Salam pembaca IIUM Confessions. Aku nak confess sikit pasal perangai orang-orang kita masa beraya. Confess sambil membebel luahkan perasaan. Yang tak suka baca, boleh skip. Aku bagitahu awal-awal.
Rumah adik, abang dan kakak kita bukan rumah kita yang boleh kita terjah sesuka hati. Tolonglah ingat fakta ini. Kita datang sebagai tetamu yang menumpang dan menyinggah untuk beraya.
Kita tiada hak nak arah tuan rumah ikut telunjuk kita. Tuan rumah pun please la bertegas. Rumah kau sendiri kot.
Kakak atau abang kau datang beraya nak buat perangai diktaktor dan konon acah wakil diri sendiri jadi ketua keluarga arah macam-macam, kau bertegas je dengan dorang. Kau tak berani, suruhlah suami kau bersuara. Tegas tak bermaksud tak hormat atau niat nak melawan.
Sekarang ramai yang menghadapi masalah kewangan. Ada ibu-ibu yang masak juadah yang sama dari pagi sampai ke malam. Untuk lunch dan dinner cuma panaskan semula lauk tersebut.
Aku tahu ada pembaca yang tengah pening fikir nak hidang juadah apa masa hari raya nanti. Raya kita pula berhari-hari. Orang nak datang rumah nanti nak dijamu apa. Makan harian pun bercatu.
Tak payah fikir sangat. Apa yang ada di dapur tu itu la kau jamu makan untuk tetamu. Tak payah nak beria tanyakan dalam group whatsapp family nak masak makan apa, nanti diminta masak yang bukan-bukan melebihi bajet tak reti nak menolak pula.
Kau jangan nak buat perangai catu makanan anak beranak gara-gara nak melayan tekak tetamu. Datang ziarah tengah hari, kau hanya mampu hidang cucur bilis, itulah kau hidangkan kat tetamu.
Tak payah nak melayan tekak adik-beradik kau yang konon boleh mati kebulur kalau satu hari tak dapat makan nasi.
Aku tahu pembaca sendiri pernah hadap perangai adik-beradik datang rumah arah masak macam-macam. Contoh, “Kau buatkan/masakkan aku nasi dengan ayam kicap Ngah. Tak selera aku nak makan lauk raya ni. Muak rasa.”
Muak dia je dia kisahkan. Yang kau ni lauk ayam pun jumpa seminggu sekali. Raya kalini tak payah nak melayan muak orang. Apa yang ada, itulah kau hidangkan.
Adik-beradik yang datang beraya tu pun, kalau tuan rumah jamu cucur bilis tak kenyang ke tak lalu nak masuk mulut tengah hari buta tu, lepas ziarah kau pergilah cari nasi berlauk yang jual sepanjang jalan masa pulang nanti. Tak payah tunjuk kebulur waima rumah adik-beradik kau sendiri.
Kita ni mostly dah terbiasa masuk straight dapur rumah adik-beradik sendiri. Masuk dapur buat macam rumah sendiri. Selongkar dapur rumah orang. Kalau ipar tegur, mulalah melenting. Rumah abang/adik aku sendiri kot. Orang buat gitu dekat rumah kita tahu pula marah.
Raya kalini kalau tidak diajak pelawa ke dapur, kau tak payah rajinkan bontot pergi ke dapur orang. Minta izin kalau nak ke dapur. Pergi ke toilet pandai pula kau minta izin. Pergi dapur menonong je kau buka langkah.
Datang ziarah adik-beradik betulkan niat nak ziarah raya tu. Ada tu datang ziarah bersebab.
Konon malas nak masak, malas nak layan tetamu kat rumah sendiri so pergilah beraya rumah adik-beradik dengan harapan dapat makan kenyang dan yang paling penting, dapat tapau bekal makanan. Kenyang sampai malam. Senang hidup kau.
Nasihat aku kalau nak ziarah adik-beradik nanti dan kita memang berkemampuan dari segi kewangan, bawalah sedikit beras, dan barang keperluan harian lain seperti teh, kopi, bihun sepeket, telur, biskut dan tepung.
Senang cakap, barang yang mungkin adik-beradik kau boleh guna untuk masak dan hidang untuk tetamu. Kita memudahkan urusan mereka.
Harga barang keperluan harian di pasaran semakin mahal. Buat amal jariah dan sedekah sesama adik-beradik. Adik-beradik kau kaya ke miskin ke kau sedekah je sama rata. Yang kau nampak kaya itu la yang paling hazab uruskan kewangan.
Nasihat aku yang paling penting, masa ziarah nanti, tanyalah khabar adik-beradik kau. Jangan tahu scan barang dalam rumah orang tu je.
Lepastuh suka hati kau je ajak bergosip pasal orang lain.
Belajar ziarah bertanya keadaan semasa sesama adik-beradik sendiri. Belajar buka mulut dan bertanya. Ko ada problem tak bang?.
Budak-budak sekolah okay tak?.Kerja okay tak?.
Ambil tahu hal anak-anak buah. Dia orang okay tak sekolah?.Ambil tahu. Tanya sendiri kat anak-anak buah kau pasal pelajaran dan sekolah.
Budak-budak tu pun anak buah kau sendiri juga. Apa salahnya ambil tahu hal dia orang.
Especially kalau anak buah kau tu anak yatim. Kalau kau anak lelaki dalam keluarga, wajib ambil tahu hal-hal kebajikan dorang.
Jangan rasa jadi satu beban bila kau dah mula bertanya. Kalau aku tanya nanti, aku nak kena tanggung dorang pula. Pleaselah jangan berfikiran macamtuh.
Mungkin para pembaca boleh kongsikan pendapat atau nasihat berkaitan tanggungjawab kita sesama anak-anak yatim ni. Mungkin ada cara atau jalan mudah untuk diambil andainya saudara lelaki sendiri tak mampu tanggung kebajikan mereka?.
Tanya jangan tak tanya. Orang kita kalau tak tanya, jarang nak bercerita. Segan dan malu. Takut orang mengumpat.
Masa sekolah baru buka hari tuh, ramai parents yang tak hantar anak-anak ke KAFA. Mostly berkaitan masalah kewangan. Kalau kau tahu anak buah kau tu tak pergi ke sekolah KAFA, mak ayah tak mampu nak hantar, pujuklah dan cakap benda baik-baik je.
Takpelah. Next year, Insya Allah boleh pergi. Jangan kau jadikan modal membawang pulak. Perli mak ayah budak tu tak pentingkan hal agama.
Raya tahun ni macam-macam cabaran dan dugaan. Ramai yang tak mampu sediakan kelengkapan raya seperti tahun-tahun lalu. Parents yang ada anak-anak bersekolah, banyak habiskan duit untuk kelengkapan sekolah tempoh hari.
Masing-masing faham keadaan kewangan sendiri. Raya sekadar mampu. Kau yang mampu serba serbi, jangan samakan diri kau dengan adik-beradik yang lain yang mungkin kurang kemampuan sedikit tahun ini.
Datang beraya rumah orang, jangan sibuk scan barang-barang rumah adik-beradik kau yang tak bertukar dan berganti baru sejak Covid melanda.
Kau yang tuan rumah tak payah melayan konsep raya bagai. Pastikan rumah kemas dan bersih sudah cukup. Tak perlu membazir beli barang deko-deko yang nak guna setahun sekali je.
Aku rasa dah terlambat nak nasihat yang ini, tapi takpe dah alang-alang aku menulis aku luahkan juga. Tak payah sibuk nak sedondon satu family besar tempah baju raya kalau tak disponsor dari ambil ukuran badan sehinggalah siap jahit dan alter baju raya.
Kau nak beraya sedondon satu family besar, kau sendiri keluarkan duit beli untuk semua orang. Ini tak, kirim kain perca suruh adik-beradik kau yang lain pergi cari sendiri dan tempah kain untuk keluarga masing-masing.
Kirim kain perca boleh tarik nafas lega sikit. Masih boleh berjimat beli baju readymade yang murah-murah. Kalau diberi kain pasang bermeter-meter, kau ingat dia nak belanja kain tu semua?.
Ingat free?Lambat lagi nak dibagi free kain berkayu-kayu itu. Masak nak difikirkan upah tempah baju yang perlu dibayar dan harga kain tersebut.
Belum lagi yang ada yang buat perangai kutip duit untuk beli kain-kain itu dan paksa adik-beradik yang lain hulur duit untuk support kos dia cari dan beli kain-kain tersebut.
Kau yang memandai nak sedondon dan pergi beli kain, habis shopping ikut selera kau, tiber orang lain nak kena tanggung segala kos.
Mesti ada kan yang perangai macam camni dalam keluarga korang. Tiber tunjuk resit bukti sudah beli pastu nak claim. Tak tanya pendapat adik-beradik yang lain. Konon nanti lambat bagi jawapan. Tak ada free time nak pergi cari. Alang-alang dah pergi Jakel, borong jelah kain.
Memanglah nampak cantik kalau pakai sedondon bila bergambar nanti. Tapi yang tak cantiknya perangai kau tak bincang adik-beradik. Ada adik-beradik kau yang hilang mood nak beraya fikirkan masalah kewangan. Kau boleh pula paksa bayar harga kain-kain semua tu.
Adik-beradik kan. Takkan tak bayar. Fikirkan malu kat mak ayah kalau bergaduh pasal kain raya so pejam mata bayarkan jelah. Takkan nak bergaduh beria pasal kain baju raya je sampai bermasam muka.
Mesti ada kan antara adik-beradik yang suka bertindak ikut kepala dan selera dia je camni. Raya nanti kumpul ramai-ramai adik-beradik tegurlah yang perangai camni. Terangkan situasi yang sebenar masalah korang adik-beradik.
Bincang dalam group whatsapp tak sama dengan bincang berdepan. Kalau dibiarkan nanti ada yang tak mahu balik ke kampung langsung.
Buang yang keruh dan ambil yang jernih bersempena hari raya nanti. Berayalah secara bersederhana dan mengikut kemampuan kita. Jaga hati dan kata-kata semasa beraya di rumah adik-beradik.
– Jijah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit