Rupa-Rupanya Hati Dia Bukan Milikku II

Untuk part I, (https://iiumc.com/rupa-rupanya-hati-dia-bukan-milikku/).

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mohon maaf kerana ada sambungannya. Aku berterima kasih untuk setiap komen dan doa-doa yang baik untuk aku sekeluarga. Aku baca semuanya.

Komen-komen kalian semua ibarat healing untuk aku. Setiap kali tertrigger, aku baca semula komen. Dan aku aminkan semua doa yang baik-baik.

Aku juga doakan kalian semua kekuatan dan kelapangan jiwa untuk menghadapi segalanya.

Hebat penangan ujian ini untuk aku. Peristiwa yang maha hebat sudah berlalu. Tapi aku masih terpenjara dengan kenangan pahit yang sangat melukakan itu. Allah menyayangi aku dengan didatangkan 2 ujian hebat.

Ujian kehilangan/ kematian dan ujian kecurangan/ pengkhianatan pasangan. Aku sudah boleh terima dengan kehilangan. Aku sudah nampak hikmah yang banyak disebaliknya.

Antaranya rezeki aku melimpah ruah dan keluarga mertua aku yang sangat baik dan makin menyayangi dan menyantuni kami sekeluarga dengan sangat baik.

Tetapi aku masih tidak dapat menerima ujian pengkhianatan. Masih belum nampak dengan jelas hikmah disebaliknya. Atau hikmahnya ada tetapi aku masih menolak untuk menerimanya.

Mana tidaknya. Aku ditunjukkan dengan bukti baru yang sememangnya makin meluluhkan hati.

Untuk pengetahuan, perempuan itu bukan cinta pertama arwah.

Memang aku sengaja dan mahu delete segala bukti dan aib kerana aku takut terlepas kepada orang lain selepas ketiadaanku, terutamanya kepada anak-anak.

Terfikir juga untuk reformat handphone arwah di kedai tetapi takut juga.

Jadi aku mengambil keputusan untuk delete sendiri. Entahlah, semasa membuang gambar dalam google photos, tiba-tiba terlintas untuk melihat call recording.

Ternyata, memang banyak call recording mereka berdua. Sepertinya semua call di rakam.

Tak sangka arwah suami segila itu. Aku dengar beberapa call yang sudah semestinya menyakitkan hati. Padan muka aku. Okey. Stop. Aku tak mahu dengar dah yang lain. Terus aku delete. Sampai sakit kepala kerana banyaknya.

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, aku memang berhubung dengan perempuan itu beberapa kali melalui whatsapp sebelum ini. Kerana aku tiada tempat lain untuk melepaskan apa yang ada dalam fikiran aku.

Yang tahu cuma kami bertiga, aku, dia dan suaminya. Dan aku pasti suaminya tidak tahu sebanyak yang aku tahu. Aku meluahkan apa yang ada dalam fikiran aku. Aku bagitahu apa yang aku rasa. Tapi seperti aku menyalahkan dia.

Memang pun. Sebab dia yang masih ada untuk dimarah. Dan berkali-kali dia kata dia salah, dia minta maaf.

Tapi pada masa yang sama masih dok kata arwah sangat baik. Dia tak pernah lupakan arwah. Sentiasa mendoakannya. Allahu. Tak tahu lah apa perasaan aku masa tu.

Marah? Geram? Jeles? Aku mudah rasa marah sekarang. Mungkin kerana masih belum lepas apa yang ada dalam hatiku.

Kesian anak-anak aku. Kalau marah, aku memang marah kaw-kaw punya. Masa tu juga terkeluar hint-hint tentang abah mereka. Allahuakbar.

Aku pun tak tahu berapa lama boleh bertahan untuk menyimpan segalanya. Nak jumpa pakar, malu. Takut habis keluar segala cerita.

Memang aku tidak dapat memaafkan mereka buat masa sekarang. Makin cuba memaafkan, makin sakit. Yang pasti sekarang, aku rasa benci pada mereka berdua.

Ampunkan aku Ya Allah. Berdosakah aku jika merasa benci pada mereka? Tetapi makin dibenci, makin mengganggu fikiran. Aku ada masalah hati kah? Hati aku kotorkah?

Aku tak tahu apa yang aku nak. Aku nak perempuan itu sengsara/ deritakah? Aku nak dia menyesal/ bertaubat kah? Adakah kalau dia derita aku berpuas hati?

Mungkin betullah, hati aku yang kotor. Astaghfirullah. Boleh jadi gila jika diingat-ingat difikir-fikir. Mereka gila kerana cinta. Aku gila kerana benci.

Sudah semestinya yang pertama lebih baik. Bukan begitu? Buat masa sekarang, aku masih mencari-cari sisi baik ujian dikhianati ini.

Semoga ditunjukkan hikmah yang sangat besar yang boleh menutup segala rasa kacau yang mengganggu fikiranku.

Sehinggakan aku bisa memaafkan mereka seikhlas hatiku. Sehinggakan suatu hari nanti aku boleh tersenyum dan bersyukur dengan segala ketentuan dari-Nya. Aku mahu jadi sehebat itu. Biiznillah.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *