Assalamualaikum para pembaca IIUM Confession. Nama aku Zul (bukan nama sebenar) izinkan aku kongsi kisah kehidupan aku yang tak seberapa.
Sejujurnya aku membesar tak ada apa-apa pencapaian atau bahasa inggeris dia achievement dalam hidup.
Bahagian akademik tak ada cuma ala kadar, result dari sekolah rendah PMR setakat 1A 2B 2C, masuk sekolah menengah pun kelas pertengahan result PMR pun setakat 1A dan SPM pun sama setakat 2A sahaja.
Bahagian sukan jangan cakap tak ada satu sukan pun yang aku bagus. Jadi sepanjang aku membesar tu hidup aku serba biasa. Keluarga aku pun biasa.
Jujur, aku cemburu tengok kawan aku keputusan akademik bagus. Kawan yang lain sukan bagus sampai wakil negeri. Kawan yang satu lagi pula mak ayah kaya.
Aku sendiri tahu yang aku ni malas buat benda pun setakat separuh jalan. Itu pun balik sekolah selalu lepak cc main game. Hubungan aku dengan mak ayah pula biasa je sama macam mak ayah tipikal Melayu kita dan lagi satu aku ni anak tunggal.
Aku pun teruskan hidup macam biasa ikut flow. Result SPM ala kadar. Sorang kawan aku ni dapat straight A dekat luar aku ucap tahniah bangga tapi dalam hati aku punya jealous lain macam.
Dengar dia kena puji, kena peluk dengan mak ayah kena julang dengan kawan, cikgu pula puji dia ni pelajar baik rajin, mak ayah pula cakap dia anak yang baik. Dekat belakang dia tenang isap rokok, beromen dengan awek.
Ingat lagi dia kantoi dalam kelas beromen tapi tak kena ambil tindakan pun. Sebab nak dekat SPM dan dia ni dalam kategori calon yang bakal dapat straight A. Kawan pula termasuk aku pun puji dia ni bagus.
Tapi on surface je dalam hati aku kalau boleh nak sumpah seranah iyalah cemburu. Aku pun sedar kalau aku buka suara kau rasa orang ramai nak percaya aku yang serba sederhana atau pelajar straight A yang mak ayah kerja peguam dan kastam.
Mak ayah aku pula kerja kedai makan dengan kerja hantar surat pos laju. Baru setakat dynamic power macamtu aku dah kalah teruk kot.
Sambung STPM tingkatan 6. STPM ni aku agak fokus sikit sebab banyak kawan aku semua sambung belajar ipta/ipts aku sorang sambung tingkatan 6 jadi aku macam setiap pagi fokus.
Pergi sekolah kayuh basikal dalam 20 minit baru sampai boleh tahan lencun juga yang paling sakit nak kena naik bukit tu paling kurang situ makan 4-5 minit masa.
Masa ni aku dah kurang pergi CC. Fokus belajar lagipun ni era dah start pakai smartphone tahun 2013. Aku pun belajar sambil sibuk facebook.
Pejam celik akhirnya habis STPM aku boleh konklusikan yang dari darjah 1 membawa ke tingkatan 5, STPM ni lah keputusan akademik aku yang paling terbaik.
Sambung belajar ambil course yang aku katakan 50/50. Waktu ni duduk jauh dari mak ayah 500km jauhnya. Teruja nak mulakan hidup baru. Roommate 3 orang termasuk aku. Semester pertama aku dapat dekan kami satu bilik tu 3 orang dapat dekan.
Dia punya happy lain macam bila aku recheck balik hidup aku. Sepanjang hidup aku itu kali pertama mak dengan ayah aku cakap ucap tahniah sambil puji aku anak yang hebat. Semester baru makin semangat nak belajar. Bukan aku je roommate aku pun sama.
Masuk tahun ke-2 mak aku jatuh sakit. Lepas ulang alik hospital dan check akhirnya di sahkan ada kanser. Aku selama ni hidup tahu yang kanser tu bahaya. Tapi aku tak pernah tahu benda tu sakitnya, proses dan segala macam benda yang pesakit kanser kena lalui.
Kepala mak aku di botak kan. Waktu ni aku dengan ayah sama-sama pergi kedai botakkan rambut. Bila mak aku nampak dia cuma ketawa sambil cakap “botak kita satu keluarga”. Aku macam dah goyang sikit takut dan cemas. Belajar aku teruskan tapi setiap hari aku rasa cemas.
Ayah aku selalu telefon cakap mak aku okay dan suruh aku belajar dengan tenang. Aku pun bila dapat dengar suara mak baru aku lega sikit.
Kali ni walaupun keputusan cemerlang aku rasa tak berapa gembira. Aku makin hari makin takut. Setiap kali balik tengok mak aku kurus kering makan tak berdaya, nak bergerak dan bercakap pun payah.
Baru aku sedar bertapa bahaya-Nya kanser. Aku setiap kali solat aku merayu tolong sihatkan mak aku. Tolong panjangkan umur mak aku.
Aku tanya mak okay ke tidak. Dia cakap okay dan tak sabar nak tengok aku konvo nanti. Aku dalam hati dah jerit tolonglah jangan trigger death flag. Makin nak dekat konvo aku makin panik. Alhamdulilah sempat bawa mak aku. Bawa mak pakai wheelchair. Kali ni aku tarik nafas lega.
Tapi, kanser tetap jahat tak sampai sebulan selepas konvo aku. Mak meninggal dunia. Menangis tak tentu arah atas motor. Nak balik rumah kena pula ada yang bawa basikal main lintas simpang sesuka hati.
Sampai aku terbabas jatuh tak ada sorang pun setan kumpulan basikal tu yang patah balik tolong aku. Aku yang calar balar ni angkat motor tolak tepi lepastu order grab ambik aku.
Akak yang bawa grab tu asyik tanya aku “adik okay tak ni” aku waktu ni rasa nak muntah, nak pengsan aku punya pandangan jadi biru. Tapi aku tahan aku berdehem kuat supaya aku tak pengsan.
Sampai rumah aku nampak mak dah di tutupkan muka dia. Selesai kebumikan mak saudara mara jiran tetangga dah balik. Tinggal aku dengan ayah berdua. Aku yang pakai songkok ni baring dekat ruang tamu pandang siling rumah.
Ayah aku duduk depan pintu sambil isap rokok. Ayah aku ni dah lama berhenti isap rokok sejak aku tingkatan 3. Haritu aku nampak ayah isap rokok balik. Kami tak bersembang apa. Lepas selesai solat dan baca yassin ayah masuk tidur. Aku pula kemas ruang tamu dengan kemas dapur.
Aku rasa konfius gila kot. Roommates aku waktu belajar dulu call cakap sorry tak dapat datang. Aku pun faham diorang duduk jauh. Malam tu aku baring dekat ruang tamu tu pandang siling sambil menangis. Tak ada alas bantal baring atas lantai.
Tangan kanan aku letak atas kepala sambil nangis teresak esak sampai tertidur. Subuh solat berjamaah dengan ayah. Waktu tu ayah aku ada tanya kenapa luka tangan kaki aku cuma cakap jatuh. Lepas subuh aku jalan kaki pergi dekat motor tadi. Motor separuh hancur try start bergegar.
Aku pun tolak skuter ego tu dekat bengkel. Arwah mak aku belikan waktu aku sambung belajar. Mak aku cakap nanti nak kerja senang ada motor sebab selama ni nak ke mana tempat terpaksa jalan kaki.
Tengah tolak ada 2-3 orang nak tolong aku cakap tak apa dekat dah nak sampai. Sampai dekat bengkel aku pun tinggalkan dekat kedai pakcik ni dengan nombor telefon. Ayah aku tak tahu motor aku rosak teruk sebab accident aku cuma cakap motor rosak.
Minggu depan sambung balik masuk kerja. Teruskan kehidupan macam biasa. Padahal tak sampai sebulan aku kerja tapi dia punya penat lain macam.
Padahal sebelum ni aku tenang kerja situ tapi kali ni tidak. Setiap pagi aku bangun pagi asyik rasa nak muntah. Kepala asyik pening. Hampir setiap hari aku telan panadol untuk fokus kerja. Lepas sebulan baru aku macam tenang sedikit.
Tahun 2019 aku terpaksa balik ke Universiti balik sebab nak ambik benda penting. Naik bas malam pukul 12:30 tengah malam. Plan aku naik bas malam tunggu boarding apa semua 1 lebih gerak.
Lepastu perjalanan 5-6 jam sampai. Dah sampai dalam waktu subuh lepastu rehat kejap dekat surau mungkin sampai pukul 9 atau 10 baru gerak ke U balik.
Selesai ambil barang aku terus pergi ke terminal bas dan beli tiket untuk balik. Sepanjang perjalanan tu aku tidur. Bila dah dalam 30 minit nak sampai aku termenung jauh.
Fikir apa nak buat. Scroll telefon rasa sedih pula dekat diri sendiri kawan tak ada. Yang last aku betul rapat roommate zaman belajar tapi semua dah sibuk kahwin ada anak.
Girlfriend pun tak ada. Selama ni aku okay tapi entah kenapa tetiba rasa sunyi. Rasa macam a simple text from someone yang tanya “how’s ur day” “harini makan apa?” “Good morning/night” “I miss/love you” pun boleh rasa happy.
Sejak haritu aku macam nekad nak cuba cari someone. Nak mula dari mana aku tak pasti. Mula dari Facebook rasa awkward pula nak pm. Kebanyakkan dalam friend list siapa je. Lelaki ramai lah.
Twitter lagi sadis aku follower pun tak ada post lagi lah tidak. Instagram pula aku post apa lagu je.
Aku pun set dating profile. Pilih gambar yang aku rasa kacak. Bio ambil masa satu hari aku fikir. Lepastu baru aku perasan nak kena bayar untuk access lebih lagi.
Aku dah lah first time, selama ni ingat benda ni free sekali kena bayar nak check profile visit apa segala. Aku fikir berbaloi atau tidak. Aku pun bayar juga.
Match juga dengan sorang dua tapi setakat gitu je lah tergantung akhirnya aku pun lupa pasal dating site. Cuma guna setakat 2 minggu sahaja.
Covid 19,
Tahun 2020 kita masuk fasa covid 19. Kali ni aku bahagian kerja agak tenang sedikit sebab dah awal wfh tak kalut. Ayah aku pula waktu ni dia duduk dekat kampung kata nak rehat penat.
Aku pun setiap bulan kasi ayah duit. Waktu covid tu aku tanya dia nak ambik tak. Ayah aku reject katanya dekat sini lagi senang. Aku pun pkp duduk seorang wfh.
Kita semua tahu huru-haranya waktu ni. Polis merata, nak keluar beli barang pun rasa penat dan takut. Ada sekali ni aku ternampak post dekat twitter. Dekat twitter waktu tu banyak tweet minta tolong itu ini beli barang dan banyak lagi.
Aku ternampak satu tweet dia minta tolong check kan rumah mak dia. Kita tahu kan waktu pkp pertama tu macam mana seksa dia. Nak keluar memang payah tak boleh rentas daerah/negeri. Nak rentas kena ada dokumen bermacam baru lepas.
Jadi dia tweet minta tolong. Sebab dia kerja negeri lain, nak lintas negeri tak boleh kena reject. Dia risau sebab mak dia ni selalu pagi akan wasap cakap good morning tapi kali ni tak.
Bila call tak angkat. Waktu ni tweet dia ni macam tenggelam tak ramai org nampak. Aku baca tweet dia dan nampak lokasi rumah mak dia setakat 15 minit dari rumah aku.
Aku pun DM dia volunteer nak tolong check. Minta specific alamat dan rumah. Kena tahan polis juga tapi bagi alasan nak check dekat rumah makcik yang tinggal sorang diri polis pun kasi.
Aku ketuk memang tak response. Aku call nombor yang dia kasi dengar bunyi jelas kot ringtone dalam rumah tapi tak ada org angkat. Sampai jiran sebelah keluar tanya aku cari Mak yan ke. Mak yan ni mak kepada twitter user yang minta tolong tu.
Rumah dia ni condo. Call security lepastu yang anak dia pun terangkan akhirnya setuju pecah masuk rumah tersebut. Dalam 5 minit dapat buka tengok dan terang terlantar atas lantai. Aku angkat dan bawa pergi hospital.
Yang rumah tu makcik jiran sebelah dengan security yang tolong jagakan. Korang tahulah hospital dengan klinik waktu ni keadaan dia macam mana huru hara kot. Bila check dan test covid Alhamdulilah negative rupanya pengsan sebab low blood pressure.
2-3 hari tu aku tolong makcik tu. Hari ke-3 baru lah anak dia ni dapat settle segala dokumentasi dan dapat rentas negeri.
Aku ada lah berborak dengan Mak Yan ni tanya dia dekat kawasan sini tak ada saudara mara dekat ke. Jawab dia tidak, saudara mara yang dia kenal sorang dua itu pun duduk dekat sarawak.
Jadi aku pun covid tu kira macam rapat dengan mak yan dan anak dia ni aku panggil Nad. Ingat lagi pertengahan tahun 2021. Nad call aku cakap dia kena cancer (AML) Aku yang dengar tu terus rasa nak pengsan bila dengar.
Aku drive jauh pergi jumpa dia. Check result test tu semua memang sah. Dia cakap baru early stage. Bila aku teman Nad dengan mak dia bila nampak muka dia penat letih lesu tapi tetap senyum terus rasa macam nak gila.
Arwah mak dulu macam tu juga. Setiap kali lepas selesai nampak penat sangat muka tapi elok senyum.
Awal tahun 2023 Alhamdulilah kami berdua selamat menikah. Nad isteri aku pun sekarang dah aktif balik tapi tak completely cure. Aku berharap sangat sakit dia tak datang balik. Proses nak baik tu makan masa yang panjang, sakit dia lagi, tenaga lagi.
Terus terang kesian dekat pesakit kanser. Aku kesian dekat isteri aku tapi dalam masa yang sama waktu rawatan dia aku nampak orang lain dengan mak/ayah suami/isteri semua tahan nangis je dekat situ.
Paling aku nak nangis bila tengok budak yang datang. Umur diorang sepatutnya main aktif sekolah dengan kawan-kawan. Tapi sebab kanser diorang terpaksa duduk rumah rehat nak buat aktiviti apa pun payah.
Aku pun ada kenal sorang dua dekat situ. Yang pakcik ni dengan isteri dia hantar anak dia yang umur baru 19 tahun. Yang akak ni hantar suami dia. Kami borak pun setakat berdoa harap cepat sembuh.
Aku dengan isteri pun selalu sebulan sekali tolong bagi sumbangan dekat keluarga yang terdesak waktu nak proses rawatan. Benda ni bukan setakat makan tenaga tapi makan duit. Sedikit sebanyak kami sumbangkan. Aku kalau boleh tak nak lagi pergi tempat tu. Satu mimpi buruk.
Kepada yang ahli keluarga sedang menghadap situasi yang macam aku ni harap terus bantu ahli keluarga masing-masing dan kekal tabah aku doakan semoga mereka tabah dan selamat mengalami detik-detik sukar.
– Zul (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit