Assalaamu’alaikum dan salam sejahtera. Saya tertarik dengan kisah Keliru dan Buntu Dengan Hidup (https://iiumc.com/keliru-dan-buntu-dengan-hidup/).
Apa yang saya rasa lebih kurang dengan penulis tetapi latar belakang kami berbeza.
Saya baru sahaja sebulan mula bekerja kembali setelah 4 tahun menjadi suri rumah. Mempunyai 2 orang anak, berumur 4 tahun dan 10 bulan.
Saya sedang menerima rawatan untuk penyakit Major Depressive Disorders (MDD) sejak 2017 lagi, ketika sebelum berkahwin. Suami juga maklum tentang penyakit saya sejak sebelum kahwin.
Pendapatan suami saya biasa sahaja, kami adalah golongan B40.
Saya tidak suka memasak kerana mungkin risau akan hasil masakan yang tidak menentu. Kata orang practice makes perfect tetapi saya tidak suka apabila masakan saya tidak menjadi.
Oleh itu suami mengambil alih tugas untuk memasak atau kami beli sahaja.
Dalam temujanji doktor baru baru ini, doktor mengesyaki saya juga mungkin mempunyai Obsessive Compulsive Disorders (OCD) yang mungkin menjadi antara faktor MDD saya mengambil masa untuk pulih.
Saya lebih menganggap saya seorang perfectionist. Kerana rumah saya harus teratur, baju dilipat mengikut saiz tertentu dan disusun mengikut kategori. Penyangkut disusun mengikut warna.
Setiap barang mempunyai tempatnya masing-masing dan saya tidak suka ianya teralih. Buku disusun mengikut saiz dan kategori.
Pernah mak mertua saya datang dan membantu untuk melipat kain di rumah saya, sorok-sorok saya lipat semula mengikut standard saya dan simpan. Perkara tersebut menganggu hingga masuk ke dalam mimpi.
Saya tidak pernah menceritakan kepada doktor sebelum ini kerana menganggap saya hanya perfectionist.
Tetapi isu ini bangkit apabila saya mula berkerja sejak sebulan yang lalu. Saya tidak lagi mampu untuk mengurus rumah seperti yang saya mahu.
Saya mengambil keputusan untuk bekerja kerana otak saya tepu sama seperti penulis Keliru dan Buntu dengan Hidup ketika menjadi suri rumah.
Saya juga asyik berfikir risau akan anak yang 4 tahun tidak didedahkan dengan pendidikan formal.
Namun apabila saya bekerja saya jadi semakin serabut. Walaupun saya mempunyai degree tetapi saya memilih untuk berkerja sebagai kerani kerana bimbang masih belum bersedia untuk terjun dalam bidang profesional seperti ketika sebelum berkahwin.
Kerjaya sebelum ini yang menyebabkan saya perlu makan ubat bagi merawat MDD saya. Tetapi dengan gaji kerani, seperti tidak berbaloi dengan perbelanjaan menghantar anak ke taska.
Jika saya menghantar anak ke pengasuh, lebih baik saya menjaga sendiri kerana sama hasilnya tiada pendidikan formal. Gaji bulan lepas yang saya dapat seperti negatif dengan hasil perbelanjaan.
Saya kasihan melihat suami. Saya cuba berbincang dengan suami tetapi dia seperti acuh tidak acuh dengan kekusutan saya.
Saya sekarang sedang buntu mahu meneruskan bekerja atau berhenti. Kos sara hidup sangat tinggi sekarang ini.
Kami sangat terkesan apabila harga barang mentah semakin meningkat. Dengan menghantar anak ke taska ia seperti menjadi bebanan.
Dicampur dengan diri yang masih cuba menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan semula. Saya serabut.
Kerja saya sekarang sangat ok, kawan sekerja yang ok. Namun saya jadi susah hati jika membuat kesalahan kerana pekerjaan saya memerlukan saya bermain dengan sistem.
Saya jadi asyik serabut dengan ekonomi keluarga, menyesuaikan diri dengan kerja. Saya terfikir untuk mengambil kelas jahitan untuk cuba penjualan online. Adakah terlalu awal untuk berhenti kerja.
Adakah saya perlu mencuba sendiri memberi didikan formal kepada anak saya dahulu dan menghantar ke PASTI atau KEMAS yang jauh lebih murah pada tahun hadapan.
Perlukah saya meneruskan kerja dan lihat ekonomi bulan hadapan.
Superior saya ada mengatakan bahawa gaji akan naik setelah confirm tetapi kenaikan tersebut tidak pasti jumlahnya. Bagaimana jika kenaikan tidak sampai RM100.
Saya mengharapkan nasihat membina daripada para pembaca sekalian. Ya Allah tolong bukakan jalan untuk hambaMu ini ya Allah.
– Secoet (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit