Penyondol Di Zaman Lockdown

Hi semua. Nama aku Arianna. Umurku hujung 20-an. Aku cuma nak bercerita selepas kes viral sana sini mengenai penyondol suami orang.

Aku bekerja di negara seberang dah lama. Tak pernah terlintas di fikiranku, aku jadi penyondol suami orang di zaman lockdown. Aku sendiri tidak tahu statusku menjadi penyondol.

Waktu 2 tahun lepas, sewaktu pengumuman lockdown, aku pilih untuk tinggal di negara seberang.

Jadi di malam sebelum jam 12, ramai rakyat senegara yang bekerja mula masuk dengan beg pakaian melalui tambak ke negara seberang. Selepas itu, semua kisah pahit itu berlaku.

Sewaktu tahun pertama lockdown di negara seberang, aku cuma fokus bekerja. Aku tidak mempunyai kawan baru dan tidak mengikuti aktiviti dengan rakyat senegara.

Walaupun aku orangnya ceria, boleh berkawan dengan semua orang, tapi aku kurang berminat menambah lingkungan kawan kawan aku.

Selepas setahun, barulah aku mengenali dengan kawan perempuan baru dan mengikuti aktiviti dengan rakyat senegara sampai terjadinya perkenalan aku dengan M.

M adalah seorang lelaki muda, berusia awal 20-an. Di awal perkenalan aku benar benar kurang gemar dengan sikapnya yang agak menjengkelkan.

Bagiku sikapnya seperti kanak kanak yang ingin diperhatikan. Mungkin kerana sikapku yang malas melayan, buat dia semakin ingin mendekatiku.

Mula-mula, aku memang tak berminat nak berkenalan, soal beza usia dan cara pergaulan.

Kami mempunyai lingkungan rakan-rakan senegara dan selalu keluar berkumpulan untuk melakukan aktiviti di hujung minggu disebabkan bosan di negara asing.

Setelah 3 bulan perkenalan, aku dan M mula rapat dan perasaan bertukar menjadi sayang. Setiap hari, kami berhubung menceritakan setiap masalah dan selalu bergurau senda.

Dihujung minggu, kami keluar untuk makan bersama.

Tidak lama selepas itu, M menyatakan perasaanya kepadaku.

Perasaanku hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya rasa hati bertemu dengan sosok yang memenuhi citarasa di hati. Aku benar-benar merasakan cinta yang sesungguhnya bila bersama M.

Sehinggalah suatu hari terbongkar sebenarnya M adalah suami orang. Kesalnya rasa hati aku disaat aku benar benar seikhlas hati mencintainya, rupanya dia menipuku.

Selepas itu, aku mula menghindarinya. Tapi M masih tetap memujukku untuk berkawan seperti biasa.

M berulang kali meluahkan rasa hati sampailah hatiku terpujuk.

Selepas terbongkar, M mula menceritakan semua masalah rumahtangganya kepadaku. Kesemuanya.

Pada mulanya, aku merasakan isterinya yang mempunyai masalah.

Tapi lama kelamaan, aku mula merasakan sebenarnya semua itu berpunca dari M sendiri. M sudah berkali kali curang dibelakang isterinya.

Ada kes yang diketahui isterinya, ada yang sampai sekarang isterinya tidak tahu. Isteri mana mampu untuk menerima nasib apabila dicurangi oleh suami sendiri?

Jadi bagiku, semua layanan dari isterinya adalah cerminan dari rasa hati yang semakin membenci.

Bagiku, layak untuk M dilayan sebegitu sehinggalah isterinya boleh memaafkannya.

Tapi tidak bagi M. Dia merasakan isterinya tidak mahu berlapang dada dengan semua kesilapannya.

Jadi, kerana layanan di rumah tidak seperti yang diinginkan. M masih menghubungiku.

M merasakan bahagia denganku. Aku tidak menunjukkan rasa hatiku yang sebenar.

Bagiku, M adalah punca semua yang terjadi dan tidak adil untuk dia melepaskan rasa di luar rumah dengan perempuan lain.

Berkali kali aku mengajak M untuk menghentikan hubungan dan fokus kepada isterinya.

Tapi M berdegil sehinggalah akhirnya sampai ke pengetahuan isterinya. Sewaktunya isterinya menghubungiku, dia bertanya apakah hubungan antara kami berdua.

Aku pilih untuk tidak memberitahu hal sebenar dan aku berjanji untuk tidak menghubungi M lagi.

Akhirnya, kami sudah tidak berhubung lagi selepas aku memberitahu M yang aku bercinta dengan lelaki lain.

Tujuanku hanya untuk M fokus kepada keluarganya dan berhenti menghubungiku.

M berjanji, kecurangan dia denganku adalah yang terakhir kerana bagi dia selagi isteri di depan mata, dia tidak akan curang.

Aku tidak tahu apa akan jadi seandainya ada lagi zaman lockdown itu.

Sehingga kini, aku merasakan tindakan aku salah apabila tidak berterus terang dengan isteri M.

Bukanlah untuk merosakkan hubungan mereka dan untuk M beralih kepadaku. Bukan itu niatku.

Aku merasakan isterinya layak mendapatkan lelaki yang jauh lebih baik dari M kerana ini bukan kali pertama M curang kepadanya.

Dan M, tidak layak untuk menerima cinta yang tulus dari perempuan kerana sikapnya.

Itulah pengajaran yang terbesar dalam hidupku.

Untuk pengetahuan semua, sewaktu lockdown itu ramai suami yang mengaku bujang dan melayan perempuan bujang. Mereka hidup bebas tanpa keluarga seolah-olah tiada dosa.

Dan untuk M, aku benar benar rasa benci dengan semua yang terjadi. Aku tidak perlu membalas dendam, kerana aku yakin kifarah tuhan pasti tiba tepat pada masanya.

– Arianna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *