Assalamualaikum.. Terima kasih aku ucapkan pada admin kerana sudi menyiarkan luahan aku. Aku buntu taktau nak luahkan pada siapa.
Aku terpaksa luahkan disini, sebab bagi aku rata-rata pembaca disini boleh bagi nasihat untuk aku jadikan pedoman.
Aku Nurin, berusia 20an, berkahwin dan memiliki 2 orang cahayamata. Kami berpindah ke satu negeri, jauh dari kampung halamanku kerana tuntutan kerja suamiku.
Apa yang inginku kongsikan, adalah berkenaan sikap jiranku.
Kami menetap ditempat baru sudah hampir 3 tahun. Aku mengenali jiranku yang aku panggil Kak Sal berusia awal 40an, suaminya dan anak mereka yang 4 orang.
Satu masa, Kak Sal sering bercerita tentang masalah kewangan mereka yang sangat terkesan dengan kos sara hidup masa kini. Bukan sekali, bukan dua kali, malahan kerap dia bercerita padaku.
Pertama kali aku mendengar ceritanya, aku simpati. Apatah lagi setelah berkali-kali.
Dalam benak fikirku, aku ingin bantu keluarga Kak Sal. Bila pendapatanku ada sedikit lebihan, aku akan belikan barang-barang keperluan dapur buat bekalan dirumah Kak Sal. Aku ikhlas nak membantu dia dan anak-anaknya.
Suaminya juga bekerja, tapi pendapatannya tidak seberapa.
Ada masa aku sengaja masak lebih, untuk berikan kepada keluarga Kak Sal. Sering kali saja aku lebihkan beli barang keperluan dapur untuk membantu mereka.
Satu hari, semuanya bermula disini. Di ofis aku akan mengadakan event dan kami para staff diberikan kain ela bercorak batik sama pattern dan warna untuk kami tempah jahit.
Kami dikehendaki pakai baju tersebut pada event yang bakal berlangsung dalam masa 2 bulan setengah lagi.
Dalam benak fikiranku, memandangkan Kak Sal juga merupakan seorang tailor, pandai jahit baju, aku suarakan pada Kak Sal minta dia jahitkan baju untuk aku.
Aku minta baju kurung biasa sahaja. Dan aku akan bayar.
Permulaanya Kak Sal beritahu yang dia free dan tiada tempahan orang lain. Baju yang aku nak akan siap dalam masa seminggu sahaja katanya.
Seminggu berlalu, Kak Sal masih senyap. Aku juga senyap mungkin Kak Sal ada kekangan, jadi bajuku belum siap.
Minggu kedua berlalu begitu sahaja, pada minggu ketiga aku tanya macamna progress bajuku. Dia kata takpe jangan risau, sempat je nak siap. Tapi sebulan berlalu, masih sama jawapannya.
Aku agak mungkin ada masalah, aku tanya Kak Sal.
Dia kata “alah, baju tu kan nak pakai lambat sebulan lebih lagi, buat apa nak kalut-kalut…” Aku menghormati dia yang lebih tua, aku diam.
Masa berlalu… Sebulan, dua bulan…..
Hinggalah 3 hari sebelum event, aku ada tanya Kak Sal tapi malangnya macam-macam alasan dia beri.
Aku terpaksa minta kain untuk aku beri pada tailor lain, tapi katanya dia dah potong. Tak boleh beri. Aku sangat sedih waktu ni.
Aku cuba untuk tenang walaupun hati aku sangat marah. Mengalir air mataku.
Sampailah pada hari event, aku sorang-sorang yang tak pakai baju batik yang bos bagi. Walupun kain tu dah diberi awal 2 bulan setengah sebelumnya.
Sedih dan malunya Allah saja yang tau. Aku hanya pakai baju yang seakan-akan warna sama, tanpa corak batik yang ternyata mengundang pelik dan kata sinis rakan-rakan sekerjaku.
Event ni besar, melibatkan staff diseluruh bahagian utara company aku. Semua berkumpul dan aku sorang-sorang gagal memakai pakaian yang sepatutnya.
Mungkin bagi sesetengah orang masalah ini kecil. Tapi apa jua aku tetap terasa hati dan sedih.
Puas aku menjaga hati jiran ini, niatku hanya untuk membantu Kak Sal menambah pendapatan keluarganya, tapi ini yang dia balas.
Patutlah tiada pelanggan lain yang datang kerumah Kak Sal, rupa-rupanya mungkin ada yang dah serik nak menempah baju dengannya lagi.
Setelah kejadian itu aku masih cuba untuk bermanis muka dengan Kak Sal walau hatiku sakit sangat. Suamiku ada nasihatkan aku, jangan berdendam sebab kita hidup berjiran. Maafkan.
Aku cuba lupakan apa yang terjadi, walau pedih. Ke hulu ke hilir Kak Sal pergi, tapi bajuku gagal disiapkan.
Masuk bulan ketiga, masuk bulan ke empat, masuk bulan ke lima. Sama. Baju masih belum siap.
Aku rasa cukuplah aku bersabar lagi. Dan bulan ke enam, aku message Kak Sal sebab aku tak mampu dah nak berdepan dengan Kak Sal. Kali ini, ayatku berbunyi..
“Kak Sal, saya minta maaf. Boleh Kak Sal beri pada saya kain yang saya nak tempah baju dulu…? Sebab dah masuk 6 bulan dah. Dah lama kan kak….”
Dia balas, bagi dia 2 hari. Agaknya dia tersentap dengan ayatku “dah 6 bulan, dah lama…..”, terus dia hambar dengan aku selepas itu.
Selepas 2 hari, semasa aku terima baju aku, aku bayar lebih sebab aku berbalik kepada niat asal aku, aku nak bantu kewangan dia walaupun sikit.
Hingga saat ini, Kak Sal bermasam muka. Dipihak aku, aku tau aku tak salah. Cuma aku terkilan, sebab baju nilah punca semuanya bermula.
Aku masih menegur Kak Sal macam biasa, walau dia endah tak endah teguranku. Sedih bila jauh aku merantau, tiada siapa-siapa ditempat baru, tapi jiran yang ada pula bermasam muka.
Banyak ceramah agama yang suruh jaga hubungan dengan jiran, tapi aku rasa aku gagal jaga hubungan dengan jiranku.
Masalahnya mungkin kecil pada sesetengah orang, tapi jujur aku tak tenang. Aku tak mahu dan tak suka gaduh dengan orang, tapi kenapa ambil kesempatan atasku.
Kalau korang kat tempat aku, apa korang akan buat ya..?
– Nurin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit