Untuk part I, (https://iiumc.com/cerita-dari-hospital-sakit-jiwa/).
Assalamualaikum dunia.
Terima kasih buat mereka yang sudi membaca ceritaku sebelum ini. Segunung aku ucapkan terima kasih. Ramai yang meminta aku bercerita kisah hidupku di sebalik cerita di hospital sakit jiwa itu.
Memang pada awalnya itu yang ingin aku ceritakan, tapi aku kemudiannya memutuskan untuk menulis tentang kisah yang baik-baik saja.
Tinggal di hospital sakit jiwa dikira kisah yang baik-baik? Mungkin. Kerana hidupku sendiri seperti semakin perit, jadi aku bercerita tentang orang lain.
Aku tahu aku tak layak untuk merungut dan mencanang kepayahanku kerana apa yang aku hadapi tak setanding kepayahan orang lain.
Salah seorang doktor yang merawatku pernah kata, “Ramai lagi pesakit yang lagi teruk dari awak”. Jadi aku takut untuk bercerita.
Ceritaku tidaklah istimewa. Di waktu kecil, aku sering ditinggalkan sendirian di rumah kerana ibu bapaku bekerja dan adik-beradikku tinggal di asrama. Aku adalah “a latchkey kid”. Aku diberitahu untuk kunci pintu dan duduk di dalam rumah sehingga ibu bapaku pulang.
Aku sentiasa rasa sunyi dan kosong. Perasaan itu kekal sehingga aku dewasa walaupun di saat aku dikelilingi oleh ramai orang.
Aku juga seorang yang mudah berkawan. Ke mana-mana aku pergi aku mudah mendapat kawan, tapi perasaan sunyi dan kosong itu tak pernah lenyap walau dikelilingi ramai kawan.
Pada usiaku 17 tahun, perasaan itu menjadi semakin kuat dan mula disertai suatu perasaan baru. Ia adalah perasaan sayu yang bercampur baur dengan keinginan yang kuat untuk mengulangi nostalgia lampau. Pada mulanya semua perasaan ini datang dan berlalu begitu sahaja.
Namun apabila meningkat dewasa, perasaan itu menjadi barah yang semakin bernanah. Aku mula dapat mengagak bila perasaan itu akan hadir. Dan aku mula ada nama untuknya. Aku namakan ia “melankolia nostalgia”. Ia adalah petanda keadaan mental aku akan merosot teruk.
Bila melankolia nostalgia ini hadir, awalnya aku akan rasa gembira berbaur sedih. Gembira itu datang dari nostalgia kenangan yang memenuhi kepalaku tanpa diundang. Satu satu kenangan indah akan bermain di kepalaku seperti wayang yang tiada kesudahan.
Namun ku tahu memori indah itu tak akan dapat diulangi semula, lalu gembira itu disulam dengan perasaan sedih.
Kemudian ia bertukar kepada perasaan sayu yang terlalu dalam. Angin bertiup aku merasa sayu, hujan turun aku merasa sayu, menyidai baju aku merasa sayu. Ketika siang bertukar ke malam, kesayuan itu datang berlipat ganda.
Seluruh jiwaku hanya dipenuhi keinginan dan kerinduan untuk pulang ke masa lampau yang tak pernah wujud.
Perasaan rindu itu sentiasa berlegar-legar, aku sendiri tak tahu apa yang aku rindukan. Aku mengelamun sehari-hari melayan kerinduan yang tiada penghujung.
Biasanya aku melalui fasa ini berminggu-minggu atau berbulan-bulan.
Bila fasa ini berakhir, maka berakhirlah fasa melankolia nostalgia itu, dan bermulalah fasa selepasnya, di mana yang tinggal hanya perasaan sedih yang sentiasa ada di setiap saat tanpa sebab.
Dalam fasa ini, aku boleh ketawa, aku boleh bergurau dan berbual seperti manusia normal.
Di luaran, aku kelihatan seperti orang lain. Mungkin doktor-doktor yang merawatku juga tertipu dengan luaranku bila aku dalam keadaan ini.
Salah seorang pakar yang merawatku kata, “You dress well, you put effort into your appearance.” Dia rasa aku semakin pulih. Tapi aku rasa aku semakin tenat.
Di sebalik luaran sebegitu, aku ditarik semakin jauh ke dalam kegelapan. Hatiku kosong, empatiku hilang.
Aku selesa melayari alam gelap internet dan menonton rakaman pembunuhan dan kematian tragis yang berlaku di dunia sebenar. Aku membayangkan melakukan perkara serupa.
Mulanya pada orang yang tidak dikenali, kemudian imaginasi itu mula disasarkan kepada orang di sekelilingku, termasuk salah seorang doktor yang merawatku, sehingga dia mengambil cuti selama seminggu dan pulang ke kampung halamannya.
Perasaan ini lah yang membawa aku ke jambatan, yang membuatkan aku duduk berhayun kaki di tepi jambatan, melihat air sungai yang mengalir di bawah seperti memanggil-manggil.
Di fasa ini, aku tiada perasaan takut, tiada masa depan mahupun masa lampau dalam fikiranku. Aku seperti bersedia untuk tinggalkan semuanya.
Tapi aku tak pandai zahirkan pada doktor pakar yang merawatku. Jadi aku tulis surat. Kemudian aku ke jambatan itu lagi. Aku tinggalkan kereta di tepi, aku panjat penghadang jambatan. Kemudian aku duduk sambil melihat hijau biru air sungai yang mengalir dengan tenang.
Aku terkejut kerana kali ini aku tidak rasa gayat. Aku cuma rasa lega. Suatu kelegaan yang amat berbeza. Matahari mula naik, namun aku tak terasa panasnya.
Tiba-tiba ada suara yang memanggil dari belakang. “Dik….jangan terjun, dik.”
Aku toleh, seorang lelaki lingkungan usia lewat 40an atau awal 50an memanggil dari sisi keretanya. Aku senyap. Kemudian ramai lagi yang berhenti. Aku tetap senyap.
Tanpa aku sedar, mereka sudah hampir, salah seorang daripada mereka dapat pegang tanganku, dan mereka tarik aku dari celah penghadang jambatan. Aku dihantar ke balai polis dan dimasukkan ke hospital sakit jiwa.
Itu bukan kali pertama aku cuba terjun dari jambatan. Sebulan sebelumnya, aku dimasukkan ke wad biasa di atas sebab yang sama di jambatan dan daerah yang berbeza.
Ketika ditarik di tepi jambatan, salah seorang dari orang awam ada bersuara, “Semua masalah boleh selesai, tak ada masalah tak boleh selesai. Kita semua kan dah besar, semua orang pun ada masalah.”
Kata-kata ini terngiang-ngiang di telingaku. Benarkah semua masalah boleh diselesaikan? Jika benar, apakah masalahku? Doktor pakar yang merawatku juga tertanya-tanya, “Apa sebenarnya masalah awak?”.
Aku juga tak pasti apa masalahku.
Aku ada memori pahit di waktu kecil. Aku selalu dipukul bantai oleh ibuku. Aku pernah diikat di tangga dan ditinggalkan begitu sahaja dalam keadaan masih berikat. Aku pernah dikunci di luar rumah dengan hanya bertuala sehingga hari bertukar gelap.
Tapak tangan dan punggungku selalu berbirat dirotan. Tiada rotan, kayu belati jadi pemukul. Tali pinggang dan daun nenas yang berduri juga selalu memamah tangan dan kakiku. Aku amat takut pada ibuku.
Aku tak pernah ada barang mainan sepanjang aku kecil, jadi aku lukis sendiri bentuk muka di atas bantal tidurku dan main seperti itu anak patung.
Seawal usia 8 tahun, aku dah pandai kumpul duit sendiri untuk beli barang yang aku inginkan. Tapi barang-barang yang kubeli akan dibakar oleh ibuku. Bantal anak patung yang aku lukis itu pun dibakar.
Aku direndah-rendahkan dan dibandingkan dengan adik-beradik lain. Banyak kali aku kemas beg untuk lari dari rumah.
Tapi aku juga ada memori yang indah di waktu kecilku.
Aku ingat kenangan indah menyusuri parit dan tali air bersama sepupu-sepupuku memancing ikan keli. Aku ingat riuh tawa mereka. Aku ingat kenangan memanjat pokok rambutan dan manggis di waktu musim buah-buahan.
Aku juga ingat gembiranya aku bila sesekali ayahku memancing di sungai, bila kulihat ikan sembilang dan udang galah yang besar-besar masih hidup dalam bekas yang dibawa pulang. Kemudian ibuku akan masak asam pedas ikan sembilang untuk kami sekeluarga.
Aku tak pernah kelaparan. Aku ada tempat tinggal. Aku disekolahkan. Aku bukan anak buangan. Jadi apakah masalahku?
Kenapa melankolia nostalgia itu terus bertandang dan tidak pernah benar-benar lenyap dari hidupku walau sekian lama? Adakah ini bayaran kerana aku meminjam masa yang sepatutnya bukan milikku?
Hampir dua tahun telah berlalu semenjak kali terakhir melankolia nostalgia itu hadir. Sehingga hari ini fasa selepasnya masih berekor, masih tidak mahu pergi melepaskanku.
Aku tahu aku akan ke jambatan lagi. Jambatan yang panjang dan tinggi. Yang air di bawahnya tenang dan biru. Yang anginnya bertiup keras.
Di malam-malam Ramadhan yang baru berlalu, kerap kali terdengar bunyi dentuman bunga api dan meriam buluh.
Terkadang di saat mendongak melihat bunga api yang berdentam dentum mencerahi langit yang gelap, aku tertanya sendiri. Bagaimana bunga api yang begitu indah, dengan bunyi yang begitu kuat, boleh membuat aku rasa begitu sedih dan sunyi?
Bukankah di kalangan teman-temanku aku seorang yang periang? Aku kelakar. Aku mudah bergurau. Aku seorang yang keras. Itu kata mereka.
Tapi aku tahu aku lemah. Aku bukan orang hebat.
Kesihatan fizikalku semakin merudum seiring dengan kesihatan mentalku. Badanku semakin susut. Sudah lima tahun aku tak menjamah nasi. Sudah berbulan aku tak boleh makan semua makanan bergula dan berkarbohidrat.
Silap saja makan, kepalaku melayang, badanku tumbang, tekakku loya, aku akan rasa sedih dan keliru berhari-hari.
Tapi siapa aku untuk mengeluh? Aku masih boleh menapak di atas muka bumi Tuhan ini, masih boleh menghela nafas, masih mampu melihat mentari terbit dan terbenam dengan kedua belah mata yang sempurna. Nikmat mana yang aku cuba dustakan?
Aku ingin pulih. Tapi pulih seperti tidak ada lagi dalam kamus hidupku. Aku sudah hidup begini terlalu lama. Aku sudah menelan pelbagai ubat hampir dua dekad.
Aku cuba bangkit berkali-kali hanya untuk jatuh semula kerana mentalku yang tak pernah stabil. Bila mentalku teruk, kesihatan fizikalku juga terganggu.
Aku masih ada cita-cita dan impian. Tapi aku sedar aku mungkin tak akan dapat capai impianku dengan keadaan berterusan begini sepanjang hidupku.
Berkali-kali aku ingin mengalah. Tali ku beli di Mr DIY berbulan lalu itu sudah ku simpul elok-elok. Ku pastikan ia mampu menampung beratku. Cuma belum ku gantungkan ke siling.
Aku masih mahu menghabiskan Ramadhan.
Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang paling sukar dalam hidupku. Tapi entah kenapa ia seperti amat istimewa. Ku tunggu kedatangannya seperti kedatangan tetamu istimewa. Ku bukakan pintu untuknya untuk cahayanya sedikit menerangi kediamanku, jiwaku.
Ku gantungkan lampu-lampu pelita di lorong menuju rumahku di malam-malam penghujung Ramadhan. Agar cahayanya menerangi laluan yang suram. Sebagaimana ku berharap ada cahaya yang menerangi jalan gelap hidupku.
Aku masih mahu bertemu Syawal.
Ku pasangkan langsir yang bersih di pagi Syawal. Ku hidangkan juadah kepada yang sudi. Walau lelah ada juga secebis kegembiraan yang singgah di hati. Aku tahu ia tak mampu mengubah apa-apa, tapi aku tetap bersyukur.
Dengan berlalunya Ramadhan dan Syawal, maka berlalulah apa yang ku tunggu-tunggu. Sudah ku cat rumah kecilku. Sudah ku susun aturkan rumah ibuku.
Tidak banyak yang akan aku tinggalkan. Tidak banyak yang akan berubah selepas ketiadaanku.
Sungguhpun begitu masih ada rasa kesal dalam hatiku. Mungkin kesalku kerana aku tak dapat mencapai apa yang aku impikan. Kesalku kerana hinanya pengakhiranku begini. Kesalku kerana amalanku tak seberapa. Kesalku kerana aku lemah.
Kesalku kerana aku masih ingin menulis. Aku masih ingin meninggalkan impak dalam dunia ini.
Tapi aku sudah tak mampu lagi. Badanku juga sudah tak mampu menanggung semua kesan sampingan ubat-ubatan. Sudah tiada kebahagiaan dalam hidupku, badanku merana, mentalku nazak.
Aku akan ke jambatan itu. Apa yang aku akan lakukan di situ, aku belum pasti. Mungkin aku akan bertemu pakar psikologi ku terlebih dahulu.
Sekiranya benar ini nukilanku yang terakhir, ku ucapkan, selamat tinggal dunia.
Maafkan aku.
– Diari Melankolia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit