Cinta: Akal Membantah, Hati Memaksa

“Saya tak tahu bagaimana mencintai seseorang dan saya takut” -HM

Saya ingin meluah secebis perasaan saya dalam penulisan yang singkat ini. Kisah cinta saya terhadap seorang “stranger” dan kepedihan mencintainya.

Kisahnya bermula ketika saya berkenalan dengan seorang gadis secara maya disebuah platform chatting.

Dalam karangan ini saya namakannya HM. Ketika berbual dengannya di alam siber, saya sangat teruja dan begitu juga dia.

Saya tidak pernah rasa bahagia ketika berbual (chat) dengan orang yang tidak dikenali kecuali ketika berbual dengan HM pada malam itu.

Perbualan kami berlanjutan dari malam hinggalah sebelum subuh. Kami berbual pelbagai topik berkaitan diri masing-masing. Antaranya tentang kisah cinta lalunya, kariernya, pendidikannya, dan sebagainya.

Melalui perbualan kami, HM mendedahkan yang dia pernah putus tunang dan dalam proses “healing” ketika ini.

Dengan berseloroh, saya pun menawarkan diri saya menjadi pengganti tunangnya. Dia sekadar gelak dan memberi petunjuk samar yang dia sudi menjadikan saya “rebound partner”nya.

Tetapi entahlah. Timbul perasaan istimewa dan saya mahukan lebih. Bukan sekadar “rebound partner”. Hal ini disebabkan saya rasakan dia lain dari yang lain.

Dia menyebabkan saya tenang dan bahagia pertama kalinya setelah hampir setengah tahun berperang dengan major depressive disorder (kemurungan).

Selain itu, dia menjadi sebab saya menghentikan langganan Tinder Gold dan uninstall applikasi tersebut.

Bahkan, saya tidak memandangnya dengan nafsu dan saya berasa bertanggungjawab untuk melindungi dan menjaganya.

Namun begitu, hati saya retak apabila di suatu hari dia menyatakan “saya tak menaruh perasaan kepada awak”.

Membaca ungkapan itu menyebabkan air mata jantan saya mengalir, otak saya menjadi serabut, dan badan saya menjadi layu.

Sungguh luar biasa pedihnya bagai dihiris-hiris dada saya. Saya hairan apa kurangnya saya?

Saya ada karier, stabil, dan saya juga menyatakan komitmen saya terhadapnya. “Apa salahnya kalau dia bagi peluang kepada saya” bisik hati saya.

Saya cuba memujuk diri saya dengan berkata bahawa HM hanyalah stranger yang saya kenal di alam maya. Saya tidak pernah berjumpa dengannya.

Saya juga tidak pernah mendengar suaranya. Tiada sebab untuk saya jatuh cinta kepadanya dan tiada sebab juga untuk saya sakit hati.

Hari demi hari memujuk hati yang pedih ini tapi perasaan cinta dan sayang itu masih ada. Saya hairan kenapa dan mengapa?!

Saya merintih kepada Tuhan, “Oh Tuhanku, kenapa kau temukan aku padanya, jika kesakitan akibatnya? Mengapa kau campakkan perasaan cinta dan sayang terhadapnya sedangkan aku tidak mengenalinya?

Mengapa kau hadirkan keikhlasan dan komitmen dalam hatiku, walhal dia tidak merasakan hal yang sama”.

Saya amat pelik sebab saya tidak pernah merasai perasaan sayang, ikhlas, dan komited terhadap seorang “stranger” yang tidak pernah saya temui dan dengar suaranya.

Setelah beberapa hari, saya menghubunginya melalui telegram chat. Saya meluahkan kekecewaan, perasaan, dan harapan saya kepadanya.

Dia membalas dengan nada yang sayu dan kesal yang dia merasai keikhlasan saya, dia juga menyatakan tidak pernah bertemu orang seperti saya, dan dia menghargai perasaan saya terhadapnya.

Pada masa yang sama, dia mengulangi pendirian dan perasaanya yang dia tidak menaruh perasaan terhadap saya.

“Saya pula tak pasti dengan perasaan saya.. dan tak adil pada awak sebab saya tak menaruh perasaan pada awak”, HM menyatakan kekesalannya.

Hati saya terus mendesak agar saya terus “fight” untuk menawan cinta HM. Oleh itu, saya meminta izin kepadanya untuk terus chat dengannya walaupun saya sedar yang saya akan sakit hati.

Seperti biasa, saya mengucapkan selamat untuk pagi dan malamnya. Bukan itu saja, saya juga bertanyakan khabarnya dan menawarkan segala jenis bantuan berdasarkan kemampuan saya.

Namun begitu, ada mesej saya dijawab sepatah-sepatah dan kebanyakannya tidak dijawab langsung.

Akal dan hati saya berperang. Akal saya bertegas yang saya perlu berhenti mengejar HM.

Hal ini disebabkan yang HM telah nyatakan yang dia tidak menaruh perasaan pun kepada saya maka jangan buang masa.

Namun hati saya pula membantah dengan menyatakan bahawa HM lain daripada gadis-gadis yang saya temui sebelum ini. HM satu-satunya gadis yang menyebabkan saya tenang melihatnya.

Bahkan saya tidak melihatnya dengan nafsu. Oleh itu hati saya menyimpulkan yang inilah wanita yang patut saya kejar dengan segala daya upaya yang saya ada melainkan dia menjadi milik orang lain.

Wahai pembaca budiman, jika anda ditempat saya, adakah anda terus mengejar “stranger” atau anda berputus asa saja?

Saya memohon bantuan dari segi doa kalian; jika dia baik untuk dunia dan akhirat saya, doakan semoga urusan saya dipermudahkan.

Jika sebaliknya, moga-moga Tuhan lepaskan perasaan ini dan tujukan kepada orang yang benar-benar menghargai saya.

Terima kasih kerana membaca. Saya amat menghargai doa anda semua. Semoga Tuhan merahmati!

– CY (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *