Assalamualaikum semua,
Lama aku berfikir untuk menulis disini. Tapi, lama aku pendam, makin sakit simpan sendiri. Tujuan aku bercerita hanya untuk meluahkan, dan berharap untuk membaca kata kata semangat dari pembaca.
Nama aku Mila. Nama suamiku Ali. Kami graduan pelajar tajaan luar negara di USA. Sebelum kami grad, kami berdua berjaya dalam temuduga dan mendapat kerja di sebuah syarikat yang terkemuka.
Cuma, kami akan mula kerja dalam setahun setengah selepas kami graduate. Jadi, dalam masa setahun tu, berbekalkan duit simpanan kami, kami bernikah dan travel ke merata dunia.
Selepas itu, saya mengandung, dan tarikh lahirnya anak saya adalah sebulan sebelum saya mula kerja.
Saya tak kisah sangat, sebab waktu tu pun dah habis tempoh pantang orang melayu, dan kerja pun WFH sahaja. Suami saya risaukan keadaan saya, takut tak terjaga diri dan anak.
Jadi dia buat keputusan untuk bawa mak ayah nya (mak baru lepas pencen, ayah pula memang kerja jadi biawak hidup dari muda), dengan tujuan membantu permulaan kehidupan kami di USA nanti. Yelah, kerja baru, anak baru, rumah baru, semua baru. Saya setuju.
Kami guna duit simpanan kami, dan ayah dan mak saya (sangat pemurah, baik hati dan sentiasa bersangka baik dekat orang) berbesar hati untuk sponsir tiket flight mereka (dalam RM15k, sebab beli last minute).
Mak dan ayah mertua saya ni, asal kampung, maknya kerja kerani, ayahnya kerja goyang kaki dan kerja hanya mengumpat orang.
Background keluarga kami memang sangat berbeza, aku pula dibesarkan dalam keluarga yang berpendidikan tinggi, tetapi masih tunduk ke bawah dan sentiasa bahagia dengan kejayaan orang lain.
Dipendekkan cerita, ada saja yang tak kena pada aku. Mereka layan aku macam hamba. Mereka tuan rumah.
Bila aku kerja dari rumah, dan suami ke office, mak mertua aku dengan bapak mertua aku ni sibuk menghadap tv, main game phone, tak sedikit pun tolong anak aku nak susu ke, nak tidur ke.
Aku lah sambil meeting sambil menyusu, habis meeting masak kat dapur untuk mereka makan. Tapi bila ada suami aku masa tu lah nak tunjuk terpaling menolong.
Suami aku pula sangat rajin tolong aku. Buatkan air pagi pagi, kalau dia kerja di rumah, bergilir gilor jaga anak. Dan dia sangat happy jaga anak dia. Anak kami pula, memang sangat baik. Tak mudah menangis, pandai main dan tidur sendiri.
Tiba tiba satu hari, bapak mertua aku ni berdiam diri, jalan depan aku mendengus, jeling aku macam nak terkam. Tak keluar dari bilik seminggu. Mak mertua aku pun tak cakap dengan aku. Aku pula buat hal aku jelah.
Malas aku nak layan, aku takde buat apa apa pun. Diorang duduk rumah ni pun jadi biawak hidup, aku yang tanggung makan minum diorang, sebab suami aku uruskan bil bil rumah. Kami hidup berkongsi duit, yelah, baru mula kerja kan.
Tiba tiba suami aku ajak tanya kenapa dengan mak ayah dia tu. Aku tak setuju lah. Mak ayah dia, dia lah settlekan. Suami aku pujuk. Aku pun macam ok lah. Aku rendahkan ego aku, masuk bilik diorang dan tanya, ada apa apa yang tak kena ke?
Ayah mertua aku terus tuding jari dia kat kepala aku sambil menjerit ‘Aku menyesal kahwinkan kau dengan anak aku, daripada dia kahwin dengan kau, lebih baik aku bagi dia main perempuan puas puas!’
Dan mak mertua aku kat sebelah mengiyakan ‘tulah, dia tak habis tukar girlfriend lagi’. Oh, mertua aku memang background kurang didikan agama, sangat terbalik dengan keluarga aku.
Aku pun tanya lah ‘ada apa tak kena ke?’. Bapak mertua aku jerit lagi ‘Memang! Semua tak kena dengan kau ni. Mana ada lelaki jaga isteri waktu dia lepas mengandung! Kau yang mengandung kan, lepas bersalin jaga lah diri sendiri!
Aku tengok dia buatkan kau air, kesian aku tengok anak aku tu, kau hambakan dia. Dia tukar pampers anak, sepanjang hidup aku, tak pernah aku sentuh anak anak aku. Malu orang negeri kita (faham faham lah negeri mana), malu orang Melayu kita!’
Suami aku terdiam. Aku panas. Aku balas dengan lembut (aku memang jenis malas nak layan drama)
‘Lah, ni kan keluarga kami, Ayie pun happy layan isteri dengan anak dia macamni, kenapa ayah yang tak puas hati pula urusan keluarga kami, bahagia macamni’
Dia jawab ‘Memang urusan keluarga kau tu keluarga aku. Kau ingat kau boleh hentikan Ayie dari capai cita cita dia dengan nak kena jaga kau?’
Suami aku jawab ‘Lah, kan Mila baru bersalin dua bulan. C-section pula tu. Sakit lagi perut dia’
Dengan bongkak nya bapak mertua aku jawab ‘So what? Kenapa nak ada anak? Kalau nak ikut sunnah nabi, baik kau kawin dua. Meh kau Mila ikut aku pergi mahkamah tengok aku kahwinkan laki kau.
Isteri baru dia akan layan laki kau elok dari kau. Mak bapak kau dahlah gaji rendah (Mak bapak aku Director di company besar Malaysia).
Mak bapak kau tu konon konon je happy, hidup tak tentu arah.’
Wah…main mak bapak tiba tiba. Aku macam jammed. Apa kebenda yang marah tak tentu akal ni. Psycho gila. Yang mak mertua aku pun macam kena pukau.
Mak mertua aku ni jenis tak tahu agama, dah kena putar belit dengan suami dia, kalau tak bagi duit, tak ikut cakap, masuk neraka katanya.
Aku tenang. Dia sambung menengking ‘dahlah malam malam tidur kunci pintu. Apa motif kau nak kunci pintu?’ Bagi aku, melampau lah.
Bilik kelamin, dari diorang tak habis habis sesuka hati masuk bilik aku nak tengok anak aku, baik aku kunci.
Pernah diorang masuk, aku tengah bogel. Cepat cepat aku masuk selimut. Diendahkan nya diorang. Teruskan masuk dan main dengan anak aku. Motif weh?
Bapak mertua aku sambung lagi (Aku dengan Ayie memang diam je sebab tak boleh brain. Out of nowhere macamtu) ‘Nabi tolong isteri pun tak macamnilah. Mana hadith cakap nabi tolong isteri? Baik kau kahwin dua lah Ayie.’
Aku kan, sedih sangat dia cakap macamtu. Ayie pun diam je, tak pertahankan aku masa tu. Aku cuma cakap, aku minta maaf, aku salam, dan aku turun untuk sambung kerja aku, aku ada meeting.
Lepas habis meeting, aku meroyan. Aku tak boleh brain. Ini mental torture. Bapak mertua aku tak boleh tengok perempuan berjaya, tak boleh tengok orang bahagia, tak boleh tengok orang lebih dari dia yang tak ada apa apa tu.
Aku hantuk kepala aku kat dinding sambil bercakap sendirian ‘ceraikan aku, ceraikan aku’. Macam dirasuk. Kau bayangkan, baru 2 bulan bersalin, dengan nak mula kerja baru, nak jaga anak, nak jaga mertua, aku penat. Barai.
Aku cakap kat Ayie, kalau tak pertahankan aku macamni, lebih baik aku sendirian je. Masa ni Ayie sedar salah dia. Dia berdepan dengan mak ayah dia.
Dia kata kalau macamni, kami hantar diorang balik je. Ehhh mak ayah dia taknak balik. Sambil jerit ‘mana perempuan tu?? Kau sihir anak aku ni. Kau masukkan racun dalam makanan kitorang kan!’
Weh. Aku jammed doh. Orang jenis apa ni. Tiba tiba je cari pasal macamni. Suami aku bertegas. Diorang masih taknak balik. Tiket kami belikan mereka untuk stay selama 4 bulan (sampai tamat visa).
Maka kami pun tunggu lah waktu tu tiba. Sepanjang menunggu, Ayie sentiasa minta maaf dengan aku, terus menerus layan aku dan anak dengan baik, dia pun dapat WFH sama sama dengan aku.
Mak bapak mertua aku? Buat hal sendiri je lah kat bilik dia. Turun ambil makanan, makan kat bilik. Lantak dia lah. Aku dengan Ayie hari hari buat hal sendiri, gelak gelak sama sama, keluar jalan jalan. Buat macam diorang tak wujud.
Ayie pun tak kisah dah nak jadi apa, sebab katanya dari kecil, nenek dia yang jaga dia.
Mak ayah dia memang macam tak pernah wujud dalam hidup dia, dia bawa pergi sini pun sebab kesian, mak ayah takde kawan, tak pernah kesana kemari, bercerai berai dengan perkahwinan sebelum ni. Now we know why. Dua dua psychopath.
Bila diorang balik, diorang segan kot dengan aku. Laju je diorang keluar taknak jumpa aku.
Balik je Malaysia, sedara mara suami aku ni telefon lah, bagitahu yang mak dia dah cerita kat semua orang aku tengking diorang sepanjang kat sini, aku dera anak aku, aku sihirkan suami aku, macam macam lagi lah.
Aku dengan Ayie tenang. Ayie cakap ‘ikut lah nak percaya, percaya. Tak percaya, sudah. Masing masing ada akal, boleh nampak sendiri dari attitude masing masing. Cuma samada kau pilih untuk percaya atau tidak sahaja’
Sekarang, aku ada post-traumatic disorder. Aku still boleh dengar suara tengking tu, especially bila aku berseorangan.
Tapi hidup aku, semakin happy. Allah limpahkan kurniaan rezeki satu satu buat kami, mungkin asbab dari kesabaran dan ketabahan kami.
Korang doakan aku tau. Semoga aku kuat, dalam pekerjaan aku, dalam menjaga anak dan suami, dan dalam segala hal.
Terima kasih sebab baca. Aku mungkin takkan balik Malaysia sampai mereka tiada. Aku tak sanggup. Ayie pun tak halang. Ayie cakap dia tak lose apa apa pun. Cuma Ayie rindu keluarga aku.
Sebab keluarga aku layan dia memang macam keluarga sendiri, bukan macam keluarga dia yang tak pernah bahagia tengok orang lain bahagia. Malas aku nak cerita tentang adik beradik Ayie. Kau faham fahamlah, typical melayu busuk hati.
Doakan aku semua. Semoga dengan meluahkan dengan tulisan, aku dapat lupakan dan maafkan semuanya. Semoga aku redha. Aku pun taknak jumpa diorang dah kat akhirat nanti.
Assalamualaikum.
– Mila (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit