Manis Madu

Salam semua. Sekarang hot betul ye isu bermadu ni. Bila isu macam ni timbul, selain membaca kecaman di FB, tak kurang jugak ada kawan-kawan aku yang jumpa aku dan minta tips.

Ya. Aku ada dua isteri. Tapi aku bukan Sol. Aku namakan isteri pertama aku ni Hawa dan yang kedua ni Wani.

Perkenalan aku dengan Hawa singkat. Kurang setahun kenal, kami kahwin. Hawa kata dia dah penat bercinta. Dia pernah bercinta dengan seorang lelaki ni bertahun. Tak ke jinjang pelamin pun.Aku namakan dia Abu la.

Lepas kahwin, Hawa ni jadi surirumah. Aku yang minta. Aku suka tengok kawan-kawan aku yang wife dia surirumah. Teratur je life diorang.

Hawa tak membantah. Dia menurut je.

Lepas dapat anak pertama, Hawa minta izin dekat aku nak buat bisnes online. Dia kata teringin nak ada duit sendiri macam zaman kerja dulu. Aku berat hati tapi aku izinkan ajelah.

Masa PKP hari tu, sales Hawa sangatlah banyak. Tu musim orang memang ramai beli online. Hawa pun sangat sibuk. Dan masa nilah aku rapat balik dengan Wani.

Wani ni aku dah kenal sebelum aku kahwin dengan Hawa. Ramai kata Wani ni memang crush kat aku. Tapi atas faktor fizikal, aku pilih Hawa. Ya, Hawa cantik. Dan ramai cakap Wani frust gila bila aku kahwin.

Asalnya, aku reply komen dekat FB Wani je. Lepas tu melarat ke private message dan Whatsapp. Hawa? Dia busy dengan bisnes dia. Dia tak pedulikan aku pun.

Hawa ni bukan jenis check phone aku. Tapi ada sekali ni aku rasa kantoi time tu. Hawa tengah nak isi details Setel masa isi minyak dan time tu pop-up mesej Wani ni keluar. Tapi Hawa tak de tanya apa pun lepas tu. Dia buat biasa je.

Lepas beberapa bulan kantoi tu, tiba-tiba Hawa tanya aku bila nak kahwin. Aku pun macam, oh dia dah tahu. Aku jujur je lah cakap bulan depan kalau dia izinkan.

Dia kata ok. Kahwinlah ikut undang-undang. Jangan lari kat Siam pulak. Happy gila aku. Dan masa proses permohonan poligami, Hawa buat tuntutan dekat hakim. Dia minta 3 benda untuk izinkan aku kahwin.

Pertama, dia minta nafkah dia ditambah 2x dari yang aku bagi masa tu. Masa tu aku bagi RM2k. Kiranya kalau aku nak kahwin, bulan-bulan aku kena bagi dia RM4k. Banyak kut. Tapi dah sebab time tu aku kemaruk nak kahwin dengan Wani, aku setuju je la.

Hawa pun bukan datang mahkamah tangan kosong. Dia senaraikan semua perbelanjaan dia dan anak aku bulan-bulan termasuk simpanan dan insurans. Jadi jumlah yang dia minta tu memang logik je.

Kedua dia minta rumah yang dia duduk sekarang tukar atas nama dia. Untuk jaminan masa depan anak dia katanya.

Ketiga dia minta kereta yang dia guna sekarang, aku tak tuntut apa-apa walaupun aku bayar bulan2. Kereta tu memang nama Hawa. Aku pun ok je lah untuk semua syarat dia.

Maka berkahwinlah aku. Tapi berbulan lewat dari plan aku sebab macam-macam prosedur. Kecoh jugak masa umi aku tau. Umi aku nangis-nangis peluk Hawa. Hawa tenang je. Tak nangis pun. Siap pujuk umi. Dah macam umi aku pulak dimadukan.

Sama macam situasi Sol la. Umi aku tak restu. Umi aku kata menantu perempuan dia Hawa seorang je. Oh, btw aku anak lelaki sulung. Adik aku 3 orang perempuan. Adik aku semua geng dengan Hawa. Pastu pulaukan majlis aku. Alasan diorang malas pergi Kelantan. Jauh.

Wedding aku, Babah aku je datang wakil family aku. Umi aku dengan adik-adik aku bawa Hawa dengan anak aku bercuti dekat Langkawi. Kata Kelantan jauh.

Habis tu Langkawi tu dekat ke? Umi aku siap perli aku cakap mudah-mudahan Hawa jumpa jodoh kat Langkawi. Aik? Umi aku ni lupa ke, aku la jodoh Hawa. Tapi aku fahamlah. Umi tengah marah. Nanti dah reda ok lah dia.

Lepas kahwin, aku bincang dengan Hawa. Fasal giliran la. Hawa kata, dia tak kisah. Kalau dia 3 hari je dalam seminggu pun dia ok. Tapi time bukan giliran dia, dia minta izin untuk keluar bawa Haiqal jalan-jalan.

Maka, jadilah Ahad, Selasa dan Khamis untuk Hawa. Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu untuk Wani.

Tapi itulah. Kadang-kadang, Wani ni ajak aku pergi kenduri sedara lah, kawan lah. Kenduri tu hari Ahad. Jadi, tinggal la hari Selasa dan Khamis je untuk Hawa.

Hawa kata dia ok. Dia tak kisah. Hari aku tak de tu kadang-kadang dia bawa Haiqal bercuti. Tidur kat hotel. Pergi zoo. Pergi theme park.

Bulan lepas, Hawa bagitau aku Nina jemput kenduri akikah. Kenduri hari Ahad. Aku pun ok je la. Sebab Ahad pun memang giliran Hawa.

Tiba-tiba Wani cakap minggu tu nak ajak aku balik kampung dia kat Kelantan. Lawat mak dia. Mak dia tak sihat katanya. Aku serba salah dah. Ye lah. Yang sakit tu mak mertua aku jugak.

Aku bagitau Hawa. Macam biasa Hawa kata dia ok je. Tapi Hawa minta izin nak bawa anak aku Haiqal pergi majlis Nina tu.

Aku berat hati sebenarnya. Ye lah. Nina tu memang perempuan. Tapi Nina ni sebenarnya kawan exbf Hawa aku ni. Senang cakap si Abu tu.

Cuma Hawa rasa dia ngam dengan Nina. Sebab tu dah break dengan Abu pun dia masih rapat dengan Nina.

Ikutkan aku tak nak bagi. Ye lah. Aku rasa kebarangkalian besar Abu datang majlis tu jugak. Tapi teringatkan aku terpaksa cancel giliran Hawa hari Ahad dan tak dapat teman dia pergi kenduri Nina, aku izinkan je lah.

Tapi aku bagitau Hawa. Isnin aku datang ganti balik Ahad yang aku tak dapat balik tu. Aku pun mintak Hawa masakkan laksa johor sebab rasa dah lama tak makan laksa johor dia masak. Sedap. Hawa kata ok.

Maka baliklah aku ke Kelantan dan pergilah Hawa ke majlis akikah anak Nina. Aku dengan Nina ni kenal je. Dan aku pun kawan je dengan dia kat FB. Ahad malam lepas sampai KL dari Kelantan tu, aku cepat-cepat buka FB Nina. Sebab Nina ni suka update dekat FB.

Tekaan aku betul. Nina ada update gambar masa majlis tu. Ada jugak gambar tetamu. Ada gambar Hawa dan Nina dengan Haiqal yang tengah sengih pegang lolipop. Aku baca komen. Ada kawan perempuan Hawa nama apa entah. Aku lupa. Dia komen kata Hawa lawa makin slim.

Mujur yang komen tu perempuan.

Tengok lagi gambar lain ada gambar yang aku cari. Yeah! Abu ada di tempat kejadian ya. Ada gambar Abu, Nina dengan suami Nina tengah pegang baby Nina.

Caption Nina kat gambar tu, lelong.. lelong. Kawan aku ni duda hot. Tapi Abu komen situ, sorry la. Hati dia dah ada yang punya. Aku sentap! Mesti Hawa.

Ya, Abu tu duda. Lepas break dengan Hawa, Abu kahwin dengan pilihan keluarga. Tapi tak lama. Lepas beberapa tahun isteri Abu dengan anak dia meninggal excident. Mana aku tau? Aku terbaca dekat FB Nina share link berita lepas tu ucap takziah tag Abu.

Dan lepas tu, Abu tak pernah kahwin. Aku rasa Abu tak move on dari Hawa. Hawa pernah cerita kenapa diorang putus. Sebab Hawa rasa diorang tak sekufu. Pakcik makcik Abu ni level Dato Tan Sri.

Hawa kata dia anak orang kampung je. Hawa rasa rendah diri dan tak setaraf. Dah kahwin nanti kut susah nak sesuaikan diri. Awal kenal Hawa tak tahu sebab Abu ni nampak biasa je.

Drive pun kereta Satria lama. Jadi Hawa expect Abu ni orang biasa lah. Rupanya tak. Dan atas sebab tu diorang break.

Aku sakit hati tau. Dalam gambar kenduri Nina tu, Hawa pakai dress putih dengan tudung warna coklat. Yang Abu ni pulak gambar dia pakai seluar coklat dengan kemeja putih. Macam rancang pulak.

Sengaja aku stalk FB Abu. Aku saja nak tengok wall dia. Tak friend pun tapi ada beberapa status dia public. Dapatlah aku tengok. Yang latest, ada dua. Dua-dua lepas kenduri Nina. Dia tulis “Semoga dia bahagia.” Wah Abu! Kau nak tuduh Hawa tu tak bahagia ke?

Status terbaru dia share quotes. Tak ingatlah tapi lebih kurang quotes tu kata lagu apa yang kalau dengar teringat seseorang tapi quotes tu bahasa omputih.

Abu tulis situ Shae & Nukilan, Rindu. Dah macam pondan pulak si Abu ni nak update fasal perasaan. 2x lepas kenduri Nina pulak tu.

Aku ni jenis tak dengar radio sangat. Tapi sebab rasa nak tahu aku search lagu tu kat Youtube.

Aku pilih video yang lirik punya. Fasal aku nak study apa niat sebenar lagu ni. Betul wei. Ni lagu orang tak move on! Tak rasa untuk arwah bini dia pun sebab ada lirik dia kau harus bahagia walau tak bersamaku.

Puisi cinta lama sibuk dihidupkan. Indahnya dibuai sejarah. Aku study lagu ni sampai aku terhafal sekali. Sah bukan untuk arwah bini dia. Tak guna punya Abu.

Ikut hati malam tu jugak aku nak semuka dengan Hawa. Apa dah jadi antara Hawa dengan Abu masa kenduri Nina tu. Tapi tu lah. Letih woi drive dari Kelantan. Dengan jem lagi dah la mak mertua aku tu aku nampak tak gaya sakit pun. Takat normal tahap tak sihat orang tua je.

Esoknya lepas kerja aku balik rumah Hawa. Tapi si Wani ni pulak cakap peti sejuk tak de barang basah. Pelik pulak sebab Wani ni bukan masak sangat.

Oh ya, Wani ni minta nak jadi surirumah juga lepas kahwin. Tapi aku pelik jugak. Hawa busy bisnes pun rumah terurus. Wani ni aku tak pasti apa yang dia buat masa aku pergi kerja. Makan pun dia selalu suruh aku order kat Panda/Grab je.

Wani ni kuat merajuk sikit. Mungkin sebab dia sensitif family aku tak appreciate kehadiran dia. Tak nak dia merajuk, jadi aku teman la kejap beli barang.

Lepas tu teman dia makan. Tengok jam dah dekat pukul 8 malam. Lepas hantar Wani aku terus pergi rumah Hawa. Time ni lah nak jem pun. Sampai rumah Hawa pukul 9 lebih dah.

Aku tanya Hawa. Mana laksa johor. Hawa kata dia bagi kat makcik sebelah rumah. Dia ingat aku tak jadi balik. Hangin betul aku. Aku tak berapa berkenan dengan makcik sebelah tu.

Bukan sebab makcik tu. Tapi anak dia. Nampak muda tapi lama dah aku rasa dia minat Hawa. Ah aku laki. Aku tau la macam mana laki pandang pompuan yang dia minat.

Hawa kata dia minta maaf. Dia dah Whatsapp. Aku tak reply. Call pun tak jawab. Handphone aku dalam handbag Wani. Wani pun tak perasan kut bunyi. Aku rasa nak merajuk fasal banyak benda. Laksa johor, Abu, anak makcik sebelah.

Hawa perasan aku macam lain kut. Dia kata tak pe lah. Dia masakkan kejap. Bahan-bahan ada. Tapi dia minta aku temankan Haiqal kejap supaya senang dia masak.

Aku pun pergi temankan Haiqal main dinosor. Tiba aku dapat idea. Aku tunjuk gambar Nina. Tanya Haiqal kenal tak. Dia kata kenal. Tu Auntie Na. Aku pun tunjuk gambar Abu. Haiqal kata tu Uncle Abu. Aku tanya Haiqal, dia borak tak dengan Uncle Abu. Haiqal kata ya.

Aku tanya fasal apa. Haiqal kata Abu tanya dia dah sekolah ke, tau ABC tak. Aku tanya lagi ada cakap apa. Haiqal kata dia tak ingat dah. Tak membantu langsung.

Tapi aku tau la Abu ni ada communicate dengah Haiqal. Lepas tu aku tanya mama ada borak tak dengan Uncle Abu? Haiqal kata tak ada. Lega.

Masa makan laksa johor, aku tanya Hawa. Ada jumpa Abu ke? Hawa jawab jumpa tu tak la. Tapi Abu ada masa majlis Nina. Aku tanya lagi seronok la jumpa Abu? Hawa kata dia sedar diri dia bini orang. Dia tau ada batas. Kalau dah bukan bini orang lain cerita.

Hawa jawab nada mendatar je. Tak tinggi suara pun. Tapi aku jadi panas hati dengan jawapan dia. Bercita-cita nak cerai ke apa? Aku cakap lagi. Siap pakai sedondon dengan Abu.

Hawa gelak tapi bunyi sinis. Dia kata dah majlis Nina tu memang tema putih coklat. Takkan dia nak rosakkan majlis pakai pink pulak. Semua orang pakai warna tu. Jadi dia sedondon dengan semua orang.

Hawa salahkan aku. Katanya dia dah ajak aku. Aku yang tak dapat pergi. Dah tu nak libatkan Abu pulak. Ye, aku tau! Aku yang izinkan. Tapi Abu ni aku nampak macam angau je lepas kenduri Nina tu. Lama tak pos FB apa-apa tiba2 2x pos fasal perasaan dalam sehari!

Dan Hawa kata dia nak minta izin naik atas tidurkan Haiqal. Aku pun angguk je la sambil makan laksa. Lepas siap cuci pinggan semua, aku naik atas. Hawa dah ada dalam bilik.

Oh ya. Sejak aku kahwin, hubungan suami isteri aku dengan Hawa ni macam hambar. Dia patuh je, tak menolak. Tapi entah. Aku pernah baca komen kes Sol ni ada yang kata geli lelaki celup sana sini tu.

Aku rasa macam Hawa geli dengan aku. Dia macam lagi happy kalau aku tak sentuh dia. Dan aku pun tak nak la paksa. Lagipun aku ada Wani.

Esoknya, sengaja aku ambik halfday. Rasa nak spend time dengan Hawa. Rasa lama tak luang masa dengan Hawa dan Haiqal. Sampai je rumah, aku dengar bunyi lagu.

Hawa pasang lagu sambil lap dapur. Dan lagu tu woi! Lagu yang Abu pos dekat FB dia tu. Aku tau sebab aku dah dengar kat youtube. Entah apa yang hasut aku, aku ambil handphone Hawa aku campak ke dinding. Pecah. Hawa terkejut.

Hawa tanya kenapa aku campak. Aku jawab aku tak suka lagu tu. Hawa tanya aku balik, dah tu apa salah lagu Dayang dengan Malique tu? Aik? Lagu Dayang?

Aku tengok Hawa kutip handphone dia. Lepas tu dia mintak izin. Dia kata dia nak keluar. Maybe lama sikit. Tolong jagakan Haiqal. Haiqal tengah tidur.

Sebab rasa bersalah. Aku izinkan je la. Aku naik atas. Tapi tak lama lepas tu Haiqal bangun. Lepas tu nangis-nangis nak mama dia. Mama dia tak de masalahnya.

Nak pujuk Haiqal, aku ajak Haiqal ambik angin kat luar. Tapi dia tak henti nangis. Kebetulan makcik sebelah dengan anak bujang dia tu baru balik. Aku namakan Cik Kiah je lah ye.

Cik Kiah tanya Hawa mana. Aku jawab Hawa keluar. Struggle gila jawab sambil dukung Haiqal yang tengah mengamuk. Cik Kiah mintak bagi Haiqal kat dia. Aku pun pass la ikut atas pagar tu. Tak tinggi pun.

Haiqal masih nangis. Tapi lepas tu anak Cik Kiah ni ajak Haiqal main kereta control. Eh, berhenti pulak nangis dia!

Tak lama lepas tu Hawa balik. Fuh, lega. Haiqal nampak je kereta Hawa nak parking terus bersorak panggil mama dia. Hawa senyum kat Haiqal dengan anak Cik Kiah yang tengah dukung Haiqal. Senyum yang dah lama dia tak bagi kat aku.

Dia nangis tadi, Hawa. Tu saya ajak main kereta. Ok dah dia. Eh, tanpa dipinta si semak ni up diri dia dekat Hawa. Dah tu panggil Hawa tu nama je. Patut panggil kakak tu.

Dah ambik Haiqal, Hawa cakap terima kasih dan masuk rumah. Aku tengok dia beli handphone baru. Aku tanya dia beli handphone ke. Dia jawab ye sebab dia ada bisnes. Leceh tak de handphone. Sebab rasa bersalah aku pelawa diri nak bayar ganti. Hawa kata tak payah.

Tapi satu benda aku perasan sejak Hawa beli phone baru ni. Habis semua gambar profile socmed dia tukar. FB dia banyak gambar baru-baru. Tapi tak de dah gambar aku.

Yang aku upload tag dia pun, dia tak approve keluar kat timeline dia agaknya sebab aku tengok tak ada. Yang ada gambar dia dengan Haiqal.

Ada gambar dia selfie sorang.

Aku ni punyalah nak berlaku adil. Aku upload gambar aku dengan Hawa. Aku upload gambar aku dengan Wani. Tapi Wani komplen. Dia kata yang gambar dia tak banyak like. Yang gambar Hawa banyak. Aku tak perasan pun, tapi bila tengok balik betul apa yang Wani kata.

Dan aku perasan. Betul komen kawan dia tu. Hawa makin slim. Hari tu lepas bersalin dia berisi sikit sampai la time aku kahwin dengan Wani tu. Masih chubby. Tapi sekarang dia kurus.

Lepas tu dia kembali make up, pakai contact lens, tak pakai cermin mata. Lepas tu selalu jugak up gambar dia dengan Haiqal dekat FB.

Cakap terima kasih kat Haiqal sebab beri kerjasama. Tak kacau dia buat bisnes. Tak meragam.

Aku suami dia kut. Mestilah aku terasa. Dia tukar handphone. Bukan tukar apps. Apahal dia nak tukar semua gambar dia. Lepas tu yang ada gambar aku dia remove. Dah tu aku stalk balik gambar Nina yang hari tu. Gambar Nina dengan Hawa tu Abu like wei!

So apahal aku confess panjang ni? Aku nak mintak pendapat sebenarnya. Aku tak boleh nak mintak pendapat member aku sebab aku cerita yang indah je kat diorang fasal kahwin dua ni. Realitinya, aku terasa dengan Hawa.

Hawa memang masih jalankan tanggung jawab dia. Makan pakai aku terjaga kalau balik rumah Hawa. In fact dia yang iron semua baju kerja aku. Aku sangkut dalam kereta dan bawa balik rumah Wani. Tapi itulah. Aku rasa dia dah tak sayang aku.

Aku bukan apa. Aku rasa Abu tu macam get ready je. Soal hati Hawa pun aku tak tau. Aku takut Hawa ganti balik tempat aku dalam hati dia tu dengan Abu. Janganlah…

Aku sayang Hawa ni. Aku dah kahwin dengan Wani pun aku tak boleh tipu diri aku yang aku lagi sayang Hawa. Aku lagi tenang dengan Hawa. Wani ni clingy sikit. Drive pun tak reti. Hawa lebih berdikari.

Hawa pun jenis tenang. Dia marah ke, dia tak suka ke, nada suara dia gitu je. Tapi aku perasan lately dia macam heartless. Cakap apa-apa dengan aku macam tak de perasaan. Tu aku risau.

Tak lama lagi anniversary aku dan Hawa yang ke 6. Aku ada la plan nak buat something. Aku dah tanya Hawa tarikh tu. Hawa kata tarikh tu umi ada ajak dia pergi mana entah.

Hawa kata tu bukan hari giliran dia jadi dia dah setuju dengan ajakan umi. Siap minta maaf lagi sebab lupa mintak izin aku. Umi aku ni pun.

Takkan tak tau tu anniversary kami.

Korang rasa, apa patut aku buat supaya Hawa yang dulu kembali dalam hidup aku?

– Bukan Sol (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *