Perangai Manusia

Assalamualaikum WBT.. Hai aku Jijiey @ G. Aku berusia 18 tahun. Terpanggil untuk berkongsi meluah di sini berkenaan perangai. Ye. Perangai manusia. 

Aku dan kakak dibesarkan oleh ibu (ibu tunggal). Kami dua beradik diajar berdikari sejak kecil lagi. Ibu aku memang tegas tapi dia penyayang.

Dia ajar kami cara berfikir dan bertindak yang bagi aku, memang berbeza dengan cara orang sekeliling aku. Dan membesarlah aku dengan terlebih KBAT daripada remaja seusiaku. 

Okey, kisahnya begini. Aku bekerja sebagai pelayan separuh masa di kedai makan kepunyaan seorang wanita seusia ibu. Kak Ton bos aku tu orangnya ramah dan masuk air. Walaupun aku muda, tapi dia boleh buat kepala gila-gila. Aku layankan aje.

Oh ye, ada dua orang lagi pekerja. Kak Kay (tukang masak) dan Baman (bancuh air). Bulan ni bulan ke 3 aku di kedai makan beliau. 

2-3 hari bekerja, aku dah serasi dengan mereka semua. Dan dalam masa yang sama, bermula lah kisah yang tak seronok. Ini berkenaan suami bos aku – Topez. Dia akan datang kedai waktu tengahari.

Masuk je kedai, perkara pertama dia akan buat adalah, tanya Kak Ton berapa sale pagi ni sambil dia mengira duit di mesin cashier. Kemudian dia akan membebel tanpa henti. Ada saja tak kena di matanya. Kak Kay dan Baman dah tarik muka dan buat isyarat mata. 

Aku perasan si Topez ni dah ‘aim’ aku. Oleh sebab aku pelayan, dia seolah-olah nak salahkan aku jika ada orang cuma lalu lalang dan aku tak panggil mereka masuk kedai.

Atau jika ada yang masuk kedai tengok lauk kemudian blah. Dia akan anggap aku tak buat kerja. Cuma duduk habiskan beras. 

Jadi dia perintah aku buat itu ini. Contoh, mop lantai 2-3 kali, atau basuh cawan pinggan lagi sekali dengan alasan tak cukup bersih. Dia juga lepaskan kemarahan pada isterinya a.k.a bos aku, katanya tak pandai nak ajar pekerja buat kerja.

Kak Ton sebagai isteri mithali hanya mampu diam. Walaupun Kak Ton tak melawan, si Topez tetap membebel tanpa henti hingga dia tinggalkan kedai. Aku yang baru bekerja waktu itu, rasa sangat tertekan. 

Hampir tiap hari selama seminggu aku meluah pada ibu. Ibu kata, jika tak tahan aku boleh berhenti saja. Ada rezeki lain. Allah yang beri rezeki, bukan makhluk.

Ibu juga berpesan jika aku nak teruskan kerja di sana, kena hati kering. Dan jika tak tahan dengan bebelan si Topez, aku kena berani menjawab sekiranya si Topez melampau.

Sejak aku ikut saranan ibu, si Topez dah takde tegur atau bebelkan aku. Cuma dia mula menyindir tanda provok.  Kisah pula aku. Aku anggap dia sebagai loser. Makan hasil bini tapi nak tutup kepengecutannya, dia membentak si isteri supaya isteri takut dan kecut. 

Hampir sebulan aku bekerja, aku dah faham cara si Topez. Dia ni walaupun umur lebih tua daripada aku tapi perangai.. Kalah anak balita.

Dia amalkan diskriminasi gender, ye. Cara dia layan aku dan Kak Kay, berbeza dengan cara dia layan Baman. Tapi Baman pun tak berkenan dengan si Topez.

Kata Baman, sebelum ini, begitulah dia perlakukan pekerja wanita. Sindir, herdik, bebel. Sebab tu pekerja bertukar ganti. 

Aku sedikit terkilan kerana Kak Ton hanya mendiamkan diri jika suaminya memperlekehkan pekerja. Tapi nak buat macam mana, kan. Kak Ton sendiri dimaki hamun oleh Topez.

Dia ni kalau nak maki hamun isteri, kedai tengah ramai pelanggan pun dia buat juga. Tanpa rasa malu. Takde rasa nak jaga air muka isteri. 

Aku berapa kali tahan diri dari melepuk mamat tu. Aku anggap dia narsistik dan mental koyak. Dia fikir aku ni muda, aku takut ke. Tapi pesan ibu terngiang-ngiang di telinga. Ibu tak benarkan aku bertindak dengan kekerasan.

Ibu kata sekiranya si Topez melampau batas, aku perlu maklumkan pada ibu dan ibu sendiri akan berhadapan dengan si Topez. (Kami 3 beranak ada ilmu pertahankan diri, muka je nampak lembut sebab tu orang fikir mudah dibuli). 

Mungkin ada yang anggap aku cuma berani cakap belakang tapi bertahan juga. Aku dah nak berhenti selepas sebulan bekerja tapi Kak Kay tiba- tiba berhenti dan senyap tanpa khabar.

Dalam bulan yang sama juga ibu diuji dengan masalah kesihatan yang tak membolehkan ibu bekerja untuk waktu yang lama, sebab tu aku bertahan.

Lagipun kedai makan tu dekat dengan rumah, aku boleh balik bila-bila masa sekiranya ada kecemasan. Kakak bekerja di KL jadi aku lah yang diharapkan untuk tengokkan ibu. 

Oleh kerana hanya aku budak perempuan yang tinggal, Kak Ton rapat dengan aku. Time off day, bawa berjalan. Belanja makan. Dia layan aku macam anak sendiri.

Jadi sebab kebaikan dia tu, ibu kata, kalau ada sindiran dan provok dari Topez, pejam mata je. Asalkan si Topez tak guna kekerasan atau sentuhan fizikal. 

Sedikit demi sedikit, Kak Ton bercerita mengenai dirinya dan Topez. Rupa-rupanya ini perkahwinannya yang kedua. Anak-anak Kak Ton dijaga oleh bekas suami. Kak Ton dan Topez dikurniakan seorang anak.

Menurut Kak Ton, suaminya memang agresif. Katanya itu lumrah perkahwinan, pasti akan ada pertengkaran. Dan dia tak sanggup membayangkan jika bercerai buat kali kedua. Kerana itu dia bertahan. 

Entah kenapa waktu tu aku bermulut lancang. Aku kata, aku tak campur hal rumahtangga mereka. Cuma bab kerja/niaga, jika keadaan berterusan begini, pekerja akan lari. Kak Ton hanya tersengih. 

Sikap si Topez yang menjengkelkan aku ni, mengingatkan aku pada bapa kandungku. Bapaku perlakukan ibu, lebih kurang cara Topez cuma takde lah tiap hari. Sebab tu sakit hati aku berganda-ganda. Kenapa wujud lelaki macam ni, ye. 

Sudah lah tak membantu, dia menyakitkan pula. Mujurlah ibu bijak buat keputusan untuk berpisah dengan bapa.

Itu pun puas bapa maki hamun ibu dengan gelaran hina, yang berakhir dengan beberapa jurus dari ibu hingga bapa tewas. Hahaha (Maaf, aku rasa memang patut bapa diajar begitu. Mulut bisa mengalahkan perempuan). 

Aku harap aku mampu bertahan utk sedikit masa lagi. Cuma nak cukupkan tabungan, kami nak berpindah keluar dari negeri sekarang. Doakan aku, ye. 

Mengenai Kak Ton, semoga dalam masa terdekat ni, terbuka mata hati Kak Ton utk cakna hak Kak Ton sebagai isteri. Ye, sepatutnya kena cerdik lah, kan. Dia berniaga, biasanya orang berniaga, pemikirannya ke depan.

Sampai bila Kak Ton nak menangis waktu masak (siapkan order pelanggan). Sampai bila nak kemurungan, cakap seorang diri lepas dimaki suami. Sampai bila duit hasil niaga, suami yang kaut dan Kak Ton cuma dapat sisa. 

Aku percaya sekiranya si Topez suami dan lelaki yang baik, pasti Kak Ton lebih ceria dan bergaya. Pasti kedai makannya ramai pelanggan. Ini sebab Kak Ton redha membela saka hidup yang kuat mencarut, macam mana orang nak masuk kedai. 

Maaf atas kekurangan atau kesalahan bahasa. Banyak nak luah tapi ini je aku mampu taip. Terima kasih sudi baca. 

G – Remaja riang tapi time kerja tak berapa ria (hahahaha)

– Jijie (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. sis kagum baca bila awk n mak n kakak awk ada ilmu pertahan diri… xde la senang dibuli oleh kaum lelaki yg mcm topez tu…daebakk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *