Aku An4k Tunggal

Hai. Namaku July (bukan nama sebenar). Aku seorang anak tunggal. Aku di tatang bagai minyak yang penuh oleh ibuku.

Bahkan, ketika umurku sudah beranjak ke 13 tahun aku masih lagi tidak di benarkan untuk melakukan sebarang tugas termasuk membantu ibu di dapur, mencuci kasut sekolah atau menggosok pakaianku sendiri.

Berbeza dengan ayahku. Dia seorang kaki pukul. Siang hingga ke malam ibu dibelasah tanpa sebarang alasan. Aku juga tidak terkecuali. Dia seorang yang cemburu buta dan kaki perempuan.

Ketika kelahiran aku ke dunia juga dia sempat tidak mengakui aku ini adalah anaknya kerana aku bukan anak lelaki.

Bodoh bukan? Mungkin sebab ini ibu fobia untuk mengandung lagi. Ibu seorang yang sangat penyabar dan bertahan hanya di sebabkan anak tunggalnya ini.

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun dan akhirnya ibu yang sangat ku kasihi pergi menghadap Ilahi ketika umurku 14 tahun. Tiada sebarang tanda sebelum pemergiannya.

Cuma ada sedikit demam pagi itu. Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan sempat berpesan kepada ayah untuk berjanji menjagaku dengan baik.

Aku seperti lumpuh. Aku langsung tidak tahu menahu cara untuk menguruskan diri.

Bagaimana dengan hari-hariku yang mendatang untuk hidup bersama ayah.

Malam itu, aku menjamah juadah terakhir yang ibu masak pagi tadi. Rasanya amat tawar sekali. Lalu, aku baring bersama sekujur tubuh yang sudah tidak lagi bernyawa kerana ibu akan di kebumikan pada keesokan harinya.

Selepas pemergian ibu, hidupku suram. Aku belajar sedikit demi sedikit melakukan tugas di rumah.

Aku dengan ayah? Kami jarang berbual dan hanya bercakap perkara yang penting saja. Tiada gurau senda atau tempat bermanja. Tetapi, aku amat beruntung kerana aku bijak memilih kawan.

Kesemua kawan-kawanku sangat baik dan memberi semangat kepadaku. Selepas 2 tahun pemergian ibu, ayah mula buat hal. Dia mulai rapat dengan isteri sepupunya sendiri. Aku namakan dia sebagai Yati.

Setiap hari Yati datang ke rumahku untuk berjumpa dengan ayah kononnya ingin mengadu tentang hal rumah tangganya yang sedang goyah.

Dia bilang suaminya culas dalam isu nafkah dan mereka sering bertengkar. Lama kelamaan mereka semakin rapat sehingga sepupu ayah mulai curiga.

Setiap hari juga ayah balik lewat. Kadang-kadang pukul 6 pagi baru ayah balik dan meninggalkan aku berseorangan di rumah.

Aku menegur ayah supaya menjaga jarak dan jauhilah isteri orang. Tetapi, dia tidak peduli dan sering mengatakan yang kita patut bantu orang yang dalam kesusahan.

Hinggalah pada suatu hari ayah membawaku ke rumah salah seorang kenalannya. Dia tinggalkan aku di sana selama satu jam dan dia mengajakku pulang sejurus dia kembali.

Setibanya di rumah, ayah pergi duduk berborak dengan jiran di hadapan rumah. Hatiku tergerak untuk masuk ke bilik ayah.

Tetapi pintu bilik berkunci daripada dalam. Aku pelik dan hatiku kuat mengatakan yang Yati ada di dalam.

Aku terus berteriak “Hei perempuan! Aku tahu kau di dalam! Buka pintu ini cepat!” Mungkin Yati panik mendengar teriakanku dan terus menelefon ayah.

Ayah terus berlari masuk ke dalam rumah, menutup pintu dan menenangkanku. Selepas aku bertenang, ayah membuka pintu biliknya dan mendapati Yati sudah tiada di dalam. Yati lari keluar daripada bilik melalui tingkap.

Ayah seperti di rasuk dan hilang arah. Dia berlari ke dapur dan mencapai pisau. Dia memberikan pisau itu kepadaku dan memintaku untuk menikamnya.

Aku terkesima, hanya air mata yang mampu mengalir. Kemudian, ayah kata “Kau tinggallah di sini seorang. Aku mahu mencari dia. Dasar anak sial!”

Aku tak akan mampu melupakan kata-kata itu. Lalu, ayah beredar keluar. Selepas berjam-jam ayah keluar, dia menelefonku dan mengatakan dia gagal menemukan Yati. Aku rasa ayah gila.

Setelah genap seminggu kejadian itu berlaku, ayah menyuarakan yang dia perlu ke luar negeri atas urusan kerja. Aku hairan kerana sepanjang dia bekerja, dia tidak pernah sekalipun “outstation”. Aku tanya pergi ke mana? Berapa lama?

Ayah kata ke Brunei dan pergi selama 6 bulan. Keesokan harinya, ayah tinggalkan aku begitu saja dan ayah bekalkan aku wang RM600.

Ketika itu aku berumur 17 tahun dan aku akan menempuh SPM tak lama lagi.

Selang beberapa hari, aku terkejut. Sepupu ayah datang kerumah dengan amukan dan memberitahu Yati lari bersama ayah. Dia ingin mencari ayah dan mengugut untuk membunuh mereka.

Jiran-jiranku menenangkan sepupu ayah dan mengatakan aku tiada sebarang kaitan dalam hal ini. Aku berulang kali cuba menelefon ayah tetapi tidak berhasil. Dia hilang tanpa khabar berita.

Setelah 6 bulan ayah tidak juga kembali dan tidak juga menghubungiku. Aku sangat marah dan di penuhi perasaan dendam tetapi aku terpaksa pasrah. Aku jalani hidupku seperti biasa.

Wang RM600 ternyata tidak cukup untuk menampung perbelanjaanku ketika itu kerana rumah sewa dan kos-kos lain juga harus di bayar.

Mujur dulu ibu suka membeli emas. Aku gadai emas ibu demi kelangsungan hidup.

Selain itu, jiran sebelah rumahku pula adalah pasangan suami isteri yang tidak di kurniakan zuriat. Merekalah tempat aku mengadu.

Mereka akan mengetuk pintu rumahku ketika tiba waktu makan. Jadi, perbelanjaan makanku sedikit berkurang. Aku amat terhutang budi.

Sebagai seorang remaja pada ketika itu, jiwaku amat memberontak. Hatiku penuh dengan sifat amarah dan berfikir mengapa takdirku sedemikian rupa. Adakah nasib anak tunggal seperti ini?

Sanak saudara sebelah ayah tidak pernah mempedulikanku. Mereka hanya menganggapku sebagai satu beban.

Sehinggalah pada suatu hari, jiranku dalam diam menelefon Abang Faiz (saudara sebelah ibu) untuk memberitahu permasalahan yang aku hadapi.

Sambung ke bahagian dua jika ada permintaan. Terima kasih.

– July (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *