Coretan Dunia OKU Penglihatan II

Untuk part I, (https://iiumc.com/coretan-dunia-oku-penglihatan/).

Terima kasih barisan admin untuk penyiaran confession saya yang tak seberapa ni.

Banyak juga persoalan dan kerisauan yang saya fikirkan apabila hendak berhijrah ke dunia luar.

Perjalanan yang akan datang bukan ibarat berjalan-jalan sebagai OKU Penglihatan di luar perkarangan rumah, tetapi melibatkan satu tempat baru yang benar-benar asing tanpa sesiapa yang menemani di sisi. 

“Dah buta macam ni, apa kerja yang saya boleh buat?”

“Tak bahaya ke kalau perempuan buta hidup di bandar? Nanti kena culik, rogol, cabul…. ”

“Betul ke orang buta boleh guna telefon & komputer macam biasa?”

“Macam mana orang buta nak beli barang keperluan harian walaupun di bandar?”

“Orang buta boleh masak ke? Tak melecur ke?” 

“Macam mana orang buta nak bezakan duit kertas & duit syiling?”

“Nak beli baju pulak macam mana kalau dah tak nampak ni?” 

Apabila terlalu overthinking perkara-perkara macam ni, saya akan jadi dilema 50-50.

Hijrah ke tak… Hijrah ke tak… Dan pada masa yang sama, saya juga memikirkan apa yang dapat saya lakukan untuk masa depan saya 10 tahun akan datang.

Adakah hanya duduk di rumah mengharapkan belas simpati ibu bapa, adik-beradik, saudara mara?

Sampai bila hidup ini hanya bergantung pada kehendak orang lain tanpa ada kebebasan memilih sendiri?

Takkan OKU Penglihatan tak mampu hidup berdikari?

Takkan Tuhan biarkan hidup OKU Penglihatan akan selalu susah / mengharap simpati?

Masa itu saya masih belum ada kekuatan untuk hadapi dunia luar.

Saya kata pada diri, “Aku kena buktikan diri aku boleh buat semua tu bermula dari rumah ni dulu. Aku mesti keluar daripada belenggu terkongkong ni secepat mungkin sebelum aku dimasukkan ke hospital sakit jiwa!” 

Saya mulakan dengan mengurus diri sendiri terlebih dahulu.

Saya cuba gunakan peluang sementara sepupu saya masih cuti semester untuk bantu saya semampu mungkin.

Bermula dengan cara membasuh pakaian yang berpasang, matching pakaian, susun atur barangan, labelkan barangan tertentu, dan melatih kepekaan deria lain selain penglihatan.

Pada awalnya, sepupu saya menyuruh saya melakukan sendiri urusan harian yang saya biasa lakukan tanpa memberi apa-apa komen mahupun teguran. Dia hanya memerhati dari tepi dan menulis sedikit catatan.

Dia meminta saya kemaskan katil, basuh baju, basuh pinggan, sapu rumah, lap meja, ambil makanan yang telah dihidang (belum tiba part masak makanan sebab masih peringkat permulaan), dan mengasingkan pakaian ikut pasangan seperti stoking.

Kadang-kadang saya terdengar dia tergelak kecil sepanjang saya melakukan semua arahannya.

Apabila ditanya mengapa gelak, dia akan membalas tak ada apa-apa. Tapi tak lama kemudian, dia akan tergelak lagi sambil memantau setiap urusan saya.

Ada satu kisah yang diceritakan kepada saya iaitu ketika itu dia melihat saya memakai sebelah stoking hitam, sebelah stoking putih. Hahaha!

Malu betul saya…. Geram pun ada.. Nak menangis pun ada…

Setelah selesai semua aktiviti yang disenaraikan, sepupu saya akan memulakan bimbingan satu-persatu mengikut ilmu & pengalaman yang dia miliki.

Misalnya, pasangan stoking yang dipakai kadang-kala mempunyai pelbagai warna seperti hitam, bercorak, dan pelbagai tekstur.

Selalunya deria sentuh akan digunakan untuk membezakan tekstur pakaian. Seandainya tekstur pakaian adalah sama (contoh cotton / satin), maka digalakkan melabel menggunakan jahitan benang sebagai contoh.

Jahitan benang pada hujung stoking tertentu akan memudahkan kita mencari padanan setelah dibasuh. Ada juga cara yang digunakan iaitu membasuh pakaian secara berasingan agar mudah dikenal.

Misalnya, trip pertama akan basuh pasangan stoking A bersama baju lain. Trip 2 pula akan basuh pasangan stoking B bersama baju lain.

Itu semua terpulang kepada inovasi & kreativiti masing-masing.

Seterusnya, dalam urusan mengemas rumah seperti mengelap meja, mencuci pinggan, menyapu lantai, itu semua memerlukan kemahiran teknik secara sistematik agar tidak berlaku sebarang kemalangan yang mengakibatkan kecederaan kepada OKU Penglihatan.

Misalnya, sebelum mengelap meja, pastikan tiada barang yang menghalang permukaan meja di lap seperti barangan kaca dan lain-lain.

Apabila menyapu lantai, pastikan kawasan yang disapu tidak mempunyai objek yang mudah pecah / berhati-hati di tempat berkaca.

Begitu juga dengan mencuci pinggan / peralatan mudah pecah selain menyusun semula peralatan dapur di tempatnya.

Sepupu saya akan memegang tangan saya dan menyuruh saya memegang kedudukan peralatan serta objek yang terdapat di dalam rumah agar saya mendapat gambaran setiap kedudukan objek tersebut.

Sebab itu, penting untuk memaklumkan kepada OKU Penglihatan setiap kali barangan dialihkan dari posisi asal hatta walaupun hanya dialihkan dari kiri ke kanan.

Contoh mudah charger telefon yang selalu dicabut dan dialih-alihkan untuk digunakan.

Saya memang bengang kalau nak mencari cable charger telefon yang selalu berpindah tempat tanpa saya tahu kedudukan. Kadang-kadang terpaksa pusing satu rumah semata-mata nak cari cable charger telefon.

Untuk part penggunaan telefon, akan dikongsikan pada siri akan datang.

Dalam urusan makanan pula, sepupu mengajarkan sistem muka jam untuk memudahkan gambaran saya mengenai makanan yang terdapat di atas meja / dalam pinggan.

Sistem muka jam ini adalah berdasarkan arah saya sebagai OKU Penglihatan yang menghala ke arah makanan. Contohnya makan nasi lemak.

Sepupu akan memberitahu telur jam 9, ikan bilis jam 1, kacang jam 6, sambal jam 12. Boleh faham kan?

Maksudnya, dari arah muka saya yang memandang ke arah pinggan, kedudukan lauk akan disebut. Bukan dari arah pandangan orang celik yang melihat makanan.

Jangan sekali-kali beritahu orang buta istilah “Kiri. Kanan. Situ. Sana. Atas. Bawah,”

Sebab itu semua terlalu umum untuk digambarkan dalam pemikiran OKU Penglihatan. Atas boleh jadi atas kiri atau atas kanan.

Situ boleh jadi kiri, boleh juga jadi kanan. Jadi, walaupun saya buta dan semestinya tak nampak makanan dalam pinggan, takkan saya nak meraba satu pinggan.

Begitu juga dengan kedudukan hidangan. Boleh juga digunakan adaptasi cara yang sama.

Air sirap jam 11. Sudu jam 3.

Untuk pengetahuan yang lebih lanjut, sepupu saya galakkan masyarakat bertanya kepada guru-guru di sekolah pendidikan khas penglihatan. Ilmu dan pengalaman mereka adalah lebih tepat berbanding ditanyakan secara rawak.

Boleh rujuk mereka sama ada di sekolah pendidikan khas penglihatan mahupun sekolah program pendidikan khas integrasi penglihatan. Biar berguru dengan orang yang betul.

Apa yang penting, nasihat utama daripada sepupu saya ialah hubungan kita dengan Tuhan mesti dijaga dengan betul.

Maksudnya kena selalu bersangka baik dan yakin 100% dengan Tuhan selain usaha daripada diri sendiri dalam menyelesaikan sesuatu urusan hidup.

Saya minta bantuan sepupu untuk Google dan carikan tempat yang sesuai agar dapat mempelajari kemahiran berkaitan OKU Penglihatan dengan sebaiknya.

Memandangkan saya berada di ‘dunia baru’, maka saya langsung tidak kenal sesiapa dalam komuniti OKU Penglihatan sebagai rakan dan tempat rujukan.

Nak percayakan orang luar, lagilah tak berani.

Setelah kami membuat rujukan dan bertanya sana sini, kami dapati terdapat banyak tempat kemahiran bagi sesi pemulihan / rehabilitasi untuk golongan adult blind.

Saya cuba berbincang dengan ahli keluarga mengenai impian saya untuk menjadi OKU Penglihatan yang lebih berdikari dengan berhijrah ke luar dari kawasan kampung.

Pada awalnya, saya mendapat tentangan yang sangat hebat daripada ibu dan adik-beradik.

Sehinggakan saya dicop sebagai anak derhaka, tak mengenang budi, dan macam-macam hinaan lagi. 

“Kau ni memang degil! Anak derhaka! Tak habis-habis buat orang tua risau!”…

“Dah jadi buta ni pun selalu menyusahkan orang! Duduk jer kat rumah ni! Tak payah pergi jauh-jauh! ”… 

“Ni nanti pun kerja pengemis jual tisu kat tepi jalan! Memalukan keluarga betul la kau ni! ”…

Konflik tu memakan masa sebulan lamanya hinggakan kami langsung tak bertegur sapa.

Segala keperluan harian saya ketika itu terpaksa saya mohon bantuan sepupu secara senyap-senyap agar isu tidak menjadi semakin panas dan saya tidak mahu sepupu saya dilibatkan sekali dalam konflik ini.

Selang beberapa ketika, Cikgu N yang merupakan bekas guru sekolah kami datang menziarah ke rumah keluarga saya.

Cikgu N merupakan guru yang dihormati penduduk kampung kami kerana ringan tulang dan sering membantu penduduk kampung yang dalam kesulitan.

Cikgu N berbincang dengan ibu bapa saya dan memujuk mereka membenarkan saya belajar di salah sebuah pusat latihan kemahiran bagi golongan OKU Penglihatan. Lebih kurang katanya pada ketika itu, 

“Anak OKU inilah suatu hari nanti yang akan membantu meringankan beban kalian. Percayalah pada kata-kata saya. Dia boleh jaga diri dan tidak akan menyusahkan kalian lagi di kemudian hari. Tuhan akan selalu bersamanya,”… 

Akhirnya, setelah diyakinkan oleh Cikgu N, maka kedua orang tua saya bersetuju membenarkan saya walaupun dengan hati yang berat. Saya yang ketika itu hanya mendengar perbualan dari pintu bilik, terus bercucuran air mata.

Tidak tahu bagaimana rasanya jiwa saya ketika itu. Terharu. Sedih. Gembira. Risau. Semuanya bercampur-baur.

Ada sebab kenapa saya memilih untuk belajar kemahiran vokasional berbanding bidang akademik di IPTA / IPTS walaupun saya memiliki kelayakan akademik yang setaraf.

Di lain kesempatan, saya cuba coretkan lagi perjalanan kehidupan sebagai adult blind yang semestinya tidak akan sama dengan perjalanan OKU Penglihatan sejak kecil.

Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *