Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca. Namaku Safiya, sudah pasti bukan nama sebenar. Usiaku bakal menjejaki angka 33 pada penghujung tahun ini.
Seorang isteri kepada seorang suami yang baik dan juga seorang ibu kepada 3 puteri kecil. Aku bekerja sebagai seorang usahawan dan mempunyai sebuah syarikat sendiri. Inilah pengenalan kepada diriku.
Aku mempunyai masalah kesihatan yang misteri. Sejak umurku 17 tahun aku sering diganggu dengan pelbagai kejadian aneh. Disebabkan itu, aku pernah berhenti belajar di IPTA.
Aku dibawa pulang ke kampung secara kecemasan menaiki ambulan daripada IPTA di utara malaysia ke kampungku. Di kampung aku cuba menafikan semua gangguan aneh ini. Aku pergi ke doktor untuk mendapatkan nasihat daripadanya.
Doktor menyarankan aku untuk berubat secara tradisional sahaja. Beliau turut membekalkanku sejenis ubat penenang jika keadaan ku tidak terkawal.
Pelbagai gangguan aku alami. Ada yang aku meracau, ada yang aku terbang ke atas, ada yang aku ingin terjun bangunan tingkat 7, ada yang aku merangkak ingin pulang ke ‘tuan’ ku. Entahlah jika difikirkan aku sendiri tidak faham. Atau aku sebenarnya gila?
Aku mula membina syarikatku sendiri. Membuka sebuah premis perniagaanku sendiri. Suatu malam, ramai orang di kawasan kejiranan premisku mendengar suara mengilai. Mereka katakan suara itu datang daripada premisku itu. Aku tidak mendengar, hanya jiran dan pelangganku yang mendengar.
Rentetan peristiwa itu, aku memanggil seorang lagi perawat untuk melihat apa yang ada dengan premisku itu. Seorang bilal masjid. Tidak semena-mena premisku itu berbau hanyir seperti isi ikan. Rasa kembang tekak dan nak muntah. Ada juga orang yang nampak kelibat pocong di depan pintu premisku.
Semakin lama perniagaanku semakin sepi. Hutang mula menghimpit sana dan sini. Ingin saja aku berhenti, tapi pasti musuhku akan bertepuk tangan riang hati.
Aku bangkit kembali. Bertatih lagi seperti asalnya lagi. Penat, rasa nak menangis tapi ku simpan ketat-ketat di lubuk hati. Ini perjuanganku melawan musuh yang tidak pasti.
Dua minggu selepas sesi perubatan tadi, bapaku dijemput Ilahi. Secara tiba-tiba tanpa sebab yang pasti. Aku ada bersamanya ketika nafasnya terhenti. Aku reda. Ada yang kata kerana sihir, entahla aku tak mahu fikir. Ini ajalnya, itu yang pasti. Selepas bapaku meninggal, aku membawa diri melakukan umrah, cuba untuk merawat diri dan hati.
Sejak bapaku meninggal kami adik beradik sering bermimpi ada sesuatu telah tertanam di bawah pokok pisang sebelah premis tempatku berniaga. Aku pujuk suamiku untuk mencangkul kawasan pisang itu.
Lebih 20 batang pokok pisang dalam satu kelompok yang sama. Hampir siap dikorek kawasan itu, suami terjumpa 1 botol kaca kecil dalamnya berisi satu serpihan tulang dan 2 duri kecil. Aku terus serahkan ke pak cik ku yang kebetulan ada di rumah ku ketika itu.
Setelah menyerahkan botol itu, aku masuk ke premis perniagaanku. Secara tiba-tiba aku menjadi lemah dan tidak berdaya. Sehingga ke hari ini adalah hari ketiga, aku berasa sangat lemah. Seperti seorang yang kehilangan semangat, tapi tak tahu apa puncanya.
Aku ada meminta pertolongan orang untuk ‘membersihkan’ kawasan perniagaanku. Ramai yang tidak sanggup, kerana kebanyakannya telah diancam dulu sebelum datang ke sini.
Kadang-kadang rasa tak tertanggung dengan akal apa yang aku alami ini. Aku cuba menolak unsur mistik, lalu aku terfikir adakah aku gila?
Berhalusinasi tentang benda yang tidak-tidak. Jika ya, orang lain juga melihat apa yang terjadi pada diriku. Kebanyakan apa yang terjadi ads rakaman video, kerana arwah ayahku seorang yang suka memotret kenangan.
Aku mohon para pembaca doakanlah kesembuhanku, doakan juga kelancaran rezeki ku. Aku tidak tahu lagi apa yang aku harus lakukan.
Macam-macam tempat aku telah pergi berubat, masih belum ada rezekiku untuk berjumpa penawarnya.
Mungkin ada doa kalian yang akan termakbul untukku. Hanya Tuhan yang mampu membalas.
Safiya
Perempuan Gila.
– Safiya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit