Assalamualaikum w.b.t semua pembaca. Salam ramadan kareem. Semoga ramadan kali ini memberi seribu satu rahmah dan amal ibadat kita diterima oleh Allah s.w.t aamiin.
Nama aku Siti Saleha. Semestinya bukan nama sebenar. Ini bukan kali pertama aku berkongsi cerita kat sini. Dah lama jugak aku tak kongsi cerita dan hari ni aku macam teringin pulak nak menulis.
Ramadan tahun ni merupakan ramadan pertama kali aku sebagai seorang isteri. Selamat pengantin baru buat diri sendiri. Menulis sambil tersipu-sipu dan mendengar lagu melawan kesepian oleh Tokti kita.
Dulu aku pernah jugak berkongsi cerita tentang ramadan, tapi masa tu aku bujang lagi. Setiap tahun aku akan berbuka puasa di masjid. Oh ya, aku anak perantauan, dan yatim.
Dulu aku selalu berbuka puasa dekat masjid sebab aku tak nak berbuka sorang2. Sunyi. Kat masjid ramai, aku suka. Suasana dia macam berbuka dekat kampung berkumpul semua family.
Tapi tahun ni dah berbeza. Tahun ni aku sambut ramadan bersama suami. Perasaan tu entahlah, tak boleh nak digambarkan. Tapi aku anggap perasaan tu lebih kepada mensyukuri nikmat Allah s.w.t berbanding keterujaan.
Ayat macam menunggang agama pulak kan hahaha tapi ni ikhlas dari lubuk hati aku. Sebab perasaan tu sebenarnya berkait dengan takdir hidup aku.
Betullah hikayat kehidupan, takdir yang menentukan segalanya. Sampai masanya, kita akan mengerti takdir hidup. Dulu aku merasakan hidup ni tidak adil.
Kenapa aku yang harus melalui takdir seperti ini. Tahun 2015 hingga tahun 2019 merupakan tahun diuji dengan takdir.
Yatim piatu di usia muda, kerjaya tidak stabil, hilang kerja, kewangan yang kais pagi makan pagi dan petang, tiada bertemu jodoh dan macam-macam takdir yang tidak indah hadir. Bertubi-tubi.
Melihat pula takdir orang sekeliling yang begitu indah, masih ada orang tua, kerjaya yang stabil, dah bertemu jodoh dan ada keluarga kecil sendiri. Betapa indahnya takdir mereka, beruntungnya mereka.
Tapi percayalah, langit tak akan selalunya mendung. Hujan yang turun akan membawa pelangi yang indah selepas itu. Begitulah takdir, bermula tahun 2020 takdir hidup aku dah mula berubah.
Sikit demi sikit Allah membuka jalan hidup aku kepada takdir yang lebih indah, yang aku tak pernah terfikir aku dapat semua tu. Daripada kerjaya yang tidak stabil, Allah hadiahkan aku nikmat kerjaya yang stabil.
Alhamdulillah tahun ni genap tahun ketiga aku berkhidmat untuk negara sebagai seorang penjawat awam.
Tahun 2021, aku mula bertemu dengan suamiku. Cinta pandang pertama yang membawa ke jinjang pelamin. Tahun 2022 Allah kurniakan lagi nikmat yang melimpah ruah.
Alhamdulillah aku dapat memiliki sebuah rumah sendiri pada usia 30 tahun, yang aku tak pernah terfikir, malah terbayang pun selama ni.
Perasaan memiliki rumah sendiri? Hanya yang melaluinya sahaja yang tahu. Biarpun duit simpanan macam air mencurah-curah habis hahaha tapi saat tu kau dah tak kisah.
Dia seolah-olah sakit ditimpa tangga sebab duit banyak habis tapi takpelah tangga tu bertukar menjadi singgahsana yang akan menjadi syurga dunia buatmu berteduh haa gitu.
Tahun 2022 jugak aku bertunang dengan suamiku dan Alhamdulillah buat kesekian kalinya aku selamat sah menjadi isteri kepada suamiku.
Untuk part ini, aku ingin mengucapkan Alhamdulillah terima kasih Allah kerana memilih hambamu ini untuk melalui liku-liku takdir hidup seperti ini.
Benar kata-kata yang aku pegang dan yakin setelah takdir memilih untuk menjadikan aku yatim piatu pada tahun 2015 dahulu. “Allah ambik apa yang Dia punya (orang tua), Allah jaga aku. Dia tak akan tinggalkan aku dalam keadaan apa sekalipun.”
Dan aku jugak ingin berterima kasih kepada suamiku, yang menerima aku apa adanya, terima kasih juga kepada keluarga mertuaku yang menerima anak yatim piatu ini menjadi sebahagian daripada ahli keluarga baru.
Bukan sahaja ramadan kali ini yang special untukku. Bahkan syawal juga yang akan bakal tiba.
Tahun ni aku bakal merasai semula raya yang meriah bersama keluarga mertua yang besar, bersalam cium tangan dengan dengan mertuaku akan mengingatkanku kembali kepada hari raya bersama orang tuaku suatu masa dahulu.
Mungkin akan sedih, tapi kesedihan itulah kegembiraan yang aku rindu sangat selama ini.
Tidak lupa juga terima kasih kepada pembaca setia IIUM Confession yang pernah membaca cerita ramadan aku yang dulu dan mendoakan kesejahteraan aku. Doa kalian dan termakbul. Alhamdulillah.
Akhir kata semoga kita sentiasa bersyukur dengan takdir hidup yang telah ditentukan olehNya kepada kita. Dan sentiasa berlapang dada pabila takdir hidup menguji kita.
Aku doakan juga kalian yang masih berjuang untuk merubah takdir yang lebih baik, semoga Allah permudahkan urusan kita semua. Inshaa Allah aamiin.
Oh ya last but not least, doakan aku cepat-cepat dapat cahaya mata ya semua. Salam ramadan dan salam syawal yang akan tiba. Salam kasih sayang dari yang mengagumi takdir, Siti Saleha.
Sekian.
– Siti Saleha (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit