Cara Aku Pula Move On Dari Bekas Su4mi

Salam aku Rostulip (nama samaran). Aku terpanggil untuk berkongsi cara aku pula move on dari bekas suami setelah membaca confession TT sebelum ini dengan tajuk yang sama.

Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/cara-aku-move-on-dari-bekas-su4mi/)

Apa yang berbeza aku tidak mempunyai anak. Aku berpisah dengan bekas suami setelah hidup bersama selama 11 tahun.

Dia meninggalkan aku akibat konflik dengan ibuku dan masalah kewangan kami berdua yang kritikal. Walaupun kami berdua penjawat awam duit seringkali tidak cukup akibat bebanan hutang yang tinggi.

Kami berbincang dan mencapai kata putus untuk berpisah setelah dia mengakui tidak ada lagi rasa cinta dia pada aku, ditambah dengan ketiadaan anak membuatkan hidup kami suram tidak bermaya.

Walaupun aku tidak rela disebabkan perasaan sayang aku padanya masih utuh, aku redha, untuk apa bersama lagi andai tiada lagi seri dalam rumah tangga kami.

Dalam tempoh eddah aku masih bertenang dan mengharapkan akan ada keajaiban yang dapat menyatukan kami semula. Namun setelah aku tahu dia sedang bercinta dengan seorang ibu tunggal 2 anak hati aku remuk dan hancur berderai.

Dan disaat itulah aku bertekad untuk melupakan dia buat selamanya dan memohon agar Allah tidak akan mempertemukan aku lagi dengan dia.

Aku benar-benar hanya ada Allah pada ketika itu. Aku buntu, sedih, kelam dan tidak tahu nak buat apa. Aku baru faham bagaimana rasanya makan hati. Sehinggakan nak habiskan sekeping roti pun amat payah buat aku waktu itu.

Ini cara yang aku buat untuk aku benar-benar melupakan bekas suamiku.

Setiap hari aku akan menangis bermula dari aku memandu kereta dari tempat kerja sehingga waktu isyak. Teruk sungguh kan. Itu pada aku satu cara untuk aku lepaskan perasaan sedihku.

Aku berdoa bermula dari waktu Maghrib sehingga waktu Isyak. Macam-macam doa aku amalkan untuk kekuatan hati aku untuk bertahan. Antaranya selawat Tafrijiyah. Amalkanlah, selawat ini memang hebat.

Dan aku juga berdoa untuk aku dikurniakan zuriat, walaupun dah bercerai aku tak tinggal doa tu. Aku mengadu sepenuhnya pada Allah untuk bantu aku untuk keluarkan aku dari kesedihan yang maha hebat ini.

Untuk pengetahuan semua aku tinggal sendirian dirumah aku, kesunyian membuatkan aku bertambah parah. Aku tidak berkongsi cerita dengan ibuku. Aku menunggu sehingga aku benar-benar pulih.

Aku padam semua nombor contact dia, ibu mertua dan adik-adik ipar. Aku tak mahu kalau-kalau ada status tentang dia yang mereka kongsi.

Aku takut sungguh waktu itu akan terbaca dan aku akan jadi sedih dan berserabut. Aku buat media sosial baru tanpa add adik beradik dia.

Sebab sebelum itu adik ipar aku ada berkongsi gambar raya mereka bersama bekas suami dengan bini baru dan anak-anak tiri dia. Meroyan aku weh, tak boleh tidur malam.

Pernah aku jadi panic attack waktu keluar ke shopping complex. Aku membayangkan aku terserempak dengan bekas suami dan bini barunya! Memang aku benar-benar tidak keruan waktu tu.

Aku juga tak dengar lagu-lagu sedih di radio. Kalau DJ siarkan aku terus tutup. Aku takut aku sedih dan jadi meroyan lagi.

Takut sungguh melayan perasaan sedih sebab aku pernah rasa amat serabut dan ada perasaan nak cederakan diri sendiri. Jadi aku tak mahu perasaan sedih tu menganggu aku.

Yang terakhir untuk move on aku pun turut sama mencari jodoh lain. Dah dia pun dah kahwin kan. Dia kahwin lain setelah 5 bulan kami bercerai. Cepatkan. Banyak Platform kat medsos ini untuk cari jodoh. Aku cuba 2 tempat, satu berbayar satu lagi percuma.

Aku banyak doa agar pertemukan aku dengan lelaki yang baik, yang sangat-sangat sayangkan aku. Kira biar dia yang tergila-gila kan aku. Memang aku doa macam tu, hahaha.

Akhirnya Allah pertemukan aku dengan seorang anak teruna yang sangat lembut tutur katanya, sopan amat bila bercakap dan pastinya sangat-sangat sayangkan aku. Sebab aku ni tak cantik, manis tu ada, chubby sikit. Tak sangka dia mau, haha.

Oh dulu aku memang besar cuma aku tinggi tak nampak sangat. Lepas bercerai berat aku turun 13kg. Memang berbeza sangat aku dulu dengan sekarang.

Sekarang dia dah jadi suami aku, kami beza 6 tahun dan aku terus mengandung kira bunting pelaminlah hehe.

Aku tak sangka aku mampu untuk mengandung sebab dengan bekas suami 10 tahun aku tak pernah lekat walaupun macam-macam usaha kami buat. Rezeki aku dengan suami baru agaknya.

Rezeki aku pun makin bertambah setelah dinaikkan pangkat. Tidaklah kaya tapi senang. Nak beli apa pun tak payah pikir banyak kali.

Pada aku Allah saja yang mampu menolong hambaNya dalam apa jua keadaan. Mintak lah pada Dia, jangan putus asa. Serahkan diri kita sepenuhnya pada Allah. Minta Allah beri apa yang terbaik untuk kita.

Kita kata kena redha orang selalu kata kan. Tapi untuk redha tu memang amat sukar, rasa tak mampu cuma kita teruskan hidup dengan sentiasa mengharapkan pada Allah. Allah pasti akan tolong kita. Percayalah.

Terima kasih sudi membaca

– Rostulip (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *