Jauh Hati Kerana Mentua : https://iiumc.com/jauh-hati-
Assalamualaikum. Bila baca confession daripada Kelly, rasa macam ada something yang boleh relate dengan rumahtangga aku sekarang.
Terasa jauh hati kerana mentua, tapi mungkin ada beberapa sudut berbeza.
Perkahwinan aku baru nak menginjak ke usia setahun jagung, tapi betul lah kata orang 5 tahun pertama itu adalah fasa paling crucial dalam rumahtangga, sama ada kita kuat atau tidak untuk hadapi.
Beberapa bulan menikah, perkahwinan kami dihadirkan dengan berita gembira aku hamil. Aku sangat bersyukur kerana perkahwinan ini tidak diduga dengan ujian zuriat. Namun, ujian lain yang mendatang.
Aku dan suami sudah berkenalan lama dan perkenalan kami memang direstui oleh kedua belah keluarga.
Tapi, selepas kita menikah barulah kita akan kenal bagaimana keluarga mentua yang sebenarnya. Mungkin sebelum berkahwin, semuanya indah belaka.
Sebelum berkahwin, sedang aku dan suami sibuk berhempas pulas menyimpan dan menabung duit kahwin ibu mentua aku memaksa suami beli rumah.
Bunyi macam sangat bertanggungjawab ya, tapi bukan rumah untuk aku dan suami selepas kahwin.
Tetapi, rumah untuk keluarga suami. Selama ini mereka menyewa, maka tidak semena-mena hanya beberapa bulan sebelum kahwin, ibu mentua suruh suami belikan rumah untuk keluarga mereka, berbekalkan loan oleh gaji suami seorang.
Rumah itu akan didiami oleh ibu mentua dan adik-beradik suami.
Bayangkan sedang kami berdua struggle untuk menyimpan duit kahwin dan untuk kegunaan selepas kahwin, suami aku bergadai untuk sediakan tempat tinggal untuk keluarga dia sedangkan dia ada adik-beradik lain yang belum berkahwin.
Persoalannya, kenapa hanya beberapa bulan sebelum kami berkahwin? Sepatutnya, waktu itu ibu mentua perlu fikir tanggungjawab anaknya akan beralih selepas kahwin untuk sediakan tempat tinggal untuk isteri dan bakal anak-anaknya.
Dan, kenapa suami seorang perlu berkorban? Walhal, ada anak-anak lain yang masih boleh diharapkan.
Dalam kami struggle berdua menyimpan duit untuk berkahwin, dan hanya dua bulan sebelum bernikah suami terpaksa gunakan wang hantaran yang telah diberikan kepadaku untuk urusan perkahwinan bagi melangsaikan deposit rumah tersebut.
Maka, aku pun sekali terpaksa berkorban dek kerana tanggungjawab si anak lelaki ini. Wang hantaran dibelanjakan untuk deposit rumah pertama keluarga mereka.
Maka, lebihan belanja perkahwinan yang lainnya semua ditanggung oleh aku.
Aku memahami bebanan suami yang terpaksa tanggung keluarganya walau sebelum kami berkahwin lagi,
Aku topup keperluan berkahwin sampai satu saat masa tu aku give up untuk menghalalkan hubungan tersebut tapi masih berbaik sangka mungkin itu hanyalah dugaan ke arah yang lebih baik.
Awalnya aku pun tidak faham, mana pergi adik-beradik lain? Semua duduk bawah selimut ke.
Sedangkan suami ada 6 orang adik beradik yang lain, tapi semua lepaskan tanggungjawab untuk berikan keselesaan yang diidamkan ibu mereka dan diri mereka sendiri.
Tapi, itu baru permulaan.
Selepas menikah, aku dan suami terpaksa PJJ disebabkan komitmen kerja masing-masing. Suami bekerja nun jauh di negeri selatan tanah air dan aku di utara.
Kami hanya berjumpa apabila suami pulang pada beberapa hujung minggu ke rumah ibu bapaku kerana aku masih menetap di rumah ibu bapaku yang hanya berdekatan dengan tempat kerja.
Dan, kadang kala aku akan bertolak ansur untuk pulang ke rumah suami di selatan tanah air tersebut pada hujung minggu untuk melepaskan rindu dek kerana perkahwinan jarak jauh kami walaupun dalam keadaan sarat mengandung.
Untuk bercakap tentang kerjaya aku, boleh dikatakan stable malahan gaji aku lebih tinggi daripada suami, jadi agak sukar untuk melepaskan kerjaya ini demi tinggal bersama suami disebabkan komitmen yang ada pada suami.
Suamiku hanya kerja biasa-biasa sahaja. Suami pula terpaksa untuk tinggal di rumah baru mereka walaupun agak jauh dari tempat kerja, dan menanggung segala perbelanjaan keluarganya.
Sedangkan, tanggungjawabnya sepatutnya telah beralih padaku selepas kahwin. Adik-beradik masih dengan sifat tiada common sense untuk membantu, seperti biawak hidup yang tinggal sebumbung.
Untuk pengetahuan, 3 orang daripada adik beradik suami telah berkahwin manakala lagi 3 orang masih belum berkahwin (2 lelaki, seorang adik perempuan) dan masih menetap bersama mentua di rumah baru mereka.
2 orang daripada adik-beradiknya yang sudah berkahwin adalah perempuan dan mengikut suami masing-masing.
Mentua pernah meluahkan kepadaku rasa risaunya sekiranya anak perempuannya tidak dapat ditanggung makan pakai minum dengan baik oleh suami mereka.
Bayangkan dia bercerita soal itu kepadaku, terpaksa aku telan air liur sahaja depannya. Ya, dia lebih risaukan anak perempuannya, tetapi tidak pada tanggungjawab anak lelakinya terhadap isteri iaitu aku.
Walaupun kerjayaku adalah baik, dan aku memang berniat untuk susah senang bersama suami daripada sebelum kahwin tapi aku mengharapkan keluarga mentuaku memahami yang aku kini sepatutnya berada bawah tanggungjawab suamiku.
Malahan jika diikutkan, selepas berkahwin tanggungjawab anak lelaki itu ada pada isterinya lebih utama dari sudut bab nafkah, dan berbuat baik pada ibu bapanya adalah ihsan.
Tetapi, aku rasakan disebabkan aku mampu untuk menanggung diri sendiri, ibu mentuaku merasakan tidak mengapa jika anak lelakinya melepaskan tanggungjawab tersebut.
Aku dan suami pernah berbincang untuk tinggal bersama tetapi bukan dirumah keluarga mereka,
Dan aku akan bertolak ansur untuk melepaskan kerjayaku sekarang demi peluang kerjaya lain walaupun lebih rendah asalkan dapat tinggal bersama suami, tetapi niat kami dihalang mentah-mentah oleh ibu mentua.
Risau agaknya aku akan menyusahkan anaknya nanti. Masih ada bayang-bayang anak lelakinya tidak boleh pergi jauh darinya.
Aku hanya mahu berdamping dengan suami sendiri seperti pasangan suami isteri yang lain kerana aku percaya tempatnya seorang isteri adalah di sisi suami.
Tambahan pula, sekiranya kami tinggal bersama nanti mentua mungkin risau komitmen rumah keluarga mereka nanti siapa yang akan tanggung? Nak harapkan biawak hidup di dalam rumah tersebut, amat mustahil!
Makin lama, aku makin rasa tawar hati dengan keluarga mentua. Memang rasakan makin lama makin menjauh, nak tanya khabar pun rasa berat hati.
Tapi, aku tetap juga hidup seperti biasa, buat seperti aku tidak makan hati berulam jantung hari-hari.
Fast forward beberapa bulan selepas berkahwin. Aku terbaca Whatsapp suami dan ibunya. Ibunya meminta suami untuk buat sharing loan, untuk adik perempuannya beli kereta. Kau rasa?
Sedangkan suami pergi balik kerja masih dengan motor cabuknya. Sekarang, diminta untuk berkorban demi biawak hidup lagi.
Duit nakfah suami terhadap aku pun masih tercungap untuk diselesaikan, mahu ditambah lagi beban anak lelakinya. Mentua jatuh dari syurgakah ini?
Suami merahsiakan hal sharing loan itu kepadaku, rasanya kalau sampai mati aku tak terbaca Whatsapp tu, sampai mati jugalah aku tak tahu. Tapi berdosakah aku kalau terbaca? Aku waktu itu, rasa marah dan sedih.
Marah sebab ada mentua yang tidak faham tanggungjawab anak lelakinya, sedih sebab keadaan suami yang bagai ditelan mati mak, diluah mati bapak.
Mentuaku lebih mahu melihat anak-anaknya hidup selesa aman damai, tetapi tidak terfikir tentang dosa anak lelakinya melepaskan tanggungjawab.
Bagi dia, syurga itu dibawah tapak kaki ibu maka sujudlah walau apa pun yang ibu katakan salah atau betul.
Selepas aku tahu kisah sharing loan itu, aku tanya suami kenapa tidak beritahu atau berbincang dengan aku dulu sebab bagiku, soal kewangan suami juga adalah soal kewangan keluarga kecil kami.
Jika hujung bulan suami susah atau tidak cukup duit, aku juga yang bantu dan bukannya adik-beradik dia yang bersifat seperti biawak hidup yang lain.
Sungguh sangat kecewa, sampai satu tahap rasa tertekan betul hidup aku fikirkan keluarga tunggang terbalik suami ini.
Semuanya dilepaskan pada suamiku hanya kerna aku seorang isteri yang berkemampuan dan senang.
Sehingga kini, aku sendiri takut mahu menyusahkan suami sendiri, terasa macam ada CCTV mentuaku disisi dan boleh bayangkan apa yang akan diperkatakan olehnya sekiranya aku bebankan anaknya nanti.
Entah bagaimana nanti selepas aku melahirkan anak. Kalau mentuaku masih dengan sifatnya, sudah pasti anakku nanti sepenuhnya berada di bawah tanggungan aku sendiri disaat suami masih dibawah ketiak ibunya.
Wahai mentua, disaat anakmu takut akan kehilangan ‘syurganya’, dia terpaksa melepaskan tanggungjawab yang sepatutnya dibina bersama isteri dan keluarga kecilnya yang bakal dibina.
Maka, fahamilah anakmu dan lepaskanlah bayang-bayangnya.
Dan kepada Kelly, moga kita kuat hadapi mentua yang semacam ini dan semoga suami dan keluarga kecil kita murah rezeki.
– Menantu Hantu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit