Assalamualaikum. Aku tidak pandai menulis untuk meluah. Aku dilahirkan dengan ‘trust’ isu. Tidak aku tahu puncanya. Jadi, untuk kebanyakan perkara aku memang pendam seorang, walaupun dengan suami sendiri.
Sebelum aku ceritakan lebih lanjut, aku ceritakan sedikit latar belakang aku.
Alhamdullillah aku dikurniakan rezeki harta benda yang luas, habis sahaja tamat sarjana, aku ditawarkan pekerjaan dengan sebuah syarikat swasta di selatan tanah air yang bergaji agak lumayan untuk graduan tanpa pengalaman seperti aku.
Sebelum aku berkahwin aku sudah mampu membeli kereta import dan sebuah landed house untuk aku duduki dan ke dua-duanya menggunakan pinjaman bank tetapi jumlah deposit yang dikeluarkan untuk kedua-dua harta ini mencacah 70k pada waktu itu.
Kemudian berkahwin dengan seorang lelaki di organisasi yang sama. Sudah berkahwin hampir 7 tahun dan sekarang aku mempunyai dua orang anak yang alhamdullillah sangat-sangat, sihat dan cukup sifat.
Sejak dari zaman bujang, aku kerap rasa tercabar dan tidak boleh orang sekeliling aku lebih dari aku. Tidak kiralah lebih dari segi apa jua.
Aku akan berusaha secara baik untuk mengatasi orang tersebut.
Tetapi tidaklah pula aku berbuat j4hat kepada mereka. Hanya jadikan mereka sebagai benchmark untuk aku melangkaui apa yang mereka punyai.
Contohnya, kalau semasa menjadi student dahulu, sekiranya kawan aku dapat markah lebih tinggi dari aku, aku akan pastikan akhir semester nanti pointer aku lebih tinggi dari dia, hasilnya aku adalah pelajar cemerlang di dalam kelas.
Apabila menjejaki alam pekerjaan, kalau kawan aku pakai barang branded, sudah pasti aku tidak ketinggalan, contoh kalau kawan aku menggunakan produk skincare clinique, aku pakai SKII,
Kalau mereka beli apartment aku akan beli landed house, kalau mereka pakai emas baru, aku juga akan beli emas design terbaru.
Tetapi kalau mereka beli kereta baru yang tidak setaraf dengan kereta aku, tidak lah pula aku tercabar, dan begitu la seterusnya. Hanya tercabar sekiranya melebihi dari apa yang aku punyai.
Aku akan sedaya upaya untuk pastikan aku akan sentiasa lebih dari orang sekeliling aku, samada kawan-kawan, jiran-jiran atau ipar-ipar dan alhamdullillah Allah beri apa yang aku hajati.
Semuanya berjalan lancar dan tiada masalah besar yang aku hadapi sehinggalah umur aku menghampiri 35 tahun. Aku rasa penyakit tidak boleh melihat orang lebih ini semakin serius dan aku merasa terlalu penat dan lelah.
Pada tahap ini, aku terlalu mudah untuk terasa sakit hati atas kegembiraann orang lain sekiranya aku tidak memeliki apa yang mereka punyai. Lebih-lebih lagi sekiranya hal tersebut aku tidak boleh kawal.
Contohnya, klu aku melihat anak mereka mendapat keputusan cemerlang, berfamily day dalam keluarga yang besar, mempunyai aset mewah seperti banglo dan sebagainya. Hati aku sakit dan kecewa. Tapi aku segera beristigfar dan ingat kembali nikmat yang ada di depan mata.
Cuma yang aku hairannya, walaupun aku telah muhasabah diri, perasan kecewa tu tetap akan muncul terutama apabila bangun di waktu pagi dan aku rasa seperti useless tapi masih boleh dikawal, masih boleh bekerja dan berborak seperti biasa.
Tetapi sakit tu tetap menghantui selagi aku tidak dapat memiliki apa yang orang lain miliki. Aku lalui hidup seperti ini hampir 3 tahun tetapi setahun kebelaknagan ini aku rasa ianya menjejaskan emosi aku dan sebab itulah aku meluahkan di sini.
Aku cepat beremosi, demotivated secara tiba-tiba dan mudah marah terutama anak-anak dan suami. Aku rasa masalah aku selama ini masih boleh dikawal mungkin sebab solat dan amalan mengaji dan sedekah yang melindungi aku.
Cuma aku tidak selesa dengan perasan aku sekarang. Aku jadi mudah terlalu penat, berdebar-debar, dan kadang-kadang rimas dengan diri sendiri.
Yang terbaru adalah kawan aku baru diberitakan dengan kandungan kembar sepasang,
Lagi la membuatkan aku tertekan kerana aku masih tidak mempunyai anak perempuan dan aku sekarang tidak boleh lagi mendapatkan zuriat kerana masalah dalaman yang menyebabkan aku tidak boleh lagi mengandung.
Biarpun aku sakit hati dengan kawan aku tersebut, tetapi tidaklah pula aku mendoakan kemudaratannya atau membuat perkara jahat kepada dia. Aku hanya seperti biasa, boleh berborak dan bergurau dengan dia.
Cuma dalam hati, hanya aku dan Allah sahaja yang tau betapa sakitnya hatiku seperti hatiku seperti dikoyak-koyak dan ditikam-tikam.
Ya aku tahu, ramai lagi yang tidak mempunyai zuriat, tetapi kata-kata seperti itu hanya melegakan aku untuk seketika, dan pada waktu lain aku pasti akan rasa kecewa dengan apa yang aku gagal perolehi.
Banyak lagi perkara-perkara lain yang menghantui aku setiap hari. Aku tidak rasa aku sesuai untuk berjumpa kaunselor, seperti aku katakan di atas, aku tidak percayakan orang lain. Dan kerana itu aku perlukan pedapat dari pembaca di sini.
Tolong jangan minta aku dekatkan diri dengan tuhan, solat sunat, taubat, mengaji, sedekah dan istigfar kerana amalan2 ini aku lakukan sejak dari sekolah lagi. Dan jangan minta aku ke kaunselor juga sebab aku tak suka orang lain ketahui sisi gelap atau kelemahan aku.
Sekiranya kalian meminta agar aku melihat kekurangan atau kesusahan orang lain, telah juga aku buat tetapi tidak berkesan kerana ia hanya melegakan sementara.
Begitu juga pergi bercuti atau pergi ke tempat-tempat yang menginsafkan seperti rumah anak yatim atau pusat kanak-kanak istimewa. Hal-hal itu telah aku lakukan dan hanya melegakan seketika. Keesokannya tetap sama.
Aku telah berusaha sedaya upaya tetapi perasan sakit hati dan terlalu kecewa atas kegembiraan dan kesenangan orang lain itu tetap wujud.
Waalupun aku tahu yang semua itu adalah dari Allah untuk mereka dan bahagian aku juga ada, tetapi tetap hati aku ni seperti mengkufuri nikmat yang ada.
Aku tidak mahu Allah tarik nikmat yang ada sekarang dan kerana itulah aku ingin berubah untuk tidak mempunyai perasan sakit hati atas kelebihan orang lain.
Tetapi masih belum menemui cara yang berkesan. Ya, mulut ucapkan styukur, tetapi hatiku seperti tidak cukup lagi untuk bersyukur.
Kalau betul-betul aku bersyukur, mengapa perasan sakit hati dan kecewa itu ada apabila melihat kelebihan orang lain. Harap kalian dapat membantu.
Harap admin dapat siarkan kisah aku ini. Segala cadangan aku dahulukan terima kasih, semoga Allah membalas jasa baik kalian.
– Safa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Ā https://iiumc.com/submit