Assalamualaikum. Selamat berpuasa :)
Maaf sekiranya ada yang kurang senang dengan perkongsianku. Aku cuma mahu berkongsi pengalaman tentang isu-isu rumahtangga yang agak hangat berlaku pada masa ini.
Aku seorang isteri dan asam garam berumahtangga, yang pahit-pahit banyak yang sudah kulalui.
Mertua hantu, suami culas, kesihatan mental terganggu, tiada sokongan daripada yang tersayang & terdekat… antaranya.
Satu yang aku jaga dari awal berkahwin ialah aib.
Tapi, apabila “aib” tersebut merupakan jenayah atau kesalahan shariah, berdosakah aku apabila aku membawa perkara itu ketengah? Di mana akhirnya nasib aku dan anak-anak terbela?
Aku percaya, Allah tidak kejam. Allah tidak zalim. Allah yang Maha Mengetahui tahu setiap sebab air mataku jatuh.
Aku dimomokkan dengan betapa berdosanya seorang isteri itu apabila membuka “aib” seorang suami.
Sampai bila harus ditutup sedangkan hal-hal yang terang-terang berdosa di pihak suami terus berlaku?
Aku bangkit bukan sebab aku hilang hormat pada suami. Aku bersuara kerana aku sedar yang aku perlu menghormati diriku dan hak-hak ku sebagai seorang isteri.
Sejujurnya, aku terkedu apabila ada timbul kisah rumahtangga selebriti yang tiba-tiba sahaja muncul, dan warga maya (terutamanya golongan lelaki) cepat sahaja menuding jari kepada sang isteri yang teraniaya.
Aib. Isteri derhaka. Bertahun-tahun sang isteri menghadap semuanya dan hanya kerana berbunyi tentang hal-hal yang berkaitan kesalahan shariah, terus dianggap membuka aib dan menjadi isteri derhaka.
Kenapa tidak melihat pada si suami yang meninggalkan sang isteri mengurus anak-anak seorang diri?
Kenapa seolah-olah tidak nampak akan fakta yang si suami ini bermain kayu tiga?
Dan apabila sang isteri pada awalnya bertanya mahu atau tidak berkahwin dengan orang ketiga itu, tetapi dinafikan hubungannya oleh si suami, dan tiba-tiba berkahwin di sempadan… kenapa pula menuduh sang isteri itu menolak poligami?
Kalau alasannya ialah kerana mampu, apa yang mampunya apabila nafkah batin dari segi menjaga hati dan emosi isteri terabai?
Aku sendiri pernah melalui benda yang sama. Aku berterus terang dengan suamiku yang dirinya tidak mampu.
Apabila selama ini dia menipuku dan culas nafkah yang berkaitan, apa yang membuatnya berfikir yang aku menerima poligami dengan hati yang terbuka?
Kalau mahu teruskan, boleh. Lepaskan aku kerana aku tidak mahu terus hidup dalam tekanan. Dia tahu aku boleh hidup tanpanya. Malah, lebih bahagia.
Tetapi, sekiranya dia masih mahukan aku, dia perlu berubah untuk menjadi seorang Muslim yang baik dan selayaknya. Sebagai seorang suami dan ayah. Itu yang aku katakan pada dirinya.
Jiwa dan rasaku sebagai seorang isteri sudah lama mati. Sesungguhnya benarlah yang kekuatan seorang wanita itu adalah apabila dia bergelar seorang ibu.
Anak-anaklah penguatku. Suamiku memilih kami dan sehingga kini, Alhamdulillah, aku mampu untuk redha akan apa yang berlaku dahulunya. Aku tidak mengungkit.
Apa yang aku harap dan sentiasa doakan ialah agar suamiku sentiasa di dalam keberkatan dan keredhaan Allah kerana dia seorang suami.
Moga doaku yang sebegitu menjadi penyebab dirinya tekad berubah seperti sekarang. Aku cuma mahu rasa cinta dan ikhlas sebagai seorang isteri untuk sentiasa ada sehingga ke akhir nafasku.
Biarpun masyarakat kita senang “terusik” dengan cerita-cerita dalam kain, aku berharap agar kita jangan cepat melatah dengan bermain sentimen agama sehingga kesalahan-kesalahan shariah yang terang-terang berlaku itu seolah-olah dinafikan.
Suaminya baik kerana diam menikus. Isterinya jahat kerana berbunyi. Hentikanlah berpihak pada yang salah.
Buat isteri-isteri yang tidak henti-henti memperjuangkan hak anda, doaku bersama kalian semua.
Memang sukar kerana masyarakat kita masih mudah mengecam setiap tindakan kita biarpun selari dengan undang-undang.
Abaikan mereka yang tidak pernah menempuh badai rumahtangga tetapi lekas berkata itu ini. Jangan pernah berhenti berjuang dan berdoa.
Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, Maha Adil dan Maha Mengetahui.
Salam sayang,
– Aku (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit