceritakan kisah sedih tentang kenapa dia kena juga pinjam duit tu.

Saya macam biasalah dalam hati kata tak nak beri pinjam lagi, tapi akhirnya saya lemah juga tetap hulur.

Kerana seperti saya katakan tadi, saya membalas budi, saya ada jumlah yang dia nak pinjam, dan saya tidak dalam keadaan terdesak.

Orang itu juga berjanji macam-macam nak bayar, contohnya dia sebut akan dapat duit sekian, sekian, dia pasti akan bayar.

Memang dia ada bayar, tetapi dalam jumlah yang sangat kecil daripada jumlah pinjaman tadi. Tak lama lepas tu senyap tak bayar-bayar, tiba-tiba bayar sedikit siap nak pinjam lagi double daripada yang sebelumnya.

Dua kali dah dia buat begitu kepada saya. Jadi sekarang hutang dia dah banyak balik. Dah macam nak tunggu mati suruh warisnya bayarkan kepada saya agaknya.

Sebabnya ada sekali tu dia ajak saya datang makan di rumahnya, saya tengok bukan main lagi anak perempuan dia pakai gelang.

Anak saya tegur cantik gelang, katanya orang tua dia hadiahkan. Lahh ada duit rupanya. Maksudnya aku ni pada dia hanyalah bank percuma.

Begitulah kisah dua hutang yang membelenggu fikiran saya dah 15 tahun ni.

Gaji saya cukup untuk saya tidak hidup terdesak, tapi saya tak dapat menikmati titik peluh sendiri dengan optimum. Anak-anak saya pun tidaklah mewah, tetapi dapatlah sedikit sebanyak barang-barang yang mereka perlu.

Nak makan di restoran seminggu sekali, pun masih mampu. Saya pun tak ada menayang-nayang yang diri ini berduit, menayang percutian atau menayang barang mahal.

Kalau ambil gambar tengah makanpun, mesti di rumah waktu makan yang biasa-biasa saja, tak ada menunjuk makanan mewahpun.

Sebab itu saya bersyukur dan tak rasa susah nak beri pinjam, tapi saya sedihlah diperlakukan sedemikian. Duit, duit.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *