Takdir Seorang An4k

Assalamualaikum semua. Aku pernah lalui fasa murung, menyalahkan diri sendiri, tak semangat nak hidup.

Mataku sering merah. Fikiranku hanya ingin lenyap dari dunia ini. Aku rasa keseorangan. Ada ibu tapi seperti yatim piatu. Ada keluarga tapi tiada siapa mampu ku percayakan.

Mental abuse. Benda ni berlaku padaku. Aku dijadikan tempat lempias ibu. Bertahun-tahun aku mencari punca. Tidak ada satu apapun yang aku buat boleh puaskan hati ibu.

Menolong dimarahi, tak menolong dimarahi. Semua yang buruk dan salah dikaitkan dengan aku.

Hari-hari aku lalui dengan berbual dengan tuhanku. Meminta bantuan darinya, Meminta diberi kekuatan utk hidup. Aku hanya ada dia.

Sampailah aku dewasa, berkahwin dan beranak.

Aku semakin dapat melihat puncanya. Iri hati. Ibu ada unresolved issue dengan orang sekeliling.

Ada iri hati yang membuak. Rasa tak puas hati dan sering mencari salah. Berbuat baik namun tidak ikhlas, mengata di belakang.

Aku bukan jenis pak turut. Aku bukan kaki kipas. Apa aku lihat yang ibu kata dan berbuat adalah sebaliknya.

Kaedah ibu membesarkan anak-anak adalah toxic. Berlumba-lumba, tikam menikam. Hanya perkataan buruk keluar dari mulut masing-masing asal champion depan ibu.

Aku tak suka bersosial. Aku rasa aku gagal. Aku buruk. Aku jahat. Tiap hari hidup dengan mengutuk diri sendiri.

Kali pertama aku difitnah masa berumur 12 tahun. Masa ni arwah ayah dah tiada. Ibu yang sepatutnya jadi pelindung juga tidak mempercayai aku..

Sudahnya segala dilempias kepadaku. Aku tidak kisah jika satu dunia tak percayakan aku, tapi bukan ibu aku.

Aku rasa dunia aku kelam. Segalanya makin terlintas dan terkait satu sama lain. “Kau jangan sentuh, tu permainan irah!”.

Aku sewaktu tu berumur 8-10 tahun terdiam dan fikir kenapa. Kenapa ibu membentak kepadaku.

Sekali pun sepanjang aku membesar, aku tak merasakan sentuhan lembut ibu. Tak ada ingatan aku melihat ibu tersenyum. Semuanya masam mencuka. Sewaktu tu arwah ayah masih ada.

Arwah ayah tak fovuritekan mana-mana anak. Salah siapa sekalipun, arwah ayah akan arahkan supaya saling meminta maaf. Namun selepas arwah ayah pergi, aku ibarat yatim piatu.

Anak-anak ibu semuanya tak bersalah. yang salah hanya aku. Apa aku buat semuanya salah di mata ibu. Tapi tidak anak-anak yang lain.

Aku diketepikan. Aku sering dikaitkan dengan orang-orang yang ibu tak suka. Ibu tak suka mereka, kenapa jadikan aku mangsa?

Aku diejek ibu. Anak-anak yang lain lagi sukalah ibu membenciku.

Awal perkahwinan, aku trauma. Takut dimarahi suami jika aku lambat, jika berbuat salah seperti tertinggal benda.

Takut overspending. Takut buat keputusan. Segala kemarahan ibu padaku membekas pada diriku.

Hampir 4-5 tahun aku nak terima keadaan yang suami ku menerima aku seadanya. Aku tak pernah dimarahi, dimaki, dipersalahkan oleh suami.

Tak pernah apapun suamiku merungut perangaiku. Tipulah kalau aku tak pernah bergaduh dengan suamiku. Nama lagi suami isteri.

Aku rasa aku gagal. Aku benci diri sendiri.

Suami kata, sayang, cuba lihat sepanjang kita bersama, sekali dua ni bergaduh tak menggambarkan apa-apa. 99.99% kita bahagia selama ni.

Sayang ok. Abang terima sayang seadanya.

Suami menerima buruk baik ku. Fakta yang sukar untuk ku terima. Tapi itulah yang sebenarnya. Suami orang luar boleh menerima diriku.

Kenapa bukan ibu yang melahirkan aku?

Segala kebaikan aku dicampak ke tepi selama ni. Tidak ada satu pun kebaikan diriku. Kalau pun tidak disebut benda yang baik, jangan dihina.

Aidilfitri kali ni, akhirnya ibu meluahkan apa yang terbuku sekian lama di hatinya. Itulah sebenarnya yang dikehendaki selama ini. Hanya ditutupi supaya tidak terlihat.

Sebelum ini, ibu kata tak payah telefon ibu. Aku akur.

Kali ni, ibu kata pada suami, bawak aku balik ke rumah ibunya selepas ini. Tak payah balik ke rumah ini. Aku akur.

Aku dah mula memahami kenapa ibu layan aku sebegini teruk. Aku terima qada dan qadrku.

Itu kan yang ibu simpan selama ni.

Biarkan. Orang nak kata aku anak derhaka, aku anak tak kenang budi, katalah. Usaha aku, tuhan yang melihat dan menilai.

Aidilfitri kali ini, kesekian kalinya aku difitnah. Dua kali aku minta ibu cakap perkara sebenar di depan anak-anak yang lain. Ibu diam membatu.

Ibu biarkan aku difitnah, asal hati ibu puas. Ibu takkan bela aku. Ibu takkan berkata benda yang baik pasal aku. Asal ibu puas.

Aku penat dengan semua benda ni. Walaupun aku tak minta benda ni berlaku. Apa yang ibu nak itu, akan aku akur.

Hilang seorang anak bagi ibu, tak bermakna apa-apa. Ibu masih ada beberapa orang yang lain.

Aku tak takut hilang rahmat dan doa seorang ibu. Aku tak mampu merayu, aku tak mampu puaskan hati ibu, aku tak mampu berbuat apa-apa. Aku serahkan kat Allah.

Aku sekarang di fasa aku tak takut apa-apa. Aku juga di fasa berhenti menyalahkan diriku, berhenti mengutuk, memperlekehkan diriku.

Kerana aku tahu Allah bersama aku. Jika doa seorang ibu makbul, doa orang yang dianiaya juga makbul. Kita takkan tahu doa siapa yang Allah makbul.

Jangan kerana ego, kita cabut rasa rahmat dalam diri kita seorang ibu, sedangkan rahmat itu hanya secebis rahmat yang Allah beri.

Apapun sebagai ibu, jangan jadikan anak sebagai senjata dan jangan jadikan anak sebagai perisai.

Seperti kataku, aku tak mampu berbuat apa-apa untuk ibu. Aku doakan ibu sentiasa diberi ketenangan, kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Jika ketenangan dan kebahagiaan di dunai ini tanpa aku sebagai anak, aku redha.

Aku yang menjalani takdir.

– Nita (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *