Andai Perpisahan Itu Jalan Yang Mudah

Aku Bunga, mempunyai seorang suami OKU fizikal dan seorang anak. Dan aku yakin korang akan relate kan sebab aku ingin berpisah adalah kerana suamiku seorang OKU.

Tak. Tak pernah terlintas di hati dan fikiran untuk meninggalkan suamiku hanya kerana dia seorang OKU.

Bahkan, aku tulus cintakan dia dari saat awal kenal dan aku masih setia hingga ke saat ini meskipun banyak halangan dan kekangan yang suamiku hadapi.

Mesti korang tertanya-tanya apa sebab aku ingin berpisah, kan?

Anak aku dah setahun. Dari saat aku mengandungkan anakku, terlalu banyak yang aku hadapi. Suamiku mesra dengan rakan-rakan perempuannya. Namun aku tahu mungkin aku sekadar terlalu cemburu buta.

Namun dari hari ke hari, aku lihat perubahan sikap suamiku. Mungkinkah kerana perubahan hormon ketika mengandung atau benar-benar suamiku berubah? Persoalan itulah yang sering menjadi tanda tanya bagiku.

Kami sering bertengkar, dan pertengkaran itu sering kali terjadi hampir setiap hari. Aku sering merasakan ada sesuatu yang dia simpan dari pengetahuanku.

Tak pernah terhenti doaku agar Allah benar-benar tunjukkan perkara yang sebenar kepadaku.

Untuk pengetahuan semua, pada awal perkenalan hingga awal perkahwinan, aku bukan pasangan yang akan sentiasa membelek segala aktiviti yang dia buat di dalam handphone.

Cuma aku pernah berpesan sejak dari awal kenal, jangan buat aku cemburu atau lakukan perkara yang mengarah kepada perkara curang kerana aku akan menjadi paranoid dan sentiasa akan check apa yang dia buat.

Terlalu banyak perkara yang jadi, hingga aku sering rasa terluka dan luka tersebut aku rawat sendiri. Ada ketika aku terjumpa video l*cah di dalam telefonnya.

Ada ketika, aku terlihat whatsapp group suamiku dan rakan-rakannya bercakap mengenai perempuan single, perempuan yang mempuanyai badan yang lawa dan sebagainya.

Luluh hatiku kerana meskipun aku ini sempurna fizikal jika nak dibandingkan dengannya walaupun aku tidak mempunyai paras yang cantik, namun aku masih menjaga pandanganku, menjaga maruahku. Demi dia, kerana aku benar-benar cintakan dia.

Hingga ada beberapa kali, aku membawa diri di tengah malam ketika sarat mengandung, kerana aku tidak tahu macam mana lagi cara untuk merawat sedih hatiku di saat itu.

Suamiku tetap seperti itu, tidak sedikit pun cuba untuk memujuk resah hatiku. Baginya, dia tidak bersalah. Apa yang dia lakukan adalah perkara biasa.

Hingga pada satu saat, aku telah melahirkan anak, dan ya, masih di dalam pantang, suamiku berlaku curang kepadaku.

Aku berpantang di rumah keluargaku dan dia di rumah kami yang jaraknya lebih dari 300km. Sebagai isteri, sudah tentu aku mempunyai naluri yang sangat kuat. Dan aku yakin, Allah sedang menjawab doa-doaku.

Suamiku menjadi tersangat dingin kepadaku, tidak membalas whatsappku, dan cepat-cepat ingin mematikan panggilan jika aku telefon dia.

Hingga ada satu ketika, dia perlu outstation dan tempat outstation tersebut hanyalah 20 minit dari rumah keluargaku di mana aku sedang berpantang.

Namun dia sedikit pun tidak berusaha untuk pulang ke rumah menjengah aku, hatta anak kecil kami yang baru berusia beberapa hari.

Dan pada hari itu, anakku bercukur jambul. Luluh hatiku, dan kami bertengakar melalui whatsapp. Dia kata aku ni macam-macam sejak mengandung hingga melahirkan. Sedih kan?

Hingga satu hari dia pulang ke rumah keluargaku, namun tidak meluangkan masa untuk bersembang dengan mereka tapi terus masuk ke bilik dan memejamkan mata. Aku tahu, dan aku yakin, sesuatu terjadi tanpa pengetahuanku.

Aku ambil telefonnya ketika dia sedang tidur. Benar, Allah ingin membantuku. Suamiku kantoi install dating apps, tapi dia delete dari telefon bimbitnya itu. Macam mana aku tahu?

Dia terlupa untuk memadam gambar-gambar yang dia selfie untuk dihantar kepada perempuan-perempuan tersebut.

Ada gambar selfie dia di pejabat yang mana dia tak pernah hantar kepadaku, dan ada gambar selfie di dalam tandas rumah kami, dan ada juga gambar bilik hotel tempat dia outstation.

Semua gambar ini dia tidak pernah hantar kepadaku. Ada juga screenshot chat dia dengan perempuan-perempuan itu. Aaaaa sedihnya, ya Allah jika dikenang semula apa yang mereka sembangkan.

Aku rasa jijik sangat dengan perbuatan suamiku. Sedih dan menggigil tubuh badanku. Dia mengajak perempuan yang tidak dikenali untuk ikut dia outstation dan hantar gambar dalam bilik hotel kononnya sweet?

Allahu. Luluh hatiku hanya Allah yang tahu. Sakit bersalin czer belum hilang, aku terpaksa hadap sakit ini pula. Itu belum aku cerita mengenai berapa banyak video l*cah yang dia download tapi lupa nak delete.

Hingga aku berjumpa dengan doktor pakar dan doktor mengesahkan aku menghadapi Major Depressive Disorder (MDD) kerana aku terlalu sedih hingga terlintas untuk mencederakan anakku.

Allahu! Ampunkan aku, ya Allah dan maafkan aku, anakku. Aku terlalu memendam rasa, dan tiada tempat untukku mengadu kerana aku ingin menjaga maruahnya. Namun apalah yang aku dapat? Hanya penyeksaan jiwa darinya.

Setahun berlalu, terlalu banyak perkara yang berlaku. Terlalu banyak kali aku meminta untuk dilepaskan.

Namun setiap kali aku minta dilepaskan, dan aku usulkan untuk kami ke pejabat agama, dia akan mengamuk dan memaki aku hingga jiran-jiran pun boleh dengar.

Ada ketika, dia memerli aku dengan mengatakan seolah-olah aku berlakon mempunyai penyakit MDD, dan dia katakan dia lebih gila dari aku sambil memegang pisau dan mengacukan pisau tersebut ke arahku, anakku, dan juga ke lehernya sendiri jika aku ingin bercerai.

Setiap kali lepas segalanya reda bagi dia, dia akan meminta aku berfikir mengenai anak kami. Bagaimana anak kami nanti jika kami berpisah.

Namun sikit pun aku tidak kisah, kerana yang penting adalah jiwaku ini. Dan aku yakin, anakku akan faham di saat dia dewasa nanti. Kerana suamiku itu tidak benar-benar berubah.

Kelmarin, aku mematikan alarm di telefonnya. Namun aku terlihat notification “all incognito tabs have been deleted” or something like that.

Aku cuba buka, namun aku tahu aku tak akan jumpa apa-apa jika suamiku telah delete tabs tersebut. Namun sekali lagi, Allah ingin membuka mataku mengenai aktiviti suamiku.

Terdapat perkara-perkara l*cah yang dia buka, ada video, ada gambar, ada macam-macam lagi. Namun kali ini, aku tak lagi marah-marah.

Aku tak lagi mempersoalkan segala-galanya. Aku cuma tanya dia di saat dia mamai baru bangun tidur, kenapa buat begitu dan kenapa seksa aku lagi?

Aku sedih namun sedihku tidaklah seperti awal dulu. Aku kecewa, aku jijik, aku tak ingin lagi ada dalam perhubungan ini yang segala pengorbananku seolah sia-sia.

Kami masih di awal perkahwinan, namun terlalu banyak yang jadi. Bagaimana akan aku tempuhi 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun lagi? Perlukah aku korbankan jiwaku ini demi anakku?

Hingga saat aku menaip luahan perasaan aku ini, aku masih menangis. Kenapa perlu buat aku begini?

Kenapa perlu buat aku yang ikhlas cintakan dia, yang tak pernah memandang kekurangannya itu sebagai kekurangan, aku yang tulus cintakan dia dari awal meskipun saat aku mengenalnya awal dulu, gajiku dan pekerjaanku lebih tinggi darinya.

Bahkan kini, masih gaji dan pangkatku lebih tinggi darinya. Pendidikanku juga jauh lebih tinggi darinya. Tidak bolehkah dia cuba untuk berubah?

Tidak terlintaskah difikirannya, isterinya yang sempurna fizikal ini masih boleh setia kepadanya, namun mengapa dia curangi aku dengan maksiat dan bibit-bibit awal perzinaan? Tidak terfikirkah dia mengenai anaknya?

Sekali lagi aku inginkan perpisahan. Aku ingin pergi jauh dari dirinya. Aku ingin memulakan hidupku sendiri tanpa perlu sedih dan patah hati.

Aku tidak takut menjadi ibu tunggal atau menghadap segala cemuhan orang luar. Namun, apakan daya. Jika perpisahan terjadi, aku masih lagi terikat dengannya kerana kami mempunyai anak, dan anak kami memerlukan bapanya di dalam kehidupan.

Aku buntu, aku inginkan perpisahan. Namun, seandainya perpisahan itu jalan yang mudah, jalan yang dapat membawa aku jauh dari dirinya, ingin sekali aku menghilang dari dirinya, dan meski sehelai rambutnya pun tidak ingin aku lihat.

Kepada suamiku, yang sering membaca dan meninggalkan komen di IIUM Confession ini, aku yakin kau akan terbaca luahan ini, dan kau akan kenal siapa Bunga ini. I loved you, but I almost hate you by now :)

– Bunga, namun bukan lagi bungamu –

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *