Pelakon Yang Tiada Anugerah

Nama aku Damia. Umur 23 tahun. Aku seorang pelakon hebat yang tidak diiktiraf dimana-mana industri hiburan tanah air. Kerja lakonanku sudah aku lakukan sepanjang hayatku. Ceritanya bermula begini…

Ibu dan bapaku sudah bercerai semenjak aku berumur 9 tahun. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, mereka tidak pernah bahagia.

Setiap hari mereka akan bertengkar dihadapan aku dan adik-beradik sehingga membaling- baling barang. Ayah aku merupakan bekas tentera laut yang telah bersara awal kerana sebab tertentu yang aku tidak tahu sehingga ke hari ini.

Ayahku seorang yang cerdik tetapi disebabkan sikapnya yang pemendam dan pendiam menyebabkan dia mengalami depresi yang teruk sehingga dia tidak lagi siuman.

Selepas bercerai, ibu berkahwin lagi dan aku dan adik-beradik tinggal bersama ibu berserta suami barunya.

Aku mempunyai seorang kakak dan seorang adik lelaki. Kami tidaklah rapat seperti adik-beradik yang lain kerana kami suka membuat hal sendiri dan kadang-kadang kami tidak bercakap antara satu sama lain walaupun kesemuanya ada di dalam rumah.

Penceraian ibu dan ayah kami amat meninggalkan kesan yang mendalam buat kami.

Kami menjadi sangat sensitif dan cepat marah. Antara adik-beradik aku, akulah yang paling cepat menangis dan pemarah.

Ibu aku cukup marah kerana aku mengikut sikap ayahku yang pendiam dan pemendam. Takutnya aku akan menjadi seperti ayahku.

Disebabkan ini, semenjak kecil aku berusaha mengawal diriku agar tidak terlalu beremosi ketika berlakunya sesuatu masalah. Lebih kepada berpura-pura sebenarnya.

Keluarga belah ibu tidak suka akan kami manakala keluarga belah ayah kandungku seperti tidak mempedulikan kami.

Aku ingat lagi semasa aku masih kecil, setiap kali kami melawat ke kampung ibu, nenek dan adik-beradik ibu akan cepat-cepat menghalau kami untuk pulang ke rumah walaupun waktu itu kesemua ahli keluarga berkumpul di rumah itu.

Mereka seolah-olah melayan kami seperti orang luar. Pernah ibu bercerita yang mereka tidak mengambil peduli tentang kami selepas ibu dan ayah bercerai.

Waktu itu ibu masih sarat mengandungkan adikku dan ketika ibu hendak bersalin, ibu sendiri yang memandu kereta ke hospital sambil menahan kesakitan.

Tidak ada seorang pun yang melawat ibu di hospital dan adikku lambat diazankan iaitu seminggu selepas kelahirannya ke dunia ini. Itu pun adik iparnya yang mengazankan adikku.

Ibu selalu berkata, “Kalau atuk kau ada lagi ni, takdenya diorang nak layan kita macam ni”. Nenek dan adik-beradik ibu pernah melarang ibu untuk membawa pulang suami barunya ke kampung halaman ibu.

Walaupun perkahwinan ibu sudah masuk ke usia 13 tahun namun ayah tiriku tidak pernah menjejakkan kaki ke kampung ibu.

Anak-anak buah ibu yang masih kecil tidak mengenali kami seolah-olah kewujudan kami dirahsiakan dan adik-beradik ibu seperti melarang anak-anak mereka untuk mendekati keluargaku.

Anak-anak buah ibu juga tidak pernah mengangap ibu sebagai mak saudara mereka dan sampai satu tahap ibu sendiri yang menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan mereka. Aku cukup geram dan tidak suka dengan keluarga ibu.

Ketika hari raya, aku akan mengelak untuk pulang ke kampung ibu. Selalunya keluarga aku akan pulang dahulu ke kampung ayah tiriku sebelum pulang ke kampung ibu.

Keluarga ayah tiriku tidak seperti keluargaku kerana mereka cukup menyayangi antara satu sama lain. Namun begitu, adik-beradikku tetap dilayan seperti orang luar.

Semasa kecil, kami dipaksa untuk membuat kerja-kerja rumah dan akan dimarahi serta disindir jika membuat kesalahan.

Ibu hanya mampu menyuruh kami bersabar dan tidak mempedulikan perkara ini. Malahan dia mengajar kami untuk cuba mengambil hati mereka untuk menerima kami.

Jadi kami telah diajar untuk berpura-pura baik dihadapan mereka agar mereka menerima dan sayang dengan kami.

Perkara ini telah aku terapkan juga semasa aku masih bersekolah. Disebabkan keluarga yang berantakan, aku kurang mahir dalam bab pergaulan dengan manusia lain.

Untuk mendapatkan seorang kawan memerlukan aku untuk menjadi seperti orang lain kerana aku cukup malu untuk menunjukkan aku daripada keluarga yang berpecah belah dan susah.

Aku selalu memerhatikan karakter orang disekelilingku dan memilih untuk menjadi seperti mereka kerana mereka mempunyai kawan yang ramai.

Mungkin dengan cara ini aku juga akan ada kawan. Itu pikiranku sewaktu remaja. Aku mencuba segala cara untuk mendapatkan kawan yang seramai mungkin.

Yang kelakarnya setiap kawan-kawanku, aku menunjukkan karakter yang lain-lain mengikut sikap mereka. Aku lakukan ini supaya mereka selesa dan stay berkawan dengan aku.

Jadi, ramai kawan-kawan aku datang dan pergi. Tak ramai yang stay dengan aku ketika aku sedih.

Tujuan aku mencari kawan yang ramai ini untuk mencari tempat meluah dan tempat meluang masa namun kebanyakkan yang aku jumpa selalu tidak mempedulikan perasaan aku dan hanya memikirkan perasaan mereka.

Ini membuatkan aku semakin rasa kosong dan kesunyian.

Pernah aku merasa ingin meluahkan perkara sebenar tentang family aku kepada kawan-kawan aku,

Namun mereka selalu mempertikaikan tentang perkara ini kerana aku kelihatan seperti datang daripada keluarga yang bahagia dan beranggapan aku hanya mereka cerita malahan ada yang mengatakan aku tidak reti bersyukur kerana masih mempunyai keluarga.

Jadi aku mengambil keputusan untuk mengecilkan lingkungan kawan-kawan aku. Walaupun rasa sunyi namun aku semakin tenang kerana tidak banyak lagi drama dalam berkawan ini.

Aku selalu dibuli tetapi dari segi mental ya semasa dibangku sekolah. Ini kerana aku mempunyai fizikal badan yang besar, lebar dan tinggi.

Aku juga tidak reti berhias dan berpakaian cantik. Disebabkan keluargaku susah, aku kerap memakai pakaian pemberian orang. Nak beli baju baru memang ibu tak mampu.

Aku selalu diejek gemuk, tidak cantik, muka blur dan banyak lagilah. Disebabkan muka aku yang blur ini, orang sekeliling ingat aku tak pandai.

Aku pernah kurus sekejap. Puncanya kalau ingat balik macam kelakar pun ada. Di sekolah dulu, aku pernah tercrush dekat seorang lelaki ini.

Aku pernah saja-saja kirim salam dekat dia melalui kawan aku dan apabila aku bertanya kembali mengenai perkara itu dekat kawan aku, rupa-rupanya dia dan kawan-kawan aku mengejek aku dengan panggilan badak biru. Kenapa badak biru?

Ini kerana aku dulu seorang pengawas sekolah yang memakai baju biru dengan fizikal badan yang besar berbanding kawan-kawanku yang lain. Jadi aku dipanggil sebagai badak biru. Memang sedih. Iyalah crush kau sendiri yang cakap macam tu.

Keluargaku sendiri juga kerap mengejek aku dengan fizikal badanku. Pernah nenekku sendiri memanggil aku dengan gelaran babi hutan terlepas kandang.

Aku cukup geram kerana baka badan aku ini sebenarnya berasal daripada belah ibu tapi mereka mengejek aku seolah-olah aku bukan darah daging mereka sendiri.

Jadi aku nekad untuk kurus dan cantik untuk mengelakkan diejek dan dihina oleh orang sekeliling.

Walaupun aku kurus, aku tetap rasa sedih dan tidak berpuas hati dengan rupa dan fizikalku. Aku seolah-olah tidak kenal dengan diriku sendiri. Aku tidak ingat bagaimana sikap aku yang sebenarnya.

Aku sudah penat untuk berpura-pura dan menjadi people pleaser. Disebabkan sikapku yang suka memendam, aku mempunyai penyakit depresi dan anxiety. Aku akan kerap bersedih dan kadangkala aku akan terbaring dikatillku sehingga 2 minggu straight.

Semasa keadaan ini, aku hanya bangun daripada katil jika mempunyai hal yang penting yang memerlukan aku untuk keluar rumah, solat dan makan. Kalau tidak ada apa-apa, aku akan terbaring dikatilku, tidur dan menangis sehingga aku terkena demam.

Aku cukup takut untuk keluar rumah disebabkan anxiety. Aku takut tiba-tiba perkara buruk akan berlaku terhadap aku semasa aku diluar rumah.

Aku juga mempunyai masalah untuk tidur kadangkala aku tidur satu jam sehari dan apabila aku dapat tidur yang lena, aku akan tidur dengan lama sehingga lebih 12 jam atau lebih.

Aku pernah cuba merawat penyakit aku ini. Mula-mula ibu aku cukup marah kerana ibu ingat aku berpura-pura dan manja terlebih.

Dia tak tahu aku rasa nak terjun bangunan je hari-hari. Aku dipukul dan dimarahi kerana sikapku sehingga tahap depresi aku semakin teruk.

Akhirnya, Allah membuka hati ibu untuk menghantar aku ke klinik kerajaaan untuk dirawat. Aku menjalani sesi kaunseling selama 3 kali dan alhamdulillah aku ok sedikit kerana aku tahu bagaimana cara untuk menangani emosiku.

Apabila aku mengalami kesedihan yang melampau, aku akan mencari seseorang untuk bercerita dan aku melihat ibu juga semakin terbuka dengan penyakitku ini.

Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menjadi diriku sendiri. Sekarang aku masih dalam perjalanan untuk menghabiskan degreeku.

Ibu sangat berimpian dan bercita-cita untuk aku masuk ke UKM dan akhirnya aku memakbulkan doa dan impiannya.

Disebabkan ini, ejekan-ejekan terhadap aku dan adik-beradik semakin berkurangan kerana kami semua mampu meneruskan pembelajaran sehingga ke menara gading.

Aku mula menjaga penampilan dan pakaianku tetapi aku tidak lagi kurus seperti sebelumnya. Kali ini aku tekad untuk kurus sebab diri aku sendiri bukannya sebab orang lain.

Aku masih menerima ejekan disebabkan badanku namun aku belajar untuk tidak ambil peduli dan akhirnya aku semakin tenang dan happy walaupun kadangkala aku depress dan sedih.

– Damia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *